
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
MAJLIS PERASMIAN
MINGGU SAHAM AMANAH MALAYSIA (MSAM) 2024
22 OGOS 2024 (KHAMIS) | 3.30 PETANG
SETIA ALAM CONVENTION CENTRE, SHAH ALAM
SELANGOR
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillaahil lazeee anzala ‘alaa ‘abdihil kitaaba wa lam yaj’al lahoo ‘iwajaa,
Wasallallah hu ala saidina Muhammad,
Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Amirudin Bin Shari,
Menteri Besar Selangor;
Yang Mulia Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Tun Uda,
Pengerusi Kumpulan PNB;
Yang Berbahagia Dato’ Abdul Rahman Ahmad,
Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB;
Yang Berhormat Speaker dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor;
Keluarga PNB dan semua yang hadir terutama anak-anak yang dikasihi sekalian.
- Alhamdulillah, kita dapat sama-sama dalam menjayakan majlis yang sangat bermakna. Marilah kita imbau sejarah tentang penubuhan PNB pada mula peluncuran amanah saham, malah seluruh strategi mengangkat martabat bumiputera yang dianjurkan oleh Almarhum Tun Abdul Razak.
- Bulan ini Bulan Kemerdekaan, justeru ambil kesempatan peringatan terutama kepada anak-anak muda yang hadir mengimbau pengalaman supaya kita faham kerangka pemikiran ibu bapa kita terdahulu untuk menyelamatkan negara dan bangsa.
- Keputusan mengenakan, meluncur dan memperkenalkan program memperkasa ekonomi bumiputera lanjutan daripada kejutan politik yang menggemparkan. Peristiwa yang tidak harus berulang. Kerana berlakunya kekecohan akibat diizinkan kegiatan sumpahan melampau. Meniupkan api perkauman menyebabkan bukan pembangunan tetapi kebencian. Sebab itu apa yang disebut oleh Saudara Amiruddin itu sangat relevan.
- Kalau kita bicarakan soal menyelamatkan kaum dan bangsa itu dengan cara yang positif bagaimana mengangkat kedudukan mereka bukan mendengar maksud menghancurkan sesiapa. Itulah kerangka yang dibuat oleh bapa kita terdahulu. Sebab itu keluarga PNB, anak-anak yang hadir, harus ingat, bahawa negara harus punyai arah yang jelas.
- MADANI kita perkenalkan ini ialah kerana kita mahu menekankan kemampanan dan pertumbuhan yang segar. Negara tidak mungkin berjaya kalau tidak dipacu dengan kadar yang lebih laju agar kekayaan itu boleh diagihkan secara saksama, dan ini juga landasan pemikiran bapa-bapa dalam bincang soal growth (pertumbuhan) and equity (kesamaan). Jadi, bila kita bicara soal pertumbuhan, kemampanan dalam bidang ekonomi ialah memperingatkan semua termasuk kalangan yang sudah berhasil dan berjaya.
- Siapa yang boleh anggap bahawa kejayaan ekonomi, bank, syarikat-syarikat besar itu hanya kerana kuasa, pengaruh dan usaha mereka? Tidak. Jawapannya kerana negara mengizinkan, pasukan keselamatan berkhidmat, tenaga kerja dari atas sampai bawahnya serta dasarnya, jadi keseluruhan sistem dan ekosistem membantu menyelamatkan dan mengangkat.
- Tetapi bila kita ada kejayaan, tugas kita ialah memastikan ada prinsip keadilan dan pengagihan yang saksama. Kesenjangan yang melebar itu tidak pernah dalam sejarah dapat dipertahankan. Malah dalam sejarah kita lihat kebanyakan kekacauan, pembenturkan bukan sahaja dari segi idea tetapi pertentangan dan pergaduhan. Justeru kerana terlalu lebar, terdapat jurang di antara golongan maha kaya dengan yang miskin.
- Saya tegaskan hal ini kerana sangat relevan dengan usaha keluarga PNB keseluruhannya. Bukan setakat kejayaan yang luar biasa. Jadi saya ucap tahniah!, 12.5 juta pemegang unit bukan perkembangan yang mudah, itu atas dasar titik peluh keringat dan idea.
- Dan lebih utama, soal yang kadang-kadang didapati defisit dalam negara kita termasuk dalam agensi-agensi bumiputera iaitu luntur integriti. Orang yang guna kuasa bila diberikan tempat atau nama bumiputera, gunakan itu untuk mengaut kekayaan peribadi dan merosakkan agensi tersebut.
- PNB seperti juga PETRONAS, alhamdulillah di antara agensi yang kita banggakan kerana dapat pertahankan integriti sebagai suatu agensi untuk menyelamatkan bangsa dan negara. Jadi saya harap semangat ini dipulihkan. Di antara tugas kita dalam negara MADANI ini ialah memperbaiki tatakelola.
- Seperti mana saya sebut baru-baru ini. Saya mahu agensi bumiputera itu mengepalai, mengetuai, memberi contoh dan teladan. Bagaimana kita urus dengan penuh tanggungjawab, dengan integriti, dengan kecekapan, dengan sikap ihsan kerana tidak ada pembangunan dan kemampanan dan pertumbuhan negara tanpa kasih sayang, ihsan dan pertanggungjawaban.
- Jadi saya ingin sekali lagi menekankan keutamaan isu tatakelola dan pengurusan yang sentiasa menekankan soal ketelusan, pertanggungjawaban dan mungkin kerana ini juga kita lihat umpamanya kejayaan mencatat pengagihan pendapatan ASB.
- Tahun lepas RM5.25 seunit ketimbang RM4.60 seunit pada tahun 2022. Tahniah sekali lagi! Malah ASM juga mencatat di akhir Mac 2024, 4.75 sen seunit ketimbang 4.50 sen seunit pada tahun 2023.
- Jadi bagi kita yang mendapat manfaat, bagi anak-anak yang mengikuti, bukan automatik sudah labuh hasil itu diperolehi jika diurus dengan baik dan pengurusannya tahu bahawa setiap sen dan ringgit yang dibelanjakan, tetapi ini adalah hasil pengorbanan pencarum yang banyak, penyimpan dan pelabur.
- Kadang-kadang ikut pengalaman ‘atuk’ ini bila orang ada kedudukan dia lupa. Selalu saya sebut sudah ramai dengan banyak kali. Terutama bila kawan kita pegang kuasa dia lupa lalu terpukau dengan kilauan dan kemegahan kuasa. Maknanya apa yang boleh dirompak, diambil dan cuai dalam tindakan. Kemudian bila jatuh, bila terkeluar, baru mengeluh. Marah hari-hari ke sana ke sini.
- Sebab itu ujiannya baik kepada pimpinan politik, pengurusan PNB di semua peringkat dan syarikat-syarikat yang berkaitan, ujian ialah melakukan sebaik mungkin semasa kita ada kuasa dan pengaruh. Kerana untuk beban selepas itu tidak akan memberi sebarang makna.
- Ukuran rakyat dan tanggungjawab kita kepada Allah SWT itu semasa kita memegang amanah dan kuasa. Sebab itu kerana kejayaan-kejayaan inilah mendorong saya mengambil keputusan untuk buat KIGIP di Kerian dengan Hi-Tech dan teknologi hijau. Itu saya fikir pengurusan yang telah teruji dan kita menaruh harapan adalah keluarga PNB dan SD Guthrie untuk membangunkan KIGIP merupakan satu usaha pertama dalam bidang teknologi yang kita amanahkan sepenuhnya kepada SD Guthrie di Kerian.
- Jadi saya harap insya-Allah hal ini dapat dijayakan dengan baik. Rakan-rakan sedia maklum saya tidak ikut unjuran bila akan siap walaupun perancangan telah disusun, saya tidak sabar, saya mahu siap sekarang, luncurkan tahun depan iaitu program baru dan mereka sambut dengan sangat positif. Saya salute kerana semangat yang ditunjukkan oleh mereka.
- PNB juga telah diberi mandat oleh Kerajaan untuk menyokong inisiatif memoden industri Malaysia, iaitu menerusi program pengaktifan dan reformasi badan-badan berkaitan Kerajaan yang juga disebut gear up. Maknanya seluruh kekuatan kita ini, harus digabung, diselaraskan untuk menumpu dan fokus kepada bidang-bidang baharu yang memberi manfaat kepada lebih ramai. Kita ada umpamanya berdepan dengan digitalization, apa yang disebut sebagai transformasi digital, kita juga ada bidang baharu yang disebut sebagai transisi tenaga. Maka kita harus selaraskan kekuatan badan-badan dan beri fokus supaya tindakan itu dan hasilnya lebih berkesan.
- Awal pagi tadi saya baru sahaja tiba dari New Delhi untuk berbincang bersama dengan Perdana Menteri Narendra Modi dan pelabur-pelabur serta pengusaha utama di India. Saya lihat fokus mereka juga serupa, iaitu kalau negara itu mahu pacu pertumbuhan yang lebih cepat, maka mesti ada kesediaan untuk melakukan anjakan.
- Tidak boleh lagi PNB mengharap umpamanya untuk bergerak dan mencapai kejayaan mengikut strategi 20 tahun yang lalu. Kerana cabaran semasa dan tuntutan zaman berubah dan beredar apa lagi dengan teknologi baharu. Seperti mana yang kita ungkapkan selalu, transformasi digital itu bukan istilah popular, ini dibicarakan 20-30 tahun yang lalu. Transisi tenaga turut dibicara dahulu tetapi tidak sekuat sekarang. Jadi ada hal-hal yang baru yang menuntut kita berikan perhatian. Sebab itu bila PNB dan keluarga PNB mengepalai satu gagasan baru, teknologi hijau dan kawasan hi-tech di Kerian KIGIP saya anggap ini suatu permulaan yang sangat baik kerana apa yang disediakan juga adalah ekosistemnya.
- Kita siapkan KIGIP, kita tanya siapa yang akan bekerja? Tentunya anak-anak muda dalam bidang AI, kejuruteraan, teknologi, teknologi hijau, hidrogen atau green hydrogen, ammonia dan lain-lain bidang yang harus dikuasai. Bagaimana kita harus lakukan? Tentunya sistem pendidikan harus diubahsuai. Tenaga pengajar dibawa sama ada dari dalam negara atau dari luar negara.
- Saya tanya salah satu usaha yang dilakukan di India. Kita ada masalah sekarang kerana STEM tidak cukup. Yang ambil matematik dan sains berkurangan. Dan semua yang lulus itu ada tempat. Tapi kita perlu 50,000 hingga 60,000 jurutera dan lulusan TVET dalam bidang-bidang yang saya sebutkan tadi dan kini keperluannya mencecah lebih 150,000.
- Satu syarikat baru yang mengembangkan usaha mereka dan pelaburan di Kulim Hi-Tech yang saya lancarkan bulan lalu berkembang kepada pelaburan baru, mulanya 5 bilion Euro menjadi 6 bilion Euro, hampir 25 bilion ringgit. Mereka memerlukan 4000 jurutera dalam tempoh 1 hingga 2 tahun ini. Jadi mereka perlu ribuan anak lulusan TVET yang mengkhusus (specialist) dalam bidang ini. Jadi kita harus gerakkan seluruh ekosistem ini yang juga terkait dengan supply chain yang dulu kurang menjadi keutamaan kita.
- Saya bertanya kepada salah satu syarikat di India mengenai perkara ini dan satu berita yang sangat menarik, katanya mereka sudah cuba, bukan sahaja lulusan STEM, matematik dan sains, tetapi juga liberal arts tetapi diberikan crash course, crash program untuk melihat sama ada mereka mampu menyesuaikan dengan bentuk latihan baru untuk memenuhi keperluan teknologi baharu yang dianggap teknologi tinggi dan digital.
- Jadi saya harap PNB akan juga beri perhatian ini sebagai salah satu jentera untuk memikirkan bagaimana dapat diadakan sinergi dengan syarikat-syarikat sedemikian dan membentuk latihan yang diperlukan. Kita perlu laksanakan perkara ini segera kerana negara mendapat tarikan pelaburan yang lebih meningkat sekarang dan untuk itu beberapa kerangka baru perlu diperkasa dan diperkenalkan.
- Pada hari ini juga PNB dan ASNB melancarkan apa yang disebut Celik Kewangan Belia MADANI. Kecelikan ini penting, iaitu pencerahan. Dahulu kita sebut alphalization iaitu kecelikan dari segi pendidikan asas ataupun kemudian kecelikan budaya cultural literacy. Dan sekarang kita rasa selain daripada kecelikan politik, kecelikan budaya, penyelidikan pendidikan asas, ada keperluan kecelikan kewangan, financial literacy. Dan kecelikan kewangan ini, diperkenalkan idea dengan rakan PNB supaya ada minat komitmen untuk melabur.
- Mulakan secara yang realistik dan praktikal. Pemberian dana awal akan diperkenalkan di semua IPT dan mungkin dikembangkan sedikit ke politeknik dan vokasional. Apabila mendaftar sahaja ke universiti atau di kolej terus dimasukkan RM50, untuk menggalakkan saudara tambah sedikit-sedikit dan disimpan 5 tahun tidak boleh dikeluarkan. Jadi mudah-mudahan dengan simpanan tambahan daripada dana asas itu boleh kita galakkan kefahaman tentang apa erti pelaburan dan jaminan masa depan.
- Dana awal yang disediakan oleh PNB dan syarikat-syarikat berkaitan adalah RM50 juta dan kita harap seluruh anak ini yang hadir kempen sedikit-sedikit lagi dengan kawan-kawan kerana menyasarkan 200,000 pelajar setahun. Saya percaya universiti dan kolej-kolej juga akan memberikan kerjasama supaya memudahkan program ini.
- kadang-kadang kita umum, tapi perlaksanaan itu banyak perleceh. Sebab itu apabila saya umum kenaikan gaji penjawat awam baru-baru ini dengan tepukan gemuruh saya terus bagi amaran. Hari ini umum hari Jumaat, hari Isnin kalau tidak ada di JPJ, di hospital, di lapangan terbang, di kastam kalau lembap macam dulu juga saya tarik balik peruntukan itu.
- Alhamdulillah, kerana kita pantau setiap hari, memang ada satu sikap baru dan budaya yang lebih baik di kalangan penjawat awam dan saya ucapkan tahniah dan insya-Allah wang akan disalurkan.
- Sekali lagi saya ucap terima kasih kepada seluruh keluarga PNB kerana ikhtiar yang terus-menerus membela nasib rakyat kerana program ini bukan sahaja program kecelikan. Program ini memenuhi suatu kerangka dasar penting dalam negara kita, mengurangkan kesenjangan dari kalangan kaya dan miskin dan menyelamatkan negara daripada keresahan golongan yang merasakan diri mereka terpinggir.
- Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Minggu Saham Amanah Malaysia 2024.
Assalamualaikum, warahmatuhallahi wabarakatuh.
Similar Posts:
- JANGAN AMAL BUDAYA SELESA, TEKAD LAKSANA PERUBAHAN UNTUK NEGARA – PM
- PM ANWAR ARAH JEMAAH MENTERI AMBIL SERIUS TEGURAN LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA 2021
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- USAHA DAMAI DI MINDANAO HARUS CAPAI KEJAYAAN – PM ANWAR
- PM ANWAR BERI JAMINAN TADBIR URUS TERBAIK DI MALAYSIA