TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PELUNCURAN TRANSFORMASI EKONOMI BUMIPUTERA (PuTERA35)

 

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

MAJLIS PELUNCURAN TRANSFORMASI EKONOMI BUMIPUTERA (PuTERA35)

 

 

19 OGOS 2024 (ISNIN)

 

PUTRAJAYA

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 

Alhamdulillahilladzi arsala rosulahu bil huda wa dinil haq. Liyuzhhirohu ‘alad dini kullihi. Wa kafa billahi syahida.

Wa Nusalli Wa Nusallimu ‘ala rasoolil kareem, Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.

 

YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi

Timbalan Perdana Menteri

 

YB Tuan Mohd Rafizi Bin Ramli

Menteri Ekonomi

 

YBhg. Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar 

Ketua Setiausaha Negara

 

Menteri-Menteri, Timbalan Menteri, Timbalan Premier, Menteri Besar Selangor, rakan-rakan yang saya dimuliakan.

 

  1. Alhamdulillahirabbil alamin dalam masa singkat kita cuba menyusuli keputusan-keputusan menerusi keputusan yang lalu dan cuba meletakkan kerangka pelaksanaan yang lebih jelas dalam PuTERA35.

 

  1. Saya berterima kasih kepada rakan-rakan yang mendengar pandangan-pandangan dari pelbagai kelompok sarjana, ahli ekonomi, kepimpinan politik, penjawat awam yang membantu menyiapkan kerangka dan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035.

 

  1. Saya mulakan dengan mengimbau keadaan kenyataan dasar yang juga disinggung oleh Saudara Rafizi dan juga Datuk Seri Zahid iaitu negara harus dipacu dengan tahap kelajuan yang lebih meyakinkan. Dalam masa yang sama negara masih bertapak kepada kenyataan bahawa pemacuan ini tidak harus meminggirkan mana-mana pihak.

 

  1. Maka itulah kebijaksanaan pemimpin lalu khususnya Almarhum Tun Abdul Razak tatkala merangka dasar ekonomi baru. Tapi pimpinan dan juga masa beredar yang menuntut generasi penerus memikir langkah-langkah berikut yang harus dijamin lebih berkesan.

 

  1. Tetapi kerangka pemikiran bahawa pemacuan ekonomi itu harus bersama dengan penyertaan seluruh rakyat tanpa meminggirkan mana-mana suku kaum atau wilayah. Apa lagi negara yang kian membesar dari Perlis ke Sabah dan Sarawak. Ini cabaran utama kita.

 

  1. Sampai sekarang ada lagi wacana di kalangan cendekiawan dan elit bandar yang sentiasa mempertikai kebijaksanaan dasar yang memberikan atau kebijakan ekonomi yang menekankan tentang keadilan sosial dan keadilan bersama.

 

  1. Sebab itu saya ingin jelaskan di sini, bahawa dalam mana-mana dasar pemikiran yang waras dari zaman lampau, zaman Islam sampai sekarang tidak pernah dibicarakan soal pembangunan yang meminggirkan sebagai rakyat.

 

  1. Semasa Khalifah Abu Bakar As-siddiq RA, pemimpin dan bila ada pelanggaran tentang salah satu prinsip, penolakan institusi zakat maka beliau watak yang sederhana watak yang waras dan sabar masih mengambil keputusan tegas melancarkan perang terhadap golongan yang ingkar membayar zakat.

 

  1. Alasannya ialah kerana runtuhnya institusi zakat itu bermakna mengizinkan pertumbuhan ekonomi yang meminggirkan masalah yang dihadapi oleh kalangan miskin.

 

  1. Sebab itu kalau kita lihat dalam sejarah Islam, teguran dan kritikan berbeda daripada ancaman meruntuhkan pemerintahan yang menjadikan pembanterasan kemiskinan itu salah satu tonggak pertumbuhan ekonomi.

 

  1. Sebab itu institusi zakat harus difaham dalam Maqasid Syariah dalam pengertian yang lebih luas. Mutakhir ini pemikir seperti Michael Chandler, Harvard yang mempopularkan karya the Tyranny of Merit. Disebabkan ini saya singgung kerana ada yang memberikan teguran, mengapa kita masih teruskan dengan agenda pemerkasaan ekonomi bumiputera?

 

  1. Padahal negara harus memacu pertumbuhan, memacu pertumbuhan itu maknanya mengiktiraf merit. Mengiktiraf dan memberikan ruang kepada golongan yang paling pintar.

 

  1. Peringatan Michael Chandler dalam Tyranny of Merit itu penting. Pertama, tiada siapa yang mengatakan bahawa kita harus menidakkan keupayaan sesiapa. Yang paling pintar harus diberikan penghormatan dan pengiktirafan. Kalau kita mahu doktor, mesti doktor yang paling mahir. Dia tidak yang fahamannya sederhana.

 

  1. Kalau kita mahu majlis ilmu agama, kita bukan ambil ustaz-ustaz picisan mesti yang betul-betul arif, alim dan mendalam dalam bidang agamanya.

 

  1. Begitu juga teknologi, nuklear, digital ataupun artificial intelligence (AI). Maka tidak saya maksudkan untuk menafikan. Tetapi peringatan dalam Tyranny of Merit ini ialah bahawa tidak muncul orang yang ada merit ini kalau tidak ada prasarana yang cukup.

 

  1. Dan prasana itu termasuk keamanan, kesejahteraan negara, mana ada kemungkinan orang itu menceburkan diri dalam bidang pengkhususan kejuruteraan peringkat tertinggi atau semikonduktor kalau negara ini kucar-kacir.

 

  1. Maka iktiraf orang memberi sumbangan dalam bidang pertahanan negara dan keamanan negara. Walaupun tahap pemikiran mereka tidak sehandal profesor ekonomi, atau pakar semikonduktor ataupun AI. Ini yang dikatakan humility yang perlu diterapkan di kalangan yang punyai kejayaan.

 

  1. Jadi pertama prasarana, termasuk politik, negara yang aman dan pertahanan dan keamanan. Dan kedua sumbangan semua pihak yang memungkinkan wujudnya kelas terpilih yang disebut merit.
  2. Maka dalam merencanakan dasar dalam negara kita jangan kita tinggalkan itu. Sejarah tidak mungkin dipadamkan dan kenyataan bahawa semua pihak punyai peranan harus diiktiraf sekecil mana pun. Ibaratnya seperti mana kalau kita bicara soal COVID dan penyumbang utamanya tentunya doktor dan jururawat, teknikal dan tukang cuci di bilik bedah semua itu ada peranan.

 

  1. Jadi bila kita beri pengiktirafan, jangan hanya diiktiraf hanya yang mahir dan ketepikan tukang cuci. Kalau dia tidak cuci, tidak sah pembedahan boleh dilakukan.

 

  1. Jadi ini pendekatan yang harus diingat oleh bumiputera dan bukan bumiputera di negara kita. Jangan hanya lihat satu peringkat tertinggi dan meninggalkan kerangka menyeluruh yang mendasari program kita dan kejayaan negara kita.

 

  1. Sebab itu pemikir ekonomi sealiran dengan Michael Chandler seperti John Rose selalu saya tegaskan. Mana ada justice, kalau tidak ada fairness. Justice is fairness.

 

  1. Selalu kita bandingkan kita, kita harus bersaing dan harus iktiraf yang paling pintar, ya. Tetapi mahu disamakan proses perlumbaan anak dari Manik Urai dan Charok Kudong serta Kapit dengan sekolah-sekolah terbaik contohnya ada batas. Sebab itu sementara perancang memikirkan dan memberikan pengiktirafan kepada yang terpintar tidak harus melupakan bahawa ada yang sebelum diberikan ruang peluang yang saksama.

 

  1. Maknanya belum ada keadilan because justice is fairness. Apa yang kita lakukan dalam kerangka perencanaan agenda bumiputera ini tidak terpisah daripada dasar ini.

 

  1. Selain daripada kenyataan bahawa di Malaysia ini ada secara tersendiri. Sebab itu kalangan yang mengurus dan mengendali agensi bumiputera itu dianggap pengkhianat lebih besar kalau mereka merosakkan agensi itu dengan tatakelola yang rendah dan menggunakan agensi dan peluang itu memperkayakan diri dan kelompok mereka dan meninggalkan dan melupa agenda utama untuk mengangkat martabat bumiputera.

 

  1. Dan dalam proses perbincangan dalam wacana kita lebih awal ini kita harus mulakan. Beberapa puluh billion yang dicurahkan, berapa bilion ringgit saham yang diberikan, berapa berat hampir puluhan malah ratus agensi yang didirikan. Apakah mereka merencanakan program secara bertanggungjawab. Dan adakah yang tidak diproses? – accountability.

 

  1. Jadi saya percaya seperti mana disebut oleh rakan-rakan tadi dan dalam perancangan sebelum kita terus tentang peringkat pelaksanaan. Yang hendak laksanakan ni siapa? tentunya yang utama agensi bumiputera. Maka mereka harus pastikan proses pelaksanaan itu lebih teliti, lebih cekap, lebih bertanggungjawab.

 

  1. Dan saya ucap tahniah kepada agensi-agensi penguatkuasaan termasuk SPRM ataupun commercial crime, LHDN dan lain lain. Dan baru-baru ini kuasa yang lebih diberikan kepada Ketua Audit Negara untuk masuk dan memantau.

 

  1. Kerana ini prasyarat kalau tidak kita curah berbillion, dia masih tiris dan bocor dan kesannya tidak sampai ke peringkat akar bumi yang menyebabkan di kalangan anak muda, di kalangan rakyat merasa resah kerana bunyinya hebat, perancangannya itu memukau, tetapi pelaksanaan tidak ke mana.

 

  1. Jadi saya ingin tegaskan hal yang sedemikian. Dan kalau ini dilakukan, saya tidak ambil peduli sangat kalau ada orang yang terus mempertikai siapa kata dasar bumiputera ini mengenepikan kepentingan suku kaum lain.

 

  1. Kalau ada suara-suara yang munasabah tuntutannya kita boleh terima. Bahawa dasar bumiputera di Malaysia ini dasar affirmatif untuk memikir merenung tentang keadaan ketidakadilan, tapi tidak pernah mengenepikan kedudukan anak India dan anak Cina. Apa lagi suku kaum bumiputera. Sama ada orang asli, Sabah dan Sarawak.

 

  1. Dan ini saya harap rakan-rakan termasuk agensi bumiputera, jangan ketepikan. Sebab itu pendekatan baru dan bila kita bicarakan soal miskin tegar, kita tidak lihat dari segi kaum. Siapa yang tergolong di bawah kategori miskin tegar itu harus dibantu.

 

  1. Dan bila kita amanahkan kepada Datuk Seri Zahid ketuai Majlis TVET, dia pastikan Majlis TVET itu tentu memberikan ruang kepada anak bumiputera. Tetapi kalau ada anak Cina, anak India atau Orang Asli dan tumpuan beberapa kawasan terpinggir dan merasakan di pedalaman Sabah dan Sarawak itu mesti diberikan perhatian yang sama supaya semua rakyat dapat diangkat bersama.

 

  1. Saya tekankan TVET ini kerana kita sekarang mencatat satu pelaburan yang sangat menggalakkan. Bulan lalu saya luncurkan program Infineon yang baru. Yang disebut mula EUR 5 bilion, sekarang dah naik EUR 6 bilion Pelaburan syarikat semikonduktor front end yang terbesar luar Jerman, nombor 2 di dunia yang dikenali infineon, mereka pilih malaysia Kulim Hi-Tech.

 

  1. Dan tentunya selalu lihat Selangor, Pulau Pinang, Johor dan kini dalam beberapa tahun sekarang ini tidak semena-mena melonjak. Perhatian pelabur terutama dalam bidang tenaga di negeri Sarawak. Yang kita akan kelihatan sebagai salah satu medan penting dalam menjadikan energy hub bagi rantau ini.

 

  1. Ini semua memerlukan tenaga terlatih yang baru. Maknanya dalam ekosistem kita bicarakan tanggungjawab Kementerian Pengajian Tinggi, tanggungjawab Kementerian Pendidikan, tanggungjawab Kementerian Sumber Manusia dan semua kementerian yang terlibat.

 

  1. Dan tidak boleh lagi kita gunakan pendekatan lama. Ini urusan kementerian ini jabatan ini. Saya sudah beritahu dan saya ucap terima kasih kepada rakan-rakan Jemaah Menteri mengambil satu tindakan lebih terbuka iaitu cuba mengendalikan program latihan ini secara yang lebih bersepadu. Kerana sekarang umpamanya sasaran MARA memerlukan untuk melatih dalam masa 10 hingga 15 tahun ini 60,000.

 

  1. Infineon sahaja memerlukan segera 400 jurutera. Dan dalam proses 4 hingga 5 tahun ini 4000 jurutera. Sebab itu program itu sekarang ini bukan tertumpu kepada satu badan, Khazanah Nasional umpamanya dalam program K-Youth Development mensasarkan latihan 13,300 peserta.

 

  1. Jadi semua harus dipertanggungjawabkan. Di bawah Khazanah Nasional ada apa? syarikat mana, tenaga atau minyak atau kewangan atau bank semuanya boleh dipertanggungjawabkan.

 

  1. Ini bukan urusan kerajaan sahaja, ini urusan negara. Malah saya usulkan seperti mana badan-badan seperti Khazanah harus juga turut melatih anak-anak yang layak diberikan dengan bukan Melayu. Saya juga telah usulkan syarikat-syarikat bukan Melayu juga yang berjaya harus mengambil inisiatif khusus melatih anak-anak Melayu bersama supaya dapat diangkat sebagai joint effort and nasional effort.

 

  1. Dalam pemantauan ini saya percaya jawatankuasa bersama akan pantau, akan tanya umpamanya ada syarikat besar yang dikenali oleh bumiputera yang memberi ruang kepada anak-anak terutamanya miskin bukan bumiputera dan kita juga mahu tahu syarikat-syarikat berjaya di kalangan bukan bumiputera yang harus juga beri perhatian.

 

  1. Dan jangan lupa sama ada bumiputera atau bukan bumiputera sudah kekal dalam negara ini yang aman, sumbangan yang besar dari banyak kalangan sistem yang teratur, politik yang stabil, dasar-dasar yang jelas dan penjawat awam terutama sekarang mulai hari ini jauh lebih efisien daripada sebelumnya. Insya-Allah.

 

  1. Dan saya harap jawatankuasa ini pantau bersama dan wakil dewan perniagaan Cina, India ataupun Dayak dan Kadazan itu boleh dijemput diundang bersama supaya dapat membuat penilaian dan memberikan input mana-mana kelompok yang ketinggalan harus dibantu.

 

  1. Ini bukan urusan Perdana Menteri atau Menteri atau Kerajaan Negeri sahaja. Ini urusan semua pekerjanya nelayan, pekebun kecilnya, Kerajaan dan swasta. Jadi oleh kerana kesepakatan kita, kita telah catat pertumbuhan 5.9% yang jauh lebih baik kepada daripada kebanyakan negara di Asia.

 

  1. Kita runsing dengan inflasi. Inflasi walaupun ada masalah, saya tidak nafikan masih orang keluh kesah soal harga barang. Tapi bayangkan saya sebentar tadi dengan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Turkiye dan Menteri Pertahanan Turkiye.

 

  1. Dalam perbincangan, saya kata apa masalah? saya kata masalah kita ini kos sara hidup. Runsing sikitlah kadar barang naik, dia kata berapa peratus kenaikan 2%, 3% adalah kerana makanan naik 4% oh, dia kata runsing lagi? saya kata runsing. Turkiye berapa? Turkiye inflasi 40%.

 

  1. Jadi kita syukur juga. Kita cuba selesaikan dengan baik. Ada masalah sama di mana kita bicarakan pada hari Jumaat, masalah penjawat awam. Munasabah tuntutan? munasabah. Adakah kita ada keupayaan, belum cukup, tapi kita iktiarkan, usahakan, kebetulan ada berkatnya, kita umum pukul 10.00 pagi naik gaji penjawat awam, pukul 12.00 tengah hari naik pertumbuhan 5.9%.

 

  1. Dan hari ini, ringgit terus terus kukuh dari segi peningkatan iaitu ya di antara terbaik di rantau ini. Ini kalau niat ikhlas amanillah saya percaya kita akan mendapat keberkatan.

 

  1. Begitu juga dalam merangka latihan untuk usahawan bumiputera dalam pemilikan seperti menyebut penyertaan dan program-program yang dilakukan oleh badan-badan yang saya sebutkan tadi, termasuk juga Equinas. Dan ini juga tercatat dalam beberapa kenyataan kita saya tidak bermaksud untuk mengulang. Tapi saya hendak sebut di sini sebab keperluan kita melihat kerangka ini secara menyeluruh.

 

  1. Jarang-jarang berlaku dalam sejarah di mana kita nampak ada kesepakatan muafakat untuk melakukan anjakan. Ada kekuatan, dulu ada kelemahan imej negara kerana dikaitkan dengan rasuah. Ada masalah kelembapan ekonomi kerana politik yang terumbang-ambing.

 

  1. Jadi syukur alhamdulillah, ada ruang. Jadi saya hanya anjur mari kita gunakan ini angkat ekonomi kita. Tingkatkan martabat dan darjat dan harakat bangsa dan rakyat kita. Dan ini memerlukan komitmen atau iltizam semua, semua pihak termasuk penjawat awam.

 

  1. Kerana apa yang dibicarakan tadi oleh kedua-dua rakan kita tadi ialah kita sampai ke tahap pelaksanaan. Dan ini kali pertama juga kalau tidak salah saya di mana semua agensi kerajaan dan syarikat kerajaan masuk KHAZANAH, PNB dan PETRONAS, walaupun dia jauh lebih asing dan bebas, tapi semua kemukakan kerangka bagaimana kita harus sepadankan badan tersebut dengan dasar kita, dengan dasar kerajaan dan ekonomi MADANI juga untuk mengangkat kedudukan bumiputera.

 

  1. Saya di antara Perdana Menteri yang paling sedikit bicara soal bumiputera dan dasar ekonomi bumiputera. Kerana saya lebih berminat untuk memastikan pelaksanaannya daripada menghebahkan dasarnya.

 

  1. Sebagai contoh, bila kita sebut tentang Transformasi Ekonomi Bumiputera, kita ada bandar Malaysia, satu tanah yang paling berharga dalam negara ini. Jangan dunia terlepas pegangan. Sekarang kita wujudkan di bawah perbadanan.

 

  1. Dan sejak merdeka tahun 1957 sampai sekarang, inilah pertama kali kerajaan menangani mengisytiharkan 50 ekar sebagai tanah rizab Melayu. Orang boleh simpang siur politik, kita faham. Tapi riuh rendah siapa Melayu ini, Melayu ini, Melayu itu, tetapi kadang-kadang atas nama lain bumiputera, hak bumiputera dan hak Melayu pun kita sakau.

 

  1. Kalau tidak badan-badan macam Bank Bumiputera, tidak sampai terlingkup. Sebab itu, saya beritahu perbadanan ini akan memastikan tentunya pembangunan untuk rakyat Malaysia. Saya beri jaminan selain daripada tanah rizab Melayu 50 ekar kawasan yang paling strategik yang kosong sekarang ini, perumahan MADANI rakyat akan diberi keutamaan.

 

  1. Baik penjawat awam terutama kategori lebih rendah ataupun rakyat miskin lainnya jadi suku-suku yang lain tidak ada masalah sama sekali.

 

  1. Dan ini pendekatan yang kita tidak harus apologetik. Dan di kalangan bukan Melayu jangan harus jadikan ini sebagai isu. Sepertimana saya sebut kemiskinan tegar, perumahan siapa yang berhak kita berikan?

 

  1. Tetapi kita mahu supaya dasar ini dimaknai melalui program pelaksanaan lebih berkesan. Kita tahu sekarang MAHB ambil alih KHAZANAH dari KWSP sekarang ambil alih. Kontroversi pelbagai, tetapi kita ada tanah yang sangat berharga di Subang.

 

  1. Subang lapangan terbang yang lalu itu harus dibangunkan. Tentunya ada peranan syarikat-syarikat bukan bumiputera. Sekurang-kurangnya tidak salah saya 30% dikuasai, tidak ada masalah kita bangunkan bersama.

 

  1. Tetapi program-program seperti ini yang strategik juga harus memikirkan kepentingan bumiputera agar bumiputera tidak terpinggir dari kota-kota penting termasuk Petaling Jaya, Kuala Lumpur, Subang.

 

  1. Dan ini perancangan yang harus dilakukan selain di lapangan terbang juga kawasan persekitaran yang memberi faedah kepada rakyat keseluruhannya termasuk agenda bumiputera.

 

  1. Saudara tahu bahawa dari tanah dan kawasan Padang Merdeka, Bangunan Sultan Abdul Samad, Dataran Merdeka, Sampai ke Masjid Negara, Stesen Kereta Api dan Carcosa, itu bukan sebab pusat reformasi dulu, bukan? (nada berseloroh).

 

  1. Pembangunan Kuala Lumpur ini harus ada ciri yang unik. Jangan dianggap sebagai apa yang disebut oleh Mark Twain tatkala melihat Washington peringkat awal beautiful, impressive buildings but culturally barrett dan kita tidak mahu Kuala Lumpur itu jadi konkrit jungle.

 

  1. Maka proses hijaunya dan apa yang disebut kawasan daripada Padang Merdeka, Bangunan Sultan Samad dan sepanjangnya itu akan dijadikan kawasan warisan heritage.

 

  1. Dan kita bicara warisan ini walaupun ada sumbangan daripada kaum lain, warisan di Tanah Melayu ini tentunya yang menjadi tonggaknya masih warisan Melayu yang harus ketara dalam gambaran pembangunan baharu di seluruh koridor dari Bangunan Samad tersebut.

 

  1. Ini yang disebut Transformasi Ekonomi Bumiputera yang lain itu saya percaya rakan-rakan boleh umumkan, tapi saya hendak tumpu dalam hal yang besar ini. Maknanya masih ada, jadi kita ada lihat Kuala Lumpur ini bersih.

 

  1. Pembangunan bumiputera ini bukan sahaja soal bangunan-bangunan besar dan syarikat-syarikat besar termasuk apa yang ditumpukan di Kuala Lumpur. Apa dia? kita hendak semua warung itu bersih kerana yang ke warung dan restoran kecil itu 80% rakyat.

 

  1. Yang ke restoran dan bintang 5, bintang 7 itu hanya mungkin 15% rakyat, tapi kadang kadang yang 80% itu kita pinggirkan. Sebab itu sekarang saya boleh lihat Kuala Lumpur harus berubah wajah memberikan keutamaan kepada apa yang dimanfaatkan oleh rakyat termasuk gerai-gerai di seluruh kota raya Kuala Lumpur.

 

  1. Dan kebetulan majoriti dalam projek gerai, warung restoran kecil dan perumahan MADANI ini tentunya beri keutamaan kepada bumiputera dengan penyertaan suku-suku kaum lainnya Cina, India dan juga Dayak atau Kadazan.

 

  1. Saya sebut ini kerana dalam meluncurkan program Ekonomi Perumahan MADANI baru-baru ini, tidak semua orang semenanjung dapat. Saya lihat ramai juga yang dari berasal dari Sabah atau Sarawak yang diberikan peluang kerana mereka sudah bertugas berkhidmat dan berkorban.

 

  1. Maka mereka harus diberi pengiktirafan. Kalau dia hendak rumah di Kuala Lumpur, kita sediakan rumah di Kuala Lumpur itu dia kerajaan MADANI.

 

  1. Jadi sekali lagi saudara-saudara saya ucap terima kasih kepada rakan-rakan yang menyediakan pelan. Seperti mana yang disebut oleh Saudara Rafizi tadi, Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 perlu, kita hendak merancang, tetapi tanggungjawab saudara dari agensi kerajaan dan syarikat-syarikat kerajaan dari Pjabatan-jabatan dan kementerian. percayalah, kita akan pantau dari dekat dan kita mahu program dan pelan ini berjaya untuk memartabatkan bumiputera dan rakyat Malaysia.

 

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.