TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PERASMIAN BLOK BAHARU KPJ PENANG SPECIALIST HOSPITAL

TEKS UCAPAN

  

 

YAB DATO’ SERI UTAMA ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

MAJLIS PERASMIAN BLOK BAHARU

KPJ PENANG SPECIALIST HOSPITAL

 

 

11 JANUARI 2025 (SABTU) | 3:00 PETANG

KPJ PENANG SPECIALIST HOSPITAL

BUKIT MERTAJAM, PULAU PINANG

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera

Alhamdulillahi rabbil al amin,

Nahmaduhu wanusolli ‘ala rasulihil kareem,

Wa’ala aalihi wasahbihi ajmaeen.

YAB Tuan Chow Kon Yeow,

Ketua Menteri Pulau Pinang;

YB Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid,

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang;

Tan Sri Dr. Ismail Bakar,

Pengerusi KPJ Healthcare;

YBhg. Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad,

Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan;

Keluarga KPJ dan Kementerian Kesihatan keseluruhannya;

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; dan

Rakan-rakan saya muliakan.

  1. Terima kasih atas semangat yang ditunjukkan dan juga sambutan oleh KPJ Bukit Mertajam. Ini istimewa sikit kerana tempat saya. Dia ada baiknya istimewa, tapi problem pun saya selalu dengar direct. Kalau ada apa-apa masalah mesti sampai terus.
  1. Saya mengikuti tentunya KPJ dah lama seperti saudara tahu. Tan Sri Ali Hashim mengetuai KPJ dan JCorp khususnya dengan idea, memberikan ruang kegiatan pelaburan termasuk dalam bidang kesihatan dan mencatat kejayaan yang membanggakan dalam dan luar negara. Oleh itu, saya ingin ambil kesempatan ini menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada keluarga KPJ kerana dapat bukan sekadar mengadakan satu perkhidmatan kesihatan swasta, tetapi dapat mempertahankan prestasi sebagai perkhidmatan yang baik dan cemerlang dan dapat menarik minat dalam dan luar negara sekarang ke sini.
  1. Kita tahu di antara tarikan di Pulau Pinang adalah juga KPJ di Pulau Pinang kerana mampu menarik penyertaan khidmat kesihatan tempatan yang diyakini oleh pesakit-pesakit dari luar negara.
  1. Kita tahu bahawa di antara peruntukan Kerajaan terbesar adalah Kementerian Pendidikan, disusuli oleh peruntukan yang besar untuk Kementerian Kesihatan. Kerana bagi negara MADANI, tumpuan kita tentunya pendidikan rakyat yang sangat mencabar dan menuntut kita melakukan beberapa anjakan, perubahan, meneroka beberapa disiplin baru dan menuntut juga kemudahan asas tambahan. Terutama bila kita lihat sekolah-sekolah yang kurang persiapan macam kalau saudara tahu, tahun 2023 saya mula dengan kebersihan tandas, yang itu pun memerlukan hampir RM800 juta untuk memperbaiki tandas sekolah.
  1. Ini ada kaitan dengan kesihatan. Jadi anak-anak ini dilatih dari peringkat sekolah dengan tandas yang kotor, busuk dan tidak mencukupi. Sebab itu saya mulakan dari soal kesihatan ini termasuk pendidikan dengan memperbaiki kemudahan ini. Tak salah saya, dapat 8,600 tandas seluruh negara untuk sekolah sahaja. Ini menunjukkan beberapa kelemahan kita yang lalu dan kita budaya baik pulih yang disebut maintenance itu sangat lemah dan kita cuba baiki itu.
  1. Tapi untuk Kementerian Kesihatan sama. Dato’ Sri Suriani tahu saya kunjungi beberapa hospital Kerajaan dan kelemahan lobinya, tandasnya, satu contoh yang tidak baik. Tapi Alhamdulillah, Kementerian Kesihatan telah mengambil langkah segera kerana dia tidak memberikan satu imej bahawa kita bersungguh-sungguh dalam soal pengurusan kesihatan dalam negara. Benar kita perlukan beberapa kelengkapan dan kemudahan baru seperti dalam bidang pendidikan. Kita bincang soal digital dan juga menyangkut tentang komputer, digital, education, di Kementerian Pendidikan dan juga Kementerian Kesihatan. Sekarang beberapa kemudahan yang lebih canggih, AI untuk melakukan pembedahan dan lain-lain.
  1. Kemudian kita bicara juga soal peralihan tenaga yang tentunya oleh PETRONAS dan PETRA dan sekarang tenaga alternatif, green hydrogen, ammonia yang sekarang diterokai oleh PETROS di Sarawak dengan PETRONAS dan Jepun. Semalam dipersetujui oleh Perdana Menteri Ishiba dari Jepun untuk bersama dalam pelaburan ini. Tetapi peralihan tenaga ini juga akan melibatkan juga kesihatan. Maknanya dalam program-program pembangunan projek kesihatan baharu, sama ada Kerajaan atau swasta mesti memikirkan penyediaan alternatif tenaga ini. Kalau tidak nanti kita bekerja silo. Soal tenaga ini kerja TNB, padahal semua hospital baru harus menyediakan sekurang-kurangnya paling minima solar untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga sumber konvensional.
  1. Hal-hal ini lah sebab saya mengatakan bahawa pimpinan Kerajaan baik Menteri, KSU atau KP, itu bukan harus bertindak sebagai seorang tokoh yang hanya meneruskan program. Tetapi harus juga memikir kerana seorang KSU, Ketua Pengarah itu dia bukan ketua kerani. Dia ketua yang mengepalai satu Kementerian dengan dana yang besar dan jumlah tenaga kerja puluhan ribu atau kalau setiap Kementerian ratusan ribu. Jadi sebab itu kita minta mereka ini mengepalai dan mengusahakan dan bersedia untuk meneroka alam pemikiran baru.
  1. Dalam bidang pendidikan selalu saya tegaskan, selain dia ada prinsip nilai dan akhlak ‘addabani rabbi fa’ahsana ta’dibi’, dia seolah-olah keupayaan kita dalam sistem pendidikan baharu ini termasuk bidang kesihatan, dia seolah-olah menggapai di langit. Maknanya peralatan baru, kecanggihan baru, latihan, semua bidang ini. Kerana peralatan yang lama tidak relevan. Kecanggihan ini disebut menggapai seolah terpaksa menggapai langit meneroka alam dan disiplin baru.
  1. Tapi jangan lupa menggapai langit tapi mesti berakar di bumi. Kalau bidang pendidikan dia mesti tahu tentang bahasanya, budayanya, agamanya dan nilainya. Dalam bidang kesihatan termasuk swasta sementara mencapai kecemerlangan dan keuntungan, dia mesti berakar di bumi. Dia tidak boleh melepaskan tanggungjawab sosial yang besar dan keuntungan itu harus juga keuntungan yang menekankan nilai yang ditekankan dalam prinsip MADANI.
  1. Tugas kerajaan ialah memberi segala ruang supaya sektor swasta itu mencatat kemajuan dan keuntungan, tetapi sektor swasta juga harus tahu tanggungjawabnya. Beban kesihatan ni bukan saja soal tanggungjawab Kerajaan, tanggungjawab bersama. Sebab itulah umpamanya saya ucap terima kasih kepada KPJ dalam beberapa hal termasuk pendedahan kepada OKU dan beberapa bantuan lain. Sebab itu juga bila kita baru-baru ini riuh rendah soal kenaikan insurans. Saya memberi teguran yang agak keras di Parlimen dan Jemaah Menteri bahawa pertama, pengurusan Kerajaan dan juga swasta harus cari jalan dan kaedah untuk mengurangkan kos.
  1. Mengapa harus kita terbeban dengan kebergantungan kepada jenis ubat yang disahkan oleh Amerika Syarikat atau Eropah. Mengapa tidak berikhtiar untuk mencari alternatif lain yang generik yang mempunyai standard yang diterima oleh dunia. Saya tidak mengatakan belum berlaku sudah tetapi tidak se-agresif mana seperti mana seperti Dato’ Seri Suriani tahu di Kementerian Kesihatan bahawa beliau barulah menekankan perkara ini yang agak ketinggalan sekian lama.
  1. Brazil, Turkiye, China itu di antara negara terkenal dengan mengeluarkan jenis perubatan generik yang jauh lebih murah oleh itu kita harus fikir. Kedua, baik Kerajaan atau swasta, baik insulin, vaksin yang kita boleh jangka diperlukan untuk puluh tahun dan kita belanja ratusan juta mengapa tidak boleh fikirkan keupayaan mencari syarikat-syarikat tempatan yang ada keupayaan melabur melalui mereka supaya tidak bergantung dengan kos vaksin dan insulin yang terlalu mahal.
  1. Baru-baru ini Kementerian Kesihatan, Menteri Kesihatan melaporkan kadar ubat dan insulin kadang-kadang di jual kerana kartel dan kerana menyerah kepada sistem perolehan yang kurang cekap akhirnya kita banding jenis ubat atau vaksin yang sama, judul yang sama dibeli di Indonesia lebih murah, di Thailand lebih murah tapi di Malaysia lebih mahal. Ini di antara lain menyebabkan kos meningkat, jadi maka kalau swasta apabila kos meningkat, kadar insurans meningkat.
  1. Saudara tahu juga insurans ini kadang-kadang ada kartel yang kurang sihat. Saya selain Perdana Menteri saya juga Menteri Kewangan, saya tahu kalau saudara kalau kenderaan rosak dia bagi minta bil, insurans bayar, insurans bayar jadi naik kalau bayar sendiri RM 1,000 kalau insurans RM 2,000 ini sistem apa, ini sistem bobrok. Tidak betul kerana akhirnya dibebankan syarikat dan akhirnya pengguna yang dikenakan. Sama seperti insurans di hospital. Jadi kepada doktor-doktor dan pengurusan harus ingat tidak timbul soal nak tanya sama ada ini insurans ataupun tidak, kos itu kos, kalau RM 1,000 maka ianya RM 1,000 dan tidak harus didedahkan.
  1. Memang kenyataannya saya tidak popular tapi harus kita terima kenyataan ini jika nak berubah. Kalau tidak yang terbeban itu rakyat. Insurans meningkat kalau kosnya itu demikian, tapi kita ada tanya kos juga apa pemilihan ubat bagaimana, kos pembelian mengapa tidak boleh diselaraskan. Masing-masing kerja silo, beli peralatan kartel MRI, masing-masing tidak ada penyelarasan. Betul kita tidak boleh campur, benar Kerajaan tidak harus campur pengurusan KPJ umpamanya atau hospital swasta lain, syarikat swasta yang lain, tetapi akhirnya terbeban itu rakyat dan rakyat tidak tanya saudara, dia tanya saya, dia tidak kecam saudara dia kecam saya.
  1. Jadi sebab itu ada keperluan kita bincang dengan baik. Kalau perlu beli katalah 50 MRI untuk satu negara, kena berunding Kerajaan dan swasta untuk cari yang terbaik dan yang lebih kompetitif serta harga lebih murah, dan sekiranya dirasakan tidak perlu dan satu hospital mahu beli yang lain itu hak mereka tapi sekurang-kurangnya ada ruang di mana mereka beli imbang, dia beli 10 dengan beli satu harganya berbeza tapi bahan yang kita terima sama. Lain kali KPJ tak ada jemput saya dah (nada bergurau), tapi saya sebut kepada KPJ, kerana KPJ ada rekod yang baik sebab itu saya lebih terbuka, tetapi dalam pada itu pun adalah mesej dia, kena faham lah.
  1. Jadi sebab itu walaupun ini belum dapat dibereskan, Bank Negara sedang berbincang, saya sudah tekankan kepada Gabenor Bank Negara bahawa syarikat insurans dengan sektor swasta kesihatan dan KSU tahu, saya tidak mahu menolak ansur tentang soal ini. Akhirnya, kalau benar yang diperlukan tiada masalah, kalau kenaikan itu terpaksa dengan alasan yang munasabah, kita akan berdepan dengan rakyat, tetapi kalau saya sendiri tidak yakin kenaikan itu munasabah, saya tidak akan pertahankan dan saya tidak akan izinkan.
  1. Ini prinsip kita sebab sementara kadar insurans itu boleh dinaikkan, mesti ada alasan yang munasabah dan diantara yang paling tidak munasabah adalah kadar. Kena ada standard DSO banyak negara yang buat, kalau rawatan itu diberikan, saya tahu macam di Amerika Syarikat, saya pernah mengajar di sana, di Georgetown University ada juga Georgetown University Hospital. Agak menarik kalau dia bagi perubatan umpamanya bagi stent, stent itu guarantee 2 tahun dan 5 tahun. Kalau ada masalah dalam masa 2 tahun dan 3 tahun itu dia boleh balik ke hospital itu dan hospital tu mesti beri, wajib beri reduction, kerana dia tidak dapat memenuhi lagi. Kita harus ada satu mekanisme begitu. Kalau tidak, tidak ada pengawalan, ini yang berlaku.
  1. Begitu juga tentang kos, dikenakan kepada seorang pesakit, apakah, ya betul swasta, tetapi kita harus ada pengawasan kewangan, ada range yang munasabah dikenakan. Kadang-kadang kos tidak sangat kepada doktor pakar, tapi lebih kepada bilik penggunaan hospital itu. Bilik yang standard kena 3 star hotel, dia caj 5 star
  1. Hal ini saudara-saudara tolong bagi kerjasama saya sebut hal ini kerana KPJ kerana saya mahu KPJ mengetuai ataupun mendahului kempen ini supaya dapat kita kawal memberikan pulangan dan hasil kepada tenaga kerja, pengurusan dan pakar yang munasabah dan keuntungan dicatat dengan baik supaya dengan keuntungan itu boleh buka lagi ruang, buka hospital di India, di Indonesia dan di mana-mana negara lain. Kita beri galakkan dan kalau perlu Kerajaan, Kerajaan tentu akan bantu dengan cara apa pun. Saya selalu ke luar negara selain daripada kita ajak pelaburan, kita selalu memberi galakan kepada syarikat tempatan melabur di luar.
  1. Di Brazil, saya sendiri bercakap dengan Presiden Lula untuk memberi ruang kepada banyak PETRONAS. Kemudian ada satu lagi syarikat perkapalan besar Malaysia buat itu, walaupun swasta itu tidak apalah, PETRONAS milik Kerajaan, milik swasta ini tidak ada masalah kerana kita mahu, syarikat-syarikat tempatan mencatat keuntungan yang munasabah dan memberikan faedah kepada negara dan kepada rakyat.
  1. Jadi, sekian dari mesej saya pada petang ini, sebab itu selalunya orang yang dengar mengantuk. Tapi hari ini orang KPJ semua tidak mengantuk, kerana kena teliti dan saya harap betul-betul sebelum sampaikan salam saya, KSU ada, kita tidak boleh negara ini, negara MADANI, sebab itu kalau naik cukai umpamanya, naik elektrik untuk yang teratas 15% teratas, rakyat 85% tidak terkesan. Dan baru-baru ini apabila TNB secara gopoh mengumumkan kenaikan secara semberono tanpa teliti, walaupun keputusan mereka tahu, tapi diberikan pengumuman begitu. Saya tegur, saya kata tidak betul. Dasar kita mesti jelas, jangan bebankan, kerana pendapatan rakyat rendah, sektor swasta rendah dan sebab itu saya kata GLICs, syarikat-syarikat Kerajaan mesti menunjukkan contoh yang baik.
  1. Kerajaan mulai tahun ini seperti saudara-saudara tahu sejak Disember tahun lalu naikkan pendapatan dan upah penjawat awam kerana saya fikir itu munasabah, sudah 12 tahun tidak naik. Tapi kita juga terbeban, tahun 2025 kenaikan ini melibatkan tambahan kos kepada Kerajaan RM10 bilion, tahun depan 2026 melibatkan RM18 bilion, kerana gaji yang bertambah dan ini kali pertama di mana skim gaji kita juga berubah. Kalau dulu setiap kali dilakukan semakan yang naik itu gred yang paling tinggi naik paling tinggi, yang rendah itu naik sedikit. Tapi kita ubah, yang paling tinggi naik juga, tetapi jauh lebih tinggi naik yang di bawah, itu Polis pun tahu ya. Kalau tak angguk saya tarik balik (nada seloroh). Jadi, kerana ini bagi saya adil, gaji RM2000 atau RM1900 tidak munasabah bagi Pegawai Kerajaan dan sebab itu pendekatan kita MADANI ini bukan sahaja sekadar slogan.
  1. Ada orang bercakap soal Islam, soal hidup Melayu lah, tapi bila tengok keadaan macam ini cara teliti tidak dilaksanakan dengan baik. Sebab itu bukan pada kata-kata tapi pada amal dan program ini kita minta kepada GLICs. Saya beritahu kepada semua syarikat-syarikat Kerajaan Sime Darby, PETRONAS yang besar-besar, yang punyai juga staf ratusan ribu. Pastikan gaji minima itu munasabah, RM2000 ke atas. Bila kena catat keuntungan satu tahun RM800 juta, RM1 bilion, gaji pekerja RM1,700. Sebab itu saya kata tidak munasabah. Kita berjaya ini saudara ingat macam Kerajaan, dia berjaya ini kerana Perdana Menteri seorang tidak? kerana Perdana Menteri, kerana pakar, kerana pegawai, kerana tukang cuci, kerana teknisyen, kerana jururawat semua punyai peranan.
  1. Jadi kita harus iktiraf semua yang telah memberi sumbangan. Begitu juga adalah satu syarikat swasta, industri di Prai, Mak Mandin, untung ke dalam RM800 juta munasabah gaji pekerja RM1,700, dia kata untuk orang pemodal dia sahaja, dengan pengurusan sahaja, technician dia sahaja, engineer sahaja, tidak! yang cuci siapa? yang jaga makmal siapa? Jadi kalau kita semua fikir begitu, maka saya rasa adalah tidak bermakna negara ini negara MADANI. Takkanlah tukang cuci ini, nak gaji dan pendapatan yang sama dengan doktor bedah pakar. Tentunya ada perbezaan ada kesenjangan, tetapi berilah kemudahan yang asas basic supaya hidup dia tidak melarat, anak-anak dapat pendidikan yang baik.
  1. Jadi saya harap konsep ini mesti difahami oleh Kerajaan dan sektor swasta barulah negara ini boleh maju. Jadi sekali lagi saya ucapkan terima kasih atas pertimbangan dan kesediaan. Baik Tan Sri Ismail tidak ada menyesal maknanya pimpin kita sebagai keluarga, sahabat. (nada berseloroh). Saya ulangi bahawa saya tegaskan perkara ini kepada KPJ ini kerana saya punya sejarah yang panjang dengan JCorp terutama dengan Allahyarham Datuk Ali Hashim sebagai sahabat yang banyak bersama sejak saya Menteri Kewangan dulu lagi dan saya ikuti KPJ, sebab itu saya tahu saya juga tolong merasmikan sejak tahun 1995. Jadi atas semangat itulah saya memberikan pandangan supaya dapat dihadam dan insya-Allah dilaksanakan.

Assalamualaikum. warahmatullahi wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.