TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: PERHIMPUNAN WARGA KEMENTERIAN KEWANGAN BERSAMA YAB PERDANA MENTERI DAN MENTERI KEWANGAN BAGI BULAN DISEMBER 2024

 

 

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

PERHIMPUNAN WARGA KEMENTERIAN KEWANGAN BERSAMA YAB PERDANA MENTERI DAN MENTERI KEWANGAN BAGI BULAN DISEMBER 2024

 

 

5 DISEMBER 2024 (RABU) | 8.00 AM

 

KEMENTERIAN KEWANGAN, PUTRAJAYA

 

Assalamualaikum wahrahmatullahi Wabarakatuh

 

Alhamdulillahi rabbil alamin

Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolihil Kareem

Wa’ala Alihi Wa Sahbihi Ajma’een

 

Yang Berhormat Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan

Menteri Kewangan II;

 

Yang Berbahagia Datuk Johan Mahmood Merican

Ketua Setiausaha Perbendaharaan; dan

 

Rakan-rakan yang saya muliakan.

 

  1. Hal-hal rumit berbangkit yang menyebabkan saya agak kurang sabar dan itu pun boleh jadi dalam dua (2) tahun ini membolehkan saya melahirkan rasa kemarahan yang agak keras sedikit. Jadi saya minta maaflah, KSP pun ada, Gabenor Negara ada, kerana kadang-kadang harapan kita itu tinggi walaupun bukan salah di sini.
  1. Maknanya bila MyDigital itu terlambat pelaksanaannya hampir setahun, kemudian urusan dual network dan rundingan Digital Nasional Berhad (DNB) dengan telco juga tertangguh. Peringatan kita satu tahun yang lalu belum dijawab secara positif oleh kedua-dua pihak. Ini menyebabkan saya agak hilang kesabaran. Tapi saya harus ingat juga bahawa saya ini juga ada kekurangan, sebagai orang biasa, harapan tinggi dan menggunung. Jadi kadang-kadang bila tak kesampaian, saya lahirkan rasa dengan teman-teman saya. Menteri-menteri yang hadir pun agak terkejut dengan sikap saya, jadi saya mohon maaf dengan setulusnya.
  1. Sebab apa, kita lakukan dengan sebaiknya, ‘islah mastata’tu’. Tapi sebagaimana doa tadi kita mohon Kementerian Kewangan umpamanya diberkati dan rahmah. Rahmah ini dikaitkan dengan kasih sayang, ‘bismillahirrahmanirrahim’, ‘alhamdh’ jadi semuanya. Jadi antara hadis yang utama yang ditonjolkan oleh ramai muhaddith, kritikal dan mendesak. Kita mesti dengan kasih sayang bukan dengan nafsu marah, walaupun sama ada kita betul atau kurang. Tapi maknanya dengan kasih sayang dan saya di antara orang yang sangat sering mempopularkan hadis ‘irhamū man fī al-ard, yarhamkum man fī as-samā’ (Jami’ al-Tirmidhi). Tunjuklah kasih sayang kamu yang di bumi dalam kerja kita, dalam profesion kita, dengan isteri dan anak-anak kita, dengan teman dan jiran kita, dengan sahabat dan orang yang paling terpinggir dan miskin dan terbawah, mesti dengan rasa kasih sayang.
  1. Dalam politik, kita mahu berjuang, itu kerana kita sayang kepada rakyat dan negara. Dalam dakwah kerana kita sayang untuk menyelamatkan mereka dan memperbetulkan akidah dan akhlak mereka. Dalam Kastam, walaupun kita kutip cukai. Tetapi dengan ‘irhamū man fī al-ard, yarhamkum man fī as-samā’ kasihlah kamu kepada semua yang di bumi. Dalam teologi dan pendirian Islam, kasih itu kepada semua, keluarga, umat Islam, manusia seluruhnya, haiwan, pohon-pohon dan bumi. Sebab itu ‘irhamū man fī al-ard’ kasihlah kamu kepada semua yang di bumi. Ia tidak harus dengan kebencian dan nafsu marah. Mengapa perlu? Kerana sekiranya kamu lakukan begitu, ‘yarhamkum man fī as-samā’, nescaya yang di langit akan mencurahkan rahmat dan kasih sayang kepada kamu.
  1. Jadi bila selepas mesyuarat, ada lagi beberapa pertemuan dekat 11.30 malam, telefon Datuk Johan sebab dia hadir dalam mesyuarat itu, dia pun kena sergah sikit, dia tak jawab. Saya kata mestilah dia merajuk tu (nada seloroh). Tapi dia kata dia tak lihat telefon, tak apa lah. Jadi walaupun dari kedudukan saya itu tinggi, tapi saya dengan segala rendah diri menyatakan bahawa walaupun kadang-kadang saya yakin langkah itu benar, tapi mungkin tidak perlu menunjukkan kemarahan dengan kata-kata kesat begitu. Sebab itu kadang-kadang bila saya dengar di jabatan atau di syarikat-syarikat Kerajaan, kadang-kadang ketua-ketuanya itu bengkeng, kasar, orang Kedah kata pongoih, saya nak nasihat jangan. Semua orang ada kekuatan dan keterbatasannya. Sebaik mungkin kita mohon maaf kalau kita yakin bahawa kita memang terlanjur. Dan bagi saya, saya yakin saya terlanjur dalam kemarahan saya.
  1. Benar, teman-teman saya Menteri-menteri dua (2) tahun tak pernah lihat saya marah begitu. Kalau dalam parti KEADILAN atau ahli keluarga mungkin pernah lihat. Demikianlah, dia memang menganggu saya. Saya fikir aneh juga, Azizah kata “sabar, tak apalah, beritahu sudahlah”. Memang menganggu saya sebab saya tidak fikir perlu begitu. Bukan maknanya kita harus padamkan kalau ketelanjuran dari segi rasuah, penyelewengan atau kejahatan dilakukan. Tapi kadang-kadang kerja itu yang saya anggap cuai atau lambat itu bagi saya, bagaimana kita nak digital, membawa ke AI padahal perkara asas yang patut kita bina dalam negara itu belum kita siapkan.
  1. Tahun depan kita mempengerusikan ASEAN, apa teras di antaranya? ASEAN Energy GRID. Keduanya, digital networking kita utamakan selain daripada teknologi makanan. Jadi kita harus bangkit sebagai negara yang punyai keupayaan dan contoh dan saya fikir hampir 2 tahun itu masa yang cukup bagi mempersiapkan semua ini. Tak apa lah itu mukadimah saya yang amat terkesan. Saya harap diterima baik permohonan maaf saya ini.

Saudara-saudara,

  1. Semalam saya bentangkan belanjawan negara, semasa saya Menteri Kewangan hanya Timbalan Menteri sahaja yang bentangkan tapi saya berikan penghormatan kepada Ahli Dewan Negara kerana technically disebut upper house, walaupun kuasa perwakilan rakyat itu di dewan Parlimen yang telah meluluskan. Tapi ada beberapa hal yang kita tambah terutamanya penjelasan tentang peningkatan pertumbuhan yang lebih baik daripada unjuran, alhamdulillah. Saya jelaskan juga kejayaan-kejayaan ini tidak harus menyebabkan kita rasa terlalu selesa. Kita ini sebagai manusia, keupayaan kita itu sangat banyak. Tetapi kita kadang-kadang itu merasakan sudah terbaik.
  1. Dalam falsafah pemikiran Islam, ‘itqan fil amal’ yang selalu saya tegaskan yang saudara dah pernah dengar dulu maksudnya striving for excellence. Kalau kita sebut striving for excellence itu dia tidak ada batasnya. Dia menjurus ke puncak gunung yang terus meningkat. Dari Gunung Tahan ke Gunung Kinabalu ke Kilimanjaro dan kepada Everest. Jadi dia 3 tingkat itu, maknanya dia tidak berakhir kepada gunung yang paling rendah. Jadi itqan fil amal ialah mencari kaedah yang sebaik mungkin dan selalu banding dengan orang yang lebih berjaya. Bersyukur dengan apa yang ada, tapi ikhtiar untuk mencapai kejayaan, ketimbang dengan yang yang lebih baik dan berjaya daripada kita. Dalam bidang digital umpamanya demikian juga, dalam kecekapan begitu juga, dalam pengurusan kita di semua jabatan-jabatan, fokus kita selain mencari jalan dan kaedah yang lebih baik.
  1. Kita sentiasa ada seminar, perbincangan, mengundang pemikir-pemikir. Baru-baru ini daripada Korea, pemikir ekonomi, sebelum itu Joseph Stiglitz, itu semua itu kita dengar dan menilai. Sebahagiannya memang theoretical framework yang mungkin tidak praktikal tapi dia boleh memberikan sentuhan tentang beberapa kelemahan yang harus kita perbaiki. Jadi sebab itu kalau saya lihat umpamanya persidangan yang dianjurkan oleh Khazanah Research Institute (KRI) dengan belanja yang tinggi itu harus dimanfaatkan sepenuhnya. Dan saya ingin anjurkan juga di Perbendaharaan, hidupkan budaya ilmu ini, tak payahlah umpamanya setakat budaya ilmu di Seri Perdana. Tapi umpamanya dalam sebulan, ada soal teknologi, atau digital, perbankan, ini baru boleh mengangkat keupayaan dan ilmu kita yang boleh membantu dalam urusan kerja kita.
  1. Tapi jangan lupa sama sekali, bila kita ada keupayaan dalam semua peringkat, ada kelompok yang tak terupaya untuk menjenguk kita. Di Indonesia beberapa hari yang lalu ini riuh rendah dalam media social, seorang Kiai Gus dalam dakwah dia menghina seorang penjual teh. Dia jadi viral, penghinaan kepada orang yang jual teh yang mana di antara paling miskin. Tapi ini pendakwah, dua pendakwah dengan ketawa dan viral menyeluruh di kalangan rakyat sehingga Presiden Prabowo Subianto memberi kenyataan yang agak keras dan akhirnya Gus pendakwah Kiai itu berkunjung ke daerah penjaja itu dan memohon maaf. Tapi ini satu contoh pengalaman bahawa pengangkuhan, sombong itu kadang-kadang bukan sahaja di kalangan orang yang tidak tahu agama, tidak semestinya, orang yang faham agama yang bicara tentang Islam dan akidah dan solat dan sunat, tetapi bila timbul keadaan begitu, dia lihat dia boleh menghina. Saya pun lihat itu dikirim oleh teman saya di Indonesia, saya pun rasa aneh, rasa luar biasa. Tapi bagi saya, pengajarannya menginsafkan. Saya terus lihat itu saya kata “oh saya kena sebut ini di Perbendaharaan.”
  1. Di bank dengan catatan keuntungan besar, apa kedudukan orang yang termiskin yang bekerja dengan kita? Apa makannya, rumahnya di mana, gajinya berapa? Di jabatan-jabatan, keluarga pemandu kita, keluarga penjaga kita yang paling daif, ambil perhatian. Dari segi kerangka belanjawan begitu juga, dalam kalangan negara begitu juga. Kita beri beberapa insentif untuk memacu pertumbuhan, kita pergi menarik pelaburan, tetapi jangan lupa manfaat ini harus sampai ke akar umbi. Ada yang kata akar umbi, ada yang kata akar rumput. Mana-mana satulah tetapi harus menyantuni semua.
  2. Ucapan-ucapan saya di universiti-universiti, baik di Pakistan, universiti di Seoul atau universiti di Beijing, saya diberi penghormatan untuk sampaikan, saya selalu sebut tentang keterampilan, penguasaan ilmu yang rencam dan pelbagai cabang disiplin baru. Selalu saya sebut. Jadi seolah-olah kita nak menggapai yang di langit, yang baru, AI itu baru, soal sumber teknologi alternatif itu baru, itu maknanya menggapai yang baru di langit, tapi tidak harus pernah lupa mengakar di bumi. Mengakar ke bumi, budaya kita, nilai kita, kemanusiaan kita, keyakinan agama kita, akhlak dan moral kita, itu mengakar ke bumi. Menggapai ke langit mencari kaedah baru, mendengar kepakaran dan kemahiran penyelidikan terbaru. Demikianlah tazkirah pagi ini.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.