
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN AIDILFITRI MADANI 2024
PERINGKAT NEGERI TERENGGANU
9 MEI 2024 (KHAMIS)
PEKARANGAN KOMPLEKS SUKAN NEGERI TERENGGANU, KUALA NERUS, TERENGGANU
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdu lillaahil lazeee anzala ‘alaa ‘abdihil kitaaba
Wa lam yaj’al lahoo ‘iwajaa
Qaiyimal liyunzira baasan shadeedam mil ladunhu
Wa yubashshiral mu’minin
Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem
Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in
YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof,
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air;
YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar,
Menteri Besar Terengganu;
Menteri-menteri;
Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri;
Setiausaha Kerajaan Negeri;
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; dan
Rakan-rakan yang saya muliakan.
- Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu yang sudi bersama-sama dengan YB Datuk Seri Johari Bin Abdul Ghani dan seluruh keluarga Menteri Perladangan dan Komoditi untuk bersama-sama menjayakan majlis pada petang ini. Kita bersyukur, Alhamdulillah kerana kehadiran yang sangat baik walaupun panas sedikit dan kehadiran pegawai-pegawai kanan daripada Kerajaan Persekutuan dan negeri yang dipimpin oleh YBhg. Tan Sri Zuki, Ketua Setiausaha Negara yang juga anak Terengganu turut menjayakan majlis pada petang ini.
Saudara-saudari,
- Malaysia agak luar biasa kerana satu-satu negara di dunia yang sambut Aidilfitri sepanjang bulan Syawal. Tujuannya sekurang-kurangnya untuk mengeratkan silaturahim dan berbeda dengan negara Arab dan benua India serta Afrika dalam kalangan orang Islam kerana di Malaysia sahaja yang kita sebut Eid Mubarak, Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.
- Saya ingat tradisi itu baik, minal ‘aaidin wal faaiziin wal maqbuulin kullu ‘ammin wa antum bi khair, ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan ini hari akhir sambutan kita dan saya ucap sekali lagi terima kasih kepada saudara saudari yang turut menyerikan.
- Saudara, kita hadir selain daripada meraikan bersama-sama dengan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan juga memanfaatkan waktu ini dengan mengadakan perbincangan yang serius soal agenda membangun negeri, ekonomi negeri dan rakyat dan ini kita lakukan dengan semua negeri di Malaysia ini.
- Dan dengan sendirinya mematahkan hujah bahawa tidak ada perhatian mana-mana negeri. Saudara-saudara tahu bahawa untuk negeri Terengganu umpamanya ketimbang hasilnya termasuk minyak, jumlah perbelanjaan Kerajaan Persekutuan itu melebihi keseluruhannya.
- Dalam jangkaan awal, ia mencecah lebih daripada RM7 bilion kalau dimasukkan semua perbelanjaan Persekutuan. Maknanya hasil daripada negeri-negeri lain dan Kerajaan Persekutuan terpaksa dipindahkan untuk membangunkan semua aspek pendidikan, kesihatan, keselamatan, prasarana, masalah-masalah air dan masalah tebatan banjir.
- Sebab itu saya ucap terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar dan Datuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri kerana telah mengadakan perbincangan teliti tentang projek-projek yang perlu dilaksanakan mengikut jadual.
- Kita bincang soal tebatan banjir, ini menelan kos yang tinggi. Bahaya bagi nyawa dan harta benda rakyat. Sebab itu kita bagi keutamaan. Kalau tidak MADANI ini tidak ada makna, sekiranya tidak diberikan keutamaan kepada kepentingan rakyat.
- Jadi kita hendak tanya sama ada projek itu berjalan ikut jadual, apa sebab kelewatan? dan berapa kos? itu kita kaji dan dapatkan maklumat.
- Begitu juga keperluan bekalan air, pembangunan sekolah-sekolah baru, hospital yang perlu diperbaiki, ada yang sudah lama, usang dan rosak. Ada klinik baru yang mahu bangunkan di Besut tidak salah saya. Jadi ada projek baik pulih hospital dan klinik baru di Besut itu diluluskan dalam mesyuarat tadi. Oleh itu, dalam suasana ukhuwah persaudaraan, cadangan dan perbincangan telah dilaksanakan dalam mesyuarat tadi untuk melihat apa yang perlu dilakukan untuk memajukan Terengganu.
- Saya maklum kepada Dato’ Menteri Besar, setiap kali kunjungan, umpamanya ke negara China, Jepun ataupun Jerman, tidak pernah kita tinggalkan mana-mana negeri dan kita sebut juga apa peluang yang ada dan saya minta Menteri Besar hubungi Menteri MITI untuk bincang apakah cadangan yang lain yang dikemukakan kepada kita untuk mengadakan projek pelaburan dan industri di negeri Terengganu. Ini kita lakukan kerana saya fikir tanggungjawab kita bersama untuk membangunkan.
- Kita bincang kemiskinan tegar, dulu ada orang mempermain-mainkan. Dia kata mustahil kita noktahkan kemiskinan tegar. Tapi saya kata, kalau ada teguran begitu maknanya dia tidak faham sejarah, apa lagi sejarah Islam kerana masa Khalifah Umar Abdul Aziz itu menjadi keutamaan dia dengan wang zakat. Bukan sahaja wang zakat, tapi cara dia urus ekonomi, bersihkan daripada penyalahgunaan kuasa, bersihkan daripada rasuah. Jangan gunakan terutama di kalangan pimpinan untuk menunjuk-nunjuk, bermegah-megah, membazir dan membiarkan ketirisan.
- Maka dalam masa 2 tahun 3 bulan, Khalifah Umar Abdul Aziz boleh selesaikan masalah kemiskinan tegar, seluruh wilayah Islam yang mungkin 10 kali ganda lebih besar daripada Malaysia, daripada Jazirah Arab Iraq, Syria sampai ke Azerbaijan.
- Mengapa? kerana pengurusan dan tatakelola dan tolak rasuah dan penyelewengan. Sebab itulah kerajaan MADANI ini kita keras. Saya tahu tidak disenangi oleh banyak pihak. Ada orang benci dengar tatakelola dan anti-rasuah, saya pun hairan. Kalau tidak dengan tatakelola, bagaimana kita hendak jimatkan belanja.
- Hutang yang kita warisi banyak, defisit tinggi. Tadi saya tengok kenyataan daripada YB Datuk Seri Johari Bin Abdul Ghani, bagaimana dapat balik wang lebihan daripada 1MDB. Kerana Amerika Syarikat dapat lebih daripada kita. Itu semua kita usahakan kerana kita belajar dari pengalaman.
- Kalau kita cuai, kalau pemimpin Perdana Menteri atau Menteri Kewangan terutamanya ada jawatan kerjanya perkayakan anak saudara, keluarga dia dan diri dia, maka rakyat tidak akan boleh dibela. Sebab itu bagi saya, dalam Kerajaan MADANI ini kita tidak akan tolak ansur, apa pun orang bicara, saya tidak peduli. Tapi kita akan terus jaga supaya kawalan kewangan dan tatakelola negara itu diurus dengan baik dan dengan tegas, dengan kaedah tender yang teratur dan terperinci supaya kita jimatkan belanja dan berikan manfaat kepada rakyat.
- Jadi untuk kemiskinan tegar, Dato’ Ketua Pengarah ICU ada tadi bersama dengan Kementerian Ekonomi dan IPR yang tentu mengambil sedikit masa, tetapi untuk segera ada 1600 lebih kurang lagi keluarga yang termasuk dalam golongan kemiskinan tegar di Terengganu.
- Sudah selesai di Wilayah Persekutuan khususnya Kuala Lumpur, di Negeri Sembilan, Melaka, dan bakal selesai sebelum akhir bulan ini di Selangor dan di Kedah.
- Baru-baru ini kita bincang Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri akan selesaikan, insyha-Allah. Kerana jumlah tidak sampai 2000, takkanlah dengan seluruh kekayaan, agensi, kementerian, pelbagai kementerian dengan Kerajaan Negeri tidak boleh kita tolong 1000 keluarga supaya selamat daripada kemiskinan yang tegar. Maknanya tidak cukup makan, tidak ada pakaian bagi anak-anak, susah untuk beli uniform untuk anak ke sekolah.
- Jadi diberikan tadi, dengan syarat Kerajaan Negeri dan Persekutuan kerjasama sepenuhnya. Kita kenal pasti jumlah 1600 keluarga dan insya-Allah di negeri Terengganu kita boleh noktahkan kemiskinan tegar dalam tempoh 2 bulan akan datang. Insya-Allah.
Saudara-saudari,
- Dalam program yang kita laksanakan tentunya banyak tuntutan dan tidak boleh dipenuhi semua. Jadi kita tentu buat peringkat dalam perbincangan tadi dengan Kerajaan Negeri ada yang boleh dilaksanakan tahun ini, ada yang boleh dilaksanakan tahun depan.
- Saya hendak tegaskan di sini, tolonglah menolak tohmahan bahawa kita tidak berikan pertimbangan kerana kebetulan Kerajaan Negeri itu dipimpin oleh parti yang lain.
- Betul ada sedikit perbezaan politik, tapi dalam soal program untuk rakyat, dasar, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah ada, Menteri Johari Ghani ada, dan KSN ada keputusan kita, projek-projek yang untuk membela nasib rakyat kita tidak akan tangguh dan kita akan laksanakan terus untuk kepentingan rakyat.
- Izinkan saya menyentuh juga perkembangan mutakhir. Kita tengok di Malaysia ini bila kita urus ekonomi dengan baik, pelaburan datang. Tahun lalu, pelaburan domestik dan pelaburan asing itu paling tinggi yang dicatat dalam sejarah Malaysia.
- Bursa Saham melonjak melebihi 1600 mata. Itu bukan kerana seorang Perdana Menteri atau Ahli Jemaah Menteri tapi kekuatan seluruh jentera termasuk jentera perkhidmatan awam.
- Sebab itu saya minta, penjawat awam juga jalankan tugas mereka dengan baik. Jangan kata kita sudah lakukan, tidak benar, kita mesti tingkatkan ‘Itqan Fil Amal’, mesti baiki striving for excellence.
- Dan oleh kerana saya hargai walaupun dia jadi kontroversi, orang kata tidak betul, ini KSN ada di sini. Memang keputusan kita muktamad. Insya-Allah mulai 1 Disember 2024, gaji penjawat awam seluruh Malaysia akan dinaikkan minima 15%. Ada kenaikan dalam kategori bawah yang mencecah 20%, 30%, 35% kerana dalam Kerajaan MADANI ini, dia bukan naik ikut semua peringkat, tidak, yang tinggi naik sikit yang bawah naik banyak itu dia baru dasar adil bagi kita.
- Jadi kalau Polis, Tentera, pegawai kerajaan kalau ada kategori bawah naiknya jauh lebih tinggi daripada kategori atas, barulah kita dapat kurangkan kesenjangan di antara yang kaya dan miskin.
- Orang tanya, bagaimana kita peroleh dana? saya kata pertama kita cermat dalam berbelanja. Kita jangan membazir, jangan hendak ada ketirisan. Kalau ada apa-apa projek, tender, dan awasi kecelaruan akibat rasuah.
- Jadi saya yakin insya-Allah kita dapat laksanakan dan dari semasa ke semasa kita umum. Jadi orang kadang-kadang dalam Malaysia ini maklumlah dalam politik ini semua tidak betul naik gaji pun dia marah.
- Saudara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan MADANI ini punyai sokongan Ahli Parlimen lebih dari 2/3. Saya yakin insya-Allah kenaikan gaji ini akan berjalan mengikut perancangan kita.
- Tentunya ini akan melibatkan juga pegawai-pegawai Kerajaan Negeri. Jadi Datuk SUK dan Menteri Besar, saya ingat jangan bimbang. Kalau keperluannya untuk menaikkan gaji pegawai-pegawai Kerajaan Negeri termasuk di daerah, insya-Allah Kerajaan Persekutuan akan bantu supaya tidak ada pegawai kerajaan yang ketinggalan termasuk dari negeri Terengganu.
- Saya hendak singgung sedikit tentang perkembangan mutakhir di Gaza. Saudara, hati kita luka. Bukan sahaja hati umat Islam, tapi orang yang cintakan keamanan dan kemanusiaan.
- Saya di Riyadh beberapa hari yang lalu diundang oleh Putera Raja Mohammad bin Salman, Perdana Menteri. Sebelum saya berangkat pulang, beliau panggil jumpa saya sekali lagi dan melahirkan rasa kebimbangan kerana Israel mungkin kerana degil, ganas dan zalim, mereka akan terus bom dan kemungkinan menakluki Rafah dan Gaza.
- Saudara ini apa yang dapat kita belajar daripada pengalaman ini? kerana dunia Islam ini lemah. Kuat bicara tapi lemah, lemah ekonomi, lemah ketenteraan. Banyak sangat bercakaran dan riuh rendah. Tapi tidak ada kekuatan.
- Sebab itu di Perlis baru-baru ini. Saya bandingkan dengan pengalaman Sultan Salahuddin Al-Ayyubi, Saladin The Great, orang cerita beliau ini pejuang, mujahid menakluki Baitulmaqdis, tapi dia lupa Salahuddin ini orang yang waras dan bijak. 10 tahun dia perintah, dia tidak langsung bicara soal penaklukan mana-mana sebaliknya dia perkuatkan ekonomi negara, diperkuatkan ketenteraan, diimarahkan semua masjid-masjid sebagai pusat gedung ilmu. Dia satukan umat Islam dengan menguatkan kefahaman akidah, akhlak dan sahsiah mereka dengan tujuan untuk mengembalikan maruah umat, 10 tahun saudara-saudara.
- 10 tahun dia bersabar menunggu membina kekuatan dalaman. Dia berbaik dengan semua negara-negara jiran. Sama ada negara itu dikuasai Islam atau negara-negara nasrani. Dia baik dengan semua untuk mencapai perdamaian. Bila dia kukuh baru dia menyerang musuh. Musuhnya bukan Nasrani, tetapi musuhnya ialah penguasa Nasrani yang pada masa itu menakluki Baitulmaqdis.
- Apabila dia mula berangkat menyerang Baitulmaqdis, seluruh Eropah bersatu di bawah King Richard – The Lion-Hearted, raja hebat terkenal dari Inggeris. King Richard berhati singa kerana garangnya, hebatnya, megahnya dan gagahnya mengumpulkan seluruh kekuatan eropah.
- Kerana Salahuddin Al-Ayyubi persiapkan jentera dan kekuatannya selama 10 tahun. Mengangkat martabat umat dengan kefahaman, dengan kecergasan dengan ilmu, dengan teknologi, dengan ketenteraan yang canggih. Pertempuran berlaku di antara dua gergasi pada masa itu, Salahuddin Al-Ayyubi dan King Richard.
- Kisah semasa King Richard jatuh gering yang parah. Tabib atau doktor kepada Salahuddin Al-Ayyubi, namanya Maimonides atau Maimon. Bila Salahuddin dengar musuh utama dia sakit dia pelawa “boleh atau tidak, aku hantar doktor aku yang paling hebat dan tabib baik untuk mengubati kamu”. dan King Richard terima lalu sembuh daripada sakitnya.
- Saudara, itu adab. Bukan sahaja dalam keadaan biasa, dalam perang, dalam keadaan biasa pun kita tidak ada adab. Sebab itu bila disebut oleh Menteri Besar tentang kitab adab perbezaan pendapat dalam / Adab al-Ikhtilaf fi al-Islam oleh Sheikh Taha Jabir al-Alwani. Dia mengajar kita boleh berbeza pendapat tetapi jangan kafirkan orang, jangan hina orang, jangan cerca orang, jangan maki hamun. Mereka ada cara dan etika untuk berbeda pendapat. Itu pengajaran Salahuddin Al-Ayyubi, keadaan perang pun ada adab dan akhirnya alhamdulillah Salahuddin Al-Ayyubi dapat menakluki Baitulmaqdis daripada penguasaan Kristian.
- Bedanya pada masa Kristian ambil alih dihancur leburkan umat Islam. Tapi bila Salahuddin Al-Ayyubi ambil alih diselamatkan orang Yahudi dan orang Kristian di Baitulmaqdis.
- Saudara-saudara, apa yang saya hendak sampaikan adalah beza dunia sekarang ini, umat Islam lesu dan lembap, dihina dan bertindak ganas. Hari-hari orang saksikan dan negara-negara barat yang bicara soal demokrasi, hak asasi langsung tidak ada perikemanusiaan dan keprihatinan kerana apa? kerana warna kulitnya lain dan mereka agamanya lain. Apa lagi mereka ini orang Islam. Maka fahaman serong benci kepada agama Islam itu kukuh. Itu yang dikatakan Islamophobia.
- Saudara, bina kekuatan iman, tingkatkan ilmu, baik akhlak dan sahsiah Islamiah ma’nawiyah. Mudah-mudahan kita beri makna dalam hidup dan perjuangan ini.
Terima kasih. Assalamualaikum warahmatullahi wabaratuh.
Similar Posts:
- NASIB GOLONGAN MISKIN TEGAR TERUS JADI KEUTAMAAN KERAJAAN PERPADUAN – PM ANWAR
- BINCANG SEMULA KADAR GAJI, UPAH PENJAWAT AWAM BILA KEWANGAN NEGARA BERTAMBAH BAIK – PM ANWAR
- TIDAK PERLU DARURAT BENCANA, HUJAN SEMAKIN BERKURANGAN – PM ANWAR
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- PENJAWAT AWAM DISERU BAWA PERUBAHAN KEMBALIKAN MALAYSIA KE TAHAP GEMILANG