TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS JAMUAN MAKAN MALAM DAN RAMAH MESRA ALUMNI MAJLIS BELIA MALAYSIA (MBM)

 

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

MAJLIS JAMUAN MAKAN MALAM DAN RAMAH MESRA ALUMNI MAJLIS BELIA MALAYSIA (MBM)

 

 

24 OKTOBER 2023 (JUMAAT) | 7.45 MALAM

 

DEWAN MERDEKA, PUSAT DAGANGAN DUNIA (WTC), KUALA LUMPUR

 

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Alhamdulillah,

Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolihil Kareem

Saudara Shamsul Anuar (YB Dato’ Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah),

Presiden Alumni Majlis Belia Malaysia merangkap Timbalan Menteri Dalam Negeri;

Menteri dan Timbalan Menteri;

Saudara Izzat (Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid),

Presiden Majlis Belia Malaysia; dan

Rakan-rakan yang belum bersara dan nampak aktif semula dalam alumni ini.

 

 

  1. Alhamdulillah kita, syukur Ya Allah, kerana ini meruupakan ruang supaya semangat dan idealism yang kita gilap semasa kita memimpin belia itu harus kekal dan ada ruang untuk kita curahkan bakti walaupun dalam platform yang berbeza.
  1. Kita yang ada pengalaman dalam dunia mahasiswa, pelajar, belia, tentu merasakan bahawa suasana dan keghairahan dengan idealisme pada masa itu melakukan perubahan, penambahbaikan, senang dengan kebaikan, tidak senang dengan keterlanjuran daripada rasuah penyelewengan.
  1. Tetapi seperti biasa, kadang-kadang semangat itu bisa kukuh, bisa juga lumpuh. Maka ikhtiar seperti ini atau selain daripada platform untuk kita bergerak seperti mana disebut oleh saudara Shamsul Anuar dalam ucapan sebentar tadi untuk kita kekalkan secebis idealisme dulu untuk kita terjemahkan dalam kegiatan. Tertentunya kegiatan yang berbeza daripada dulu juga memelihara kebajikan sahabat-sahabat kita yang dulu aktif tapi sekarang kerana lebih dewasa, ada yang berkerusi roda, itu tentu diberikan perhatian. Maknanya pimpinan belia juga harus akui sumbangan yang lalu dan kemudian cuba meringankan beban melalui program-program kebajikan.
  2. Maka usul untuk mewujudkan Yayasan Belia Malaysia (YBM) seperti mana yang disampaikan oleh saudara Shamsul Anuar kepada saya tempoh hari adalah untuk memberikan kesempatan bukan sahaja melakukan kebajikan di luar tetapi juga memberikebajikan, mengiktiraf sumbangan jasa dan khidmat tokoh-tokoh muda. Tertakluk kepada keupayaan, keberkesanan dan kecekapan, saya luluskan dana permulaan RM 1 juta.
  1. Kita biasa dengan sejarah Majlis Belia Malaysia (MBM). Masa itu, dalam keadaan ledakan suara nyaring anak-anak muda menuntut perubahan dalam generasi yang disebut “rising expectations“, kemudian berasa kecewa kerana merosot cita-cita murni itu dan Kerajaan pada masa itu, saya masih ingat di bawah pimpinan Almarhum Tun Abdul Razak memberi ruang kepada anak muda melontarkan idea tanpa sekatan dalam Majlis Perundingan Belia Negara.
  1. Rakan-rakan yang bersama saya pada masa itu Datuk Jamil pun ada. Faham benar bahawa Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan masa itu, Tan Sri Hamzah Bin Datuk Abu Samah merupakan seorang yang sangat sabar dan beri ruang sepenuhnya bagi kita menyampaikan segala pandangan. Sebahagiannya serangan, sebagainya kritikal dan itu memberikan kesempatan bagi anak-anak muda yang mahu menegakkan kebenaran, keadilan, dan usulkan beberapa rancangan yang kemudian diberikan pertimbangan oleh bahagian Belia di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan ketika itu.
  1. Jadi saya harap semangat yang sama ada dan di bawah pimpinan Menteri YB Hannah Yeoh dan Timbalan Menteri YB Adam Adli saya lihat ada kesediaan untuk berbincang dengan lebih teliti supaya program-program itu sebahagiannya turut mengambil kira pandangan anak-anak muda dan sebahagianya dilaksanakan sendiri oleh badan-badan belia khususnya MBM.
  1. Jadi saudara-saudari, beralih kepada soal kenegaraan. Kita telah melontarkan falsafah Malaysia MADANI kerana meletakkan anjakan daripada perbincangan khusus soal pertumbuhan ekonomi yang sangat fundamental kepada soal ihsan, soal amanah dan soal nilai. Dan negara ini tidak hanya mengambil, menciplak acuan pertumbuhan ekonomi dari barat, Bank Dunia dan sebagainya.
  1. Sebahagiannya kita boleh manfaatkan, tetapi ada keistimewaan kita sendiri, ada keunikan kita sendiri sebagai negara dengan Islam sebagai agama persekutuan, dengan kekuatan budaya Melayu, dan dengan tamadun yang hebat. Dan kesediaan kita lebih inklusif untuk menerima kemajmukan, kepelbagaiannya yang ada, maka, integral dalam MADANI itu adalah juga soal nilai, soal unik budaya masyarakat yang memprihatinkan dari segi ihsan, dari segi amanahnya, dari segi rahmahnya selain daripada terikat dengan tuntutan ramai dari segi transformasi digital, dari segi teknologi maklumat, dan dari segi keupayaan kita mengangkat kekuatan ekonomi negara.
  1. Jadi mudah-mudahan dengan pencerahan itu, saudara-saudara yang mempunyai latar belakang gerakan idealism belia baik Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC), Gerakan Belia 4B Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Hindu Youth Council, Methodist Youth Fellowship, itu akan dapat terus bergabung, dan memberi makna serta mesej yang jelas kepada adik-adik dan anak-anak kita.
  1. Saya harap program itu akan diberi perhatian, mungkin saudara Shamsul Anuar, YB Datuk Mustapha Sakmud pun ada untuk mencari jalan bagaimana jabatan-jabatan dan kementerian-kementerian lain bukan sahaja Kementerian Belia dan Sukan memberikan ruang dan mengambil kira pengalaman pemimpin-pemimpin belia zaman lampau, bukanlah zaman lampau tidak, masih baru, masih muda semua, cuma rupa paras itu dah lain sikit itu sahaja (nada seloroh).
  1. Jadi saya minta kedua-dua Timbalan Menteri ini, bersama-bersama mungkin YB Adam Adli adakan ilmuan, cari jalan supaya ada ruang di mana mantan pimpinan belia itu dapat memanfaatkan kemudahan-kemudahan kebajikan Kerajaan dalam pelbagai kegiatan sebagai bentuk perniagaan dan usahawan. Ini yang penting.
  1. Kita ada ruang yang banyak tetapi kadang-kadang kelemahan mana-mana Kerajaan dan pengalaman kita juga ialah bukan wawasannya, bukan cetusan idea tetapi pelaksanaan itu, execute program itu. Jadi mudah-mudahan ini dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.
  1. Saya nak rumuskan dengan hanya menyatakan bahawa, lewat pagi tadi pulang dari Kaherah setelah beberapa hari, iaitu dua hari di Riyadh, dua hari di Turkiye, Istanbul dan setelah itu di Kaherah menemui pimpinan negara-negara Arab khususnya Raja Bahrain, Emir of Qatar, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan (UAE) dan lama juga dengan Putera Raja dan Perdana Menteri Arab Saudi, Mohamed bin Salman. Kemudian dengan Recep Tayyip Erdoğan, Presiden Turkiye dan semalam dengan Presiden Mesir Abdel-Fattah al-Sisi untuk membicarakan soal Gaza, kesengsaraan yang sedang dihadapi dan kegetiran keparahan yang mungkin dialami.
  1. Saya syukur alhamdulillah kerana Malaysia yang agak jauh daripada dunia Arab dan agak tersisih sedikit selama ini, nampak diberikan perhatian dan penghormatan yang sangat tinggi. Saya ucap terima kasih kepada saudara-saudara. Kalau saudara baca liputan media massa yang diberikan, semua pimpinan itu memberi satu hingga dua jam perbincangan hati ke hati selain daripada perbincangan rasmi, mencurahkan semua maklumat yang perlu diketahui dan memberikan pengiktirafan tertinggi dan saya tentunya bertuah kerana saya diamanahkan memimpin satu negara hebat dengan rakyat yang cukup prihatin dan komited dalam perjuangan membela nasib rakyat Palestin.
  1. Sebentar lagi saya akan sampaikan ucapan dalam perhimpunan berkenaan, tetapi yang saya hendak sampaikan di sini adalah soal kemanusiaan. Sama ada ianya mengenai Palestin atau Afrika Selatan yang dulunya semasa Nelson Mandela itu. Malaysia, di antara yang paling ke depan sejak zaman Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Jadi kita harus konsisten dalam hal ini.
  1. Ada orang kata ini kerana menyentuh masalah umat Islam ya tentunya, kita prihatin tentang nasib umat Islam tetapi di Afrika Selatan, Apartheid, orang kulit putih menindas orang kulit hitam. Itu kita suarakan dengan cukup tegas dan landasan ini kita teruskan tetapi beritanya sangat menggusarkan kerana dalam perbincangan semua pimpinannya, kita hanya mampu menekankan supaya dihentikan serangan dan peperangan dan dipermudahkan bantuan kemanusiaan seperti perubatan, dan makanan kepada mangsa yang dizalimi.
  1. Tetapi jangan lupa isu pokoknya adalah isu Palestin, orang yang diusir, tanah yang dirampas dan kebebasan yang dinafikan, ada ketika mungkin ada penyelesaian. Selagi dunia tidak mengiktiraf perlunya wujud apa yang dikatakan negara Palestin yang bebas dan berdaulat.
  1. Saudara Shamsul Anuar dan rakan-rakan pimpinan, sekali lagi saya ucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada saudara dan saya ingin memberi jaminan bahawa pengalaman saya dan keberadaan saya di sini tentunya kerana sedikit sebanyak sumbangan rakan-rakan bersama selain daripada badan belia yang aktif baik PKPIM atau ABIM tetapi tentunya Majlis Belia Malaysia itu sangat sebati dengan jiwa saya.

Sekali lagi terima kasih.

Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.