TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI : MAJLIS PERASMIAN BULAN KESELAMATAN NEGARA 2024

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI 

 

 

SEMPENA

 

 

MAJLIS PERASMIAN

BULAN KESELAMATAN NEGARA 2024

 

 

 

30 JULAI 2024 (SELASA) | 11.30 PAGI

 

 

 

PUSAT KONVENSYEN ANTARABANGSA,

PUTRAJAYA

 

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 

Alhamdulillah Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem.

 

YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail,

Menteri Dalam Negeri;

 

YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Bin Nordin,

Menteri Pertahanan;

 

Menteri-Menteri;

Timbalan-Timbalan Menteri;

 

YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali,

Ketua Setiausaha Negara;

 

YBhg. Datuk Raja Nurshirwan Zainal Abidin,

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara;

 

YBhg. Tan Sri Razarudin bin Husain,

Ketua Polis Negara;

 

YBhg. Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Mohammad bin Ab Rahman,

Panglima Angkatan Tentera;

 

Duta-Duta Besar; dan

Rakan-rakan serta anak-anak yang dikasihi sekalian.

 

  1. Saya bersyukur dapat bersama menjayakan Bulan Keselamatan Negara 2024 dan saya ingin mulakan dengan menegaskan bahawa kita bersyukur kepada Allah S.W.T kerana negara aman. Tetapi seperti mana saya singgung, tatkala meluncurkan Jalur Gemilang tahun ini kita harus faham bahawa aman itu kerana beberapa kesediaan dan kecekapan, baik pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan lain lain, maaf kalau tertinggal satu dua agensi.

 

  1. Jadi janganlah membuat andaian seolah-olahnya semua keadaan biasa tanpa mengenang khidmat pengorbanan mereka selama puluhan tahun, sebelum sehingga kemerdekaan yang terus mengawal keselamatan di darat, laut, dalam negeri dan sempadan. Semua teori-teori pertahanan yang kita baca sama ada dari Sun Tzu, Carl von Clausewitz dan Donald Kagen, semua mengingatkan kita bahawa kadang-kadang serangan atau permasalahan itu dalam keadaan yang tidak terduga termasuk Perang Dunia Pertama dan Kedua. Andaian serangan Adolf Hitler itu akan menyerang hanya diketahui di saat akhir. Pemikir strategis utama dunia masa itu dalam lingkungan Winston Churchill seperti diungkapkan Winston Churchill sendiri bahawa tidak mungkin ini akan berlaku.

 

  1. Apakah maksud saya sampaikan ini? Maknanya jangan kita remehkan keperluan pertahanan negara. Kita bersyukur dan strategi kita adalah berbaik. ASEAN umpamanya merupakan di antara gabungan negara-negara rantau yang paling aman dan berjaya. Tidak ada peperangan ataupun ketegangan selain daripada permasalahan sempadan yang kecil. Kita berhadapan dengan isu yang dibangkitkan tentang Laut China Selatan tapi hubungan kita dengan Amerika Syarikat, Negara Barat dan Negara China itu baik.

 

  1. Kita tidak terikut dengan kerangka diplomasi asing, kita tentukan kepentingan dan strategi negara kita sendiri. Dalam pengalaman kita, setakat ini kita tidak hadapi ancaman yang kita anggap membimbangkan. Hubungan kita sangat baik walaupun kalau dilihat media barat itu menekankan seolah-olah ada cetusan dan pelanggaran beberapa peraturan oleh Negara China, tetapi hubungan kita dengan Negara China menunjukkan bahawa semua permasalahan itu boleh diselesaikan di meja rundingan secara teratur dan sopan. Tetapi ini tidak bermakna kita harus dalam keadaan selesa, sebab itu peruntukan perbelanjaan negara untuk pertahanan, keselamatan dalam negeri terus ditingkatkan.

 

  1. Kita masih berdepan dengan beberapa masalah kalau dalam negeri, soal kaum, soal ekstrem agama, mencetuskan umpamanya keselamatan, penembakan anggota polis di Ulu Tiram baru-baru ini dan penangkapan beberapa tokoh dan kalangan yang terus ada hubung kait dengan kegiatan keganasan Islam di luar negara, ISIS dan sebagainya. Maknanya soal-soal dalaman soal-soal ini harus kita tangani. Kita ada juga ugutan dari pelampau dari sudut tuntutan kenegerian dan wilayah yang tidak terikat pada Perjanjian Persekutuan tetapi terpesong dan membuat ugutan untuk memecahkan persatuan, persekutuan.

 

  1. Walaupun kelompok ini kecil dan belum menjadi trend negeri atau nasional tetapi bagi pasukan keselamatan, kita harus terus waspada terutama Polis Diraja Malaysia, dan dalam konteks ini, Angkatan Tentera Malaysia. Tentu rakan-rakan membangkitkan tuntutan Filipina ke Sabah. Kerajaan Malaysia telah buat kenyataan tegas tidak bertolak ansur satu inci tanah air kita tidak mungkin kita terlibat dalam apa-apa perundingan yang mempertikai hak dan kedaulatan negara. Namun hubungan diplomatik kita dengan Filipina sangat baik dan hubungan peribadi saya dengan Presiden Bongbong Marcos juga di tahap yang sangat rapat dan akrab.

 

  1. Oleh itu, jalur ini harus kita manfaatkan untuk menjaga keselamatan. Tapi dalam konteks ini pasukan kita harus mengerti bahawa sejarah telah menunjukkan dan membuktikan bahawa perlakuan serangan seperti mana gerombolan yang berlaku di Juru, Sabah beberapa tahun yang lalu itu kadang-kadang berlaku dalam keadaan yang tidak diduga. Maka sebab itu kesedaran keselamatan itu harus diperluas.

 

  1. Saya ucap terima kasih kepada Majlis Keselamatan Negara, Cyber Security yang mengambil inisiatif pada hari ini meneruskan program pendedahan dan pencerahan kepada rakyat termasuk anak-anak sekolah, mahasiswa universiti dan rakyat, masyarakat awam bahawa soal keselamatan ini bukan tanggungjawab pasukan keselamatan atau badan penguatkuasaan, keselamatan negara ini tanggungjawab bersama.

 

  1. Ada jenayah berlaku dalam keadaan biasa, ada jenayah yang berlaku dalam rangkaian kegiatan jenayah antarabangsa. Ada kegiatan gerombolan pengganas yang berlaku cetus di satu tempat dan daerah terpencil tapi ada kemungkinan rangkaiannya di peringkat jaringan antarabangsa.

 

  1. Sebab itu saya katakan kita harus lebih canggih dalam pendekatan kita. Maka timbul masalah cybersecurity ataupun persoalan Hal ini tidak dibicarakan puluh tahun yang lalu. Ada beberapa negara yang meletakkan keselamatan siber itu di antara urutan keutamaan pertahanan. Tetapi hampir semua negara meletakkannya di tahap kelima teratas atau paling kurang sepuluh teratas. Ada negara yang meletakkan nombor yang pertama.

 

  1. Apa strategi keselamatan yang pertama? Sekuriti siber. Kerana ia mengancam keseluruhan keselamatan negara. Kesiapsiagaan baik Angkatan Tentera atau Polis semuanya. Oleh itu, dalam kerangka kerja kita, kita telah berikan tumpuan, latihan dan persiapan awal supaya sekuriti siber itu dalam keadaan yang baik dan kita adakan jaringan dengan negara yang agak bersahabat supaya boleh memberi kerjasama dan bantuan meningkatkan keupayaan kita.

 

  1. Sebab itu saya katakan akhirnya, dalam bicara soal keselamatan ini yang menentukan sama ada negara ini aman dan selamat itu kita. Negara dan rakyatnya tidak boleh menumpang belas kasihan daripada sesiapa, yang akan menumpukan sama ada negara ini aman dan selamat rakyatnya. Sebab itu jangan pandang ringan kerana ada usaha yang berterusan iaitu biasa dan lihat dalam lembaran sejarah tidak pernah boleh kita tinggalkan permasalahan ini bahawa gugatan terhadap ancaman keselamatan itu sentiasa ada sama ada dari dalam atau di luar.

 

  1. Saya bukan bermaksud untuk menakutkan tetapi saya bimbang kerana ada orang menganggap selesa. Apa nak bimbangkan negara aman, makan cukup, negara dianggap sedang mencatat kadar pertumbuhan yang membanggakan. Kadar pertumbuhan terakhir 5.8 peratus, inflasi masih 2 peratus, kadar pengangguran menurun, pelaburan meningkat. Benar, dan kita harus beri tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi tanpa meringankan keutamaan tadi, tanpa mengenepikan aspek-aspek yang penting termasuk nilai, termasuk cara kita mengurus negara dan tatakelola, dan ini termasuk dalam pasukan keselamatan.

 

  1. Kalau matlamat itu menjaga keselamatan negara, maka cara perolehan itu juga harus bertanggungjawab kerana pengalaman kita bukan sahaja soal tentera, polis dan jentera-jenteranya, pasukan-pasukan lain kadang-kadang perolehan itu untuk menjamin keselamatan. Setuju, maka peruntukan harus ditambah tapi cara membeli itu menyebabkan terlalu banyak ketirisan dan ini mesti dihentikan. Bila bicara jaminan keselamatan, bila ambil tindakan kepentingan keuntungan peribadi. Inilah perangai-perangai yang merosakkan kepentingan negara.

 

  1. Sebab itu saudara-saudara tahu saya agak keras, tidak disenangi oleh banyak pihak. Tetapi tidak ada pilihan kalau kita betul benar percaya untuk pertahankan keselamatan negara maka dari awal di semua peringkat termasuk perolehan. Kalau tidak tengok nasib kapal perang kita, nasib pesawat kita dan banding dengan jumlah peruntukkan yang besar yang diberikan setiap tahun. Sebab tu saya ucap terima kasih, tiada pimpinan pasukan keselamatan, baik ATM dan PDRM kerana kembali kepada landasan memastikan bahawa perolehan itu mesti mengikut kaedah dan peraturan yang betul dan tidak untuk kepentingan kepentingan ejen-ejen sama ada dalam atau luar negara.

 

  1. Saya singgung hal ini kerana soal keselamatan jadi tujuan menyebut benar walaupun tidak banyak dibicarakan, tapi masih ada fokus utama kita. Soal keselamatan, soal jenayah, soal jenayah siber ini harus diberi tumpuan kerana ini sahaja jalan selamatkan masa depan negara kita. Sebab itu, kaedah yang diperkenalkan tentang indeks keselamatan Negara itu saya sangat bermanfaat kerana rakyat boleh menilai sendiri dari tahun ke tahun perkembangan bagaimana tahap keselamatan di semua peringkat. Jenayah yang berlaku ancaman dari segi keselamatan sama ada jaringan dengan luar negara, sempadan, ancaman di darat dan lautan ini dapat difahami oleh rakyat dan dengan cara mendekati serta menyantuni anak-anak sejak dari bangku sekolah, kesedaran itu akan tentunya lebih meluas.

 

  1. Betul, ada beberapa kenyataan yang membanggakan seperti Global Peace Index 2024 yang meletakkan Malaysia di antara negara aman. Sebab itu dalam mukadimah saya sebut tadi ya, tapi ini bukan untuk memberikan kita rasa selesa. Selalu saya sebut di dalam pertemuan dengan penjawat awam, di antara penyakit yang menyinggap ataupun mengesankan baik kepimpinan atau golongan elit dan penjawat awam ialah culture of complacency. Bila dapat jumpa indeks kita Top 10, udahlah kita harus rasa selesa, itu bahaya. Ini bukan maksud untuk berasa selesa tapi kalau ada betul kita nombor 10, soalnya mengapa tidak nombor tiga (3)?

 

  1. Jadi ada keinginan dan hasrat memperbaiki dan begitu juga seperti mana dibicara oleh Menteri Dalam Negeri tentang Malaysia telah naik taraf Malaysia ke Tier 2. Pada tahun 2024, Trafficking in Persons Report, itu satu kebanggaan bagi kita semua dan tahniah kepada semua badan saya sebut tadi pasukan keselamatan Polis, Tentera APMM, Bomba, Imigresen itu di antara yang akan di depan. Tetapi ada orang tanya saya mengapa Tier 2? Negeri aman, semua cekap, yang urus bijak-bijak belaka dan yang jaga sempadan dan kawalan bersih-bersih belaka. Mengapa tidak boleh naik taraf jadi Tier 1? Itu soalan-soalan yang kita harus jawab insha-Allah.

 

  1. Dalam risiko Global World Economic Forum (Forum Ekonomi Dunia Risiko Global 2024), itu maknanya seperti yang saya singgung sebelum ini serangan siber itu masih dalam urutan keutamaan. Ini memerlukan suatu tumpuan, latihan kepakaran dan juga jaringan dengan beberapa syarikat dan Badan Perisikan dan Cyber yang kita boleh manfaatkan kerana bila kita mula bicarakan hal ini, ternyata kita masih di tahap yang sangat lemah ketimbang negara-negara lain.

 

  1. Kita telah perkenalkan Rang Undang-Undang Keselamatan Siber dan baru-baru ini Menteri Komunikasi dan Menteri Digital telah memberikan tumpuan untuk menjamin supaya keselamatan itu jamin untuk rakyat dalam Negara dan luar dan ini akan memerlukan beberapa tindakan yang agak tegas untuk mengawal. Semalam saya singgung di Ipoh, tentang kebimbangan dibangkitkan apakah ini akan mengekang kebebasan?

 

Saudara-saudara,

 

  1. Negara ini negara demokratik, kebebasan mesti diberikan untuk orang menyuarakan pandangan mereka sama ada bersetuju atau menegur atau menentang. Tetapi ada bedanya urusan digital, siber dan media sosial itu digunakan umpamanya untuk mendera orang sehingga menyebabkan ada yang membunuh diri, ada yang menyebabkan salah guna dari segi memperalatkan anak-anak kecil untuk urusan dagang seks.

 

  1. Apakah ini diwajarkan? Ada scam yang telah mencecah lebih RM2.5 bilion ringgit. Scam yang mana orang ditipu menggunakan kemudahan media sosial dan bila kita katakan kita harus sekat dia kata jangan sekat kebebasan. Apakah kebebasan untuk menipu? Apa kebebasan untuk mencuri? Apakah kebebasan untuk mendera orang sehingga orang membunuh diri? Ini hal-hal yang harus difahami oleh rakyat. Sebab itu dalam soal ini, soal keselamatan diri dalam Maqasid Syariah pun, ini soal yang antara yang utama, soal harga dan maruah orang itu mesti diberikan keutamaan.

 

  1. Untuk kawalan sempadan kita telah umumkan sejak tahun lalu RM1 bilion ringgit, kawalan sempadan Sabah dan Sarawak dan juga kemudahan-kemudahan terutama memandangkan ibu kota Indonesia yang baharu IKN di Kalimantan. Saya minta laporan dalam mesyuarat hari Khamis kita akan dapat laporan terkini dan kita berikan tumpuan supaya jangan di lengahkan program tindakan. Saya ucapkan terima kasih kerana beberapa langkah itu diambil kerjasama Kerajaan Negeri dan Majlis Perbandaran supaya dipercepatkan kemudahan-kemudahan di sempadan.

 

  1. Di samping itu ada keperluan di Utara Semenanjung. 3 hari bulan ini saya akan bertemu dengan Perdana Menteri Thailand Srettha di Sungai Golok dan Rantau Panjang untuk membicarakan soal keselamatan sempadan dan merancakkan pertumbuhan ekonomi di Utara Semenanjung Tanah Melayu dan juga di Selatan Thailand. Dan untuk kemudahan tambahan itu saya bersetuju pada hari ini meluluskan RM100 juta ringgit untuk sempadan di Kelantan, Kedah dan Perlis.

 

  1. Jadi saudara-saudara, saya ingin akhiri dengan menyatakan dan menegaskan bahawa negara yang kuat dan kukuh itu tentunya dengan perpaduan rakyat dan kekuatan ekonomi. Tapi Negara yang utuh dan selamat itu adalah dengan keselamatan negara yang terjamin dan juga dengan doa kepada Allah S.W.T, mudah-mudahan negara kita kekal aman, damai dan selamat.

 

  1. Dengan lafaz Bismillahirahmannirrahim saya lancarkan Bulan Keselamatan Negara 2024 dan Sidang Kemuncak Keselamatan Siber NACSA 2024.

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.