TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PELUNCURAN STRATEGI PEMBANTERASAN RASUAH NASIONAL (NACS) 2024 – 2028

 

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

MAJLIS PELUNCURAN STRATEGI PEMBANTERASAN RASUAH NASIONAL (NACS)

2024 – 2028

 

7 MEI 2024 (SELASA)

 

PUSAT KONVENSYEN ANTARABANGSA PUTRAJAYA (PICC)

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

 

Alhamdu lillaahil lazeee anzala ‘alaa ‘abdihil kitaaba

Wa lam yaj’al lahoo ‘iwajaa

Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem

 

YB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi,

Timbalan Perdana Menteri I;

 

YB Dato’ Sri Fadillah bin Yusof,
Timbalan Perdana Menteri II;


Yang Dipertua Dewan Rakyat;

 

Menteri-menteri;

 

Timbalan Menteri;

YBhg. Tan Sri Mohd Zuki bin Ali,

Ketua Setiausaha Negara;

 

 

YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki,

Ketua Pesuruhjaya SPRM;

 

Para Duta Besar negara-negara sahabat;

 

Keluarga SPRM; dan

 

Rakan-rakan yang saya muliakan.

 

 

  1. Alhamdulillah, hari ini kita meluncurkan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional. Ia menyusul langkah-langkah awal yang dimulakan yang sebenarnya sukar. Pada tahun 60-an, seorang pakar ekonomi sarjana terkenal Sweden, Gunnar Myrdal menulis buku yang juga popular yang menggemparkan dan menimbulkan sedikit kemarahan di kalangan elit Asia. Bukunya berjudul Asian Drama. Dia menyinggung isu pembangunan negara-negara baru merdeka dan memberi peringatan bahawa sekiranya isu rasuah tidak dibanteras, negara-negara itu akan terkesan dan terhambat dari segi pembangunan ekonomi. Kupasan Gunnar Myrdal itu mendalam dan menarik pandangan generasi muda ketika itu. Tetapi kebanyakan elit penguasa tidak senang kerana kita disinggung.

 

  1. Kemudian beberapa tahun selepas itu Almarhum Tun Abdul Razak pemimpin negara kita, merumuskan tiga (3) masalah besar yang dihadapi oleh negara Persekutuan Tanah Melayu pada masa itu. Kata Tun Abdul Razak, we are confronted with the problem of three Cs. The problem our fight against communism, the first sea, because at that time there were skirmishes between armed communist terrorist in the jungle and the periphery in Malaya.

 

  1. Masalah kedua adalah communalism. Negara baru merdeka dan kita hadapi sikap dan perlawanan kerana isu kaum. Sama ada Melayu, Cina atau India pada ketika itu di Tanah Melayu yang kadang-kadang terbawa-bawa, diheret dengan isu perkauman, bukan persatuan, bukan kemajuan negara. Itu “C” yang kedua, communalism. Then the third “sea” ialah corruption. Bayangkan tahun 1961-1962, Tun Abdul Razak telah memberi amaran kerana mula menjalar bila pemimpin-pemimpin pejuang kebangsaan sudah bertapak berkuasa kadang-kadang dah mula lupa dengan perit, keringat, air mata dan darah pejuang-pejuang terdahulu dan mula bergelumang dengan masalah rasuah.

 

  1. Saudara-saudara yang biasa dengan kupasan Profesor Syed Hussein Al-Atas, sarjana kita yang terkenal, di antara buku awal beliau dan secara tuntas membicarakan isu rasuah “the problem corruption”. Terutama pada masa itu telah menjadi satu budaya. Oleh itu, kita tidak harus pandang ringan isu ini. Isu rasuah ini dia terus membengkak. Tan Sri Azam menyebut angka-angka yang juga menggemparkan kerana dia mencecah puluhan bilion ringgit satu tahun. Bayangkan pembasmian kemiskinan, sekolah-sekolah, hospital, prasarana rakyat, nasib nelayan, nasib petani, pekebun kecil getah, sawah padi, hampir semua boleh dibereskan sekiranya kita boleh selamatkan negara dari kerakusan, tamak haloba, orang yang guna kuasa kedudukan sama ada pimpinan politik atau penjawat awam atau di swasta kerana tamak haloba yang tidak terkawal.

 

  1. Jadi, the scourge of corruption cannot be taken lightly. To combat means you need a very powerful, committed, dedicated and courageous force. To combat corruption, you need strong legislation and laws to protect and more profoundly you need clear political will and direction. Ini saya percaya, dengan kekuatan ini, tekad politik yang jelas yang tidak sanggup dan bersedia kompromi dengan rasuah dan mengambil apa sebarang tindakan untuk mengizinkan keluarga SPRM khususnya dan agensi-agensi penguatkuasaan lainnya. Bila kita luncurkan agenda pembanterasan rasuah ini, ya tentu tunggaknya masih SPRM. Tetapi ia terlibat dari semua, LHDN, PDRM, Imigresen, Kastam, APMM itu yang harus memastikan negara ini beranjak daripada keterlanjuran lalu dan lebih bertekad untuk membanteras.

 

  1. Saya punyai keyakinan kepada Ketua Pesuruhjaya Tan Sri Azam dan keluarga SPRM yang telah diberi amanah dan kepercayaan serta dukungan, tidak kenal darjat dan kedudukan, supaya rakyat dapat mesej yang jelas. Apa pun jawapan dan sanggahan serta serangan yang dilontarkan kepada kita, saya nak tegaskan di sini tugas kita terutama generasi baru generasi muda ialah untuk menyelamatkan negara dan membela nasib rakyat.
  2. Negara tidak boleh diselamatkan dan nasib rakyat tidak mungkin terbela kalau kita biarkan kuasa, penguasa, penjawat awam dan badan-badan penguatkuasaan merasa hak mereka untuk memunggah kekayaan dan menjalankan pentadbiran mengikut hukum rimba.

 

  1. Saya percaya juga majoriti rakyat sudah resah dan benci dengan keterlanjuran ini. Segelintir tentunya akan tetap pertahankan dan terpukau kerana bila kita memerangi perasuah, perasuah itu bukan manusia kerdil dan kecil, perasuah itu orang-orang berpengaruh, orang-orang darjat atasan, orang-orang yang mempunyai dana yang besar. Dia akan gunakan sebarang usaha melalui media sosial, melalui jentera Kerajaan yang ada, melalui kuasa politik dan pengaruh politik untuk menghalang, menyerang, sama ada tokoh politik ataupun bidang penguatkuasa. Saya percaya keluarga SPRM tahu bagaimana kadang-kadang mereka terpaksa hadapi serangan, tohmahan dan juga malah keselamatan. Kerana dalam pertarungan ini, pertarungan yang dahsyat.

 

 

  1. Jadi sebab itu saya hadir untuk memberikan dukungan bagi pihak kedua-dua Timbalan Perdana Menteri dan Menteri-menteri yang ada untuk menzahirkan pendirian kita bukan sekadar meluncurkan satu lagi strategi. Kalau lihat sejak merdeka, berapa puluh strategi dah ada? Berapa puluh rancangan pembanterasan sudah ada? Berapa banyak pelan sudah ada? Peguam Negara juga ada. Ada berapa banyak undang-undang yang telah dipinda? Walhasil, rasuah masih membengkak dan merebak. Sebab itu yang kita perlu adalah kesungguhan, tekad, keikhlasan, “Ikhlas al-‘amalillah” untuk memerangi ini sebagai satu dasar yang perlu demi menyelamatkan negara dan memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

 

  1. Saya doakan kepada Allah SWT agar tonggak di SPRM dan keluarga SPRM menunjukkan contoh yang terbaik. Mustahil kita tidak boleh lakukan. Apa yang tidak mampu dilakukan oleh rakyat Malaysia ketimbang negara-negara lain? Apa kurangnya negara ini? Ada kekuatan ada kemajmukan, ada hasil, mahsul yang banyak, ada kepintaran yang luar biasa. Yang perlu adalah tekad untuk melaksanakan dengan ikhlas untuk menyelamatkannya.
  2. Saya yakin sebagai tonggak, SPRM bersama badan-badan penguatkuasaan ambil ini sebagai satu tanggungjawab dan satu kekuatan baru dan kita boleh. Sebab tu saya di antara yang degil betul untuk percaya dan juga untuk mengharapkan Malaysia ini terangkat sebagai satu negara hebat. Pertama melalui tatakelola, keduanya sebagai negara yang boleh melonjak pembangunan sebagai di antara negara terhebat di rantau ini, insya-Allah.

 

  1. Jadi lima (5) Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional ini bermula dengan pendidikan. Mesti ada pencerahan. Anak-anak sekolah harus dilatih untuk benci rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Di universiti, di kalangan rakyat mesti ada program pendidikan yang meluas supaya ada sikap ini. Sekarang ini orang rasuah, oleh kerana dia kaya dia bagi habuan kita masih cium tangan lagi. Kerana tidak ada kesedaran. Kita solat, setiap tahun umrah tetapi soal nilai di antara hak dengan batil, makruf dan mungkar tidak dapat kita bedakan. Sebab itu saya kata peningkatan ilmu dan kefahaman dan pencerahan itu sangat penting.

 

  1. Kedua, kebertanggungjawaban awam (public accountability). Ini bukan urusan SPRM atau Jemaah Menteri, ini urusan kita. Apakah kita mahu selamatkan negara kita atau kita biarkan? Setiap kali ambil tindakan kepada pembesar-pembesar yang rasuah, banyak yang merenget dan mengeluh. Ada yang pertahankan, bagi pelbagai alasan, “Sudahlah jangan dendam”, “Dia sudah tua”, “Dia sudah jawatan tinggi”, saya tak mahu sebut. Apa jenis manusia ini? Jadi kalau SPRM nak ambil tindakan, ambil kepada sarjan sahaja, ambil kepada guru-guru sekolah rendah sahaja, yang atas jangan, dia telah khidmat, telah berjasa. Ini saya tahniah dan salute kepada SPRM kerana ambil tindakan yang berani dan tegas.

 

  1. Ketiga, sebab itu saya sebut yang yang terkait adalah suara rakyat. Dulu dalam slogan kami masa reformasi kami kata “Suara rakyat suara keramat”. Bukan dalam erti kata suara rakyat itu sama dengan “vox populi, vox dei”, bukan maksud rakyat tu suara Tuhan, tidak. Tapi maknanya suara rakyat itu boleh membentuk dan mempengaruhi dasar dan memberi dukungan kepada pegawai-pegawai pelaksana.
  2. Keempat, penguatkuasaan. Mesti berani, mesti tegas, pikul amanah dengan cekap. Dan kelima, saya tidak nafikan kita beri ganjaran dan insentif yang sesuai supaya dalam melaksanakan strategi pembanterasan ini, kita berikan ruang sama ada kepada pegawai ataupun penjawat awam ataupun orang ramai yang memberi kerjasama untuk menjayakannya.

 

  1. Jadi sekali lagi saya ucap terima kasih dan menganggap acara ini acara yang penting bagi negara kita untuk melaksanakan tugas pembanterasan rasuah dan melonjakkan semula Malaysia sebagai negara hebat, Insya-Allah.

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.