TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS ZIARAH MAHABBAH DAN KENDURI RAKYAT
20 DISEMBER 2024 (SABTU)
DIAJIAN ISLAM AT-TAIYIBIN
MASJID AT-TAIYIBIN
KAMPUNG TERSUSUN TANAH HITAM
CHEMOR, PERAK
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Alhamdulillaahil lazeee anzala ‘alaa ‘abdihil kitaaba wa lam yaj’al lahoo ‘iwajaa,
Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in
YAB Dato’ Seri Haji Saarani bin Mohamad,
Menteri Besar Perak;
YB Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim,
Setiausaha Kerajaan Negeri Perak;
YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican,
Ketua Setiausaha Perbendaharaan;
Sahabat lama saya YBhg. Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah bin Kamsah, lama tak jumpa dan seluruh keluarga pengendali dan pengurus Pusat Pengajian Taiyyibin Tanah Hitam.
- Semua ini saya ucap jazakumullah khairan katsiran, penghargaan setingginya termasuk kepada penduduk di sini yang telah membangunkan tanah wakaf atas ikthiar sendiri. Ini satu perkara yang sangat membanggakan, kerana tadi dipetik tentang ilmu itu ‘farīḍatan kepada keseluruhan muslim dan muslimat.
- Dan matlamat kita itu sebenarnya hendak didik masyarakat, hendak angkat martabat dia, hendak bagi kefahaman dia, untuk apa? yang disebut dalam hadis Rasullullah SAW, selalu saya tegaskan bila jumpa guru- guru dan pihak sekolah addabani rabbi faahsana ta’dibi.
- Maknanya kita bukan sahaja menimba ilmu, tetapi memperbaiki akhlak dan adab. Tapi adab dan akhlak kerana faham. Sebab itu ada pusat pengajian. Beza pusat pengajian ini kerana dia ada asas ilmu yang harus kita kuasai dan ilmu yang dikuasai itu tentunya ada pencerahan. Itulah sebab kalau Islam itu dia mencari nur, dia meninggalkan
- Zulumat itu kalau kupasan para mufassir, itu juga kegelapan, kejahilan. Sebab itu disebut zaman jahiliah, zaman jahiliah itu bukan zaman tidak ada ilmu, tapi ilmu yang tidak dapat mendidik, ilmu yang tidak kenal Allah SWT, ilmu yang tidak perbaiki akhlak, ilmu yang tidak mengangkat adab. Istilah yang disebut dalam hadis itu addabani rabbi, adab itu melahirkan addabiat.
- Tamadun itu dari adab yang kita sebut peradaban. Jadi sebab itu bila dalam bidang Pendidikan, Islam ini ada keistimewaan. Sebab itu dalam negara MADANI yang dua (2) tahun saya cuba ini, saya tidak mahu kata negara ini makmur, berjaya dan cemerlang dan Ai dan digital, tidak. Saya sebut MADANI, dan MADANI itu akar katanya adalah deen. Majmuknya addian, kotanya Kota Madinah, dalam Madinah itu diangkat tamadun.
- Jadi, bukanlah kita berhasil semuanya. Pelan-pelanlah kita cuba. Dan sebab itu dari kerangka awal saya tekankan yang kena betulkan itu, pimpinan. Negara ini kena betul dulu. Kalau tidak, dasar sudah banyak, wang pun sudah banyak, bukan sikit-sikit, puluh-puluh billion punya cerita ini. Hilangpun banyak juga dah, yang songlap pun banyak juga.
- Sebab itu kita kata macam mana pun dari segi akhlak dan adab semangat MADANI di kalangan pimpinan itu, atur negara dan tatakelola dengan baik. Dan ini saya dengar kalau ikut dalam hujah-hujah Menteri Besar Shaarani di Dewan Undangan Negeri, dia terus menekankan hal yang sama. Jadi jalur pemikiran kita tidak boleh lepas. Mana negara tidak mahu ada pembangunan? tetapi pembangunan kita itu mesti pembangunan yang seimbang, yang disebut ummatan wasata yang jaga keseimbangan duniawi, ukhrawi, iman, ilmu, akal, kalbu, roh, jasad, itu keseimbangan yang hanya ada dipupuk dalam kepercayaan orang-orang yang beragama. Dan beragama itu bukan setakat terkait masjid sahaja atau madrasah atau maahad, tak jadi. Dia mesti dijaga, hidup sebagai fahaman kita semua. Dalam Kerajaan kena ada begitu dan Jabatan yang begitu, di sekolah begitu, baru boleh kita angkat martabat umat ini.
- Jadi bagi saya ikhtiar yang saudara-saudara lakukan ini sangat bermakna kerana bukan sahaja mula hanya bergantung semuanya dari sumbangan Kerajaan tapi ikhtiar sendiri dan saya ingat ini dalam tradisi Islam ini sukar disaingi. Kerana hari ini hari Jumaat kita ke masjid, bina masjid itu pun jadi tanggungjawab semua. Setengah orang dia salah faham dia ingat semuanya dari segi peruntukan, tapi mesti ada paling kurang seringgit mesti ada saham dia untuk membina ke masjid. Innamaa ya’muru masaa jidal laahi man aamana billaahi wal Yawmil Aakhiri wa aqaamas Salaata wa aataz Zakaata wa lam yakkhsa illal laaha fa’asaaa ulaaa’ika ai yakoonoo minal muhtadeen. (Quran At-Taubah: 18)
- “Sudah, macam khutbah kedua pula dah” (nada berseloroh). Tapi maknanya, mengimarahkan masjid itu membangun masjid itu tanggungjawab semua. Sebab itu saya bagi perhatian khas di pusat pengajian ini kerana ikhtiar dia seperti mana pembinaan masjid itu Innamaa ya’muru, membangun, membina, memakmurkan itu seruannya kepada semua kariah. Jadi mesti ada saham RM1 atau RM10 atau RM1 ikut kemampuan masing masing.
- Tapi untuk apa? ini bezanya, man aamana billaahi wal yawmil aakhiri, beriman bukan untuk tempat porak peranda, maki hamun, fitnah orang atas nama apa pun Melayu ke Islam ke Malaysia ke tidak boleh! Kita ada had-hadnya, batas akhlaknya, dia ada cara dia tidak boleh hina. Sebab itu man aamana billaahi wal yawmil aakhiri wa aqaamas salaata wa mendirikan solat aataz zakaata.
- Ini yang selalu saya sebut perbandingan bila Al-Allamah al-Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi bila dia sebut tentang tafsir Quran, kaitan solat dengan zakat, dia kata ini luar biasa, satu nilai kerohanian dengan Allah SWT, tapi satu itu soal faktor keinsanan – insan, soal manusiawi dia kata, yang kita sebut kaitan dengan karamah insaniah. Maknanya kerohanian itu dikaitkan terus dengan masyarakat kerana zakat itu penting dan kata beliau, pertama kali dalam sejarah umat manusia ini belum ada mudah orang isytihar perang untuk membela nasib orang miskin.
- Zakat ini institusi untuk jaga rakyat susah. Fuqara wal masakeen. Pertama kali diisytiharkan oleh Abu Bakar As-Siddiq R.A, perang kerana orang enggan bayar zakat. Kerana zakat tidak dibayar runtuh institusi negara itu. Ya Islam, dia solat betul boleh, dia dengan Allah Taala, tapi dari segi negara runtuh kerana tidak ada tonggak untuk pertahankan golongan yang susah dan kurang bernasib baik.
- Begitu sekali, jangan lupa saya baca tadi ayat yang kait dengan masjid, di masjid itu dikaitkan dengan aturan dalam masyarakat. Saya pasal apa hendak bercakap garang sikit sebab depan Fadzilah Kamsah. Dia orang yang pandai pidato. Ini kata Perdana Menteri tidak ada gaya tidak boleh juga. Itu yang jaga elok-elok tu. Saya melawak je. (nada berseloroh)
- Jadi itulah yang saya hendak sampaikan. Bagi pihak kita ni, ucapan tadi menyebut tentang la-in syakartum la-aziidannakum wa la-in kafartum inna ‘azaabii lashadiid. Betul, pertamanya syukur pada Allah Taala. Tetapi ada juga pengiktirafan tentang usaha-usaha seluruh, ada orang kata naik gaji ini usaha Anwar PMX, tidak, keseluruhannya. Tapi bila saya keluar daripada pesawat terbang itu beratur, “terima kasih Dato’ Seri”. Saya pun terharu jugalah ya. Kerana ini bukan pekerjaan kecil.
- Untuk tahun depan ini, gaji, naik gaji bukan gaji, naik sahaja, naik dia berapa? seluruh negara ini RM10 bilion untuk 2025. Sebut bunyi RM10 bilion hendak kena bayar hendak cari dari mana? ha itu sebab kita kena jaga, cermat wang ini wang rakyat, wang negara, jangan bagi orang curi duit. Jangan ada amalan-amalan ambil komisyen, ambil rasuah, beli harta di London, beli harta di Vancouver, beli harta di New York, kemudian balik duduk bercakap soal perjuangan. Kena belajar dari pengalaman itu, betulkan. Kalau ini dibetulkan. Insya-Allah rezeki itu Tuhan akan curahkan. Itu saya yakin. Susah memang susah. Kerja kena kuat. Kerja kena sungguh-sungguh.
- Ada yang tanya saya, saya Ahli Parlimen Tambun bila kita bekerja bersungguh-sungguh, tapi Tambun ini kadang-kadang jarang balik sikit depa marah. Tapi nak kena nak jaga seluruh negara ini macam inilah. Tapi oleh kerana Menteri Besar banyak tolong, saya pun wakil kat dia sajalah.
- Baik, jadi saya harap mudah-mudahan dengan kesempatan Ziarah Mahabah ini saya pun ada majlis lain lagi. Jadi dengan Pusat Pengajian Islam At-Taiyibin ini, belanja juta-juta dah. Dah buat dah. Jadi dia buat, saya kata kat jawatankuasa perhabis buanglah (nada berseloroh). Tapi oleh kerana ikhtiar dia, dia kata ada sedikit sebanyak kekurangan, dia minta itu banyak sikit. Tapi ini akhir tahun, akhir tahun ini kita kena pekin sikit, jimat sikit dan wang itu sudah bulan 12 ini dia memang hendak habis sudah la.
- Jadi untuk ini saya permulaannya, saya bagilah RM1 juta tambahan untuk pusat pengajian. Jadi kita doa kehadrat Allah SWT mudah-mudahan pusat pengajian ini dapat diangkat, ilmu kena ada, kefahaman kena ada, pencerahan kena ada untuk selamatkan umat dan masyarakat kita.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Similar Posts:
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- DENGAR PENDAPAT PAKAR NAMUN JANGAN SESEKALI ABAI PANDANGAN RAKYAT BIASA – PM ANWAR
- PERBINCANGAN INTELEKTUAL UNTUK RESPONS KEPADA ISLAMOFOBIA – PM ANWAR
- TADBIR URUS YANG BAIK UNTUK TINGKAT KEYAKINAN PELABUR, HALANG GONDOL KEKAYAAN NEGARA – PM ANWAR
- BELANJAWAN 2023 AMBIL KIRA CABARAN EKONOMI SEMASA – PM ANWAR