SIDANG MEDIA BERSAMA YAB PERDANA MENTERI SEMPENA LAWATAN NEGARA PRESIDEN REPUBLIK INDONESIA

VERBATIM

SIDANG MEDIA BERSAMA

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

LAWATAN NEGARA PRESIDEN REPUBLIK INDONESIA

 

27 JANUARI 2025

————————————————————————————

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Selamat Siang/ Sore.

 

Yang Mulia Bapak Prabowo Subianto,

Presiden Republik Indonesia

Barisan Menteri Kabinet Malaysia dan Indonesia, dan

Rakan-rakan yang saya muliakan.

  1. Kunjungan ini sangat bermakna dan atas undangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong dan Kerajaan Malaysia dan kita diterima baik tadi. Sepertimana saudara-saudara sedia maklum, Presiden Prabowo telah diberikan anugerah tertinggi negeri Johor di Istana Negara. Itu tanda persahabatan, kekeluargaan dengan keluarga Sultan Ibrahim, Johor dan tentunya kita senang dengan perkembangan ini yang menunjukkan keistimewaan, keunikan persahabatan dan hubungan yang tidak berlaku di antara mana-mana negara lain.
  1. Tentunya kita punya sejarah yang sangat dekat, bahasa, budaya dan juga kedekatannya dari segi persempadanannya yang sama. Oleh itu, kita harus tingkatkan ke bidang ekonomi, perdagangan, pelaburan dan kita kembangkan di bidang pendidikan, research, teknologi makanan, industri hiliran, energy ataupun tenaga dan kedua-dua kita sudah bersetuju untuk memanfaatkan segala kekuatan yang ada, umpamanya termasuk bidang pertahanan di mana Indonesia punyai banyak pengalaman dan kekuatan dan harus ada kesediaan pihak Malaysia untuk melihat apa yang mungkin kita perolehi dari Indonesia. Dan yang tentunya lebih utama ketimbang memperolehi atau membeli dari negara-negara lain.
  1. Jadi hal itu hanya akan berlaku sekiranya ada bukan sahaja persefahaman tapi kedekatan, keyakinan dan trust di kalangan pimpinan dan pasukan pimpinan.
  1. Saya ucap terima kasih kerana telah beri arahan yang jelas kepada rakan-rakan Menteri dan pegawai Jabatan terkait selain sektor swasta untuk meningkatkan memastikan apa-apa yang kita sepakati dimeterai secepat mungkin. Di antara contoh terbaik adalah komitmen kita untuk memastikan kerjasama PETRONAS dan PERTAMINA, dua syarikat kepimpinan gergasi di rantau ini supaya lebih sepakat untuk meneroka aliran baru dan juga bidang perniagaan baru.
  1. Jadi sekali lagi bagi pihak saya dan keluarga, saya ucapkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada sahabat dan saudara saya, saudara Prabowo Subianto yang dekat dalam masa senang susah, hanya di antara sahabat setia saya yang sentiasa memerhatikan dan mengambil berat dalam masa duka lara saya yang panjang. Tidak ramai yang kita boleh catat kehebatan, keikhlasan mereka dan saya senaraikan Prabowo Subianto di antara yang terkecuali kerana kedekatannya dan kesungguhannya sehinggakan menimbulkan juga ketidaksenangan dengan kemarahan daripada pihak tertentu pada ketika itu.
  2. Tetapi yang pentingnya tiap kali beliau berkesempatan beliau tidak pernah meninggalkan walaupun semasa itu ada jabatannya hatta kedudukannya dan saya agak terlempar di pelusuk mana-mana. Kata Khairul Anwar, “kepada binatang jalang dari kumpulan yang terbuang tetapi masih ada sahabat yang setia.”
  1. Jadi sekali lagi saya ucapkan ribuan terima kasih.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.