TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PERASMIAN SEMINAR PENGHAYATAN RIYADHU AS-SALIHIN

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

MAJLIS PERASMIAN SEMINAR PENGHAYATAN RIYADHU AS-SALIHIN

 

 

1 JUN 2024 (SABTU)

 

MASJID SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ

SHAH ALAM

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Alhamdulillah thumma Alhamdulillah

Wama tawfiqi wa’tusomi illa billah

‘Alaika Tawakkaltu, Wa Ilaika oneeb.

 

Alhamdulillahil quail

Waman ahsanu qawlan mimman daAAa ila Allahi waAAamila salihan

Waqala innanee mina almuslimeen.

 

Wa Usolli  Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem

Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.

Al-Imam al-Allamah Prof. Dr. Ali Jum’ah Muhammad al-Azhari,

Mantan Mufti Agung Negara Mesir; dan

Ustaz Dr. Adi Hidayat,

Timbalan Pengerusi Majlis Tabligh Muhammadiyah yang juga seorang ulama muda Indonesia.

  1. Izinkan saya mulakan dengan menyatakan penghargaan kepada YB Amirudin, yang telah mengambil inisiatif atau ikhtiar bermakna. Menyemarakkan makna negara MADANI dengan meningkatkan usaha kefahaman di kalangan umat dengan harapan dan penghayatan Islam sebagai sistem hidup negara kita.
  1. Di antara negeri-negeri yang telah meneruskan acara ini dengan begitu segar adalah negeri Selangor. Sebab itu kita ingat bila kita bicara tentang Riyadus Salihin dan juga Matan Arbain yang akan diluncurkan hari ini, sesuai. Saya dengar saudara Adi Hidayat ada menyinggung aspek ini, iaitu tentang kesesuaian seorang tokoh besar, Imam Nawawi yang sebenarnya dibaca oleh kita, terutama Matan Arbain di pondok-pondok dan saya telah mengarahkan supaya semua institusi pendidikan, pelajar-pelajar Islam itu diwajibkan dari peringkat rendah sehingga ke universiti, kenal dan membaca Hadith 40. Tapi yang pentingnya ialah membaca hadis, matannya, terjemahnya dan syarahnya.
  1. Sebab itu kupasan Sheikh Dr. Ali Jum’ah yang telah diterbitkan itu tentunya akan menjadi salah satu panduan kepada kita. Kerana merujuk kepada syarah itu juga penting supaya jangan dijadikan hadis ini dengan matan dan dikupas secara rambang mengikut tafsiran sendiri dan kepentingan-kepentingan atau trend-trend Sebab itu kita perlu bergantung kepada seorang alim, seorang sarjana, seorang tokoh untuk mengupas berdasarkan korpus ilmu yang lebih luas. Itu penting dalam pendidikan.
  1. Saya ingin menyinggung beberapa hal, saya minta izin nak minta maaf kepada Sheikh kerana nak beranikan diri mengupas depan tok-tok guru, mufti. Jadi saya bagi kupasan orang awam sahaja ya. Pertama, kita lihat istilah turath. Kerana dalam wacana pemikiran umat, kadang-kadang kita tinggal turath. Turath ini maknanya legasi korpus ilmu yang kita warisi zaman berzaman dan untuk menjadi seorang alim, seorang sarjana semasa, tidak boleh disisihkan. Malah di Barat sendiri, ada seorang tokoh ilmuan terkemuka, namanya Mortimer J. Adler, dia itu editor kepada ‘The Great Books’.
  1. Di Barat, dia ada dikatakan korpus turath. Kalau nak jadi seorang sarjana utama di Barat, menurut Mortimer Adler, dia ada beberapa karya besar, falsafah, agama, sastera, sains dan pelbagai disiplin. Jadi editor utamanya bernama Mortimer Adler. Apakah kritikan dia kepada budaya Barat dan kesarjanaan di Barat? Ialah kerana mereka telah memisahkan dunia intelektual dan akademia kini dengan turath mereka, Barat.
  1. Apa kaitannya dengan dunia Islam? Ada relevannya. Kerana dunia Islam, dalam pengajian kita, kita tidak memberikan tumpuan kepada karya-karya besar dan tentunya tidak semestinya kita terikat sepenuhnya. Sebab tu ada wacana, ada syarah, ada kupasan mengikut ketentuan semasa. Tetapi tidak cukup untuk kita menguasai ilmu tanpa terikat dengan turath. Dan saya percaya selain daripada tokoh besar yang bersama kita hari ini, ramai yang membicarakan.
  1. Saya masih ingat kebetulan sahabat kepada Sheikh Ali Jum’ah juga iaitu Dr. Taha Jabir Al Alwani yang kita terbitkan Adab al-Ikhtilaf fi al-Islam yang kita juga sebarkan di kalangan penduduk-penduduk Islam diterbitkan oleh JAKIM. Dalam Adab al-Ikhtilaf itu di antara yang disebut ialah keengganan atau kekurangan, kelemahan sarjana, termasuk sarjana Islam sekarang untuk mengaitkan dan merujuk kepada pemikir dan kupasan yang lampau. Tidak untuk mematikan kemungkinan berkembangnya pemikiran baru kerana dunia sekarang ini mesti hidup dan tercabar dengan keupayaan meneroka alam pemikiran baru.
  1. Tak mungkin Malaysia atau negara-negara Islam selamat tanpa menggapai langit, meneroka penemuan baru, digital, artificial intelligence, tetapi semua ini ada nilai. Siapa kata digital atau sains ataupun artificial intelligence itu tidak ada nilai? Ada. Saya bertanya kepada pengarah eksekutif Microsoft dan NVIDIA. NVIDIA ini antara Ai nombor satu di dunia. Saya tanya dia kerana saya kata kebimbangan saya di Malaysia dalam mengembangkan Ai dan digital ialah nilai yang dipupuk itu nilai Barat, pemikiran Barat. Walaupun Ai itu dianggap seolah-olah neutral, seluruh korpus ilmu boleh dimasukkan dan bila ada soalan, jawapannya itu nampak lengkap.
  1. Tapi jawapan mereka itu relevan. Ia terserah kepada kita. Kalau Ai itu nak dikembangkan di Malaysia yang sedang saya asak dengan kuat supaya universiti-universiti dan ada fakulti Ai dan sebagainya. Kalau mahu berjaya, kita mesti latih anak-anak kita yang mempunyai kemahiran, kepakaran Ai – artificial intelligence itu untuk memasukkan, memuatkan khazanah ilmu Islam dan turath dalam korpus Ai. Jadi apa yang dilontar dan dimuntahkan oleh robot baru Ai ini berdasarkan ilmu yang dimasukkan kepada dia. Sekarang ini kita serah kepada Barat.
  1. Sebab itu saya katakan turath itu ada kaitan kerana turath itu mesti juga dimasukkan supaya Ai yang dimuntahkan, diluahkan dari negara-negara Islam itu tidak terpisah daripada sistem nilai dan akhlak Islam. Itu soal turath. Sebab itu dalam usaha-usaha kita terutamanya di Selangor, penerbitan karya-karya lama itu perlu. Cabarannya menerbitkan dan saya lihat apa yang diusahakan di Selangor ini menarik kerana diterbitkan dan dikekalkan satu tradisi ilmu lama macam pondok. Diterbitkan kemudian datang Sheikh baca dan kupas. Kerana dunia sekarang ini dunia media sosial, dunia 3 minit, ilmu 1 minit dan 3 minit. Padahal dalam Islam dan dalam tradisi ilmu dan tradisi aqliyah itu mesti menghadam, membaca, menelaah sebelumnya kemudian menghadam dan menghayati yang disebut ‘Istajibu lillahi wa lir-Rasuli, izaa da’’akum limaa yuhyeekum’ (Surah Al-Anfal, Ayat 24). Jadi cabarannya itu ‘wa’amilan salihan dan ‘limaa yuhyeekum’ dan penghayatan dia tidak mungkin dapat dari lintasan berita 1 minit hingga 3 minit dan terus jadi alim dan mengupas dengan rambang.
  1. Tradisi yang dibuat oleh Sheikh mengupas 40 hadis sekurang-kurangnya menjadi asas untuk kita memahami bahawa hadis itu bukan sekadar membaca matannya dan terjemahannya tetapi syarahnya terutama oleh kalangan yang berwibawa. Itu soal turath yang ditekankan.
  1. Sebab itu bila baca idea turath yang kemudian dikupas oleh salah seorang sarjana Barat terkemuka dalam bidang falsafah dan sastera, namanya Harold Bloom. Dia bicara soal turath di Barat, dia kata dia gunakan kanun Barat, ‘The Western Canon’ yang disebut semua karya-karya yang wajib dibaca oleh orang Barat untuk melayakkan diri dia dikenali sebagai sarjana. Kita tidak begitu dan saya hanya berikan ini sebagai perbandingan. Cuma satu hal yang benar-benar mengesankan, dia kupas semua tidak ada Islam. Tetapi dalam nota kaki dia, dia sebut untuk melayakkan diri seorang Barat menjadi sarjana yang pintar, menurut Harold Bloom, dia mesti meneliti dan membaca al-Quran. Orang Barat baca semua melainkan al-Quran. Western Canon itu buku kanun barat tapi saya tak runsingkan isu Barat, tapi nak menunjukkan bahawa kalau kita ikhlas dalam mengupas secara yang benar, maka tidak boleh mengenepikan turath bermula dengan al-Quran.
  1. Jadi saudara saudari, ini yang saya boleh singgung sepintas lalu tentang soal turath kerana saya tak berani kupas Riyadhu as-Salihin di depan ulama-ulama ini, walaupun dulu dalam usrah ABIM di bawah beberapa orang naqib, Ustaz Razali Nawawi, Ustaz Fadzil Noor, Abdul Ghani Samsudin, Riyadhu as-Salihin itu menjadi teks kami kemudian terpaksa setiap hari Isnin malam Selasa membaca dengan kupasan Ihya ‘Ulumuddin. Jadi setakat itu saja alim saya, malam Selasa (nada seloroh). Jadi sebab tu saya ingat serah kebijaksanaan kepada kawan-kawan.
  2. Cuma saya nak gunakan manfaat waktu ini untuk menjelaskan bahawa berbeda daripada simpang siur serangan begitu begini dalam politik, saya nak sebut bahawa Kerajaan MADANI ini komited. Belum pernah dalam sejarah negara kita, belum pernah kita berikan penekanan tentang dasar ilmu yang harus diterapkan di kalangan pelajar-pelajar. Seperti Matan Arbain yang diwajibkan, jadi mengambil masa untuk dikupas, dicetak dan diedarkan dan saya fikir apa yang dilakukan oleh saudara Amirudin, yang menetapkan asatizah, alim dan kita boleh kembangkan kepada guru-guru atau ustaz-ustaz yang nak mengajar supaya landasan itu betul. Kerana kalau kita tidak berlandaskan dengan pendekatan yang benar, jadi kita tidak menambah ilmu anak-anak tapi menambah kekeliruan dan perseteruan di kalangan anak-anak.
  1. Jadi kita kena pilih. Komitmen saya tidak berganjak dan saya tidak hadapi masalah. Ada dua (2) Menteri di sini, YB Dato’ Naim dan YB Fadhlina dan dalam Jemaah Menteri, bila saya cadangkan ada Matan Arbain, baik ada Muslimnya, ada Kristiannya, ada Sikhnya, ada Buddhistnya, paling banyak mereka tanya apa dia Matan Arbain? Mengapa nak dibentangkan kepada masyarakat Islam? Saya kata saya tak akan wajibkan kepada pelajar-pelajar bukan Islam. Tapi dia kalau mahu pendedahan, nak berkawan dengan kita, nak faham Islam itu agama Persekutuan, yang ada lita’arafu, kita kenal dia dan dia kenal kita, tak ada salah kalau dia turut mengikuti. Tetapi tidak diwajibkan melainkan kepada pelajar-pelajar Islam.
  1. Kemudian kita tambah peruntukan secara besar, tertinggi dalam sejarah untuk perkembangan dakwah program Islam melalui JAKIM dan beberapa rencana, juga tidak ada apa masalah. Yang ada hanya beberapa pertanyaan untuk penjelasan. Jadi saya nak memaklumkan di sini bahawa kalau ada tohmahan kata ada kebimbangan ini, saya belum hadapi. Satu setengah tahun saya jadi Perdana Menteri saya belum hadapi sangat. Ada kenyataan-kenyataan anak-anak di bawah itu biasa. Tapi saya nak bagi tahu, dalam memutuskan dasar-dasar utama di peringkat Jemaah Menteri, dasar MADANI, kerangka MADANI itu bukan sahaja soal kemampanan pertumbuhan ekonomi. Saya sebut tadi transisi tenaga, saya sebut digital dan Ai, tetapi saya tekankan soal akhlak dan nilai. Kita tidak melihat kemampanan ekonomi atau sustainability itu dari segi kaca mata yang asing – Barat, kita lihat pertumbuhan itu mesti dilakukan, keselesaan kepada rakyat itu mesti ditentukan. Mengurangkan beban rakyat itu harus diteruskan. Tetapi penekanan dalam nilai dan akhlak tidak boleh kita tolak ansur.
  1. Kalau kita baca karya-karya Imam Nawawi yang hidup dalam kegelisahan politik yang begitu rupa, doa dia itu saya masih ingat, mula dengan mendoakan supaya pemimpin itu ber- Kemudian di peringkat akhirnya juga tentang umat. Penekanannya tentang islah itu sangat penting dan doa-doa khatam Quran sebenarnya. Jadi yang saya nak tekankan di sini ialah, bila kita sebut islah berdasarkan prinsip ayat al-Quran ‘in uridu illal islah mastata’tu’, itu sebenarnya kerana keyakinan saya, negara tidak boleh berubah, umat tidak boleh berkembang dan kesedaran tidak bertambah, pencerdasan tidak berlaku tanpa islah sedaya upaya kita. Islah ini termasuk peningkatan ilmu, kegiatan-kegiatan yang harus disemarak untuk meningkat kefahaman dan memerlukan kesabaran.
  1. Sebab itu dalam konsep negara MADANI, saya mula dengan tatakelola. Saya tahu ada orang tak suka istilah tatakelola dan memerangi rasuah. Tapi dari pengamatan saya di dunia Islam, itu kelemahan besar kita. Kelemahan menonjolkan pimpinan yang punyai akhlak, punyai ketegasan, tidak menggunakan kuasa untuk memunggah kekayaan untuk diri dan anak, isteri dan menantu supaya ditumpukan betul-betul untuk mengangkat martabat umat. Baca doa khatam Quran Imam Nawawi, kita baca. Mesej dia apa? Pimpinan harus islah, harus adil, harus tidak bebankan masyarakat, jangan naikkan cukai dan membebankan rakyat. Ini sebagai seorang alim yang luar biasa kedudukannya, tetapi masih menekankan keperluan islah dalam konteks masyarakat dan negara.
  1. Sebab itu saya menganjurkan perbahasan ini tetapi juga cuba memahami saudara-saudara. Apa pun kelemahan yang dilontarkan, satu perkara yang saya tidak tolak ansur. Di bawah pentadbiran saya, saya tidak akan izinkan pelanggaran etika, kegelojohan dan tamak haloba pimpinan kerana itu akan mengikis keyakinan rakyat dan semua yang kita lakukan ini tidak akan meyakinkan kalau tidak mulakan.
  2. Di samping itu, kalangan yang menilai tidak boleh guna penilaian politik yang sempit. Jangan kita anjur hanya kebencian demi kebencian. Negara-negara banyak sudah pecah belah, tidak sanggup menilai satu. Sebab itu saya katakan seranglah apa pun terhadap diri saya, satu hal yang saya tidak lakukan, saya tidak guna kuasa memperkayakan diri saya dan keluarga saya. Dan saya gunakan sedaya upaya dengan pasukan yang ada untuk mengangkat martabat ekonomi, memberi keselesaan.
  1. Tapi saudara-saudara, walaupun ini Riyadhu as-Salihin, kita warisi hutang kita RM1.5 trillion, defisit negara 5.6%, tok guru dan ustaz harus tahu juga ini. Dalam perkara itu pun saya tidak mahu naikkan cukai. Dalam keadaan begitu pun kita berikan sedaya upaya jimat belanja daripada terhakis dan lontarkan termasuk majlis-majlis ilmu dan memberikan ruang anak-anak belajar dengan lebih baik. Dua hari yang lalu saya umum setiap pelajar sekolah menengah, universiti diberi RM100 untuk beli buku, dan saya pesan supaya guru-guru bagi panduan janganlah buku-buku picisan. Baca satu buku yang ada kandungan termasuk yang dikaitkan dengan turath. Baca satu buku dengan masalah digital dan AI. Jadi kita ingat kita gabungkan. Satu terikat pada akar tradisi akidah dan akhlak kita, turath. Kedua, meyakini keperluan untuk kita melonjak ke depan, baca buku digital dan Ai supaya kita dapat gabungkan dan terapkan dan jamin masa depan yang lebih berjaya dan lumayan.
  1. Imam Nawawi ini punyai dukungan yang luar biasa daripada Sheikh Daud Abdullah Al-Fathani sehingga Abdul Rauf Singkil, 400 tahun dulu sudah mula kupas dengan syarah mereka. Generasi sekarang janganlah hilang warisan itu. Warisan itu warisan besar, memperkayakan alim kita ulama tempatan juga di dunia Melayu dan saya percaya dengan ikhtiar yang dibuat oleh Selangor terutamanya, membanggakan. Syukur Alhamdulillah kita akan dapat menerapkan lagi.
  1. Jadi terima kasih sekali lagi Jazaakumullah Khairan Katsiran. Mohon maaf Syeikh kerana kupas soal ini kerana ini kesempatan yang baik untuk kita bicarakan secara terbuka.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.