TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS ANUGERAH INOVASI PERDANA SEKTOR AWAM (AIPSA) TAHUN 2023

 

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

MAJLIS ANUGERAH INOVASI PERDANA SEKTOR AWAM (AIPSA) TAHUN 2023

 

 

        7 NOVEMBER 2023 (SELASA) | 8.30 MALAM

 

 

DEWAN PERDANA, PUSAT KONVESYEN ANTRABANGSA PUTRAJAYA (PICC)

 

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh dan Salam Sejahtera

Alhamdu lillaahil lazeee anzala ‘alaa ‘abdihil kitaaba wa lam yaj’al lahoo ‘iwajaa.

Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem.

Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.

 

 

Saudara YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi,

Timbalan Perdana Menteri;

 

YBhg. Tan Sri Mohd Zuki bin Ali,

Ketua Setiausaha Negara;

 

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam;

 

Ketua Pengarah MAMPU; dan

 

Menteri-menteri yang ramai, ini amat luar biasa semangatnya dan sokongan kepada penjawat awam.

  1. Hampir seluruh Jemaah Menteri, Timbalan-timbalan Menteri hadir untuk memberikan sokongan. Alhamdulillah. Saya belum tahu sama ada Jemaah Menteri yang lebih banyak pengaruh atau penjawat awam yang lebih banyak pengaruh sekarang (nada seloroh).

 

  1. Tetapi alhamdulillah, satu petanda yang baik. Dengan kerjasama yang jitu ini sangat perlu untuk mengangkat martabat negara ini melalui satu sinergi, gerak kerja di antara pimpinan politik terutama yang diangkat sebagai Menteri dan Timbalan Menteri dan penjawat awam.

 

  1. Seperti saudara-saudara sedia maklum bahawa pendirian saya tentang penjawat awam, dan satu hal yang saya hendak tekankan selain daripada mengalu-alukan kehadiran semua dalam majlis ini ialah kekuatan dan keupayaan kita melaksanakan agenda perubahan dalam negara MADANI, dan ini tentunya terletak pada tunggak utama iaitu keupayaan penjawat awam.

 

  1. Apa yang kita putuskan baru-baru ini bersama Jemaah Menteri dan juga Ketua Setiausaha Negara (KSN) ialah mengembalikan kekuatan induk dan menyerahkan tugas pelaksanaan lebih berkesan, tidak kepada konsultan luar tetapi kepada penjawat awam.
  2. Bagi memastikan tahap keupayaan dan keberkesanan itu, dalam mesyuarat bersama KSN dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) baru-baru ini, saya telah memutuskan supaya peruntukan yang cukup diberikan kepada tenaga muda dan juga yang berpengalaman di kalangan penjawat awam bagi menjalani latihan dan pendedahan sama ada di syarikat-syarikat swasta atau universiti-universiti terkemuka untuk menjalani kursus khas.

 

  1. Adalah lebih baik kita berbelanja lebih untuk melatih penjawat awam daripada menyelesaikan menggunakan cara yang singkat dengan melantik konsultan asing dengan kos yang terlalu tinggi.

 

  1. Saya telah meminta supaya KPPA menyegerakan perkara ini, maknanya kalau KPPA belum lagi mengenal pasti orang-orang untuk dikirim ke luar, itu salah dia bukan salah saya. Maksud saya, ada bidang-bidang yang saya katakan iaitu penerokaan alam dan disiplin baharu. Kita membicarakan soal transformasi digital tetapi tidak semua kepakaran itu sudah tersedia ada.
  2. Kita berbicara tentang transisi tenaga, semua ini menuntut kemahiran dan kepakaran baharu. Saya telah memberitahu kepada Jemaah Menteri dan juga KSN sebagai ketua bagi penjawat awam, saya ingin memberi peluang, anjakan daripada kecenderungan puluhan tahun yang lalu dan kembali kepada pengalaman dan asas yang awal.

 

  1. Kalau saya lihat, dalam negara kita, perubahan-perubahan dan pelaksanaan program banyak dinakhodai dan dikepalai oleh penjawat awam dengan kepakaran dalam kalangan penjawat awam. Umpamanya dalam bidang seperti digital transformation, artificial intelligence, energy transition, kita harus segera mengirim baik di peringkat tertinggi, peringkat pertengahan atau peringkat yang lebih muda ke luar negara sama ada diletakkan kepada syarikat- syarikat ataupun universiti-universiti utama dalam disiplin yang disebutkan itu.

 

  1. Saya memberi jaminan bahawa peruntukan untuk maksud diliburkan itu bukanlah kekangan kerana perbelanjaan kita untuk melantik konsultan setiap tahun itu mencecah bilion ringgit. Jadi tidak ada sebab mengapa kita diberikan peruntukan yang besar untuk mengenal pasti di semua lapangan bagi memastikan terdapat tahap keupayaan yang lebih dan mampu mengendali program-program Kerajaan yang baharu.

 

  1. Ini secara maksima yang saya boleh lakukan untuk menunjukkan keyakinan kita terhadap keupayaan penjawat awam dan membawa perubahan kepada negara MADANI. Bagi pelaksanaannya, saya minta untuk disegerakan. Kita ketepikan beberapa peraturan birokrasi dari segi menilai dan membuat penilaian, kita percepatkan dan saya rasa mulai awal tahun akan datang iaitu 2024, kita harus kirim sebanyak mungkin.

 

  1. Kalau belanjanya sekitar RM30 juta – RM40 juta ringgit itu, saya boleh pastikan Kementerian Kewangan boleh tambah supaya menyediakan anak-anak kita di pejabat awam. Perkara ini mendesak kerana dalam beberapa kunjungan kita, umpamanya baru-baru ini kita ke Abu Dhabi, University Mohamed bin Zayed iaitu university Artificial Intelligence yang pertama dimana fakulti, unit dan jabatan mempunyai artificial intelligence di merata dunia dan kita di universiti-universiti tempatan tentunya ada disiplin itu dan di ajar tetapi kita belum ada sebuah universiti khusus dengan kepakaran antarabangsa untuk mengendalikan dan melayakkan anak-anak kita dalam disiplin yang baharu.
  2. Jadi untuk negara kita, saya mencadangkan kepada Menteri Pendidikan Tinggi untuk membuka Fakulti Artificial Intelligence di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), tetapi itu persiapan untuk beberapa tahun akan datang.

 

  1. Oleh yang demikian, dalam bidang ini, bagi penjawat awam yang sedia ada, kita harus memberikan kepada mereka ruang kerana mereka mempunyai kemahiran dan pengalaman tetapi mereka memerlukan niche yang sedikit kerana ada beberapa penerokaan ilmu baharu, disiplin baharu yang harus dikuasai, maka saya fikir kursus selama 6 bulan atau satu tahun mungkin memadai tetapi saya tidak boleh putuskan, itu terserah kepada disiplin dan bidang yang mampu kita kuasai dan mungkin jawatankuasa di bawah KSN patut menetapkan bidang-bidang yang perlu dikirim.

 

  1. Ini termasuk agensi seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kastam, Tentera, Polis dan soal cybersecurity kerana setelah mendengar beberapa laporan tempatan dan kemudian dengar pandangan daripada syarikat dalam bidang tersebut, saya bimbang. Kalau kita membiarkan keadaan seperti ini, kita hanya akan beralih untuk menyerahkan kepada syarikat swasta ataupun menggunakan konsultan.

 

  1. Jadi mengapa tidak, kita sediakan tenaga dalaman sendiri. Perubahan dan peluang ini patut disegerakan. Saya tidak boleh mengenal pasti, mungkin puluhan ataupun lebih daripada puluhan bidang-bidang yang harus diterokai dan pendedahan yang diperlukan oleh penjawat awam.

 

  1. Fokus ini saya berikan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan menyegerakan, kerana arahan ini saya sudah berikan beberapa bulan yang lalu. Jadi mungkin mereka katakan belum ada peruntukan. Maka pada malam ini saya beri jaminan kalau kadar peruntukan RM30 juta atau RM40 juta itu bukan masalah, kita akan segerakan supaya latihan diberikan.

 

  1. Selain itu, saya mahu memastikan agar adil meliputi semua disiplin baik komunikasi iaitu digital, atau pertanian atau yang dikatakan teknologi makanan ataupun cybersecurity, ketenteraan, kepolisian, soal sempadan dan tenaga.

 

  1. Baru-baru ini, saya berumpa dengan Perdana Menteri Netherlands, kami berbincang mengenai permasalahan tebatan banjir. Mungkin negaranya di antara negara yang paling berpengalaman dari sudut menangani permasalahan banjir. Jadi saya mencadangkan kepada beliau untuk mengirimkan pasukan dari Netherlands bagi pengalaman mereka tetapi lepas itu tentunya kita mengirim bukan sekadar lawatan sambil belajar, tidak saya tidak percaya lawatan sambil belajar seminggu dua (2) minggu ini, lebih baik bercuti. Kalau betul serius, maka adakan program 6 bulan atau satu tahun di mana diberikan peluang kepada rakan-rakan penjawat awam untuk meneliti, mengkaji dan membawa balik idea untuk dilaksanakan di negara kita. Mereka dengan beberapa orang itu akan memberi cadangan supaya memberikan kemudahan ekosistem yang kondusif, cukup untuk membawa agenda perubahan.

 

  1. Tadi saya bersama KSN ke Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi dan saya ucapkan tahniah kepada Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kerja Raya kerana membuktikan bahawa jika kita fokus kepada masalah, ia boleh diselesaikan. Bayangkan masalah yang tertangguh puluhan tahun termasuk soal tandas sekolah itu boleh diselesaikan dalam masa beberapa bulan.

 

  1. Di sekolah yang saya pergi tadi, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah menyiapkan projek baik pulih dan membangunkan blok untuk menggantikan kelas-kelas daif dalam masa 3 bulan, 3 hari sebelum 3 bulan. Ini saya salute kepada JKR dan Kementerian pendidikan.

 

  1. Ada kelemahan-kelemahan dan kelewatan itu kita harus perbaiki kerana kalau kita mahu mengangkat martabat, harakat dan darjat bangsa dan negara kita ini, ia mesti diubah daripada pendekatan yang lampau. Ini yang disebut dalam ayat – in uriidu illaa al-ishlaaha maa istatha’tu (Surah Hud: 88), iaitu perubahan sedaya upaya kita ke arah kebaikan. Mana ada kebaikan kalau tidak Itqan Fil AmalStriving for Excellence.

 

  1. Jadi mudah-mudahan pendedahan yang kita perolehi itu akan membantu meningkatkan. Kita perlu bagi target supaya orang yang bawa, yang diberikan pendedahan dan latihan itu kembali dengan program.

 

  1. Tadi saya berkata kepada guru besar Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi, kita sudah membaiki dan ada peruntukan. Jadi pada bulan Januari nanti, dalam mesyuarat pertama sekolah di kalangan guru-guru, saya minta mereka untuk memberikan cadangan supaya dapat dipertimbang oleh Kementerian Pendidikan dengan salinan kepada KSN dan saya iaitu, apakah cadangan untuk meningkatkan mutu pendidikan di sekolah kita sekarang. Jangan dibincangkan di sekolah perkara seperti pertelingkahan soal bahasa, agama, dan kaum tetapi pendidikan ini harus ditumpukan dalam bidang apa yang disebut democratization of access to quality education.

 

  1. Jadi kita berbalik kepada pangkalnya, dalam sistem pendidikan, membicarakan soal pendidikan bermutu dan berkualiti. Itu adalah asas dan guru-guru sehinggalah peringkat Kementerian Pendidikan diminta untuk fokus. Mulai Januari tahun hadapan, dalam usaha untuk meningkat mutu pendidikan di negara kita, sekiranya memerlukan reformasi maka lakukanlah perubahan, kalau ia merupakan anjakan, lakukan anjakan dan kalau ia memerlukan apa-apa perubahan yang mendesak mesti ada tekad.

 

  1. Politik itu biar kami, sementara tugas penjawat awam adalah untuk membuat perubahan. Kalau tidak, kita tidak akan dapat bersaing dengan negara lain dan dalam beberapa bidang kita akan ketinggalan.

 

  1. Saya sebut dalam beberapa majlis yang lalu, kalau kita lihat umpamanya. Laporan dari Boston Consulting Group (BCG) memperlihatkan graf pertumbuhan Malaysia itu membanggakan sekitar tahun 80-an dan 90-an. Ada kemajuan, pertumbuhan dan pelaburan, tetapi ia mendatar ketimbang perkembangan dengan Vietnam dan Indonesia walaupun nilai ambang mereka itu lebih rendah tetapi ia melonjak naik.

 

  1. Kita di tahap yang agak relatif tinggi tetapi mendatar selama beberapa lama, selama 20 tahun. BCG menggunakan kaedah yang disebut SEDA (Sustainable Economic Development Assessment) yang agak menyeluruh – kesihatan, pendidikan, keselesaan hidup, dan prasarana dalam semua bidang. Ini diukur dari satu kaedah yang sama bagi semua negara. Maka kita dapat lihat Vietnam, Thailand dan Indonesia semuanya meninggalkan kita. Kita semua bertanggungjawab untuk merobah dari keadaan mendatar ini supaya ada lonjakan.

 

  1. Saya bersyukur, alhamdulillah bersama rakan-rakan dan untuk menunjukkan kesetiaan kepada rakan-rakan, malam ini MAMPU meminta saya memakai baju Barisan Nasional. Begini banyak warna boleh dipilih, warna biru muda pun ada tetapi saya kena semak dengan Ketua Pengarah MAMPU. Gurau senda ya, hanya gurau (nada seloroh).

 

  1. Sekarang kita mempunyai jalinan kerjsama dengan parti-parti utama setelah terombang ambing beberapa bulan, sekarang nampaknya alhamdulillah politik negara kian stabil dan kita punya amanah untuk merencana dan meletakkan dasar jelas, kita tumpu ke arah mengangkat martabat ekonomi dan kesejahteraan rakyat dan negara. Kita mempunyai sekurang-kurangnya empat (4) tahun sebelum pilihan raya akan datang.

 

  1. Jadi saudara-saudari, bantulah dan mari kita bekerja sebagai satu pasukan untuk membawa perubahan ini. Beberapa agenda telah kita sediakan dan saya berharap sebagai permulaan kita akan laksanakan pelarasan gaji seperti yang telah saya umumkan baru-baru ini. Saya akui terdapat pelarasan gaji setiap 10 tahun tetapi ini sudah mencecah tahun ke-12.

 

  1. Sebelum ini tidak ada satu kajian menyeluruh tetapi sekarang saya dah umumkan, kita akan lakukan. Oleh kerana ini akan mengambil masa kerana melibatkan semua jabatan, maka sebab itulah saya umumkan elaun khas sementara dilaksanakan pelarasan gaji RM2,000 untuk semua penjawat awam dan RM1,000 untuk pesara dan saya ingat sebelum akhir tahun ini disambung dengan suku tahun pertama 2024, kita akan memberikan beberapa garis panduan supaya terikat dengan keupayaan kerajaan dan sebelum akhir tahun depan, kita boleh mengumumkan skim gaji yang baharu untuk penjawat awam di negara ini.

 

Sekian terima kasih.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.