TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI : MAJLIS KONVOKESYEN KHAS UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA (USIM) 2024

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

MAJLIS KONVOKESYEN KHAS

UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA (USIM) 2024

 

 

4 JULAI 2024 (KHAMIS)

 

 

PUSAT DAGANGAN DUNIA (WTC),

KUALA LUMPUR

 

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Alhamdulillahillazi Arsala Rasulahu Wa Dinil Haq

Liyuzhirahu ‘aladdini Kullihi

Wa Kafa Billahi Syahiida

Wausolli Wausallimu ala Rasulihil Karim

Wa ala alihi Wasohbihi Ajmain

 

Menghadap Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti,

Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz,

Pro Canselor Universiti Sains Islam Malaysia;

 

Merafak sembah menjunjung kasih atas limpah perkenan Yang Amat Mulia, Tunku Pro Canselor berangkat merestui Majlis Konvokesyen hari ini.

 

Al Imam Al Akbar Sheikh Prof. Dr. Mohammad Ahmad Tayyib,

Sheikh Al Azhar Al Syarif, Imam Besar Al-Azhar;

 

Rektor, Pro Canselor, Duta-Duta Besar, Ilmuan, dan rakan-rakan di muliakan.

 

  1. Mendengar kupasan dan pidato Al Imam Al Akbar membuktikan ketokohan tahap ilmu beliau dan meyakinkan kita bahawa USIM telah membuat satu keputusan yang bijak mengiktiraf Sarjana Ulung. Saya secara peribadi terpegun dan terpukau dengan kupasan yang begitu meluas dan saya harap USIM akan memanfaatkan pidato ini bersama terjemahan bahasa yang baik untuk disebarkan ke seluruh negara dengan kadar segera.

 

  1. Sikap mulia seorang ilmuan sarjana terkemuka bukan sahaja mengiktiraf universiti dan Negara Malaysia tercinta. Mengiktiraf juga Sarjana dan Ilmuan dengan menukil pandangan, Dr. Syed Mihammad Naquib Al-Attas yang menekankan soal adab dalam pendidikan bahawa pendidikan itu juga menimba ilmu tetapi tidak boleh meninggalkan adab dengan prinsip Addabani rabbi, fa ahsana ta’adibi.

 

  1. Al Imam Akbar mulakan dengan itu kemudian mengimbau keseluruhan daerah disiplin ilmu yang mencabar dan permasalahan umat. Meneruskan tradisi ilmuan, Abd al-Rahman Ibn Khaldun membicarakan soal Islah dan Tajdid yang memungkinkan berkembangnya masyarakat Islam yang punya tamadun baru dari Umran Badawi ke Umran Hadhari.

 

  1. Al Azhar Al Syarif mempunyai sumbangan yang sangat besar dalam dunia Islam dan kita di rantau kepulauan Melayu ini mendapat manfaat yang besar kerana lulusan Al Azhar ini menjadi benteng utama pertahankan akidah, ilmu dan menanam semangat serta roh Islam di kalangan masyarakat. Maka kita yang tidak mempunyai kesempatan ke Al Azhar selain daripada berkunjung ke sana, masih mempunyai manfaat menimba ilmu dari guru-guru dan Sheikh bagi memperoleh manfaat.

 

  1. Kenal dan dekat dengan kupasan-kupasan Sheikh Rashid Rida, Ahmad Shaltut, Mohamad Abduh yang telah dapat memberi penjelasan, penerangan dan pencerahan kepada umat dan yang paling penting pertahankan benteng akidah serta ilmu dalam menghadapi serangan yang pelbagai.

 

  1. Al Imam Al Akbar menyebut tentang kepincangan yang berlaku akibat dari serangan dan asakan pemikiran barat. Sama ada aliran liberal atau ideologi yang menyimpang dari landasan Islam. Beliau juga mengingatkan kita tentang bahaya sikap pelampau, taksub yang menyebabkan umat ini berpecah belah. Kita mengharapkan oleh demikian universiti utama seperti Al Azhar dengan rangkaiannya dengan sistem pendidikan yang ada dalam negara kita dapat meneruskan usaha mempertahankan benteng pertahanan umat utama melalui gedung-gedung ilmu.

 

  1. Al Imam Al Akhbar ini telah menunjukkan keupayaan beliau mempertahankan mutu dan kualiti umat ini. Umat ini bukan sahaja pada nama tetapi pada sahsiah, ilmu dan amal. Sebab itu dikupas seumpamanya, ayat tadi Wanafsiwwama Sawwaha Fa Alhamaha Fujuroha Wataqwah Qod Aflaha Man Zakkaha Wa Qod Qho Ba Man Dassaha.

 

  1. Saya mendengar kupasan beliau itu menyentuh hati nurani. Kupasan yang ringkas itu memberikan kesan kepada kita tentang kekuatan dan mesej Islam, bukan sahaja menekankan keimanan, rohani, jasmani, akal, kalbu, duniawi, ukhrawi dan mempertahankan pendekatan yang sederhana serta bijak dalam menangani permasalahan semasa.

 

  1. Saya punyai ruang bicara dengan beliau malam tadi agak panjang. Seorang alim terkemuka dunia Islam dan di antara Ulama paling tersohor pada hari ini tetapi beliau menyinggung soal-soal landasan kekuatan asas Muslim. Beliau juga menerima kenyataan kepelbagaian yang ada dalam negara kita dan masyarakat dunia.

 

  1. Ikhtilaf lilnas tentang perbedaan kemanusiaan, warna kulit dan agama. Beliau di antara pendukung yang kuat. Malam tadi menggesa saya bekerja lebih kuat, bersungguh-sungguh, menghimpunkan kekuatan umat dan memastikan ada sikap yang lebih lunak, berbaik sangka, hormat menghormati, tasamuh dengan prinsip lita’arafu di kalangan umat Islam dan bukan Islam di negara kita. Malah beliau mengusulkan agar kita mengambil langkah lebih positif dan berani untuk menunjukkan akhlak Islam dalam menyantuni masyarakat bukan Islam di Malaysia dan di rantau Asia ini.

 

  1. Insya-Allah kita akan tunaikan amanat itu dengan sebaik mungkin. Suatu bidang lain yang beliau tekankan ialah umat Islam untuk mereka maju mereka mesti punyai keupayaan menguasai disiplin baru, ilmu baru, teknologi baru. Ini salah seorang alim yang memberi penekanan dan peringatan kepada saya tentang keperluan kita menembusi tembok-tembok ilmu baru, meneroka ke alam pemikiran baru, termasuk digital dan Artificial Intelligence dan beliaulah di antara pembuka yang mempelopori World Future Summit yang akan diadakan insya-Allah pada bulan September di New York.

 

  1. Saya bagi pihak Kerajaan, negara, umat dan rakyat ingin menyatakan penghargaan setinggi-tingginya, Jazakumullah Khairan Katsiran kepada beliau dan rombongan di atas kesediaan berkunjung ke negara kita.

 

  1. Penghormatan diberi kepada kita dan saya hanya boleh memesan agar kita manfaatkanlah cadangan, usul dan pandangan yang beliau kemukakan supaya Negara kita terselamat dan dapat mencapai cita-cita menjadikan Negara MADANI.

    

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.