TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PECAH TANAH SEKOLAH MENENGAH INTEGRASI SAINS TAHFIZ (SMISTA)

 

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

MAJLIS PECAH TANAH

SEKOLAH MENENGAH INTEGRASI SAINS TAHFIZ (SMISTA)

 

 

26 SEPTEMBER 2024 (KHAMIS) | 3.00 PETANG

 

TAMAN ALAM SUTERA, BUKIT JALIL,

KUALA LUMPUR

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan

Salam sejahtera.

 

  1. Kerajaan MADANI pada tahun lalu. Ini sesuai dengan falsafah negara kita MADANI di mana kita meletakkan keperluan membangun yang mampan tetapi meletakkan soal nilai selain daripada ihsan dan rahmah untuk memastikan dalam semua bidang, pertumbuhan ekonomi, sosial, kesihatan, teknologi dan pendidikan itu diimbangi dengan kekuatan keyakinan kita, akidah dengan akhlak dan nilai. Dan kita pelajari pengalaman pertumbuhan selama ini, negara-negara yang kaya yang tumbuh dengan hebat dan segar. Dengan bangunan pencakar langit, tetapi kehilangan nilai manusiawi atau keinsanan.

 

  1. Jadi kalau disebut dalam Al-Quran “walaqad karramna bani Adam” (Surah Al-Isra, Ayat 70), tidak lihat ‘karramah insaniah’ itu walaupun dijanjikan di dalam Al-Quran kerana tidak dilaksanakan dan diamalkan. Jadi sebab itu dalam sistem ekonomi pun, kita sebut tentang sistem kapitalis tetapi ada dalam istilah Inggeris disebut ‘unriddled capitalism’. Maknanya matlamatnya keuntungan semata-mata, mengenepikan nilai, mengenepikan prinsip keadilan dan kemanusiaan. Maknanya bangunan pencakar langit, keuntungan berlipat kali ganda, berbilion dan industri canggih.

 

  1. Sekarang dengan digital, dengan AI – Artificial Intelligence tetapi nilai kemanusiaan terhakis. Soal akhlak diketepikan. Kita harus lihat pengalaman ini dan ada juga orag Barat yang cuba memberikan teguran. Ada karya baru-baru ini tentang pendidikan umpamanya. Sekadar nak imbau di kalangan anak-anak. Harry Lewis kata pendidikan termasuk seperti Universiti Harvard iaitu universiti paling cemerlang dari segi ilmiahnya, akademiknya, sains dan teknologinya. Melahirkan Nobel laureate, pemenang hadiah Nobel sains terkemuka di dunia. Tetapi seorang dekan Harvard menyatakan “excellence without a soul”.

 

  1. Apa erti ‘excellence’? Cemerlang dalam pendidikan. Tak boleh kita pertikai sainsnya, teknologinya, kimianya, ekonominya, digital, AI, soal tenaga, cemerlang dalam pelbagai bidang. Tetapi tidak ada roh dan jiwa dalam sistem pendidikan itu – Without a soul. Contohnya, dari perkara asas, dia belajar bagaimana nak jamin pertumbuhan ekonomi yang rancak dan segar. Tetapi di kelilingnya kawasan-kawasan miskin, sesak, mahasiswa tidak dilatih untuk mempedulikan, dan mahasiswa juga tidak mempedulikan. Di luar sana ada fahaman perkauman yang sempit, yang menghina golongan kulit hitam. The blacks or the coloured. Yang menganggap mereka ini kelas dua dan direndah-rendahkan darjat kemanusiaan mereka. Tetapi tidak langsung menyentuh perasaan atau mengetuk pintu hati ‘damir’ manusia, pelajar dan mahasiswa di dalamnya.

 

  1. Sebab itu dia kata “excellence” atau kecemerlangan, iya. Tetapi tanpa nilai, tanpa jiwa, tanpa roh, “without a soul”. Jadi, kita mempelajari dan melihat pengalaman di sana. Bagaimana di sini? Ini jawapan kita. Kita mesti tahu bahawa langkah-langkah perlu diambil. Tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan oleh orang-orang luar dan kita harus memberikan tumpuan dalam bidang pendidikan yang boleh memberikan keyakinan akidahnya dan rohnya di samping menimba ilmu dan meneroka alam pemikiran dan disiplin baru. Kerana manusia dan dunia ini menuntut banyak perubahan.

 

  1. Masa saya di sekolah, tidak dibicarakan soal digital, soal transformation. Tidak dibicarakan soal transisi tenaga daripada arang batu kepada gas, kepada hydro green technology, kepada green hydrogen tidak dibicarakan. Dunia menuntut perubahan dan kita tidak boleh ketinggalan. Sebab itu Kerajaan mahu kita kembali kepada landasan. Jangan menumpukan pada satu bidang, termasuk menjadi huffaz, tetapi meninggalkan keperluan menguasai teknologi dan pemikiran baru. Supaya kita boleh memimpin, apa yang disebut umat yang “ummatan wasatan littaqunu syuhadaa a’alannas, wayaqu narrasoolu alaikum syahida” (Surah Al-Baqarah, Ayat 143).

 

  1. Maknanya memastikan ada keseimbangan di antara keperluan kita sebagai umat menguasai ilmu yang asas dan Al-Quranul Karim. Di samping itu meneroka, menguasai alam dan disiplin baru agar kita tidak ketinggalan. Kalau tidak kita nanti boleh jadi alim, tetapi negara dikuasai, teknologi mereka pegang, kecanggihan, ketenteraan orang lain pegang. Kita hanya menonton rumah-rumah dirobohkan, negara ditakluk. Sebab itu ada keperluan kita menguasai kedua-dua bidang dan SMISTA di mana ada integrasi di antara sains dalam erti kata yang lebih luas dan tahfiz. Menjadi maahad tahfiz maknanya menguasai, mempelajari dan menghafal dengan harapan menghayati semangat Al-Quran. Dan ini kekuatan yang menjadikan kita manusia yang lebih sempurna atau insan soleh.

 

  1. Jadi ini harapan kita dan saya mahu SMISTA ini dilaksanakan segera. Peruntukannya itu besar sekitar RM76 juta ringgit kalau tak salah saya, kalau kurang minta MAIWP tambah sikit lagi (nada seloroh). Tetapi harus disegerakan. Saya dah minta saudara YB Dr. Naim dapatkan laporan dalam tempoh satu minggu tentang perkembangannya dan saya mahu proses tender itu dibuat dengan teliti. Kerana kalau dulu, beberapa projek ini kelam kabut sedikit kerana kontraktor (yang diluluskan) itu ada masalah. Saya tak mahu SMISTA berjangkit hal ini. Dulu kadang-kadang sistem dalam Kerajaan, dia tak payah tender, pakai runding sahaja, kemudian projek lingkup. Jadi jangan ada, kerana kita nak jadikan satu hal, satu projek yang begitu baik dengan matlamat yang baik. Tetapi kadang-kadang kalau kita cuai dari segi pengurusan dan tata kelola dan kita izinkan ada pelanggaran peraturan dan hukum, akan menyebabkan projek lambat.

 

  1. Jadi ada dua perkara. Pertama, saya mahu supaya proses itu disegerakan. Saya datang bukan tanpa syarat, jadi mesti ada laporan dalam tempoh satu minggu dan mesti disegerakan proses tender. Kementerian Kewangan boleh luluskan proses tender yang boleh dipercepatkan, fast track. Tapi mesti tender dan mesti ikut proses kontraktor yang betul-betul layak dan bertanggungjawab boleh melaksanakan dan saya nak disegerakan supaya siap sekolah ini dalam tempoh yang lebih cepat daripada yang dijangka. Ini bicara Islam kadang berdegar-degar tapi projek lembap, tak ada apa juga. Mana dia semangat atau roh Islam yang disebut dalam rumusan hadis Nabi Muhammad SAW, ‘itqan fil amal’? Mana ‘itqan fil amal’? Dalam setiap tindakan kita itu harus cekap, efisyen, harus excellent. Itu semangat kalau betul-betul kita jadikan contoh.

 

  1. Jadi sekolah-sekolah menengah, majlis agama, jabatan-jabatan ini harus tunjuk keupayaan lebih cekap, lebih pantas, lebih bersih daripada jabatan yang lain. Kerajaan MADANI ini berperang sekarang dengan perasuah, dengan penyelewengan, dengan orang kadang-kadang bicara soal Melayu atau kadang-kadang bicara soal agama dan Islam. Tetapi sebenarnya merompak hasil negara dan kekayaan negara kita dan saya tidak mahu hal ini berlaku. Saya tidak maksudkan sudah berlaku di sini tapi mesti ada pengajaran.

 

  1. Mustahil saudara, dalam keadaan kita semak hampir setiap kontrak dulu, ada saja bocornya, ada saja hilang dananya. Negara mana boleh mampu maju kalau setiap kali ada tiris dan tirisnya bukan sedikit, ratus-ratus juta, berbilion ringgit. Pemimpin-pemimpin kalau jadi Perdana Menteri, jadi Menteri Kewangan mesti miliki ratus juta. Ada yang berbilion ringgit. Kemudian bila kita suruh isytihar harta, marah, dendam. Apa dendam? Kalau kamu tidak salah apa takut isytihar harta? Saya kalau esok minta isytihar harta sekali lagi, saya isytihar. Korek lah banyak mana pun. Baru boleh kita jadi pemimpin, kena jadi contoh. Kalau tidak apa yang nak diajar kepada rakyat?

 

  1. Sebab itu bagi saya untuk mengangkat darjat Islam, dia mesti dalam negara, dalam tatakelola, dia mesti paling cekap dan pantas. Soal tatakelola nombor satu. Benar, orang sebut Saidina Umar Abdul Aziz RA, Khalifah Umar Thani, hebat kerana apa? Dia tiap malam tidak meninggalkan bacaan Al-Quran, tahajud, berdoa dan menangis. Tetapi sebagai khalifah tidak hanya kerana dia baca Al-Quran tiap malam, itu perlu. Tetapi dia urus dengan baik. Dia tahu harta Kerajaan, harta rakyat dan gaji peribadi. Dia tidak salah guna kuasa, jentera dia takut kalau salah guna, dia tidak tolak ansur. Jadi wang dan dana itu dibelanja dengan cermat dan cekap.

 

  1. Sebab itu jadi petanda dan mercu dan contoh pengurus dan tata kelola yang hebat dalam sejarah dunia. Kita selalu tahu ustaz-ustaz kita datang sekiranya sebut bagaimana dia urus dalam 2 tahun 3 bulan. Dari jazirah arab ke Mesir terus sampai ke Azerbaijan, tapi seluruh kawasan itu bebas dari kemiskinan, bebas dari kemiskinan tegar sehingga sukar hendak cari orang nak bayar zakat. Bermakna kita mampu. Tapi syaratnya seluruh jentera harus dibersihkan.

 

  1. Kita tidak mudah, kadang-kadang tazkirah banyak juga, barang-barang banyak juga yang pakai kopiah putih pun ramai juga. Tapi yang sakau pun ramai juga. Dan ini memeningkan kita, jadi jangan pandang ringan. Saya tidak kisahlah orang sekarang ni aneh, saya kadang saya bagi tahu juga orang, kawan-kawan, aneh juga. Perang lawan rasuah pun tidak kena, yang pertahankan perasuah-perasuah besar pun tidak kena.

 

  1. Saya tidak faham. Apa tidak boleh, apa yang kurangnya di Malaysia ini. Apa makna kita adakan Maahad dan sekolah menengah seperti ini? Gabungkan kekuatan. Tradisi Islam dan moden sains. Kerana kita hendak bangkitkan hendak hidupkan anak-anak muda yang punyai roh. Roh perjuangan, roh jihad, yang hidup, aktif untuk bawa perubahan dalam masyarakat untuk bawa kebaikan kepada masyarakat.

 

  1. Dan bagi negara, soal tatakelola itu mesti dan bersatu. Saya harap ustaz ustazah dan guru-guru di sini dan pengetua harus beri penekanan ini. Dia belajar dengan satu matlamat bangkit satu generasi satu gil Rabbani. Gil Rabbani yang punyai komitmen untuk bawa perubahan kepada masyarakat dan negara.

 

  1. Jadi ingat, yang pertama menyegerakan projek ini kerana projek ini dicadang sejak tahun 2011 ke 2013. Hanya tahun lalu, bila saya dimaklum belum lulus. Saya minta disegerakan kelulusan. Tapi saya tidak minta disegerakan kelulusan dan ditadbir dengan lembap. Dia mesti disegerakan dan saya mahu laporan itu sampai ke pejabat saya minggu depan supaya dapat arahan dengan kelulusan Kementerian Kewangan, proses tender itu juga dipercepatkan dan kalau siap kalau saya sihat, saya datang. Insya-Allah.

 

  1. Seperkara lagi, sekolah menengah ini tempat yang strategik, tanah yang mahal, di ibu kota. Kita boleh buat pilihan malah ada cadangan tanah ini di reserve untuk kawasan komersial. Ada cadangan supaya sekolah ini dipindahkan kawasan jauh sedikit. Tidak ada asrama dan tidak seberapa. Tapi saya fikir, saya setuju dengan MAIWP bahawa harus ada juga satu gerbang sekolah di kawasan ini kerana ada keluarga di sekitar ini, rumah-rumah sekitar ini dan saya mahu juga Kuala Lumpur ini tidak dikenali hanya dengan mercu tanda yang tinggi hotel-hotel besar, restoran-restoran 5 bintang, 7 bintang, tetapi juga gerai-gerai yang bersih, perumahan rakyat kita luncurkan baru-baru ini perubahan MADANI dan sekolah-sekolah termasuk SMISTA ini.
  2. Ini memberi gambaran tentang wajah Kuala Lumpur yang terbina daripada apa yang difikirkan sehingga orang diukur, oh dia masa dulu ada ini, program ini, mercu tanda ini, menteri ini, dan menteri ini, projek mega ini, saya tidak ada. Tidak payah nilai saya dari segi projek mercu tanda, nilai saya dari projek gerai yang bersih, perumahan MADANI rakyat dan sekolah-sekolah dan kawasan yang baik untuk rakyat jelata. Sebab itu walaupun sudah 2 tahun saya jadi Perdana Menteri, tidak ada rancangan untuk projek mega di Wilayah Persekutuan, tidak ada. Pengangkutannya, gerainya, Dr. Zaliha tahu, saya bising betul soal gerai, mesti segera, mesti bersih.

 

  1. Berapa orang yang pergi ke restoran-restoran mahal? 15% penduduk yang lain itu ke warung, ke restoran kecil, ke gerai. Tapi tengok nasib gerai-gerai kita, ada warung kita 80% rakyat ke situ. Tetapi kedudukannya daif, bumbung bocor, bau air tak bersih dan kawasannya tidak baik. Sebab itu saudara lihat, setelah dalam 2 tahun ini memang kita kerahkan Dewan Bandaraya saya mahu lihat perubahan wajah tentang gerai warung dan restoran-restoran kecil ini diberikan suatu pemulihan supaya bersih dan indah.

 

  1. Yang kedua perumahan-perumahan rakyat, yang sebut perumahan MADANI dengan kemudahan-kemudahan termasuk musolla dan kawasan masjid, perpustakaan dan taman yang sesuai untuk kehidupan rakyat terutama berpendapatan rendah.

 

  1. Sekali lagi saya ucap terima kasih dan untuk guru-guru boleh kerja dengan sungguh-sungguh sebab 1 Disember 2024 ini semua naik gaji. Berapa lama tunggu? 12 tahun. 12 tahun tunggu kalau saya fikirkan soal ekonomi, hutang banyak, hasil tidak bertambah banyak sangat. Jadi boleh tangguh tetapi saya rasa harus adil kerana guru-guru dan penjawat awam itu bawah jagaan saya. Kerajaan dan saya mesti dahulukan mereka sebab belum ada kenaikan itu kenaikan tertinggi dalam sejarah. kalau kenaikan tertinggi dalam sejarah, tapi prestasi terendah dalam Sejarah, alahai nasib badan. Kalau sudah pengiktirafannya kenaikan tertinggi dalam sejarah. Maka prestasinya juga harus meningkat.

 

  1. Jadi oleh kerana kita beri tumpuan kepada sekolah ini dengan peruntukan yang besar, saya mahu prestasi sekolah menengah ini juga yang di antara terbaik dalam negara kita. Jadi anak-anak boleh jamin insya-Allah ya. Saya hendak prestasi keputusan baik dalam hafazan atau dalam sains. Bila tanya sekolah mana? SMISTA jadi terukir begitu. Baik, insya-Allah. Jadi, ikut peraturan, nasihat guru-guru dan ibu bapa, belajar ikut disiplin yang ketat tanpa disiplin tidak terkawal. Jadi itulah sahaja harapan saya ada doa ke hadrat Allah SWT mudah-mudahan acara pada hari ini dapat dilihat dari segi kejayaannya, malah dalam beberapa tahun akan datang insya-Allah.

 

  1. Saya hadir juga walaupun pada peringkat awal bila Dr. Naim minta saya hadir dengan Syed Kamuzzaman, saya kata tidak boleh sebab saya di Johor Invest Malaysia di Iskandar, Johor. Tapi oleh kerana fikirkan ini SMISTA, dari Johor ambil penerbangan terus dari airport terus ke mari. Ini soal jiwa saya itu, ya anda ke sini. Kerana bagi saya yang program-program sekolah menengah sahaja. Bukan saya mahu buka projek pembangunan raksasa. Datuk Bandar tahu kalau kita buka selalu kalau peringkat Perdana Menteri mesti projek besar tapi tidak ini projek sederhana, tetapi sangat bermakna untuk memberikan erti kepada “Addabani Rabbi fa-ahsana ta’dibi”.

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.