
TEKS UCAPAN PERDANA MENTERI
YANG AMAT BERHORMAT DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PEMBENTANGAN USUL
KAJIAN SEPARUH PENGGAL
RANCANGAN MALAYSIA KEDUA BELAS 2021-2025:
MALAYSIA MADANI: MAMPAN, SEJAHTERA DAN BERPENDAPATAN TINGGI
DI DEWAN RAKYAT
PADA 11 SEPTEMBER 2023, 10:00 PAGI
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia MADANI.
USUL
Tan Sri Yang di-Pertua,
Dengan penuh takzim, saya berdiri di dalam Dewan yang mulia ini untuk mengemukakan usul seperti yang berikut:
“BAHAWA Dewan ini,
menyedari akan cabaran untuk mengekalkan kestabilan ekonomi dan mencapai pertumbuhan yang mampan dengan mengambil kira perubahan trend ekonomi global, kedudukan kewangan Kerajaan serta pencapaian dua tahun pertama, 2021-2022 Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12);
merestui usaha Kerajaan untuk merancang dan melaksanakan agenda pembangunan negara yang mampan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, wadah Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat serta Agenda Pembangunan Mampan 2030;
meluluskan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas bagi tempoh 2023-2025 yang memberikan keutamaan dan penekanan baharu atas dasar, strategi dan inisiatif bagi pembangunan sosioekonomi serta langkah memperkukuh tatakelola ke arah negara yang mampan, sejahtera dan berpendapatan tinggi, menurut Kertas Perintah CMD.30 Tahun 2023; dan
bahawa dalam meluluskan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas, Dewan yang mulia ini menyeru seluruh rakyat Malaysia berganding bahu untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negara kekal mampan serta adil dan saksama.”
Tan Sri Yang di-Pertua,
MUKADIMAH
Firman Allah SWT dalam al-Qur’an al-Majid:
إِنَّ اللّٰهَ يَأْمُرُكُمْ اَنْ تُؤَدُّوا الْاَمٰنٰتِ اِلٰٓى اَهْلِهَاۙ وَاِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ اَنْ تَحْكُمُوْا بِالْعَدْلِ
“Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu untuk melunaskan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia hendaklah kamu berhukum dengan adil.”
(Surah al-Nisa’, ayat 58)
- Negara kita di persimpangan; samada mengekalkan dasar dan kaedah lama atau melaksanakan islah (perubahan). Perubahan ini harus mencakup rangka memperbaiki tatakelola, melakukan anjakan dasar, dan memperkenalkan kaedah serta pendekatan baharu mengikut tuntutan semasa.
- Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (selepas ini akan dirujuk sebagai KSP RMK12) ternyata bukan pendekatan biasa menilai pelaksanaan RMK12 tetapi adalah meliputi dasar dan kaedah baharu untuk menghadapi tantangan semasa. RMK yang telah diluncurkan pada tahun 2021 mula dilaksanakan bermatlamat “Makmur, Inklusif, Mampan”. Manakala gagasan dalam KSP RMK12 bermatlamatkan “Malaysia MADANI: Mampan, Sejahtera dan Berpendapatan Tinggi”.
- Seyogia dimaklum bahawa ketidakstabilan politik berserta hentakan wabak COVID-19 sejak awal tahun 2020 telah mendedahkan kerapuhan sistem dan kelemahan tatakelola. Dalam tempoh ini juga, negara dirundung kegelapan tatkala Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan perintah darurat yang dikuatkuasakan antara tahun 2020-2021 mengakibatkan rakyat kehilangan mata pencarian, menyusutnya purata pertumbuhan ekonomi, serta merosotnya pelabur asing. Seramai 37,167 nyawa telah diragut COVID-19 sehingga kini. Tabung rakyat juga telah menyusut dengan pengeluaran dana rakyat, khususnya melalui Kumpulan Wang Simpanan Persaraan (KWSP) sebanyak RM145 bilion. Kadar kemiskinan meningkat ke paras 8.4%, dengan kadar pertumbuhan ekonomi tercorot akibat bertambahnya kemiskinan, sementara kadar kesenjangan membengkak kepada 0.411, dan kadar pengangguran meningkat ke 4.5% pada tahun 2020.
- Berdepan dengan kemelut tersebut negara dituntut untuk melakukan anjakan secara tegas dan menyeluruh. Maka, Kerajaan telah mengikhtiarkan gagasan Malaysia MADANI dan menyusul dengan kerangka Ekonomi MADANI. Kerangka dasar tersebut telah dicerakin dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) sebagai prakarsa baharu bagi memacu pertumbuhan sosioekonomi Malaysia untuk tempoh sepuluh tahun.
- Kenanglah sabda junjungan besar Nabi Muhammad SAW:
لَا إِيمَانَ لِمَن لَا أَمَانَةَ لَه
“Tidak sempurna iman seseorang yang tidak amanah”
(Hadith sahih riwayat Ahmad)
- Demikianlah kukuhnya gesaan Nabi Muhammad SAW bagi semua yang menggalas tanggungjawab. Segala kerangka dan kebijakan yang tampak lunak dan ampuh tidak bermakna tanpa amalan prinsip amanah dalam kalangan pimpinan dan penjawat awam serta masyarakat keseluruhannya. Demikian supaya amanah yang dipikul dapat dilunaskan demi keselamatan jiwa dan mutu hidup rakyat.
- Agak menarik manakala Kung Fu Tze mengungkapkan prinsip 互惠 (Hùhuì) atau kesalingan (reciprocity) di antara pimpinan yang beramanah dan bertanggungjawab, dan rakyat yang turut memikul amanah.
Tan Sri Yang di-Pertua,
STATUS TERKINI RANCANGAN MALAYSIA KE-12
- RMK12 yang diluluskan di Parlimen pada 21 Oktober 2021 merangkumi tiga tema, empat pemangkin dasar dan 14 pemacu perubahan. KDNK menguncup sebanyak -5.5% pada tahun 2020 tetapi mula pulih dengan mencatat pertumbuhan sebanyak 3.3% pada tahun 2021. Dalam tempoh dua tahun pertama RMK12, yakni dari tahun 2021 hingga 2022, negara mencatat pertumbuhan purata KDNK sebanyak 5.9% setahun dari asas terdahulu yang sangat rendah. Sebanyak 31% daripada 175 sasaran ditetapkan telah dicapai, dan 59% adalah mengikut jadual.
- RMK12 memperuntukkan RM400 bilion bagi membiayai projek pembangunan sambungan dan baharu untuk tempoh 5 tahun. Bagi tempoh dua tahun yang pertama, prestasi perbelanjaan sebenar ialah 34%. Tahun 2021, jumlah perbelanjaan pembangunan hanyalah sebanyak RM64.3 bilion, 2022 jumlahnya adalah sebanyak RM71.6 bilion.
- RMK12 akan dijajarkan semula dengan visi Ekonomi MADANI, yang menyasarkan pemerkasaan dan merancakkan ekonomi negara untuk tempoh sepuluh tahun. Kerajaan komited untuk membelanjakan sekurang-kurangnya RM90 bilion setahun bagi tahun 2023 hingga 2025.
- Ini bermakna, Kerajaan akan membelanjakan sepenuhnya peruntukan RM400 bilion di bawah RMK12, malah menambah siling sebanyak RM15 bilion lagi, menjadikan jumlah keseluruhannya RM415 bilion. Peningkatan ini adalah bagi menambah keperluan untuk membiayai bidang keutamaan rakyat di samping memperbaiki mutu pengurusan dan menyasarkan semula subsidi bagi menampung keperluan asas rakyat.
- Anjakan baru bermula dengan menoktahkan kemiskinan tegar, menyelesaikan masalah asas prasarana dan keperluan asas rakyat termasuk memperbaiki sekolah dan klinik daif, menjamin bekalan air bersih, serta meneraju ekonomi Islam. Dalam bidang menoktahkan kemiskinan tegar, insya-Allah kita akan berhasil menempa kejayaan yang bermakna sebelum akhir tahun ini.
- Sementelahan, KSP RMK12 akan menyemak semula dasar, strategi dan sasaran secara menyeluruh dengan mengambil kira kesenjangan pembangunan kota, desa dan pedalaman dan juga miskin-kaya yang masih wujud, hutang yang membengkak, ruang fiskal yang terhad dan peralihan struktur ekonomi yang perlahan.
Tuan Yang di-Pertua,
PENCAPAIAN MAKROEKONOMI DAN INDIKATOR TERKINI
- Dalam masa singkat, pelbagai langkah proaktif telah diambil untuk mengembalikan Malaysia ke landasan pertumbuhan yang betul. Walhasil dalam tempoh separuh pertama tahun 2023, keluaran dalam negeri kasar (KDNK) Malaysia telah mencatat peningkatan sebanyak 4.2%, didukung oleh kegiatan sektor swasta dan perdagangan yang baik.
- Prestasi pasaran buruh semakin baik dengan kadar produktiviti yang lebih tinggi, iaitu 3.7% setahun bagi tempoh 2021-2022, manakala pengangguran menurun kepada 3.5% pada suku kedua tahun 2023. Kadar inflasi pada Julai 2023 telah menurun kepada 2%, rekod terendah dalam tempoh 24 bulan. Pendapatan negara kasar (PNK) per kapita lebih tinggi, iaitu RM52,968 (atau AS$12,035) pada tahun 2022 ketimbang RM42,838 (atau AS$10,191) pada tahun 2020.
- Nikmat kemajuan ekonomi yang dikecapi ini turut dapat dirasai oleh rakyat seperti terpapar pada petunjuk pada peringkat global dan domestik. Malaysia berhasil mencatat pencapaian yang memberangsangkan dalam pembangunan manusia berdasarkan Indeks Pembangunan Manusia (HDI) 2021 pada tangga ke-62 daripada 191 buah negara. Kita menyasarkan kedudukan ke-25 teratas buat Malaysia dalam masa 10 tahun.
- Sementara pada peringkat domestik, Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia yang mengukur tahap kesejahteraan ekonomi dan sosial rakyat telah meningkat sebanyak 1.3% setahun. Pendapatan rakyat juga bertambah baik. Pendapatan purata bulanan isi rumah meningkat kepada RM8,479 pada tahun 2022 daripada RM7,901 pada tahun 2019.
EKONOMI MADANI
- Berbeda dengan pendekatan model ekonomi sebelum ini, Ekonomi MADANI bertitik tolak daripada falsafah pembangunan dan pertumbuhan ekonomi yang manusiawi berteraskan nilai, kemasyarakatan, peradaban dan norma yang merupakan satu cetusan nurani buat negara yang pernah saya ungkapkan dalam buku Gelombang Kebangkitan Asia (The Asian Renaissance) sekitar 26 tahun yang lalu:
“Asas ekonomi manusiawi ialah falsafah pembangunan yang holistik, berpandukan keprihatinan etika dan sosial serta berasaskan prinsip keadilan dan kebajikan – al-‘adl wa al-ihsan. Menguruskan ekonomi sedemikian bukan sahaja mengenai peruntukan sumber yang terhad untuk memenuhi keperluan fizikal dan material manusia, ia juga mengenai peruntukan sumber yang sama untuk memenuhi kehendak rohani dan intelek manusia.”
KSP RMK12: “MALAYSIA MADANI: MAMPAN, SEJAHTERA DAN BERPENDAPATAN TINGGI”
- Lantaran itu, Kerajaan Perpaduan kini sedang mempersiap negara bagi menempuh fasa kedua KSP RMK12, yang diberi tema “Mampan, Sejahtera dan Berpendapatan Tinggi” dengan tiga tumpuan utama, yakni memperkukuh kemampanan, membangunkan masyarakat sejahtera dan menuju negara berpendapatan tinggi.
- Sebanyak 17 anjakan utama dan 71 inisiatif utama diperkenalkan bagi memastikan keberhasilan perkara yang disasarkan. Insya-Allah, KSP RMK12 ini akan terus memperkukuh agenda pembangunan negara dan rakyat ke arah mencapai matlamat Ekonomi MADANI.
- Bagi memberikan gambaran yang lebih jelas kepada Dewan yang mulia ini, pembentangan ini akan dicerakinkan melalui 12 penegasan yang menjadi inti pati kepada KSP RMK12 dan distrukturkan mengikut 3 tumpuan utama.
Tuan Yang di-Pertua,
TUMPUAN 1: MENUJU NEGARA BERPENDAPATAN TINGGI
- Bagi melonjakkan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi seiring dengan matlamat sebagai peneraju ekonomi Asia, Kerajaan beriltizam untuk melaksanakan empat penegasan:
PENEGASAN 1: MELONJAKKAN PERTUMBUHAN EKONOMI
- Kerajaan menyasarkan lonjakan pertumbuhan ekonomi sekurang-kurangnya 5% setahun dalam tempoh RMK12 dengan memberikan tumpuan kepada dua perkara pokok.
- Pertama: memperkukuh produktiviti dengan menyegerakan peralihan kepada industri bernilai tinggi dan menerima guna teknologi termaju serta mempertingkat bakat berkemahiran. Di samping itu, Kerajaan akan terus bekerjasama dengan sektor swasta dan ahli akademik bagi menambah baik aspek produktiviti negara.
- Produktiviti Pelbagai Faktor (MFP) secara purata dijangka menyumbang sebanyak 42.8% kepada pertumbuhan KDNK dengan produktiviti buruh dijangka mencatatkan pertumbuhan 3.8% setahun.
- Kedua: Kerajaan berhasrat menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama para pelabur dengan memperkukuh daya saing. Langkah utama adalah meningkatkan persekitaran perniagaan menerusi penambahbaikan peraturan perniagaan termasuk melalui unit MyMudah.
- Langkah ini secara langsung merancakkan pelaburan langsung domestik (DDI) yang secara bersinergi akan menarik lebih banyak FDI. Pelaburan swasta disasarkan berkembang sebanyak 6.4% setahun atau purata RM300 bilion setahun dalam tempoh akhir RMK12.
Tuan Yang di-Pertua,
PENEGASAN 2: MEMPERCEPAT REFORMASI STRUKTUR EKONOMI
- Kerajaan akan memantapkan sektor dan industri dengan pertumbuhan dan nilai tinggi (high-growth high value, HGHV) meliputi lima bidang.
- Pembangunan HGHV 1: Industri Berasaskan Peralihan Tenaga akan digagaskan sebagai anjakan utama bagi memastikan peralihan tenaga yang saksama. Dengan terluncurnya NETR maka pelaksanaan Dasar Tenaga Negara, 2022-2040 (DTN) secara komprehensif akan dapat disegerakan. Beberapa ikhtiar dalam enam teras utama (energy transition) NETR telah dilaksanakan, termasuk galakan penggunaan kenderaan elektrik (EV) dan hibrid, dan perluasan infrastruktur EV serta penerokaan sumber tenaga baharu daripada sektor pertanian. Rang Undang-Undang Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga (EECA) sedang digubal.
- NETR telah mengenal pasti 10 projek perdana yang strategik dan berimpak tinggi, dengan jangkaan pelaburan bernilai RM25 bilion, mewujudkan 23,000 peluang pekerjaan berkualiti tinggi serta pengurangan 10,000 gigagram karbon dioksida setara setahun.
- Bagi memenuhi peningkatan permintaan gas asli cecair (LNG) dan memastikan keterjaminan bekalan, projek penyimpanan LNG tambahan akan dibangunkan di Terminal Penggasan Semula, Pengerang, Johor. Langkah ini akan memperkukuh usaha meliberalisasi pasaran gas domestik dan menjadikan Malaysia sebagai hab pasaran gas asli serantau.
- Perdagangan ‘renewable energy’ atau tenaga boleh baharu (TBB) rentas sempadan akan diperkukuh dalam inisiatif Grid Kuasa ASEAN. Matlamat Kerajaan adalah mencapai sasaran kapasiti terpasang TBB sebanyak 70% menjelang tahun 2050, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai hab serantau bagi perdagangan tenaga bersih.
- HGHV 2: Industri Berasaskan Teknologi dan Digital akan memberikan tumpuan kepada pemanfaatan teknologi termaju yang merangkumi kecerdasan buatan, bahan termaju dan pengkomputeran kuantum sebagai pemacu utama pertumbuhan industri.
- Saya pernah menghebahkan Agenda Digital Rakyat / Digital Native Agenda 2023 (DNA23) bagi ikhtiar untuk memberi pendedahan dan pencerahan kepada bidang teknologi dan digital yang kritikal bagi negara. Hasrat saya adalah agar memberi kefahaman dan penyertaan yang lebih menyeluruh, dan penekanan mengenai transformasi digital akan merangkumi semua lapisan masyarakat miskin kota, desa dan di pedalaman.
- Walhasil, kebijakan digital lebih inklusif akan diwujudkan untuk membangunkan infrastruktur kondusif, menyemak semula peraturan dan garis panduan bagi menambah baik persekitaran yang mendukung pembangunan ekonomi digital.
- Pemain utama dalam sektor Teknologi Maklumat dan Telekomunikasi seperti Google, Amazon Web Service, Microsoft dan IBM, serta tokoh syarikat pemula (startup) telah menyatakan minat mereka untuk mendukung usaha bagi melahirkan lebih ramai bakat digital tempatan yang berkemahiran tinggi.
- Pembangunan syarikat pemula ternyata kritikal dan mendesak bagi mempercepat peralihan struktur ekonomi negara. Syarikat pemula (startup) ternyata lebih demokratik dalam menarik penyertaan lebih ramai bakat dan anak muda yang sanggup meneroka lapangan berkaitan dengan segala risikonya.
- Justeru, ekosistem modal teroka akan diperkukuh bagi menyegerakan pembentukan syarikat pemula berasaskan teknologi. Inisiatif khusus akan diperkenal untuk mengumpulkan sumber daripada pelbagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC), termasuk Khazanah Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP). Tumpuan akan diberikan kepada pelabur dan syarikat pemula yang masih pada peringkat awal, dan mereka akan turut diperkasa agar lebih ramai bakat tempatan muncul sebagai pencipta dan pembangun teknologi.
- Kejayaan yang dirintis oleh syarikat pemula seperti EasyParcel, TheLorry, Swipey dan iStore iSend mampu diangkat sebagai teladan. Untuk maksud ini, satu konvensyen syarikat pemula akan dianjurkan dalam masa terdekat bagi menghasilkan lebih ramai tekno-usahawan tempatan. Kerajaan juga menyediakan geran berjumlah RM266 juta pada tahun ini kepada syarikat pemula tempatan untuk melahirkan lebih banyak syarikat bertaraf unikorn. Sebanyak RM63.9 juta disalurkan sehingga kini.
- Aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan daya cipta (R&D&C&I) yang terarah merupakan satu daripada tunjang penting untuk mempercepatkan reformasi struktur ekonomi. Unit Pengurusan Penyelidikan akan diperkasa sebagai agensi tunggal bagi menyelaras dan mengurus aktiviti R&D&C&I agar lebih cekap dan tuntas. Kerajaan menyasarkan Perbelanjaan Kasar Penyelidikan dan Pembangunan kepada KDNK sebanyak 2.5%, manakala sumbangan perbelanjaan Penyelidikan dan Pembangunan Sektor Swasta kepada jumlah keseluruhan perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) disasarkan sebanyak 70% pada tahun 2025.
- Dasar Inovasi Sosial akan diluncurkan pada November ini bagi menggalakkan daya cipta pada peringkat akar umbi. Usaha ini diharap dapat menanam keghairahan terhadap sains, teknologi dan daya cipta serta mampu melahirkan para saintis bertaraf dunia.
- Reformasi struktur ekonomi akan dipercepat melalui HGHV 3: Industri Elektrik dan Elektronik (E&E) Bernilai Tinggi. Industri E&E negara yang menyumbang hampir 13% dalam pasaran dunia bagi pengujian dan pempakejan cip akan diperkukuh untuk beralih ke rantaian nilai yang lebih tinggi.
- Selama ini, pembangunan industri E&E lebih tertumpu kepada aktiviti peringkat akhir (back-end) yang kurang memberi nilai tambah kepada sektor pembuatan. Mutakhir ini, alhamdulillah, aktiviti peringkat awal (front-end) yang bernilai tinggi seperti reka bentuk litar bersepadu, reka bentuk kejuruteraan dan fabrikasi wafer, akan diberi keutamaan.
- Keputusan syarikat semikonduktor Infineon Technologies dari negara Jerman untuk meluluskan penambahan pelaburan berjumlah RM25 bilion di Malaysia pada bulan Ogos yang lalu bagi mengembangkan operasinya, dengan penumpuan aktiviti peringkat awal (front-end) yang terbesar di dunia merupakan isyarat positif buat negara. Kejayaan industri ini melalui Infineon, akan melonjakkan Malaysia sebagai antara negara terawal yang akan mengeluarkan Karbid Silikon (SiC) wafer berteknologi termaju pada peringkat global.
- Komitmen syarikat terkemuka seperti Tesla dan Samsung Engineering untuk melabur di Malaysia mampu merangsang pertumbuhan ekonomi dan menjana pekerjaan berpendapatan tinggi buat rakyat. Kesediaan kita didorong dengan kebijakan Kerajaan yang menggalakkan pembangunan industri E&E berhasil meningkatkan keyakinan syarikat besar kepada keupayaan teknologi Malaysia.
- HGHV 4: Pertanian dan Industri Asas Tani, Kerajaan kekal komited untuk mengukuhkan kemandirian dan keterjaminan makanan dan meningkatkan daya saing sektor agrikomoditi. Kemandirian pengeluaran makanan tempatan akan ditingkatkan melalui automasi dan pendigitalan agar berskala lebih besar dan berdaya saing.
- Kecekapan pengurusan pengeluaran makanan akan dipertingkat untuk mengoptimumkan penggunaan tanah pertanian. Bagi menyokong usaha ini, Kerajaan menggalakkan penyertaan sektor swasta untuk mempergiat kegiatan pertanian pintar. Langkah memperkasa amalan pertanian mampan, termasuk membangunkan model pertanian rendah karbon akan dimulakan secara rintis dalam subsektor padi sebelum diperluas kepada subsektor lain.
- Keterjaminan makanan akan terus diperkukuh melalui pelaksanaan projek pengeluaran pertanian moden yang berskala besar. Saya telah meluncurkan projek penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun di kawasan pertanian Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Kedah dengan pelaburan sebanyak RM3 bilion.
- Di samping itu, pelaksanaan projek Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) dalam program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) akan dipergiat bagi mengurangkan kebergantungan kepada import makanan, mengukuh rantaian bekalan makanan dan menggalakkan penerimagunaan teknologi dalam pertanian selain menoktahkan kemiskinan tegar.
- Bagi memastikan industri getah negara terus berdaya saing, langkah diambil untuk mentransformasikan industri ini termasuk melalui penggalakan aktiviti hiliran. Industri hiliran getah Malaysia khususnya pengeluaran sarung tangan berada pada kedudukan pertama di dunia. Di samping itu, Kerajaan akan menggalakkan penghasilan produk getah yang mempunyai nilai tambah yang tinggi serta memperhebat kegiatan pengkomersialan hasil R&D dan pemindahan teknologi bagi memperkasa industri getah negara.
- HGHV 5: Industri Nadir Bumi akan muncul sebagai sumber pertumbuhan baharu berasaskan unsur nadir bumi bukan radioaktif yang mampan dan mesra alam. Unsur ini diperlukan dalam pembuatan bateri, super magnet dan alatan elektronik. Industri nadir bumi dijangka menyumbang sebanyak RM9.5 bilion kepada KDNK negara pada tahun 2025 dan mewujudkan hampir 7,000 peluang pekerjaan.
- Bagi mencapai sasaran ini, Dasar Mineral Negara baharu akan dirangka bagi memacu pembangunan industri mineral yang menyeluruh berasaskan prinsip kemampanan dan kebertanggungjawaban. Kebijakan ini akan dijadikan panduan dalam melaksanakan aktiviti perlombongan dalam hutan simpan kekal, kawasan sensitif alam sekitar dan kawasan perlindungan.
- Pemetaan terperinci sumber unsur nadir bumi dan model perniagaan menyeluruh yang menggabungkan industri huluan, pertengahan dan hiliran akan dibangunkan bagi mengekalkan rantaian nilai nadir bumi di dalam negara. Oleh itu, Kerajaan akan membangunkan dasar melarang eksport bahan mentah nadir bumi bagi mengelakkan eksploitasi dan kehilangan sumber, lantas menjamin pulangan yang maksimum buat negara. Langkah ini akan menggalakkan pemprosesan dalam negara dan memberikan hasil tambahan kepada negara.
PENEGASAN 3: MEMACU DAYA SAING SEKTOR DAN INDUSTRI STRATEGIK
- Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) merupakan kerangka dasar industri yang menyasarkan kemasukan pelaburan bernilai tinggi buat negara seperti aeroangkasa, elektrik dan elektronik, automotif, kimia dan farmaseutikal. NIMP 2030 menyasarkan sebanyak 3.3 juta peluang pekerjaan baru untuk rakyat dengan gaji penengah setinggi RM4,510 sebulan pada akhir tempoh pelaksanaannya.
- Sebagai pelengkap kepada NIMP 2030, dalam usaha mentransformasi dan memacu daya saing sektor dan industri strategik, Kerajaan memberikan tumpuan kepada lapan segmen industri.
- Pertama: Malaysia menjadi peneraju dalam pasaran halal antarabangsa dengan nilai eksport halal sebanyak RM63.1 bilion pada tahun 2025. Tahap berikutnya, menjadi peneraju pasaran “halalan toyyiban”. Malaysia kini telah diiktiraf sebagai pengeluar sijil halal (certification) di peringkat antarabangsa. Justeru, keupayaan industri “halalan toyyiban” negara akan terus dikembangkan bersama dengan pensijilan.
- Usaha bagi mengasah bakat, penyelarasan dalam kalangan pihak berkepentingan, peningkatan akses pasaran serta penerimagunaan teknologi dan pendigitalan produk dan perkhidmatan “halalan toyyiban” akan dipertingkat selaras dengan Pelan Induk Industri Halal 2030. Produk yang diberikan tumpuan seperti farmaseutikal, peranti perubatan dan busana muslim (modest fashion) yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi dan menyediakan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.
- Kedua: Perkhidmatan global telah dikenal pasti sebagai industri strategik. Kerajaan akan merangka kebijakan yang menyeluruh, memudah cara perniagaan dan mewujudkan pangkalan data bagi menarik pelaburan bermutu tinggi dan membuka ruang seluasnya kepada syarikat tempatan untuk mendapatkan perkhidmatan sokongan.
- Malaysia menjadi rumah kepada beberapa syarikat perkhidmatan global, antaranya Endava PLC dari United Kingdom, Cognizant Technology Solutions US Corporations dari Amerika Syarikat, Huawei Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd. dari China, Ansell Global Trading Center (Malaysia) Sdn. Bhd. dari Australia dan Siemens Energy Sdn. Bhd. dari Jerman, dan dijangka lebih banyak syarikat perkhidmatan global akan menyatakan minat untuk beroperasi di sini pada masa akan datang.
- Ketiga: Mutakhir ini, kian jelas terlihat keretakan dalam kerangka kewangan antarabangsa (a fractured international financial architecture). Amalan sekarang mula disanggah oleh pakar ekonomi terkemuka kerana mengizinkan ketempangan, keterlanjuran dan kesenjangan kian melebar, seperti laporan Oxfam pada tahun 2023 yang menyatakan, dengan izin, “the richest 1% bag two-thirds of $42 trillion in new wealth created since 2020,” dengan maksud lain, disebut dengan pengalaman di Amerika Syarikat, 1% golongan mahakaya melahap dua pertiga daripada keseluruhan AS$42 trilion kekayaan yang terhasil sejak tahun 2020.
- Dalam soal kejatuhan mata wang, hakikatnya terkesan di seluruh dunia. Berbanding awal tahun ini, nilai semasa Renmimbi umpamanya, telah menyusut sebanyak 6.1% ketimbang Dolar Amerika Syarikat, Yen menyusut lebih besar iaitu sebanyak 11.3%, berpunca daripada kerangka kewangan dunia yang bergantung kepada Dolar Amerika Syarikat. Malaysia turut terkesan dengan kejatuhan Ringgit yang menyusut sebanyak 5.8%.
- Justeru itu, Malaysia akan lebih aktif dalam mengungkapkan penyelesaian berasaskan prinsip Maqasid Syariah, bermula dengan perbincangan bersama negara Asia mengenai pendekatan baharu yang selari dengan Prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tatakelola (ESG) demi menawarkan sistem alternatif bagi penyelesaian yang lebih menyeluruh dan ampuh.
- Sektor perbankan, takaful dan pasaran modal Islam akan terus diperkasa untuk mendepani cabaran baru bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam global.
- Pembangunan sektor kewangan Islam di Malaysia bermula sebagai produk alternatif kepada sistem kewangan konvensional yang tertakluk kepada tatanan perbankan. Pendekatan ini bagaimanapun telah membataskan pencapaian hasrat Maqasid Syariah kerana penekanan yang diberikan selama ini sebatas prinsip penolakan riba, tanpa melihat objektif ekonomi Islam yang lebih menyeluruh, termasuk penegakan prinsip keadilan dan penyertaan rakyat yang lebih luas.
- Malaysia harus menerokai dasar dan memperkenalkan instrumen kewangan Islam baru, berdasarkan prinsip yang pernah diungkapkan oleh Imam Abu Ishaq al-Shatibi dalam al-Muwafaqat sebagai “al-nazar ilal ma’al,” atau menjangka dampak yang akan terhasil daripada dasar, produk, aset dan perkhidmatan dan mengukurnya.
- Prinsip ini diangkat agar sistem kewangan Islam mampu berjalan seiring dengan sistem kewangan konvensional, malah mampu menyainginya. Demikian juga yang disarankan oleh Imam al-Izz ‘Abd al-Salam sebagai “tahqiq masalihul ‘ibad,” yakni melunaskan dan membumikan kemaslahatan manusia keseluruhannnya.
- Bagi melanjutkan wacana ini yang besar, kita telah mengajak negara-negara Islam dan pakar-pakar kewangan Islam untuk bersama dalam Persidangan Antarabangsa mengenai Ekonomi dan Kewangan Islam (ICIEF2023) ke-15 di Kuala Lumpur pada bulan Disember ini, insya-Allah. Persidangan ini adalah bagi mencerakin permasalahan ini dalam usaha Malaysia mempelopori peningkatan amalan sistem kewangan Islam yang syumul.
- Selain itu, Kerajaan akan mempergiat konsep Perantaraan Berasaskan Nilai sebagai usaha memacu tumpuan baharu kepada penyelesaian dan pengurusan kewangan yang lebih mampan dan sejahtera. Inisiatif ini untuk menggalakkan pelabur runcit dan institusi turut serta dalam industri pengurusan dana Islam. Usaha ini akan menyediakan lebih pilihan kepada pelabur dan rakyat untuk terlibat dalam kewangan Islam.
- Keempat: Industri aeroangkasa berupaya melonjakkan Malaysia sebagai negara berteknologi tinggi. Pembangunan industri ini akan ditumpukan kepada pembangunan kluster aeroangkasa bersepadu yang mampu menarik pelaburan berkualiti.
- Seyogianya kita berbangga dengan kejayaan daripada ujian rintis yang menggunakan bahan api penerbangan mampan. Susulan itu, lebih banyak usaha akan dilaksanakan untuk membangunkan teknologi dan ekosistem bagi penghasilan bahan api penerbangan mampan.
- Usaha ini dijangka meningkatkan pertumbuhan industri untuk mencapai sasaran pendapatan sebanyak RM30 bilion pada tahun 2025, yang paling utama dapat menawarkan pekerjaan berkemahiran dengan gaji yang tinggi kepada rakyat.
- Kelima: Pembangunan industri kreatif akan didukung sebagai industri strategik berimpak tinggi. Beberapa langkah diambil, termasuk memperkukuh tatakelola, membangunkan analitis data raya berpusat serta membangunkan bakat kreatif tempatan bagi merancakkan lagi industri kreatif. Kerajaan juga menyediakan dana berjumlah RM346 juta dalam tempoh RMK12 untuk menarik penglibatan golongan belia dalam aktiviti kreatif yang menawarkan pendapatan yang tinggi.
- Keenam: Industri pelancongan yang terjejas teruk lantaran penguatkuasaan PKP akan kembali kukuh. Kerajaan akan menyegerakan proses pemulihan industri pelancongan dengan menambah baik rangka kerja kawal selia, menggalakkan pendigitalan dan mempromosikan pelancongan mampan yang berasaskan alam semula jadi. Pemulihan ini dapat dilihat berdasarkan peningkatan ketibaan pelancong kepada 9.2 juta pada suku kedua tahun 2023 dan dijangka mencapai sekurang-kurangnya 18 juta pelancong pada tahun 2023.
- Ketujuh: Kerajaan memahami masih banyak perniagaan yang belum pulih sepenuhnya seusai pandemik COVID-19, terutamanya perusahaan mikro yang mudah terjejas, yang merangkumi 79% daripada keseluruhan PMKS di Malaysia. Seramai 7.25 juta guna tenaga PMKS telah terjejas susulan dampak pandemik ini. Kerajaan juga terus memperkasa PMKS menerusi peningkatan skala perniagaan serta penyertaan dalam rantaian bekalan domestik dan global.
- Kerajaan akan menyediakan RM60 juta dana pembiayaan peluang kedua kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan usahawan inovatif dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan untuk bangkit semula daripada kegagalan dan terus menyumbang kepada ekonomi negara.
- Penerimagunaan teknologi dan pendigitalan serta peningkatan kegiatan R&D dan daya cipta akan digalakkan agar PMKS dapat meningkatkan produktiviti dan kekal berdaya saing. PMKS akan didorong untuk mematuhi keperluan ESG bagi menjamin penyertaan dalam rantaian bekalan global yang mampan.
- Kelapan: Kerajaan akan memberikan penekanan kepada pembangunan infrastruktur pengangkutan dan logistik yang mampan dan berdaya tahan. Anjakan utama Pengukuhan Jaringan Pengangkutan Awam akan menyediakan akses dan ketersambungan yang lebih baik. Lebih ramai rakyat akan menikmati perkhidmatan pengangkutan awam yang semakin cekap, berdaya harap, mampu bayar dan selamat.
- Antara projek pengangkutan baharu diperkenalkan termasuk:
i. Peluasan perkhidmatan Bus Rapid Transit (BRT) dan bas dalam bandar termasuk di Johor Bahru dan Lembah Klang;
ii. Naik taraf Lebuhraya Senai-Desaru;
iii. Pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan (dari Yong Peng ke Senai Utara) secara berfasa;
iv. Pembinaan Sarawak-Sabah Link Road II;
v. Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B;
vi. Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang;
vii. Peluasan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang;
viii. Pembangunan semula Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang;
ix. Naik taraf Lebuh Raya Timur-Barat dari Gerik, Perak ke Jeli, Kelantan; dan
x. Naik taraf jalan dari Tanah Rata ke Kea Farm, Cameron Highlands, Pahang.
79. Selain itu, pembangunan pelabuhan baru di Pulau Carey, Selangor dijangka dapat mengukuhkan Pelabuhan Klang sebagai hab pemindahan kapal serantau. Kerajaan juga akan menambah baik kerja penyenggaraan infrastruktur pengangkutan bagi memanjangkan jangka hayat jalan raya, aset rel dan peralatan navigasi udara.
80. Pembangunan wilayah yang lebih seimbang dan inklusif juga menjadi cita-cita Ekonomi MADANI. Usaha akan dipertingkatkan untuk mengoptimumkan potensi ekonomi wilayah berlandaskan empat perkara pokok.
Tan Sri Yang di-Pertua,
PENEGASAN 4: MEMPERTINGKATKAN POTENSI EKONOMI WILAYAH
- Pertama: Potensi ekonomi wilayah akan dipertingkatkan berdasarkan kekuatan setempat. Kebijakan perindustrian mengikut geografi akan diberikan penekanan di samping menyediakan ekosistem perniagaan yang lebih baik bagi mempertingkat pembangunan di kawasan pertumbuhan yang dikenal pasti, termasuk Projek Ladang Air Manis di Kulai, Johor dan projek Taman Biopolimer Kertih, Terengganu.
- Kedua: Dalam usaha memperkasa keselamatan dan memperoleh manfaat daripada potensi pembangunan ekonomi rentas sempadan, Kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1.1 bilion untuk tempoh 2023 hingga 2025. Ini bagi penyediaan infrastruktur asas, peningkatan kemudahan keselamatan dan pelaksanaan kegiatan ekonomi di sempadan di negeri Perak, Perlis, Kelantan, Kedah, Sabah dan Sarawak.
- Ketiga: Pembangunan desa tidak akan dikesampingkan. Kerajaan bertekad untuk merapatkan nisbah jurang pendapatan antara desa dan bandar, daripada 0.57 pada tahun 2022 kepada 0.67 pada tahun 2025. Dalam hal ini, Kerajaan akan memperluas penyediaan infrastruktur dan perkhidmatan, memanfaat potensi ekonomi desa dan memperkukuh penyampaian perkhidmatan untuk memastikan kesejahteraan penduduk di desa dan pedalaman.
- Antara program dan projek baharu yang akan dilaksanakan termasuk:
i. Projek Membina Jalan dari Kampung Geddes melalui Sungai Kelai ke FELDA Palong, Jempol, Negeri Sembilan;
ii. Projek Membina Jalan dari Kuala Linggi ke Ayer Molek, Masjid Tanah, Alor Gajah, Melaka;
iii. Projek Membina Jalan dari Kampung Kuala Sungai Udang ke Pantai Murni, Yan, Kedah;
iv. Projek Membina Jalan Pintas Bukit Sagu ke Bukit Kuin, Kuantan, Pahang;
v. Projek Jalan Perhubungan Desa Negeri Perak Fasa II;
vi. Program Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar 2.0; dan
vii. Program Pembangunan Keupayaan Komuniti Luar Bandar.
85. Pembangunan usahawan desa bagi meningkatkan kapasiti perniagaan melalui pelbagai program dan inisiatif selaras dengan keperluan industri setempat diteruskan. Produk kotej desa akan terus dipromosi melalui Pusat Komuniti Desa(PKD), manakala penggunaan platform e-dagang akan ditingkatkan untuk pasaran yang lebih baik.
- Keempat: Pembangunan wilayah Sabah dan Sarawak akan terus diberikan tumpuan. Kerajaan telah membuktikan komitmennya untuk menangani isu berbangkit daripada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Antara komitmen yang diterjemahkan termasuk pelonggaran peraturan perolehan dan penyerahan kuasa kawal selia gas kepada Kerajaan Negeri Sabah pada Januari 2023, sementara penyerahan kuasa kawal selia elektrik dijangka dapat dimuktamadkan menjelang Januari 2024. Melalui penyerahan kuasa ini, Kerajaan Negeri Sabah memiliki wewenang untuk mengawal selia bekalan gas dan elektrik berdasarkan kepentingan negeri Sabah.
- Projek pembangunan sistem TBB dan menaik taraf sistem bekalan elektrik di Gugusan FELDA Sahabat Sabah akan dilaksanakan bagi menambah baik daya harap bekalan elektrik di Sabah. Projek dengan kos sebanyak RM195 juta akan memanfaatkan rakyat di kawasan tersebut dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM). Sabah mempunyai potensi yang besar dalam penjanaan TBB berasaskan solar dan biojisim bagi menangani tantangan dalam keperluan bekalan tenaga dan elektrik pada masa hadapan.
- Kerajaan Negeri Sarawak telah mengambil langkah ke hadapan dalam peralihan tenaga melalui beberapa ikhtiar termasuk pengeluaran hidrogen, pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) dan projek penjanaan elektrik menggunakan TBB. Kejayaan perancangan negeri Sarawak dalam pengurusan peralihan tenaga wajar diteladani oleh negeri-negeri lain.
- Dalam usaha meningkatkan kualiti sistem pendidikan di Sabah dan Sarawak, lebih banyak projek pembinaan semula bangunan daif di sekolah dilaksanakan. Sehingga kini, sebanyak 64 projek sedang dalam pelaksanaan di Sarawak dan 43 projek di Sabah.
- Bagi meningkatkan kemudahan kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan yang lebih saksama, sebuah pusat darah wilayah akan dibina di Sabah, manakala Makmal Kesihatan Awam dan Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan akan dibina di Kuching, Sarawak.
Tan Sri Yang di-Pertua,
TUMPUAN 2: MEMBANGUN MASYARAKAT SEJAHTERA
- Kemajuan rakyat tidak sewajarnya diukur dengan pertumbuhan ekonomi semata-mata, sebaliknya harus mengambil kira aspek kesejahteraan secara menyeluruh. Untuk itu, Tumpuan Kedua, adalah bagi meningkatkan darjat hidup rakyat, Kerajaan beriltizam untuk menjayakan empat penegasan:
PENEGASAN 5: MERAPATKAN JURANG KETIDAKSAMARATAAN
- Kesejahteraan rakyat menjadi matlamat utama Kerajaan dan akan terus diperjuangkan seiring dengan ikhtiar untuk melonjakkan prestasi ekonomi. Prihatin terhadap rintihan rakyat, laksana “condong ditumpil, lemah dianduh”. Justeru, lima perkara pokok dalam usaha merapatkan jurang ketidaksamarataan telah dikenal pasti.
- Pertama: Menyegerakan langkah membasmi kemiskinan dengan memperkasa golongan rentan melalui pewujudan pelbagai peluang pekerjaan dan pengukuhan perlindungan sosial. Sehingga 15 Ogos 2023, Kerajaan masih bertungkus-lumus menyelamatkan hampir 114,000 keluarga miskin tegar daripada cengkaman kemiskinan.
- Demi menjamin kesejahteraan rakyat keseluruhannya, Kerajaan berikrar untuk menoktahkan kemiskinan tegar pada tahun ini juga, tanpa mengira etnik mahupun keberadaan mereka di bandar, desa, atau pedalaman. Sejumlah RM1.5 bilion telah diluluskan untuk menggerakkan program dan projek yang mampu menjana pendapatan bagi golongan sasar.
- Kerajaan juga telah meluncurkan IPR, suatu inisiatif serampang dua mata yang menumpukan kepada peningkatan pendapatan isi rumah dan penyelesaian isu struktur ekonomi. Sehingga 31 Ogos 2023, sebanyak 106,492 permohonan telah diterima untuk menyertai program IPR. Program akan diteliti oleh Amanah Ikhtiar Malaysia, PEKEMAS, TEKUN dan program melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.
- Di samping itu, program dan inisiatif pembasmian kemiskinan terus dilaksanakan. Antaranya, Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar, Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat untuk penduduk luar bandar dan Program Pembangunan Ekonomi Orang Asli.
- Dalam kerangka Ekonomi MADANI, pendekatan kita sesungguhnya merentas kaum, sama ada menoktahkan kemiskinan atau membaiki sekolah daif. Namun untuk peruntukan khusus, Kerajaan akan melaksanakan Program Khas Bumiputera Sarawak dan Program Khas Anak Negeri Sabah untuk meningkatkan pendapatan masyarakat tempatan. Bagi etnik Cina dan India yang berpendapatan rendah, beberapa inisiatif akan terus dilaksanakan di Kampung Baru Cina dan sebagaimana dalam Malaysian Indian Blueprint. Bagi tujuan ini, Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) akan diperkasa untuk menyokong pembangunan sosioekonomi masyarakat India secara lebih terselaras.
- Sebagaimana yang terzahir, keutamaan Kerajaan tatkala ini adalah ‘menaikkan lantai’ dengan menyediakan jaringan sosial yang ampuh bagi golongan yang kurang bernasib baik, dan ‘menaikkan siling’ dengan mereformasi industri dan struktur ekonomi negara, waima berdepan dengan cabaran keterbatasan fiskal.
- Kedua: Kerajaan akan memperkukuh penyediaan perlindungan sosial melalui Reformasi Perlindungan Sosial yang dikaji untuk menambah baik kecekapan dan keberkesanan Sistem Perlindungan Sosial. Bantuan tunai dan program Rahmah akan diteruskan dan ditambah baik bagi memastikan jaringan keselamatan sosial terus ditingkatkan.
- Ketiga: Semua perancangan dalam agenda pemerkasaan Bumiputera sebelum ini hanya memusatkan kayu ukur penyertaan Bumiputera dalam ekonomi berdasarkan pemilikan ekuiti semata-mata. Selepas lima dasawarsa, pemilikan ini masih belum mencapai sasaran 30% yang ditetapkan. Maka, Ekonomi MADANI melalui KSP RMK12, antaranya akan menilai semula pendekatan untuk mengukur tahap penyertaan dan kawalan ekonomi Bumiputera yang lebih bermakna. Satu kongres ekonomi Bumiputera akan diadakan pada Januari 2024 bagi menetapkan hala tuju dan pendekatan baharu agenda Bumiputera yang lebih adil, saksama dan inklusif.
- Ikhtiar bermakna bagi memperkasa Bumiputera beranjak daripada tumpuan terhadap syarikat terpilih kepada program pengupayaan yang melibatkan lebih ramai usahawan dan lebih banyak syarikat Bumiputera berskala kecil dan sederhana. Ini bagi melahirkan kelas pertengahan Bumiputera yang beralih daripada bergantung harap kepada gaji semata-mata kepada membina perniagaan yang meningkatkan pendapatan dan menambah nilai kepada ekonomi.
- Syarikat Bumiputera akan berpeluang untuk menerima manfaat sokongan pembiayaan daripada keseluruhan dana yang diperuntukkan oleh Kerajaan kepada 16 agensi Bumiputera, termasuk Majlis Amanah Rakyat (MARA), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), TEKUN Nasional (TEKUN), Ekuiti Nasional Berhad (EKUINAS), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB). Sokongan pembiayaan ini mencecah RM30 bilion sejak tiga Rancangan Malaysia terdahulu.
- Pada masa yang sama, pegangan nomini yang tidak didedahkan pemilikan sebenar pula terus menunjukkan corak peningkatan yang ketara. Sehubungan dengan itu, saya ingin memaklumkan bahawa Akta Syarikat 2016 dan Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 berkaitan pengisytiharan pemunya manfaat sedang disemak semula bertujuan untuk memperkukuh ketelusan pemilikan saham, selaras dengan penekanan kepada tatakelola yang baik dan agar saham tidak dipindahkan secara rahsia kepada penyokong-penyokong tertentu.
- Keberkesanan peranan agensi mandat Bumiputera seperti MARA, TERAJU dan EKUINAS akan dipertingkatkan melalui penjajaran semula strategi dan inisiatif pemerkasaan agenda Bumiputera. Petunjuk Prestasi Utama (KPI) diwujudkan untuk menambah baik keberkesanan penyaluran bantuan dan sokongan bagi meningkatkan penglibatan Bumiputera dalam kegiatan ekonomi. Usaha ini akan terus dipertingkatkan dalam membina kredibiliti Agensi Mandat Bumiputera dengan memperkukuhkan integriti dan tatakelola.
- Daya saing perusahaan Bumiputera, terutama PMKS akan ditingkatkan melalui galakan untuk memanfaatkan platform digital dan teknologi kewangan (fintech) bagi mengembangkan perniagaan. Antaranya, Program Pendigitalan oleh MARA dengan peruntukan RM40 juta bagi membolehkan perusahaan Bumiputera menerima guna teknologi dan pendigitalan dalam pengurusan perniagaan.
- Dana wakaf akan diwujudkan menerusi agensi berkaitan dengan Yayasan Wakaf MADANI sebagai pendekatan baharu dalam membangunkan ekonomi Islam. Bagi memastikan keberkesanan pengurusan tanah wakaf seluruh negara, Kerajaan akan memperkenalkan beberapa inisiatif serta menubuhkan Jawatankuasa Nasional Tanah Wakaf yang mampu menyumbang kepada 20% pengembangan sektor kewangan sosial Islam menjelang 2030. Kerajaan akan mengenal pasti tanah-tanah terbiar dan meneroka penglibatan rakyat dalam membangunkannya.
- Keempat: Kesejahteraan masyarakat desa, termasuk peneroka dan pekebun kecil, akan terus dibela melalui kajian semula pengukuhan fungsi dan peranan agensi berkaitan, terutama FELDA, FELCRA, RISDA dan MARA. Kerajaan memperkenalkan insentif khas Sumbangan Kesihatan Rahmah sebanyak RM300 bagi warga peneroka berumur 65 tahun ke atas dan akan membina 12 buah Pusat Hemodialisis di semua kawasan FELDA dan di premis Yayasan FELDA di Kelana Jaya.
- Dalam program FELDA MADANI, para peneroka akan terus punyai peluang untuk menjana pendapatan yang lebih baik. Ini termasuk pelaksanaan program peningkatan keterjaminan makanan dan langkah drastik bagi membantu peneroka getah beralih kepada tanaman komoditi lain.
- Kelima: Kerajaan bertekad untuk menyerlahkan potensi dan peningkatan kesejahteraan hidup belia. Pada suku kedua 2023, kadar pengangguran dalam kalangan belia berusia 15 hingga 24 tahun berada di tahap yang membimbangkan, 10.7%. Justeru, Pelan Kebangsaan Pemerkasaan Ekonomi Belia akan diluncurkan dengan tumpuan untuk meningkatkan kebolehpasaran belia bagi mereka yang menganggur dan terlibat dalam sektor pekerjaan tidak formal.
- Mereka akan dilengkapkan dengan ilmu dan kemahiran bagi meningkatkan potensi keterlibatan dalam kegiatan berkaitan teknologi yang dapat menjana pendapatan yang lebih tinggi. Inisiatif Rakan Muda yang telah diberi nafas baharu akan dipergiat bagi memberikan tumpuan kepada peningkatan literasi demokrasi dan kegiatan permotoran selain membangunkan potensi belia yang merupakan pewaris masa depan negara.
Tan Sri Yang di-Pertua,
PENEGASAN 6: MENINGKATKAN KESEJAHTERAAN DAN MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT MADANI
- Kerajaan berhasrat untuk menjamin kesejahteraan rakyat dalam pengertiannya yang lebih syumul. Ini bermakna, kebijakan Kerajaan tidak hanya tertumpu kepada aspek ekonomi dan pendapatan rakyat semata-mata, malah turut mencakupi sisi kesejahteraan yang lebih menyeluruh untuk mengangkat darjat dan martabat rakyat, dan ini termasuk aspek kerohanian, kesihatan, perumahan, perpaduan sosial dan pemerkasaan masyarakat, terangkum dalam enam perkara pokok.
- Pertama: Alhamdulillah, pencapaian ekonomi kita yang memberangsangkan telah menyumbang kepada pembangunan materi dan kesejahteraan jasmani rakyat. Namun, Kerajaan juga prihatin terhadap pembangunan kerohanian rakyat serta sentiasa istiqamah mendukung usaha yang mampu memugar keinsafan dan membangunkan sahsiah terpuji. Kerajaan proaktif menganjurkan wacana keagamaan bersama para ulama dan ilmuwan tersohor.
- Anjakan utama Pembudayaan Masyarakat MADANI dilaksanakan berlandaskan faham Maqasid Syariah, prinsip akhlak dan kerohanian. Pembudayaan masyarakat MADANI ini akan mencakupi usaha menerapkan nilai insaniah dan sahsiah dalam perkhidmatan awam, sektor pendidikan serta menginstitusikan penyelidikan sosial. Semua program dan latihan dianjurkan akan memastikan kefahaman asas tentang Islam bagi umat Islam dan penekanan aspek nilai, budaya dan akhlak bagi rakyat Malaysia keseluruhannya.
- Benar, Kerajaan sedang bekerja keras dalam merancakkan ekonomi untuk mengembalikan negara ke landasannya. Namun, kesejahteraan rohani rakyat juga utama, dan untuk itu Kerajaan tidak akan sesekali mengabaikan tanggungjawabnya dalam menyuburkan hati nurani rakyat.
- Kedua: Kerajaan bertekad untuk menambah baik mutu kesihatan. Kertas Putih Kesihatan yang telah dibentangkan di dalam Dewan yang mulia ini pada 15 Jun 2023 menyasarkan reformasi untuk dilaksanakan dalam tempoh 15 tahun melalui anjakan utama Pengukuhan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan.
- Sebanyak 1,200 klinik daif di seluruh negara akan dinaik taraf untuk tempoh 2023 hingga 2025 bagi menjamin mutu perkhidmatan. Kerajaan bersetuju untuk menyegerakan projek naik taraf fasa pertama Hospital Sultanah Aminah dengan anggaran kos sebanyak RM500 juta, bagi menangani masalah kesesakan yang telah sekian lama berlanjutan.
- Kerajaan juga akan meneliti cadangan sewaan bagi memastikan mutu rawatan kesihatan yang terbaik buat rakyat menggunakan peralatan yang termaju dan berteknologi tinggi. Pelaksanaan Rekod Perubatan Elektronik di hospital dan klinik kesihatan akan diperluas ke seluruh negara bagi memastikan perkongsian rekod perubatan yang lancar dan sistematik.
- Liputan perlindungan kesihatan akan ditingkatkan melalui perluasan Skim Perubatan MADANI bagi menzahirkan hasrat murni Kerajaan dalam membantu golongan kurang berkemampuan. Isu kesihatan mental yang semakin membimbangkan juga menjadi keutamaan. Kerajaan telah memutuskan untuk menubuhkan Institut Kesihatan Mental bagi menjamin usaha bersepadu antara kerajaan, swasta dan pertubuhan masyarakat sivil.
- Ketiga: Negara kita telah beralih ke status negara menua pada tahun 2021, apabila peratusan penduduk berusia 65 tahun dan ke atas mencapai 7% daripada jumlah penduduk berdasarkan takrifan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Tempoh dua dekad lagi, negara dijangka beralih kepada negara tua apabila kohort umur yang sama mencapai 14% daripada jumlah penduduk. Peralihan ini tentunya memberikan kesan kepada pembangunan sosioekonomi dan kedudukan fiskal negara. Kesan yang paling ketara ialah penurunan trend populasi pekerja dan produktiviti serta peningkatan komitmen kewangan Kerajaan dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan kepada ramai warga emas.
- Bagi menghadapi cabaran dan dampak ini, Kerajaan sedang membangunkan Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan. Saya mengajak semua pihak untuk bersama menggembleng tenaga menyesuaikan perancangan supaya kebijakan ini dapat dilaksanakan secara holistik demi pembangunan negara yang mampan.
- Pusat Geriatrik baharu akan ditubuhkan bagi menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti kepada warga emas. Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Warga Emas Swasta 2018 sedang diperhalusi dan dijangka akan dikuatkuasakan pada tahun 2025.
- Keempat: Perumahan; Kerajaan cakna dan menjadikannya sebagai agenda utama yang tidak boleh dikompromi. Harga rumah dan kadar sewa yang semakin meningkat telah membebankan rakyat. Dengan penglibatan semua sektor awam dan swasta, sasaran kita untuk membina 500,000 unit Rumah Mampu Milik dalam RMK12 yang masih di tahap yang lembab akan ditingkatkan. Sehingga akhir tahun 2022, hanya 108,373 unit Rumah Mampu Milik telah dibina.
- Bagi memudahkan rakyat untuk mempunyai tempat tinggal yang selamat dan selesa, anjakan utama Perumahan Rakyat akan ditambah baik melalui peralihan daripada konsep pemilikan kepada konsep tempat tinggal. Maka, Skim Sewa untuk Beli akan diperluas bagi membolehkan lebih ramai kumpulan sasar dapat memiliki rumah. Inisiatif penyediaan tempat tinggal secara sewaan kepada golongan yang kurang berkemampuan di kawasan bandar utama yang telah dilaksanakan di beberapa tempat seperti di Johor dan Selangor akan dipertingkatkan lagi.
- Projek rintis Perumahan Inklusif MADANI akan dibangunkan untuk golongan sasar di bandar utama seperti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang. Pembinaan ini melibatkan 800 unit rumah dengan pelbagai saiz ruang lantai bagi menampung keperluan golongan sasar yang berbeda. Tumpuan juga akan diberikan untuk meneroka potensi perkampungan persaraan yang inklusif.
- Kelima: Semangat perpaduan harus disemai dan dipupuk berteraskan prinsip ihsan dan rahmah. Pelbagai ikhtiar tambahan termasuk penghayatan semangat Rukun Negara, program perdana Kembara Perpaduan dan aktiviti perpaduan anak muda akan ditingkatkan. Kompleks Perpaduan Perlis akan dibina sebagai hab perpaduan zon utara yang memusatkan program dan jentera perpaduan, termasuk operasi mediator komuniti dan kawasan rukun tetangga serta taman bimbingan dan asuhan kanak-kanak. Beberapa pusat kegiatan perpaduan di seluruh negara akan dinaik taraf bagi merancakkan lagi kegiatan perpaduan dan kemasyarakatan.
- Keenam: Langkah dirangka bagi memupuk keharmonian sosial yang lebih baik serta kehidupan yang selamat dan sihat untuk rakyat. Sukan terbukti berjaya memupuk perpaduan dan membina masyarakat yang aktif dan sihat. Rentetan itu, Kerajaan akan melaksanakan lebih banyak program sukan pada peringkat komuniti dengan tambahan peruntukan sebanyak RM40 juta kepada persatuan sukan komuniti berdaftar bagi menganjurkan acara sukan dan usaha mempersiapkan pasukan atlet negara mencapai Misi Emas (Road to Gold) temasya sukan Olimpik Paris 2024 dan Los Angeles 2028 akan terus diperhebat.
Tan Sri Yang di-Pertua,
PENEGASAN 7: MENAMBAH BAIK BAKAT TERSEDIA MASA HADAPAN
- Ikhtiar akan dipergiat untuk menstrukturkan semula pasaran buruh dan memperkukuh sistem pendidikan bagi menyediakan bakat tersedia masa hadapan. Anjakan utama Ketersediaan Bakat Masa Hadapan akan dilaksanakan berkaitan dengan gaji, levi pekerja asing dan kemahiran berterusan. Tumpuan adalah tujuh perkara pokok.
- Pertama: Ketidakpadanan kemahiran, tahap gaji yang rendah dan peningkatan produktiviti yang perlahan merupakan isu pokok yang menghalang keupayaan Malaysia untuk beralih kepada ekonomi berpendapatan tinggi.
- Kerajaan telah mengumumkan beberapa langkah berani untuk memperkenalkan model gaji progresif yang memberikan manfaat bukan sahaja kepada golongan pekerja tetapi juga majikan. Dasar ini melibatkan peningkatan gaji, kemahiran dan produktiviti pekerja, manakala majikan akan memperoleh faedah daripada peningkatan produktiviti, kesetiaan pekerja dan daya saing syarikat.
- Kedua: Bagi memastikan peluang pekerjaan untuk warga tempatan dan peralihan kepada automasi dan mekanisasi, kebijakan pekerja asing tidak melebihi 15% daripada jumlah tenaga kerja akan diteruskan. Kerajaan akan melaksanakan levi untuk pelbagai peringkat dalam masa terdekat.
- Ketiga: Kerajaan akan mempergiat usaha untuk memastikan kadar penyertaan tenaga pekerja wanita mencapai sasaran 60% dalam tempoh 10 tahun. Langkah untuk menggalakkan wanita kekal atau kembali bekerja akan ditingkatkan melalui penyediaan kemudahan dan sokongan yang diperlukan, seperti penjagaan anak, insentif kewangan dan waktu bekerja fleksibel. Ini termasuk inisiatif MamaCare, insentif pusat jagaan kanak-kanak mampu bayar, Career Come Back Programme dan subsidi yuran taska di tempat kerja.
- Wanita dalam ekonomi ihsan (care economy) akan turut diiktiraf sebagai usaha meningkatkan penyertaan mereka dalam pasaran tenaga kerja. Usaha ini boleh menangani cabaran penyusutan guna tenaga kesan daripada trend negara menua. Komitmen semua pihak, termasuk swasta dan masyarakat sivil melalui pendekatan keseluruhan negara dituntut untuk mencapai matlamat tersebut.
- Keempat: Pemerkasaan orang kurang upaya (OKU) dalam meningkatkan akses kepada pekerjaan akan diberikan penekanan. Maklumat mengenai pencari kerja dalam kalangan OKU akan disepadukan dalam portal MyFutureJobs, manakala prosedur operasi standard pengambilan OKU dalam perkhidmatan awam akan ditambah baik lagi bagi mencapai sasaran 1% OKU dalam perkhidmatan awam.
- Kelima: Kerajaan beriltizam untuk mengislahkan sistem pendidikan negara bagi melahirkan bakat tersedia masa hadapan. Pendidikan karakter (sahsiah) yang menyokong konsep karamah insaniah akan diperkenalkan melalui pendekatan sistemik dan holistik. Ini diharap dapat membangunkan jati diri murid ke arah menjadi bakat global yang dilengkapi dengan ilmu, beretika dan berakhlak mulia.
- Pembangunan pendidikan yang berteraskan manusiawi secara holistik (karamah insaniah) akan disokong dengan pembentukan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Pendidikan Tingkatan 6 akan terus diperkasa melalui penjenamaan semula kepada Kolej Pra-Universiti. Kerajaan terus memastikan Bahasa Melayu yang merupakan Bahasa Kebangsaan dimartabatkan dalam sistem pendidikan sesuai dengan kedudukannya dalam Perlembagaan Persekutuan, di samping mempertingkatkan penguasaan bahasa asing sebagai wahana pembinaan tamadun.
- Sekolah model khas seperti Sekolah Komprehensif 9 (K9), Sekolah Komprehensif 11 (K11) akan diperbanyakkan bagi memberi peluang kepada anak-anak dalam kalangan peribumi dan Orang Asli serta dari kawasan pedalaman dan pulau terpencil mendapat akses kepada pendidikan. Inisiatif Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih untuk kanak-kanak warganegara yang terpinggir dan tiada dokumen pengenalan diri juga akan diperluas. Kerajaan juga cakna dengan isu keciciran murid dalam sistem pendidikan. Isu ini akan ditangani secara tuntas melalui pembangunan Sistem Pengesanan Murid Cicir Bersepadu.
- Bagi meningkatkan mutu pendidikan negara, Dasar Pendidikan Digital (DPD) akan diluncurkan bagi melahirkan murid berkemahiran digital dalam era Revolusi Industri 4.0. Matlamat DPD adalah untuk melahirkan murid fasih digital yang berdaya saing menerusi peningkatan pengetahuan, kemahiran dan nilai. Antara inisiatif utama DPD adalah pelaksanaan program latihan peningkatan kompetensi digital pendidikan, penambahbaikan kurikulum program pendidikan dan pewujudan pasukan jauhari pendidikan digital.
- Keenam: Kerajaan komited untuk memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Dalam hubungan ini, tenaga pengajar TVET akan digalakkan untuk menjalani latihan kemahiran dan latihan kemahiran semula bagi melengkapkan mereka dengan pengetahuan yang seiring dengan perkembangan teknologi baru muncul.
- Bagi meningkatkan kerjasama antara Kerajaan bersama GLC dan syarikat swasta dalam transformasi program TVET, inisiatif menggalakkan penglibatan industri dalam pelaksanaan program TVET telah diberikan keutamaan. Sehingga Julai tahun ini, sebanyak 43 memorandum persefahaman telah dimeterai antara Kerajaan dengan 14 GLC dan 29 syarikat swasta, melibatkan 12 Kementerian berkaitan TVET. Memorandum ini merangkumi skop kerjasama seperti sumbangan kepakaran, peralatan, pembangunan kurikulum dan penajaan latihan.
- Kerajaan menyediakan RM40 juta bagi Program Bina Kerjaya, iaitu program peningkatan kemahiran (upskilling) untuk pekerja tidak formal, termasuk pekerja gig dengan kelayakan SPM dan ke bawah. Kerajaan percaya keputusan untuk mengkaji peningkatan gaji lepasan TVET mampu mengubah persepsi masyarakat terhadap TVET sebagai laluan kerjaya.
- Menyedari hampir 50% lepasan SPM tidak menyambung pelajaran, Kerajaan telah membuka ruang kepada anak muda ini untuk mula menceburkan diri lebih awal dalam sektor pembuatan sebagai pekerja berkemahiran dengan gaji berpatutan. Kerajaan, melalui inisiatif Akademi dalam Industri, akan menyediakan dana khusus berjumlah RM209 juta untuk usaha ini termasuk penyediaan insentif elaun penempatan. Seramai 50,000 anak muda kita disasarkan mendapat pekerjaan berkemahiran dengan Sijil Kemahiran Malaysia pada akhir RMK12.
- Ketujuh: Usaha memantapkan pembudayaan masyarakat dan pembangunan modal insan MADANI melalui penerapan konsep karamah insaniah dalam kalangan masyarakat akan diperluas. Konsep ini memberi penekanan kepada aspek pembentukan akhlak dan sahsiah. Ini bagi membentuk jati diri dan melahirkan generasi yang berdaya tahan serta berdaya saing.
Tan Sri Yang di-Pertua,
PENEGASAN 8: MEMPERKUKUH KESELAMATAN DAN PERTAHANAN NEGARA
- Keselamatan dan kedaulatan negara akan terus dipertahankan bagi menjamin keamanan dan kesejahteraan rakyat dan negara. Kerajaan akan memberikan tumpuan kepada tiga perkara pokok bagi memperkasa kubu negara.
- Pertama: anjakan utama Pengukuhan Keselamatan dan Pertahanan Negara mensyaratkan agar ketirisan dalam tatacara perolehan aset segera ditangani bagi menjamin kesiapsiagaan pertahanan negara. Kerajaan akan meneruskan usaha pencegahan jenayah dan rehabilitasi bagi meningkatkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Keamanan Global.
- Kerajaan melipatgandakan usaha untuk terus memperkasa dan memodenkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas sebagai benteng keselamatan negara. Kerajaan bersetuju untuk memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan melalui perolehan aset tambahan seperti kenderaan perisai, dron, Littoral Mission Ship, helikopter dan pesawat tempur ringan.
- Seluruh sistem perolehan telah dirombak untuk menetapkan supaya bekalan senjata yang diperlukan ditentukan oleh kepakaran berkaitan tentera, mengelak daripada ketirisan, dan dalam kebanyakan urusan akan menerusi pendekatan G2G dengan negara masing-masing dan tidak melalui ejen-ejen.
- Kedua: mengoptimumkan kawalan keselamatan di sempadan melalui beberapa projek:
(i) Naik taraf pusat kawalan operasi dan pembinaan baharu pangkalan operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia; (ii) Naik taraf Sistem Pengawasan Maritim Laut dan menara radar penderiaan jauh; (iii) Naik taraf dan pembinaan baharu Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan di pintu masuk terpilih; (iv) Pembinaan baharu pos keselamatan ATM di sepanjang sempadan Sabah dan Sarawak dengan Indonesia; dan
(v) Pembangunan pangkalan baharu tentera laut di Bintulu, Sarawak.
- Ketiga: Kerajaan akan terus memerangi jenayah siber yang semakin berleluasa. Hampir 55,000 kes jenayah siber dengan nilai kerugian mencecah RM1.8 bilion dilaporkan dalam tempoh 2021 hingga Julai 2023. Kerajaan akan meminda undang-undang sedia ada bagi meningkatkan keberkesanan memerangi kegiatan jenayah siber.
TUMPUAN 3: MEMPERKUKUH KEMAMPANAN DAN TATAKELOLA
- Dalam usaha mengangkat martabat negara, Kerajaan beriltizam memperkukuh kemampanan dan tatakelola negara bagi mengembalikan keyakinan menerusi empat penegasan:
PENEGASAN 9: MEMPERCEPAT PERALIHAN KEPADA EKONOMI KALIS CABARAN MASA HADAPAN
- Amanah yang digalas pada hari ini untuk menjamin keseimbangan alam sekitar, memulihara sumber semula jadi, menangani cabaran bencana alam dan memastikan keberlangsungan flora dan fauna telah terpateri dalam rukun pertama Malaysia MADANI.
- Justeru, sebagai langkah awal Malaysia telah membulatkan tekad untuk memastikan pelepasan Gas Rumah Kaca bersih sifar seawal tahun 2050 bagi mengurangkan dampak negatif perubahan iklim. Dalam konteks ini, penekanan diberikan kepada keperluan untuk menyokong prinsip peralihan yang saksama (a just transition) ke arah ekonomi hijau, adil dan inklusif. Bagi menyegerakan peralihan kepada ekonomi kalis cabaran masa hadapan, Kerajaan memberi tumpuan kepada tujuh perkara pokok.
- Pertama: Melaksanakan pembangunan rendah karbon, bersih dan berdaya tahan, mengurus sumber asli dengan cekap serta memperkukuh pemboleh daya untuk melonjakkan kemampanan. Inisiatif yang akan dilaksanakan termasuk penggubalan perundangan mengenai perubahan iklim untuk mengawal selia pelaksanaan kebijakan bagi memenuhi kewajipan perubahan iklim negara.
- Rangka kerja menyeluruh akan disediakan bagi mempercepat peralihan kepada ekonomi kitaran yang dapat menjamin ketahanan ekonomi jangka panjang. Kerajaan sedang melaksanakan kajian harga karbon untuk menilai ketersediaan negara bagi melaksanakan cukai karbon dan sistem perdagangan karbon.
- Kedua: Kepentingan untuk mengurus biojisim dengan cekap, bukan sahaja demi menangani isu perubahan iklim, tetapi juga dimanfaatkan sebagai sumber ekonomi baharu. Kerajaan akan mempermudah pembinaan hab bahan mentah biojisim serta akses pembiayaan.
- Ketiga: Air merupakan sumber asasi dalam kehidupan, sepertimana dalam al-Quran:
وَجَعَلْنَا مِنَ الْمَاۤءِ كُلَّ شَيْءٍ حَيٍّۗ اَفَلَا يُؤْمِنُوْنَ
“Dan Kami jadikan segala sesuatu yang hidup berasal daripada air; maka mengapa mereka tidak beriman?” (Surah al-Anbiya’, ayat 30)
- Menyemangati ibrah ini, Kerajaan tidak sesekali akan berlengah untuk menyelesaikan gangguan bekalan air yang dihadapi oleh rakyat. Umpamanya “condong yang akan menongkat, rebah yang akan menegakkan”. Ini dibuktikan dengan langkah terbaru Kerajaan yang bersetuju menyalurkan bantuan segera RM800 juta, yang merupakan sebahagian daripada kos keseluruhan yang mencecah RM5 bilion bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air di Kelantan dan Sabah.
- Kerajaan akan memulakan langkah untuk mereformasi model industri air di seluruh negara agar lebih mampan dan holistik. Isu berhubung kait dengan air tidak berhasil (NRW) yang masih menyelubungi beberapa negeri menjadi tantangan kepada penyediaan bekalan air yang cekap kepada rakyat. Ini ditambah dengan tekanan terhadap keperluan kos yang sangat besar untuk mengatasi masalah banjir.
- Dalam RMK12, Kerajaan telah memberi komitmen untuk membiayai projek tebatan banjir dengan kos mencecah RM22 bilion. Keperluan peruntukan yang begitu besar bagi mengatasi masalah rakyat ini memberikan kewajaran untuk Kerajaan menguruskan isu air dan banjir secara holistik dan bersepadu.
- Maka, Kerajaan akan terus meneroka kawasan yang bersesuaian bagi pengabstrakan sumber air bawah tanah dengan membina lebih banyak telaga tiub dan pembinaan empangan bawah tanah. Usaha akan digembleng untuk menyediakan sumber air mentah yang mencukupi melalui projek Takungan Air Pinggiran Sungai. Penerokaan sumber baharu air dan pembinaan infrastruktur air akan memastikan keterjaminan bekalan air bersih dan selamat selaras dengan Agenda Transformasi Sektor Air 2040.
- Keempat: Tindakan tidak bertanggungjawab sebahagian pihak yang melepaskan sisa tercemar ke dalam sungai telah menggugat kemampanan dan menjejaskan rantaian makanan dan mengancam kesihatan penduduk. Usaha pembersihan dan pemulihan air akan mengambil masa dan menelan kos yang tinggi. Justeru itu, akta berkaitan pencemaran sumber air dan juga industri perkhidmatan air akan dikaji semula agar hukuman yang setimpal terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab. Usaha ini bagi menjamin kemampanan sumber dan perkhidmatan air bersih.
- Kelima: Kerajaan prihatin dengan bencana banjir dan tanah runtuh yang acap kali berlaku dan usaha akan diteruskan untuk melindungi rakyat. Bagi memantau tahap keberkesanan sistem amaran awal bencana tsunami, banjir dan tanah runtuh misalannya, Pusat Bencana Geologi Negara akan ditubuhkan pada akhir tahun ini. Penubuhan pusat ini juga bertujuan untuk meningkatkan kecekapan tindak balas bencana demi memastikan keselamatan rakyat.
- Dasar Pengurusan Bencana Negara bawah kawal selia Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan disemak semula untuk memperkukuh kesiapsiagaan dan meningkatkan keupayaan dalam pengurusan bencana.
- Keenam: Usaha khusus bagi melindungi spesies Harimau Malaya (panthera tigris jacksoni) yang kini kian terancam akan dipertingkatkan. Malaysia merupakan satu-satunya ranah habitat Harimau Malaya di dunia. Maka, inisiatif ini penting bagi memastikan keseimbangan ekosistem agar kemampanan alam terjamin.
- Penguatkuasaan dalam menangani jenayah pemburuan haram, memperluas kawasan perlindungan, serta memberdaya komuniti tempatan akan diperhebat, ini termasuk melindungi gajah, orang utan, penyu, seladang dan tapir.
- Ketujuh: Kerajaan akan mempertingkatkan usaha untuk memperluas pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) pada peringkat tempatan dan memperkasa kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan komuniti setempat. Prinsip ESG yang merangkumi dasar dan rangka kerja kawal selia serta khidmat sokongan akan dibangunkan bagi menggalakkan perniagaan, khususnya PKS untuk menerima pakai amalan perniagaan yang mampan.
PENEGASAN 10: MENINGKATKAN KEMAMPANAN FISKAL
- Pembaharuan fiskal diperlukan bagi memastikan pengurusan kewangan negara lebih berkesan dan mampan. Kerajaan menggalas tanggungjawab penuh untuk mengukuhkan semula kemampanan fiskal melalui anjakan utama Kemampanan Fiskal dan Sistem Kewangan. Tumpuan akan diberikan kepada lima perkara pokok.
- Pertama: Memperluas asas cukai, mempelbagai sumber cukai serta menambah baik pentadbiran percukaian menerusi penggunaan teknologi. Antara cukai baharu yang sedang digubal untuk dilaksanakan pada tahun 2024 adalah Cukai Keuntungan Modal.
- Namun harus ditegaskan, Kerajaan berkhidmat demi rakyat dan tidak akan sesekali membebankan rakyat dengan ketetapan cukai di luar kemampuan mereka. Prinsip yang kita angkat ialah pemerataan ekonomi yang adil demi kesejahteraan keseluruhan rakyat.
- Kedua: Antara prinsip Maqasid Syariah dalam tatakelola adalah untuk memastikan bahawa perolehan dibuat secara teliti dengan syarat jelas tanpa terselindung. Kelulusan yang dibuat secara tergesa-gesa tanpa penelitian hanya akan merugikan negara dan membazirkan wang rakyat.
- Umpamanya, Kerajaan telah berhasil menjimatkan lebih RM2 bilion perbelanjaan bagi projek tebatan banjir menerusi pelaksanaan tender ketimbang pendekatan rundingan terus sebelum ini. Maka, dasar perolehan Kerajaan akan terus memberikan penekanan kepada kaedah tender terbuka bagi menjamin nilai dan mutu terbaik serta ketelusan perolehan projek.
- Ketiga: Kerajaan prihatin terhadap kekhuatiran sebahagian rakyat yang terbeban akibat kos sara hidup yang semakin menekan. Mekanisme penyampaian Subsidi Bersasar sebagai satu daripada anjakan utama Ekonomi MADANI diteruskan. Kerajaan memikul amanah untuk membela rakyat bawah pemerintahannya, khususnya rakyat yang kurang berkemampuan. Justeru, mekanisme subsidi bersasar bertujuan untuk memastikan nasib golongan tersebut terbela dan mendapat limpahan manfaat daripada bantuan yang disalurkan.
- Penstrukturan semula subsidi elektrik, diesel dan petrol serta bantuan sosial akan dilakukan demi memastikan pengurusan fiskal yang lebih berhemat dan mengurangkan herotan ekonomi. Jaminan diberikan bahawa rakyat yang kurang bernasib baik kekal menjadi keutamaan Kerajaan untuk diselamatkan, dan akan terus dibantu dan tidak akan tertekan dengan perubahan-perubahan ini.
- Pengagihan subsidi dan bantuan secara bersasar kepada rakyat akan diselaraskan melalui Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang berteraskan data isi rumah bagi meningkatkan kecekapan dan pemantauan bantuan Kerajaan. Penjimatan daripada subsidi yang lebih bersasar akan dapat diagihkan semula bagi tujuan projek pembangunan dan program rakyat.
- Keempat: Usaha harus dipergiat bagi menambah baik pengurusan hutang dan liabiliti ke arah mencapai sasaran defisit fiskal hingga 3.5% kepada KDNK atau lebih baik, insya-Allah pada tahun 2025. Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal akan dibentangkan pada sesi Parlimen bulan depan.
- Kelima: Sebagai memperkukuh kemampanan fiskal, Kerajaan sedang meneliti semula rencana pembangunan negara termasuk mengkaji dasar kerjasama awam swasta (PPP) bagi memastikan pelaksanaan projek memanfaatkan rakyat dan negara, menggalakkan pelaburan swasta serta mengawal kesan kewangan kepada Kerajaan. Dasar PPP yang jelas mengenai kaedah pertukaran tanah juga akan diperkenalkan secara telus.
PENEGASAN 11: MEMPERTINGKATKAN KECEKAPAN PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN AWAM
- Semasa dunia dilanda krisis ekonomi, yakni The Great Depression, John Maynard Keynes dalam bukunya Essays in Persuasion telah menukilkan mengenai “magneto [alternator] trouble”, dengan izin. Menurut beliau, “no matter how powerful the economic engine is, it will not perform well as long as one crucial part is malfunctioning”, yakni tidak kira betapa kuatnya enjin ekonomi, ia tidak akan berfungsi dengan baik selagi sebahagian pentingnya rosak.
- Enjin utama ialah jentera kerajaan yang bertanggungjawab dalam perkhidmatan awam, harus berfungsi secara optimal. Segala visi dan hala tuju lunak yang kita gariskan dalam NIMP 2030, NETR, dan ekonomi MADANI tidak akan dapat diterjemah sekiranya perkhidmatan awam masih di takuk atau tahap lama. Maka, kecekapan penyampaian harus ditingkatkan, sementara isu melibatkan tatakelola serta penyelarasan diselesaikan dengan segera, selaras dengan firman Allah SWT dalam tuntutan islah:
ۗاِنْ اُرِيْدُ اِلَّا الْاِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُۗ وَمَا تَوْفِيْقِيْٓ اِلَّا بِاللّٰهِ ۗعَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَاِلَيْهِ اُنِيْبُ
“Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepada-Nyalah aku kembali”. (Surah Hud, ayat 88)
- Iltizam Kerajaan untuk melaksanakan islah dalam perkhidmatan awam dapat dirumuskan kepada empat perkara pokok.
- Pertama: Memperkenalkan dua anjakan utama, Tatakelola dan Rangka Kerja Institusi, dan Perundangan Berkaitan Rasuah. Kerajaan komited untuk memulihkan imej Malaysia pada peringkat antarabangsa, mengangkat darjatnya menjadi negara yang bermaruah dan antirasuah.
- Untuk itu, Akta Tatakelola Sektor Awam dan Pelan Integriti akan diperkenalkan sebagai panduan tatakelola bebas rasuah kepada semua entiti, baik dalam sektor awam ataupun swasta. Kerajaan insya-Allah menyasarkan kedudukan ke-25 teratas buat Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah sedunia dalam tempoh 10 tahun.
- Kedua: Sebagai penambahbaikan aspek perundangan dan penguatkuasaan, Kerajaan juga menekankan pengukuhan jati diri dan akhlak dalam diri setiap warganegara. Pentingnya pendidikan kesedaran antirasuah yang dikembangkan pada semua peringkat usia. Sementelahan, agenda mempromosi dan mendidik masyarakat mengenai nilai-nilai murni demi membina sahsiah terpuji akan terus direkayasa.
- Ketiga: Bagi memperkemas jentera perkhidmatan awam, Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR) ditubuhkan bagi membantu menyelesaikan urusan yang tertangguh dan menyegerakan pelaksanaan projek serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
- STAR telah berjaya melaksanakan projek rintis mengurangkan kesesakan serta tempoh menunggu pesakit di Zon Hijau Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor dan akan diperluas kepada hospital lain. Tempoh kelulusan pas ekspatriat telah dikurangkan daripada 87 hari kepada hanya lima hari untuk syarikat yang memenuhi kriteria, manakala kaedah pembayaran tanpa tunai bagi menangani rasuah akan diperluas.
- Keempat: Alhamdulillah, Malaysia terus unggul sebagai antara negara Asia yang paling berdaya saing dalam persaingan global. Kerajaan terus menyasarkan Malaysia untuk menduduki tangga ke-20 teratas dalam Subindeks Kecekapan Kerajaan dalam IMD World Competitiveness Yearbook pada akhir tempoh RMK12.
- Bagi memperluas akses perkhidmatan awam kepada rakyat, Kerajaan telah beralih kepada pendigitalan perkhidmatan yang diungkapkan sebagai Kerajaan Berteknologi Termaju (GovTech), bawah anjakan utama Industri Berasaskan Teknologi dan Digital. Inisiatif ini mampu menjimatkan kos, masa dan tenaga, serta berhasil menunjukkan penerimaan yang positif dan mencatat kemajuan dalam penyampaian.
- Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR) misalannya, membolehkan permohonan dibuat oleh rakyat secara terus dalam talian. Sehingga 31 Ogos 2023, sebanyak 3,776 permohonan IKR telah diterima. Penggunaan Identiti Digital (ID) Nasional secara rintis bagi pengesahan identiti yang selamat dan terpelihara dijangka akan diluncurkan pada tahun 2025.
- Aplikasi MYJalan yang baru diluncurkan memudahkan rakyat untuk membuat aduan mengenai kerosakan jalan kepada Kerajaan. Aplikasi ini telah menerima lebih 1,000 aduan. Ini merupakan petanda yang positif, bahawa keterlibatan rakyat secara proaktif dalam gemblengan tenaga bersama Kerajaan akan menghasilkan jaringan jalan raya yang selamat dan bermutu.
PENEGASAN 12: MEMPERTINGKATKAN KECEKAPAN PELAKSANAAN DAN PEMANTAUAN
- Kerajaan sebagai sebuah Kerajaan yang cekap dan tangkas mesti bekerja untuk memenuhi harapan rakyat, menepati ciri-ciri al-Qawiy al-Amin (berdaya saing dan berintegriti) dan Hafizun Alim (pelindung yang beramanah dan berilmu). Insya-Allah, Kerajaan Perpaduan akan melaksanakan semua strategi dan inisiatif yang direncanakan dalam KSP RMK12 secara teratur, bersistematik dan bertanggungjawab. Tiga perkara pokok perlu diberi perhatian.
- Pertama: Bersama-sama dengan anggota Kabinet memantau pelaksanaan projek RMK12 agar rakyat mampu mengecapi nikmatnya tanpa berlengah. Pelan bagi pemantauan pelaksanaan kebijakan KSP RMK12 disediakan sebagai panduan kepada setiap kementerian dan agensi. Sebahagian daripada sasaran KSP RMK12 dijadikan KPI kementerian. Jawatankuasa Khas Pemantauan KSP RMK12 akan ditubuhkan.
- Kedua: Bagi projek-projek yang telah lama diluluskan, termasuk projek dalam Rancangan Malaysia terdahulu, namun belum dapat dimulakan dalam tempoh yang munasabah, maka akan dibatalkan. Ini bertujuan bagi memberikan laluan kepada projek-projek rakyat yang lebih mendesak.
- Ketiga: Saya mengajak semua anggota dalam Kerajaan, termasuk anggota pentadbiran dan Ketua Jabatan, agar sama-sama melaksanakan tanggungjawab dengan jujur dan amanah. Ini bagi memastikan peristiwa salah laku dan teguran audit yang telah dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara tidak berulang.
PENUTUP
Tan Sri Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,
- Insya-Allah, kita akan terus mengambil pendekatan aktif mendengar dan melibatkan rakyat, menerima teguran supaya pelaksanaan RMK12 dapat dijalankan dengan memuaskan dan membantu kita dalam merangka RMK13. Kita baru lagi menyambut hari Kemerdekaan, hari Kebangsaan 31 Ogos, dalam beberapa hari lagi kita bersama, Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak bersama sambut hari Malaysia. Mudah-mudahan semangat membangunkan negara, memacu pertumbuhan ekonomi akan dapat kita laku bersama untuk faedah negara dan rakyat.
Tan Sri Yang di-Pertua,
Saya usulkan.
Similar Posts:
- TIGA PERJANJIAN LIBATKAN EKONOMI HIJAU, DIGITAL, KESELAMATAN SIBER DIMETERAI DI SINGAPURA – PM ANWAR
- KERAJAAN AKAN PASTIKAN REFORMASI STRUKTUR EKONOMI YANG TERATUR — PM ANWAR
- GEMPA BUMI: PM ANWAR HUBUNGI PRESIDEN ERDOGAN
- JOE BIDEN UCAP TAHNIAH KEPADA ANWAR, PUJI DEMOKRASI MALAYSIA
- PM ANWAR TERIMA KUNJUNGAN MENTERI HAJI DAN UMRAH ARAB SAUDI