
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
MAJLIS PERASMIAN DAN PECAH TANAH
RESIDENSI SURIA MADANI TAMAN DESA
29 OGOS 2024 (KHAMIS) | 10.30 PAGI
RESIDENSI SURIA MADANI TAMAN DESA,
KUALA LUMPUR
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Salam Sejahtera
Salam Malaysia MADANI
YB Tuan Nga Kor Ming;
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan
YB Dr. Zaliha Binti Mustafa;
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan)
YBhg Dato’ Seri TPr. Dr. Maimunah Mohd Sharif;
Datuk Bandar Kuala Lumpur
YBhg Admiral (R) Tan Sri Dato’ Seri Panglima Abu Bakar Bin Abdul Jamal;
YBhg Tan Sri Dato’ Sri Leong Hoy Kum;
Pengasas/Pengarah Kumpulan Mah Sing Group Berhad
YBhg Dato’ Voon Tin Yow;
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mah Sing Group Berhad.
YBhg. Dato’ Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar,
Ketua Setiausaha Negara;
KSU-KSU yang hadir;
Keluarga Mah Sing yang hadir; dan
Tetamu-tetamu kehormat, rakan-rakan yang saya muliakan.
- Hari ini kita saksikan mana-mana pembangunan kota tidak hanya ditandai dengan mercu tanda yang hebat, bangunan-bangunan yang mencakar langit dan memukau keindahannya, tetapi juga keselesaan kepada rakyat. Ini cabaran kita.
- Dalam konsep MADANI ini ada prinsip Ehsan, bagaimana boleh kita bangga dengan Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur yang ada bangunan-bangunan pencakar langit tetapi tidak dapat menyantuni rakyatnya. Rakyat di sini maknanya perumahan mereka, warung dan gerai mereka, dan ini adalah cabaran kita. Tentunya bagi peniaga, pengusaha menghadapi cabaran kerana tarikan untuk membangunkan kawasan-kawasan yang mahal akan memperolehi keuntungan yang lebih. Sebab itu mana-mana Kerajaan atau penguasa perlu menentukan ada konsep pembangunan yang beri perhatian kepada majoriti rakyat.
- Majoriti rakyat di Kuala Lumpur ini rakyat M40 dan B40, iaitu golongan yang agak relatif miskin tetapi menyantuni mereka itu menjadi kesukaran, sebab itu saya tetapkan dasar yang jelas. Ada kawasan-kawasan mewah yang hendak dibangunkan jangan kita halang, ia boleh dibangunkan, ia tidak menjadi masalah. Saya tidak anjurkan perseteruan dengan mana-mana pihak. Sebab itu, adakan rumah, kondo harga RM10 juta, RM20 juta itu soal mereka jangan ganggu tetapi jangan sekali-kali abaikan kepentingan majoriti rakyat. Sebab itu kita tekankan tentang rumah MADANI dan projek-projek hari ini dan beri tumpuan dan perhatian.
- Dato’ Sri Leong sebut, saya tanya berapa lama dapat kelulusan? Ini rekod dalam sejarah Wilayah Persekutuan dan Bandar Raya belum ada kelulusan yang diberikan lengkap 45 hari. Saya ucap tahniah!. So what is the message? It can be done. The developer has the resposibility to make sure that all the requirements are made, the officers responsible have to ensure that you don’t waste time questioning and ask for commisions, allowance and subsidy, just do your job.
- Dan saya hendak YB Dr Zaliha, Datuk Bandar, saya nak senaraikan, sebagai contoh, tanggungjawab syarikat menyediakan dengan lengkap secara profesional, bentangkan permohonan dari segi kejuruteraan, dari segi kos dan semuanya lengkap disampaikan kepada Jabatan dan kita hendak pastikan Jabatan lengkap dan luluskan dengan kadar yang cepat. Dan tidak ada masalah melengahkan, jangan jika ada bayaran sahaja dipercepatkan kalau tidak fail diletak di bawah. Hal-hal ini mesti dihentikan. Saya hendak Bandar Raya menjadi contoh, bandar terhebat di Malaysia patut jadi contoh paling effisien, paling berkesan dan paling bersih di Malaysia.
- Seperti mana saya sebut boleh dilakukan kerana ini menyentuh rakyat yang tunggu berpuluh tahun. Kalau ditanya sebahagian yang hadir di belakang, ada yang tunggu rumah 10 tahun, ada yang 15 tahun, 20 tahun menunggu untuk dapatkan rumah yang dianggap mampu dibeli. Rumah banyak tapi dia tidak mampu, ini sekitar 250 ribu ringgit dan kita harus cari jalan bagaimana untuk bantu supaya mempercepatkan proses kerana kalau dilengahkan kelulusan akan ada boarding cost, bayaran maknanya kos rumah itu ditinggikan, dan kalau ada komisen lagi, ditinggikan, syarikat tidak mahu rugi, syarikat tentu nak catat keuntungan walaupun tidak banyak, jadi kos rasuah, boarding cost dengan bank semua itu akhirnya terbeban kepada pembeli, negara tidak boleh maju kalau macam ini dan rakyat tidak akan terbela, tidak usah cakaplah kita silih berganti Kerajaan, dan kita tahu sejarah Kuala Lumpur begitulah keadaannya. Sebab itu saya katakan mesti lakukan anjakan, mesti lakukan sekarang.
- Syukur alhamdulillah, semua petanda-petanda awal baik untuk Malaysia, pertumbuhan baik, pelaburan baik, hubungan antarabangsa kian baik, inflasi rendah, jumlah pekerja bertambah, gaji penjawat awam naik 1 Disember, alhamdulillah. Dan bila keuntungan Kumpulan Mah Sing lebih, dia beritahu saya elaun pun akan ditambah sedikit lagi (gurauan kepada Syarikat Mah Sing).
- Saya mahu rekod, bila dibentangkan laporan dan usul kepada Dewan Bandar Raya, bila mesyuarat pertama diadakan, berapa puluh Jabatan yang perlu teliti, berapa cepat kelulusan diberikan dan ini akan terpakai kepada seluruh projek akan datang. Kalau tidak memenuhi syarat laporan teknikal dan sebagainya ada alasan untuk ditangguhkan, tetapi penangguhan itu mesti ada ketetapan masa, contohnya dua minggu lagi. Kalau tidak ada alasan tidak ada sebab untuk dilewatkan terutama projek-projek rakyat.
- Saya bangga kerana baru-baru ini kita lihat kemajuan dari segi gerai dan warung kerana majoriti rakyat ke gerai dan warung, maknanya projek perumahan kita mesti menyediakan kemudahan rumah yang selesa, dan saya ucap tahniah kalau syarat yang ditetapkan oleh Kor Ming dan KPKT itu 750 sq ft itu dianggap baik tetapi yang di sini 800 sq ft. Dan kita akan lihat pelan yang minima 3 bilik, 2 bilik air, yang penting adalah furnishing rumah itu, sebab ada yang buat cincai-cincai. Saya lihat dahulu bila kita buat perumahan, saya pergi check di Gombak, di Ampang, rumah kadang-kadang ada masalah, sebab itu pemantauan oleh Bandar Raya dan jabatan-jabatan berkenaan harus terus agar hasilnya itu baik, itu perkara pertama.
- Kedua, konsep rumah itu harus berbeda, walaupun rumah orang yang berpendapatan rendah yang dikatakan rumah murah, rumah sederhana, mesti diberikan sedikit keselesaan, mesti ada taman dan padang permainan kalau tidak besar, kecil, kerana tempat hidup keluarga dan anak-anak, mana mungkin duduk di rumah pangsa, turun nak bermain hanya di tepi jalan. Ada sedikit kawasan hijau, ada dewan, ada musolla dan bagi kawasan luas mesti ada masjid atau rumah ibadat, ini semua kita tetapkan sebagai syarat-syarat yang harus dipatuhi dan tempat perniagaaan kecil yang murah yang boleh disediakan, kerana di mana mereka akan pergi kalau umpamanya Taman Desa, mestilah disediakan tempat-tempat perniagaan yang lebih sederhana dan kecil yang bersih, ada air, ada bekalan elektirk yang orang boleh berniaga, dan yang berpendapatan rendah boleh ke situ.
- Saudara-saudari, politik baik, pemerintahan baik, orang boleh cakap dan janjitetapi ukurannya adalah pada pelaksanaan, sebab itu saya beritahu Tan Sri untuk Suria MADANI ini kalau boleh kita jadikan satu contoh, dari segi kelulusannya yang cepat, keselesaannya begini, kemudahan-kemudahannya ada, jadi dua perkara ini telah kita teliti.
- Yang ketiga, saya hendak jawab masalah, setiap kali kita bicara perumahan rakyat ada sahaja bantahan termasuk Taman Desa ini, katanya ganggu, macam mana dari segi kebersihan, kita bagi jaminan, kita jaga kebersihan, kita jaga keselesaan supaya tiada ganggu, tetapi rakan-rakan yang pendapatan agak tinggi tolong fikir, apabila buat rumah dulu, tanah siapa? Tanah-tanah orang kampung yang diambil murah semasa itu, 40-50 tahun dulu, kemudian orang-orang yang miskin berpendapatan rendah ini hendak duduk di mana? Yang baik-baik diambil oleh golongan kaya, saya bukan hendak bawa perseteruan yang kaya dengan yang miskin tetapi saya mahu mengajak rakyat semua bersatu dengan semangat merdeka.
- Tetapi bagaimana hendak bersatu jika kita pinggirkan satu bahagian. Yang kaya boleh pergi restoran lima bintang, yang miskin gerainya nak robek bumbungnya jadi harus ada sedikit faham kemanusiaan (manusiawi), Siapa yang hendak baiki elektrik atau aircond yang rosak? Siapa yang hendak cater makanan, nak hantar? Siapa nak jadi pemandu grab? Bukan golongan kaya, mereka ini tinggal di mana? Nak suruh tinggal di Hutang Melintang, ini sebabnya mengapa saya kata kawan-kawan saya yang bangkitkan isu ini biar ada sedikit perasaan bagaimana untuk kita lakukan, kalau bagi pihak Kerajaan, apa yang perlu dilakukan, apakah kita boleh ketepikan. Sebab itu kalau fikir soal COVID-19 dahulu, bila bagi elaun, kita fikir specialist, yes technician, yes, pharmacists, yes, nurses, yes, tapi kadang2 kita lupa tukang cuci di hospital itu, jadi apakah mereka tiada pengorbanan atau tiada servis yang mereka buat, apakah kita hendak bagi mereka elaun RM1000 ringgit? tidak, kalau kita bagi yang atas RM1000 takkan RM 00 kita tidak boleh bagi mereka, that’s all we asking for.
- Saya hendak Malaysia ini kita rasa bangga, kita cater supaya ada semangat ini. Saya hadapi, bila saya dengar masalah-masalah ini ada perasaan dari sebahagian daripada penduduk kita termasuk penjawat awam, pegawai-pegawai Kerajaan dari peringkat rendah dia rasa terpinggir sedikit. Jadi oleh itu, saya nak pesan kepada rakan-rakan di Kuala Lumpur termasuk developer (Mah Sing) yang telah berjaya dan mencatat nama tebaik sebagai good developer, ia ada satu-dua projek yang boleh dijadikan showcase, this is the company which care and want to ensure development that can cater for all Malaysians, for all categories. Ini yang saya nak dan sebab itu saya ucap tahniah, saya nak tengok projek ini dan saya sudah beritahu Dr Zaliha supaya bagi saya progres, I want to see anything goes wrong i will give you a call.
- Saya yakin dengan prestasi yang ada, ada kapasiti yang boleh buat, saya mahu jadikan ini sebagai contoh. Walaupun ada masalah, walaupun tidak bising sangat namun ada sedikit bantahan terutama dari kawasan perumahan dari sebelah sana yang agak tinggi, jadi tiba2 kita ada projek ini. Sebab itu, projek ini mesti dijaga dengan kawasan yang bersih, diurus dengan baik, dan kemudian bila sudah siap, persatuan penduduk mesti jaga supaya tidak menjadi masalah kepada kawasan, itu penting, tanggungjawab kita.
- Tetapi dari segi Kerajaan, saya tidak pedulikan bantahan-bantahan yang begini. Kalau tidak, mana mungkin kita dapat bangunkan kawasan perumahan rakyat. Kawasan perumahan rakyat tentunya, rationya, relatifnya lebih tinggi. Dan kawasannya yang kawasan relatif orang-orang miskin dengan pendapatan sederhana, jadi tentunya budaya berbeda sedikit, tetapi kita mestilah tolak ansur kerana tanggungjawab kita untuk menentukan perumahan ini lebih meluas.
- Semalam dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, saudara Nga Kor Ming ada kemukakan Projek Rumah MADANI ini yang lebih luas sekitar 750 sq ft tetapi yang boleh diperbanyakkan jumlahnya kerana tuntutan itu banyak sangat, di Kuala Lumpur yang tunggu puluh ribu queue untuk dapatkan rumah, jadi sebab itu saya bangga hari ini dan ingat tiga (3) perkara yang saya tekankan, iaitu dari segi sudut kecepatan projek, dari segi projek itu sendiri yang lebih selesa dan ketiganya untuk mengajak masyarkat agar faham bahawa tidak boleh kita bina kota yang memisahkan, dahulu saya tahu orang berbangga, Kuala Lumpur Twin Tower, ya tiada salahnya, kalau ada wang buat, tetapi bagaimana puluhan ribu yang tunggu tiada rumah, bagaimana dengan kawasan yang sesak, bagaimana bangunan seperti Perumahan Seri Perlis yang dibangunkan lebih 50 tahun yang lalu hanya satu (1) bilik? Satu bilik, satu tandas dan anak 6, jadi 10/11 orang tinggal dalam seluruh rumah, 50 tahun dulu. Bolehkah kita biar begitu?
- Jadi, itu hal-hal yang perlu kita teliti, bagi saya nak tahu hebat atau tidak kota, itu dari segi keupayaan kita menyantuni dan menjaga kepentingan rakyat keseluruhannya. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada Dewan Bandaraya, Jabatan Wilayah, KPKT dan khususnya Mah Sing dan keluarga (Group) yang telah menunjukkan kecepatan (efficiency) dan kesungguhan mereka untuk membantu Kerajaan dan rakyat, menunjukkan satu contoh pembangunan dengan kos yang lebih terkawal dan dengan hasrat menyiapkan dalam masa secepat mungkin, dia kata 48 bulan untuk siap, maksimum, saya kata I think we can cut short sikit as long as you ensure a good quality, do it faster, because I want this to be a good showcase, not only for Kuala Lumpur but also for the nation.
- Jadi sekali lagi saya ucap terima kasih, moga-moga Allah merestui usaha kita bersama.
Wasalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Similar Posts:
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- PM ANWAR BERI JAMINAN TADBIR URUS TERBAIK DI MALAYSIA
- KERAJAAN TUMPU USAHA TURUNKAN HARGA BAHAN MENTAH – PM ANWAR
- SUBSIDI BERSASAR : PM ANWAR BERI JAMINAN KEPENTINGAN PIHAK INDUSTRI TURUT DIBERI PERHATIAN
- DENGAR PENDAPAT PAKAR NAMUN JANGAN SESEKALI ABAI PANDANGAN RAKYAT BIASA – PM ANWAR