TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PERASMIAN PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR 2024 (PBAKL)

 

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

MAJLIS PERASMIAN PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR 2024 (PBAKL)

 

 

30 MEI 2024 (KHAMIS)

 

PENTAS UTAMA WTCKL, KUALA LUMPUR

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, dan

Salam Sejahtera,

 

Alhamdulillah,

Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolihil Kareem

 

YBrs. Encik Mohd Khair Ngadiron

Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia;

 

Rakan-rakan penganjur yang mebantu menjayakan majlis;

 

Rakan-rakan Menteri-menteri;

 

YAB Dato’ Seri Amirudin Shari

Menteri Besar Selangor;

 

YBhg. Dato’ Seri Dr. A. Samad Said

Sasterawan Negara; dan

 

Saudara-saudari yang saya muliakan.

  1. Terima kasih kerana memberikan sokongan Pesta Buku Antarabangsa. Di antara petanda negara ini mahu diangkat sebagai negara hebat dan Malaysia menjadi maju ialah tahap minat membaca di kalangan rakyat, terutama generasi muda. Sebab itu walaupun kita kadang-kadang melahirkan rasa bimbang, gundah gulana kerana minat membaca itu menurun, diganti oleh media sosial yang kemudian memberikan kononnya laporan dalam 1- 2 minit. Ini membimbangkan.

 

  1. Tetapi dalam Negara MADANI kita mesti angkat semula. Berani membuat sedikit anjakan dan saya berterima kasih kepada pihak penganjur kerana tahun ini dalam Pesta Buku Antarabangsa, bukan sahaja pengunjungnya ramai, tapi dalam 4 hari pertama pembelian buku bertambah ketimbang tahun-tahun sebelumnya.

 

  1. Sudah datang dan beli, balik kena baca. Saya bagi contoh, kalau kita tengok dalam tamadun dan sejarah Islam, masa hebatnya tamadun itu adalah budaya ilmu yang dikaitkan dengan budaya membaca, menelaah buku, menghadam, menganjurkan wacana bebas, wacana segar berdasarkan pembacaan yang lebih. Ada seorang mahu dilantik menjadi pemimpin, kalau masa itu katanya Perdana Menteri atau Datuk Bendahara oleh seorang khalifah, dia tinggal di Asia Tengah (Central Asia). Di antara negara yang kita sebut Azerbaijan, Uzbekistan, Tajikistan, Kazakhstan, Kirgistan, Hindustan (nada seloroh). Saya baru pulang dari negara-negara tersebut. Jadi seorang dijemput menjadi Perdana Menteri. Syaratnya? Kalau sekarang syarat nak wang, gaji tinggi, pingat-pingat banyak, penghormatan diberikan, dia tidak. Syarat dia kata dia perlukan beberapa ekor unta tambahan untuk mengangkat buku-buku yang banyak di tempat dia untuk dibawa ke kota.

 

  1. Menilai seorang tokoh tentunya dari segi peribadinya, akhlaknya, tetapi dari segi ilmunya. Ini yang jadi masalah kalangan kita sekarang. Kita nilai orang kerana rupa parasnya, kerana keturunannya, kerana harta bendanya. Kita dituntut dalam budaya kita untuk menilai orang dari akhlaknya dan dari ilmunya. Jadi kepada anak-anak muda, saya ingin mengesyorkan tambahlah minat membaca.

 

  1. Tadi saudara Khair cadang kalau boleh, jika boleh, kita berikan semula sedikit bantuan untuk yang disebut baucar buku kepada pelajar-pelajar. Tak tepuk maknanya tak lulus (nada seloroh). Kita ada kekangan tentunya ekonomi kerana saudara-saudara tahukan saya warisi Kerajaan dengan hutang RM1.5 trilion dengan defisit 5.6%. Jadi saya dengan rakan-rakan Jemaah Menteri memutuskan untuk mentadbir negara dengan baik, hentikan penyelewengan dan rasuah dan amalan sakau serta turunkan kadar hutang dan rendahkan kadar atau defisit belanjawan negara. Tapi insya-Allah kita boleh pertimbangkan dan mungkin kita tidak boleh beri kepada semua sekaligus. Saya cadangkan umpamanya kita luluskan…(pause)

 

  1. Tengah dok fikir. Masalahnya begini, Perdana Menteri setuju, Menteri Kewangan pening kepala. Perdana Menteri dia boleh luluskan tapi Menteri Kewangan kata mana nak cari fulus. Tapi kalau untuk anak-anak belajar, baik di Sekolah Kebangsaan atau sekolah Arab atau sekolah Cina, sekolah Tamil, universiti, kita boleh teruskan dengan baucar RM100, dan untuk tahun ini kita mulakan dari darjah 4 untuk mengurangkan tekanan kepada kewangan Kerajaan, darjah 4 sekolah rendah, sekolah menengah dan universiti serta kolej-kolej, institut perguruan guru dan sebagainya.

 

  1. Tapi saya cadangkan juga kerana bila kita pergi kelonggaran, pelbagai jenis buku dia baca. Jadi kita akan beri juga panduan. Ada buku-buku, novel-novel klasik, ada yang disebut tadi Hang Tuah. Ada novel-novel oleh sasterawan terkemuka, A. Samad Said ataupun Shahnon Ahmad atau Anwar Ridwan. Jadi, ada senarai yang kita usulkan. Kemudian ada judul-judul baru tentang digital. Saya nak anak-anak kita semua faham tentang asas artificial intelligence, kecerdasan buatan. Jadi kita akan anjurkan senarai buku-buku supaya sebahagian daripada wang itu dibeli, digunakan untuk membeli buku-buku yang diusulkan dan sebahagian mungkin kita beri kelonggaran untuk anak-anak memilih sendiri.

 

  1. Mengapa saya sebut begitu? Kerana dalam amalan lalu, buku-buku yang dipilih itu kadang-kadang buku-buku picisan yang tidak bernilai. Selalu saya sebut, dalam ‘Temu Anwar di universiti’ saya sebut, minat belajar dan mencintai ilmu ini sebagaimana yang diungkapkan oleh Saidina Ali bin Abi Talib sebagai ladzatul ma’rifah, maknanya ilmu itu lazat. Memberi minat dan memperkayakan minda. Tetapi ma’rifah maknanya memberikan kita kewarasan, kebijaksanaan dan hikmah kerana kita letakkan tiga (3) kategori.

 

  1. Sekarang ini dunia telah melahirkan pelbagai instrumen dan kemudahan baru. Jadi, percambahan maklumat, mohonlah maklumat, yang baik, yang buruk, yang maaruf, yang mungkar, yang memperkukuh iman, yang menyesatkan semua ada. Itu disebut maklumat. Kategori maklumat itu harus ditentukan sama ada information, maklumat yang bercambah itu berharga atau tidak. Maknanya ada perbedaan. Tingkat kedua, knowledge, Bukan semua maklumat itu ilmu. Ada maklumat hanya maklumat. Ada maklumat masuk kategori ilmu, dan ilmu sepertimana dikupas oleh para ulama dan sarjana ada memberi manfaat dan ada yang tidak memberi manfaat.

 

  1. Sebab itu kita mesti latih anak-anak kita supaya dapat membaca, mencintai ilmu, dapat menentukan mana dia information, mana dia knowledge dan mana dia wisdom. Apa yang dikatakan maklumat, percambahan maklumat yang didapati dari semua buku dan media sosial, ada yang ditambah tahapnya sebagai ilmu, knowledge, dari information jadi knowledge, dari maklumat jadi ilmu dan kita dilatih supaya punyai keupayaan menyaring, menilai yang terbaik yang disebut ilmu ma’rifah ataupun kebijaksanaan atau hikmah yang disebut Jadi ada kategori information, ada knowledge and wisdom. Ada maklumat yang bercambah, ada ilmu dan ada hikmah dan kebijaksanaan.

 

  1. Cabaran kita untuk hidup sebagai manusia dengan nilai akhlak dan etika, di samping itu menggapai dan meneroka alam teknologi digital, AI, pemikiran baru, penemuan baru sehingga dapat ke tahap dari maklumat kepada ilmu dan seterusnya kepada hikmah. Sebab itu tanggungjawab Kementerian dan Kerajaan untuk membimbing, membantu ibu bapa, guru-guru supaya dapat melatih, mendedahkan anak-anak supaya dapat menilai di antara maklumat dan ilmu. Mudah-mudahan tercapai hikmah dan kebijaksanaan atau wisdom.

 

  1. Jadi anak mesti baca. Mesti kita hidupkan budaya iqra’, budaya membaca, budaya mencintai ilmu. Dan saya mahu Malaysia ini Malaysia MADANI memperkasa ekonomi, memperkasa budaya dan mengangkat martabat kita sebagai manusia yang punyai akhlak dan menguasai ilmu.

 

  1. Mudah-mudahan Pesta Buku Antabangsa ini akan menjurus ke arah itu. Tapi berita baiknya ialah baucar. Cuma hari ni tak sempat, jadi yang beli sekarang saya tak tahu. (Pertanyaan ditujukan kepada Menteri Pendidikan dan Menteri Pengajian Tinggi) Macam mana kalau beli hari ini, baucer macam mana boleh pakai? Tak boleh. Jadi kita tunggu pesta buku habis dulu. Bagaimana nak mulakan, kalau esok boleh, YB Fadhlina? Esok boleh siap? Menteri kata boleh. Jadi mulai esok, Menteri Pendidikan Tinggi you kena ada formatnya. Jadi maknanya kalau nak menggunakan baucar itu, saya ingat esok hari Jumaat saya rasa tak sempat kut. Hari Sabtu lah ya? Jadi mulai hari Sabtu, tutup pada Ahad, boleh tak boleh esok petang?

 

  1. Jadi kalau tak boleh pagi esok, minta maaf mungkin petang lepas solat Jumaat kita siapkan. Saya hendak ingatkan supaya kalau buku sastera betul boleh baca, tapi janganlah tinggalkan. Bila kita angkat martabat orang itu jadi Sasterawan Negara, rugi kita (jika tidak dibaca). Maknanya ada erti, bernilai. Jadi bagilah ruang supaya kita dapat menguasai, membaca buku yang bermutu. Kalau bidang artificial intelligence kerana Malaysia ini sekarang melonjak. Tadi Federal Express (FedEx) Chief jumpa saya. Semalam Amazon, minggu lalu Microsoft, pagi tadi Google umum hampir RM9.5 bilion, beli tanah di Selangor dan dijadikan ini pusat pergerakan Google.

 

  1. Saudara, kalau negara luar tunjuk minat dalam bidang digital dan artificial intelligence, anak-anak kita tak tahu apa dia digital dan artificial intelligence, rugi besar kita. Jadi kena ambil juga maklumat ini. Menguasai bahasa dengan baik, mencintai dan berakar kepada budaya kita, tetapi dapat menggapai ilmu baru yang akan menentukan kita dapat meningkat dari segi ekonomi dan pembangunan. Jadi mulai esok insya-Allah, 2 petang kelulusan RM100 bagi darjah 4 ke atas itu akan dimulakan, insya-Allah.

 

  1. Terima kasih sekali lagi saudara Khair dan Menteri-menteri serta saudara-saudari semua. Yang penting dalam Pesta Buku Antarabangsa ini bukan penganjurnya, tetapi yang penting adalah khalayaknya, peminatnya dan pembacanya insya-Allah.

 

Terima kasih.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.