TEKS UCAPAN YAB PERDANA: MAJLIS ANUGERAH SUKAN NEGARA 2023

 

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

MAJLIS ANUGERAH SUKAN NEGARA 2023

 

 

13 JUN 2024 (KHAMIS)

 

MAJLIS SUKAN NEGARA

BUKIT JALIL

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Alhamdulillah,

Nahmaduhu wa nusalli ‘ala rasoolil kareem.

YB Hannah Yeoh,

Menteri Belia dan Sukan;

YB Adam Adli,

Timbalan Menteri Belia dan Sukan;

YBhg. Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu,

Ketua Setiausaha;

YBhg. Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria,

Pengerusi Majlis Olimpik Malaysia;

 

YBrs. Tuan Abdul Rashid Yaakub,

Pengarah Majlis Sukan Negara;

Rakan-rakan yang saya muliakan khususnya atlet yang kita raikan pada malam ini.

  1. Saya ucapkan tahniah kepada Kementerian Belia dan Sukan di bawah pimpinan YB Hannah Yeoh kerana memberikan rangsangan, galakan dan dorongan, mengangkat pengiktirafan, penghormatan, bukan sahaja kepada atlet tapi menyemarakkan dunia sukan. Dan ini suatu hal yang sangat ditekankan dalam negara MADANI. Kita tumpu dalam pemerkasaan ekonomi, Pemerkasaan budaya, budaya riadah dan sukan.
  1. Tetapi dalam semua bidang tentunya kita menuju kecemerlangan. Jadi tentu kalau tanya saya kita harus tanam minat sukan, perluaskan budaya riadah, ia ada kaitan dengan kesihatan rakyat. Tetapi dalam bidang kesukanan dan olahraga tentunya kita harus juga tertumpu kepada usaha ke arah kecemerlangan. Oleh itu beberapa usul yang dikemukakan oleh Kementerian khususnya Menteri dalam Mesyuarat Jemaah Menteri atau di luar kita berikan perhatian. Seperti mana telah digariskan dalam ucapan saudari Hannah Yeoh, memang hal-hal ini kita berikan perhatian sedaya upaya kerana kita tidak anggap enteng hal ini.

  1. Ada kekuatannya, selain yang saya katakan manfaat kepada negara, kekuatannya adalah satu dalam satu kegiatan atau aktiviti yang tidak memisahkan kelompok desa, bandar, pedalaman, kaum atau agama, ia hanya jadi sesuatu minat dan didukung sebagai satu pasukan dan menanam kecintaan kepada negara. Jadi kalau begitu fahaman kita, ialah bahawa dunia sukan dan olahraga ini, dunia yang boleh menyatukan kita. Seperti mana kita lihat paparan sebentar tadi, tidak ada langsung pertimbangan dari kelompok mana, negeri mana, kaum mana, tetapi kita nak anak Malaysia yang tertonjol.
  1. Jadi oleh itu, saya mengulangi kenyataan penghargaan saya kepada rakan-rakan Menterinya dan rakan-rakan di Kementerian, termasuk persatuan-persatuan kerana dalam budaya tradisi kita, peranan persatuan itu agak signifikan, bukan sahaja Majlis Olimpik tetapi semua badan yang menyertainya. Dan sebab itu kali ini sama ada peruntukan kepada persatuan dan juga kelonggaran dari segi percukaian kepada penderma yang memberikan bantuan, dukungan bagi memajukan kegiatan sukan.

Saudara-saudari yang dihormati sekalian,

  1. Malam ini kita tentunya beri perhatian dari sudut pengiktirafan kepada anak-anak kita yang telah mencatat kejayaan luar biasa, dan oleh itu diberikan anugerah khas. Tapi saya nak beritahu bahawa itu tidak harus melupakan kita bahawa dalam seluruh kegiatan ini adalah kerja pasukan, persatuannya, majlis sukannya, kementeriannya, keluarganya dan masyarakat, khalayaknya yang memberikan semangat dan dorongan. Dan oleh itu, pengiktirafan ini adalah pengiktirafan kepada atlet, pengiktirafan kepada keluarga, pengiktirafan kepada persatuan dan kepada rakyat yang menjadi khalayak yang menunjukkan minat luar biasa.
  1. Saudari Hannah Yeoh ada menyebut tadi tentang program keutamaan kita, menuju Temasya Sukan Olimpik, termasuk program podium, ‘road to goal’ dan yang ditambah peruntukannya, memang Saudari Hannah sudah habis dah, maknanya exausted all her appeal and I have to prove them. Sebab itu malam ini dia tak bincang apa-apa, jadi saya boleh makan dengan lega. Tetapi ini tidak maksud untuk menamatkan perbicaraan hal itu kerana saya fikir saban ada peluang beliau akan kemukakan bukan sahaja kepada saya tetapi seluruh Jemaah Menteri mendengar supaya seluruh Jemaah Menteri Kerajaan MADANI ini memberi perhatian dalam satu bidang yang dekat kepada rakyat, khususnya anak-anak muda.
  1. Saya nak bagi jaminan di sini bahawa seandainya ada keperluan boleh diangkat dalam kekangan ekonomi dan kewangan sekali pun kita tetap memberikan pertimbangan khas untuk melonjakkan kegiatan dan prestasi sukan.
  1. Terkait juga dengan apa yang beliau nyatakan di awal ucapannya bahawa peranan kita, Kerajaan khususnya, PDRM, seperti mana juga kegiatan kita memerangi rasuah yang sedang aktif dilakukan, dalam langkah menyelamatkan negara dari kelemahan sistem yang sudah lemah dan bobrok, kerana rangkaian orang yang mengaut harta secara haram itu sudah penjara luas, maka saudara lihat sekarang saban hari, PDRM tetap menggeledah bersama dengan Kastam atau Imigresen untuk memastikan negara ini terselamat.
  1. Bila kita kata selamat ini maknanya berbilion ringgit diselamatkan untuk apa? Seperti mana penyasaran subsidi. Itu untuk kembali kepada rakyat, bukan untuk dikaut oleh pimpinan atau gerombolan mereka. Ini ada kaitan umpamanya penyasaran subsidi diesel, yang kita kenakan hanya kepada golongan maha kaya dan orang asing yang 3.5 hingga 4 juta orang. Yang di sini tidak ada terkesan, melainkan yang guna kenderaan Diesel. Jadi majoriti rakyat tidak terkesan apa lagi B40 atau M40.
  1. Kita perkenalkan umpamanya letrik pada awal tahun ini, 85% rakyat tidak terkesan. Yang dikenakan kenaikkan tarif itu untuk golongan maha kaya dan yang tidak dapat mendapat manfaat, orang asing kerana orang asing tidak kita berikan subsidi kekurangan tarif elektrik itu kerana dia tidak membayar cukai. Dan oleh yang demikian, keutamaan kita adalah kepada rakyat. Dan dalam konteks ini juga saya kata, PDRM saya telah arahkan dan bagi penegasan seperti mana SPRM dan badan-badan penguatkuasaan memerangi rasuah. PDRM dan badan penguatkuasaan lain juga harus keras dan tegas mengambil tindakan terhadap mana-mana penjenayah dan mana-mana kelompok sama ada ahli sukan atau ahli politik atau rakyat biasa. Dan ini satu penegasan yang saya lakukan kerana negara tidak mungkin akan selamat sekiranya kita tidak telus dan bertindak secara professional dan mengambil tindakan yang tegas terhadap apa sahaja salah laku jenayah ataupun rasuah.
  1. Ini tekad kita walaupun kadang-kadang orang agak resah dan mengeluh bila lambat nampak terbongkar kegiatan. Saudara-saudara tidak semua boleh dilakukan dengan keadaan cepat. Kalau kita mahu tindakan itu telus, profesional dan adil, maka biarlah siasatan itu rapi. Bukan untuk melindungi sesiapa, tetapi untuk pastikan keadilan dapat ditegakkan. Baru- baru ini kes yang juga menyentuh perasaan kita, ada yang merasakan harus ada tindakan dan tindakan atau tidak. Tetapi kita harus ingat, satu tindakan yang gopoh, hukuman yang gopoh, itu mungkin akan menyebabkan satu bentuk ketidakadilan yang lain. Hukuman itu mesti mengikut fakta yang jelas dan tidak persepsi, sama ada rasuah atau jenayah, bukan persepsi, ia mesti berdasarkan fakta.
  1. Jadi ini saya ingin beri jaminan kerana memang menimbulkan keresahan daripada beberapa kalangan tentunya termasuk saya. Saya tidak mahu umpamanya menjadi Perdana Menteri tetapi melindungi penjenayah atau melindungi perasuah. Cuma kita harus pastikan tindakan itu profesional dan adil, serta tidak menghukum sebelum ada fakta dan melihat pada sudut undang undang. Ini yang saya nak singgung walaupun tidak secara langsung terkait dengan acara Anugerah Sukan Negara, tetapi ada, kerana yang menjadi mangsa juga adalah ahli sukan dan yang giat dalam olahraga.
  1. Jadi jaminan ini penting supaya ada perasaan semua rakyat baik ahli sukan ataupun penjawat awam yang bertindak tegas, kerana kita pernah dengar dulu Pegawai Tinggi Kastam, bila dia tegas dan keras, mati ditembak. Malam tadi kebetulan saya dengan Azizah menonton filem Sherif. Satu filem yang baik kerana memaparkan kelemahan, tetapi satu tekad yang tegas dari PDRM untuk membanteras rasuah terutama dalam bidang Narkotik. Mudah-mudahan hal ini semua akan mengingatkan kita bahawa negara ini harus diselamatkan dan secara positif memupuk semangat ini termasuk dalam kegiatan sukan.
  1. Jadi saya ingin tegaskan kepentingan khususnya Kementerian Belia dan Sukan untuk terus memperhebat kegiatan supaya jalin jalurnya itu turun ke setiap rakyat supaya jangan rasa yang terpinggir. Kita ada usaha untuk capai kecemerlangan yang juga menjadi keutamaan termasuk untuk mendapat pingat emas di temasya Olimpik dan bertaraf dunia tetapi kita juga mahu supaya jaringan itu melebar kepada rakyat termasuk yang miskin di bandar dan di desa supaya mereka tidak rasa tersisih daripada kemudahan-kemudahan yang disediakan.
  1. Saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada semua rakan-rakan, penjawat awam diketuai oleh KSU dan Majlis Sukan Negara, Majlis Olimpik Malaysia dan seluruh persatuan-persatuan yang menunjukkan semangat dan kegigihan. Tapi yang paling utama malam ini adalah untuk meraikan anak-anak kita, para atlet dan atlet paralimpik yang telah menunjukkan disiplin dan perjuangan luar biasa bukan sahaja mencapai kejayaan dirinya tetapi mengharumkan nama, keluarganya dan lebih utama mengharum dan mengangkat nama negara Malaysia tercinta.

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.