TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI : MAJLIS PERASMIAN MINGGU SAHAM AMANAH MALAYSIA 2023 (MSAM)

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

 

SEMPENA

 

MAJLIS PERASMIAN

MINGGU SAHAM AMANAH MALAYSIA 2023 (MSAM)

 

 

 

1 OKTOBER 2023 (AHAD)

 

SETIA FONTAINES, PULAU PINANG

 

 

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 

Alhamdulillah,

Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem.

 

YAB Chow Kon Yeow,

Ketua Menteri Pulau Pinang;

 

YM Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Tun Uda,

Pengerusi Kumpulan PNB;

 

Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin;

 

Saudara Lim Guan Eng;

 

Speaker;

 

Ahmad Zulqarnain Onn;

 

Pengurus-pengurus; dan

 

Semua rakan-rakan yang saya muliakan.

 

 

  1. Pada petang ini, kita berasa cukup bertuah kerana turut dihadiri oleh wakil-wakil kumpulan korporat dan syarikat-syarikat gergasi besar negara yang turut berhimpun di sini.

 

  1. Saya ingin mengambil kesempatan untuk menyeru anak-anak di Pulau Pinang, baik sekolah, guru-guru dan masyarakat untuk memanfaatkan sepenuhnya kehadiran Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) dan juga golongan syarikat-syarikat supaya memberi pendedahan kepada kita tentang peluang dan juga pencerahan yang perlu untuk kita menyimpan dan

 

Saudara-saudara,

 

  1. PNB adalah satu badan amanah yang diasaskan untuk memperkukuh kekuatan ekonomi bumiputera dan rakyat Malaysia. Seperti mana yang kita sedia maklum, permulaannya itu sangat sederhana dan sekarang seperti mana yang disebut oleh YM Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Tun Uda, PNB merupakan syarikat yang besar dalam negara kita dan saya mengalu-alukan harapan beliau supaya dapat berkembang dan menjadi syarikat yang boleh bersaing dengan lebih berkesan di peringkat antarabangsa.

 

  1. Tetapi rahsia pengurusan ini penting dan izinkan saya menyinggung hal ini kerana kerajaan dari dahulu sehingga sekarang mempunyai tanggungjawab untuk memastikan tidak ada masyarakat atau kaum yang terpinggir.

 

  1. Dalam kajian awal 70-an, di mana kelompok Melayu atau bumiputera merasakan mereka tidak dapat mengejar kepesatan pertumbuhan ekonomi yang kian rancak, maka ditubuhkan badan-badan seperti PNB dan banyak agensi-agensi bumiputera yang lain untuk membantu. Saya ucap tahniah kepada PNB kerana dapat bertahan dan berkembang dengan pengurusan yang cekap dan berintegriti.

 

  1. Saya ingin mengambil peluang ini untuk menekankan bahawa dalam Kerajaan Perpaduan sekarang, seberapa banyak sekalipun curahan dana dan peluang-peluang diberikan, andai kata pengurusan ini tidak cekap, ia akan sia-sia dan merupakan pengkhianatan terhadap amanah yang diberikan seperti yang pernah kita pelajari dan yang berlaku pada banyak badan-badan yang lain.

 

  1. Beberapa hari yang lalu saya ke Tabung Haji untuk menyambut ulang tahun penubuhan Tabung Haji ke-60, alhamdulillah sekarang Tabung Haji dapat dipulihkan dan mempunyai keupayaan untuk maju dan meningkat, tetapi ada beberapa babak-babak tertentu yang lalu yang menyebabkan keyakinan terhakis dan kerugian mencecah berbilion ringgit.

 

  1. Kerajaan terpaksa menyelamatkan dan mengambil alih beberapa syarikat yang sakit dan tenat dengan menubuhkan SPV di Kementerian Kewangan yang pada ketika itu, Saudara Lim Guan Eng adalah Menteri Kewangannya.

 

  1. Saya singgung hal ini kerana terdapat dua (2) perkara. Pertama, jangan sekali-kali pengurusan, apatah lagi badan-badan bumiputera leka dan mengamalkan budaya mewah, sehingga melupakan tanggungjawab mereka. Bukan sahaja tanggungjawab sosial tetapi amanah iaitu satu badan yang diwujudkan untuk mempertahankan kepentingan rakyat di negara ini.

 

  1. Keduanya, apabila berlaku kelemahan-kelemahan itu, apa yang kita saksikan ialah penyebaran, kecaman, fitnah yang meluas, dan tuduhan palsu yang banyak ditanggung oleh saudara Lim Guan Eng pada ketika itu.

 

  1. Oleh yang demikian, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada saudara Lim Guan Eng kerana pada ketika itu menubuhkan SPV, menyelamatkan Tabung Haji dengan Kementerian Kewangan mengambil alih syarikat-syarikat yang sakit dan dua (2) hari yang lalu, saya umumkan bahawa syarikat-syarikat yang berupaya dipulihkan akan dikembalikan kepada Tabung Haji.

 

  1. Ini menolak fitnah yang mengatakan bahawa kepentingan-kepentingan bumiputera dan Melayu Tabung Haji itu dipindahkan kepada orang Cina. Tetapi seperti mana saudara tahu, fitnah dan penipuan ini kadang-kadang mengambil masa bertahun-tahun untuk dibetulkan. Justeru, bagi saya yang lebih penting ialah pengajaran daripada agensi-agensi yang banyak bercambah tetapi diurus dengan lemah, integriti yang lemah dan pengkhianatan kepada amanah.

 

  1. Hari ini syukur alhamdulillah, kita bersama-sama dalam MSAM di bawah pengurusan PNB yang kita anggap satu-satunya agensi yang diurus dengan cekap, baik dan membanggakan. Alhamdulillah.

 

Saudara-saudara yang dihormati sekalian,

 

  1. Beralih kepada soal pendedahan, pencerahan atau disebut oleh saudara YM Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Tun Uda sebentar tadi, literasi saham. Hal ini adalah sesuatu yang penting.

 

  1. Walaupun dikatakan kefahaman tentang keupayaan menyimpan, menabung ataupun pengurusan syarikat-syarikat ini dilihat agak lemah di negara kita tetapi beberapa tahun lalu saya membaca laporan di London yang diterbitkan, kalau tidak silap di Bursa Malaysia, agak mengejutkan kerana menunjukkan tahap pencerahan maklumat dan kefahaman di London itu sendiri pun sangat rendah.

 

  1. Orang yang menyimpan, menabung atau membeli saham itu dengan mengikut sentimen dan kadang-kadang kerana terpengaruh dengan propaganda atau keupayaan media dan tidak melihat kepada kekuatan syarikat itu.

 

  1. Jadi benarlah apa yang disarankan oleh rakan-rakan PNB dan ahli lembaga yang hadir bahawa pencerahan itu perlu dimulakan dari sejak awal lagi, iaitu di sekolah supaya kita faham kaedah dan kita mendukung, menyimpan kerana keyakinan kita kepada integriti syarikat, keupayaan mereka mengurus dengan baik dan juga kerana rekod baik syarikat itu yang agak lama, selain daripada keupayaan mereka mengembangkannya.

 

  1. Jadi ini yang disebut Agenda Kelestarian PNB. Pencerahan ini bagi saya penting kerana kita tidak boleh membuat andaian bahawa orang yang menyimpan, menabung ataupun yang terlibat dalam kegiatan saham itu dengan sendirinya mempunyai maklumat yang cukup.

 

  1. Sehubungan dengan itu, saya memberi jaminan tadi kepada saudara pengerusi Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Tun Uda bahawa kita boleh berbincang bersama Kementerian Pendidikan dan juga Kementerian Pendidikan Tinggi supaya kempen pencerahan dan penerangan ini diperluaskan ke banyak sekolah lagi. Mungkin menerusi latihan kepada guru-guru di sekolah, dengan memilih beberapa orang guru di sekolah untuk diberikan latihan daripada tenaga PNB sendiri.

 

  1. Dengan melatih guru-guru dari sekolah-sekolah ini akan dapat memberikan pencerahan dan mereka diberi tanggungjawab untuk memberikan kesedaran tambahan, pencerahan maklumat dan pendedahan awal kepada pelajar di peringkat sekolah agar lebih memahami apa itu literasi saham.

 

  1. Sejak 1996 lagi, dari segi pendidikan seperti mana disebut tadi, lebih daripada 5,000 hingga 6,000 pelajar telah mendapat manfaat dan mencecah hampir RM400 juta.

 

  1. Saya mengucapkan sekali lagi tahniah kerana ini dapat mengurangkan beban Kerajaan apabila syarikat-syarikat yang diamanahkan dapat menampung keperluan pelajar-pelajar termasuk mengirim pelajar ke universiti-universiti utama di Amerika Syarikat, United Kingdom dan sekarang tentunya kita beralih kepada universiti-universiti utama sama ada di negara China, Jepun atau India.

 

  1. Saya minta dialihkan sedikit supaya melihat juga ke negara Jepun, China dan India kerana institusi-institusi pendidikan di sana juga bertaraf dunia. Saya seperti mana YM Raja Tan Sri dato’ Seri Arshad Raja Tun Uda yang berpendidikan di United Kingdom dan Amerika, mewakili generasi yang itu dan saya juga mengajar di Universiti Georgetown di Amerika Syarikat mungkin mempunyai pendedahan dan fahaman yang lebih ke arah sana. Jadi sekali lagi saya tekankan keperluan saudara-saudara untuk meningkatkan kefahaman dan ini merupakan tanggungjawab semua.

 

  1. Satu perkara akhir yang saya ingin tekankan adalah keperluan syarikat-syarikat bumiputera supaya faham kerana pengalaman saya baru-baru ini, setelah kembali dalam pentadbiran kerajaan merasakan bahawa beberapa syarikat-syarikat yang asasnya itu kebumiputeraan, namun kadang-kadang apabila di urus, ia terlepas atau berganjak daripada matlamat atau pegangan asal iaitu untuk menyelamatkan ekonomi bumiputera.

 

  1. Kadang-kadang dipinggirkan kerana keutamaan mencatat keuntungan bagi syarikat ataupun dalam beberapa kes tertentu apabila pengurusan yang lemah, kerugian sudah bertambah, cara yang mudah adalah dengan menjual aset untuk menyelamatkan syarikat.

 

  1. Amalan ini berpunca daripada kelemahan tadbir urus, tatakelola yang lemah, pembaziran berlaku dan juga hasil daripada keputusan yang sangat tidak waras dan tidak bijak. Oleh itu, apa pun yang berlaku, saya minta pengurusan yang ada sekarang sama ada di bawah PNB atau di bawah Khazanah Nasional Berhad atau syarikat-syarikat Kerajaan Persekutuan dan negeri harus ingat bahawa keutamaan adalah kecekapan pengurusan.

 

  1. Keduanya, dalam apa saja keputusan mereka, mereka tidak boleh mudah melepaskan pegangan dan kepentingan asal untuk menjaga dan mengawal kepentingan syarikat yang berpaksikan kepentingan bumiputera. Kalau tidak, kita akan beralih sampai bila? Berpuluh-puluh tahun balik kepada pangkalnya – tubuh syarikat, salah urus dan salah tadbir, selepas itu rugi, kemudian kerajaan terpaksa bantu, ada desakan baharu, bantu sekali lagi bumiputera, tubuh lagi syarikat baharu dan akhirnya kita mengikut jalur yang sama yang tidak akan membantu.

 

Saudara-saudara,

 

  1. Saya berharap anjakan ini bukan sahaja pemimpin-pemimpin Kerajaan dipertanggungjawabkan, ia mesti bermula dengan jemaah menteri. Selain itu, pengurusan syarikat bumiputera harus dipertanggungjawabkan untuk faham bahawa adalah menjadi tugas asas mereka, harus tahu urus dengan baik dan menjaga pegangan itu supaya tidak berulang kelemahan-kelemahan yang lalu.

 

  1. Saya mengambil kesempatan ini kerana kebetulan Majlis ini bertepatan kerana PNB ini menjadi satu contoh dan teladan dalam pengurusan walaupun tugas dan pegangan mereka itu adalah gergasi dalam urusan perniagaan dan korporat di negara kita.

 

  1. Jadi, sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada saudara YM Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Tun Uda, beliau pun tidak asing dengan negeri Pulau Pinang kerana Tun Uda itu dahulunya gabenor Pulau Pinang. Saya selalu tekankan kepada YM Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Tun Uda, walaupun beliau itu anak Selangor tetapi jangan lupa Pulau Pinang ini memang tempat Raja Tun Uda sebagai gabenor pertama Pulau Pinang. Jadi beliau harus diberikan dual citizenship iaitu Selangor dan Pulau Pinang (nada seloroh).

 

  1. Terima kasih juga kepada Ketua Menteri Pulau Pinang yang memberikan kerjasama penuh bagi menjayakan dan saya ingin tegaskan semula kepada keluarga di Pulau Pinang, guru-guru serta pengetua di semua sekolah di Pulau Pinang untuk memastikan dan menggerakkan anak-anak kita supaya memanfaatkan MSAM ini sebagai kegiatan yang didukung sepenuhnya oleh sekolah.

 

  1. Dengan lafaz “Bismillahir Rahmanir Rahim”, saya merasmikan Minggu Saham Amanah Malaysia 2023.

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.