TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: PROGRAM MUHIBBAH MADANI

 

TEKS UCAPAN

  

YAB DATO’ SERI UTAMA ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

PROGRAM MUHIBBAH MADANI

 

 

11 JANUARI 2025 (SABTU) | 4.30 PETANG

PERMATANG PAUH, PULAU PINANG

 

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam sejahtera.

Alhamdulillahi rabbil ‘alamin,

Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem,

Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.

Yang Amat Berhormat Tuan Chow Kon Yeow,

Ketua Menteri Pulau Pinang;

Yang Berhormat Dato’ Dr. Mohamad bin Abdul Hamid,

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang;

Yang Berhormat Puan Fadhlina binti Sidek,

Menteri Pendidikan;

Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri;

 

Yang Berusaha Tuan Haji Mohd Nasir bin Mohd Rashid,

Pengerusi Yayasan Global Mesra;

 

Yang Berbahagia Dato’ Eng Yee Koon,

Pengerusi Yayasan Muhibbah Malaysia;

Pengurusan Bank Rakyat, Majlis Perbandaran dan ramai yang turut bagi kerjasama dan hadir, saya ucap terima kasih.

  1. Terima kasih orang Permatang Pauh, Tasek Gelugor. Nibong Tebal pun ada dua tiga orang, Cherok Tokun penuh, atas kehadiran ke majlis bersama rakyat dan terima kasih kepada Yayasan Muhibbah Malaysia Dan Yayasan Global Mesra yang mengambil inisiatif kerjasama dengan Bank Rakyat dengan kerjasama pegawai-pegawai Majlis Perbandaran dan Kerajaan Negeri untuk menyelaras dan memudahkan.

  1. Program ini program menyantuni rakyat, banyak inisiatif daripada badan sukarela dan sebab tu saya pilih untuk hadir untuk memberikan dukungan atas usaha yang baik ini. Saya nak ambil kesempatan ini juga menjelaskan negara ini di tapak yang betul walaupun adalah sedikit sebanyak tidak setuju tidak apa, tetapi bayangkan orang yang ikuti perkembangan negara ini, mana ada negara dalam tempoh dua tiga minggu, Perdana Menteri Thailand datang, Ketua Speaker Vietnam datang, kemudian Perdana Menteri Singapura diikuti oleh Presiden Indonesia, dan semalam Perdana Menteri Jepun, semua datang ke Malaysia minta supaya ditingkatkan kerjasama pelaburan, perdagangan dengan Malaysia, Alhamdulillah.

  1. Tahu sebab apa? Sebab mereka kata Malaysia ini aman, negeri bilang kaum yang majoriti Melayu, Cina ramai, India ada, Dayak, Kadazan ada tetapi cuba bagi tahu saya mana negara di mana ada rakyat pelbagai kaum, pelbagai agama yang boleh kekal aman begini? Tak banyak. Sebab masing-masing nak tunjuk hebat dia. Dia tunjuk hebat bukan dengan kerja, dia tunjuk hebat kerana maki orang. Maka akhirnya negeri lemah, orang tidak datang dan apabila tidak datang, tidak ada pelaburan, peluang pekerjaan terbatas, mutu pendidikan terjejas, kemudian kesihatan tidak diberi tambahan sebab tidak ada dana.

  1. Yang ini kita buat. Jadi saya syukur ke hadrat Allah SWT. Umpamanya Perdana Menteri Jepun semalam, apa beliau nak buat? Tambah pelaburan. Sekarang ini kita kata tenaga baharu, Sarawak mengeluarkan tenaga baharu. Laos bawa tenaga. Saya kata tahun ini kita Pengerusi ASEAN, kita guna pengaruh itu tenaga dari Laos melalui Thailand mari ke Malaysia, dari Malaysia barulah yang lebih kita hantar ke Singapura. Dari Sarawak buat under sea, bawah laut, dasar laut guna cable untuk bawa tenaga ke Semenanjung Johor, Tanjung Sedili untuk kita eksport ke Singapura dan juga untuk keperluan kita supaya dapat kurangkan kos.

  1. Semua itu kita rancang sekarang, sebab apa? negara ini aman. Sebab apa? Perdana Menteri, Menteri-menteri boleh tumpu perhatian jaga negara bukan nak ajak bergaduh. Sebab itu saudara tengok orang tanya saya banyak soalan, saya tak nak jawab. Pergi mana-mana ‘addendum’, sana ‘addendum’, addendum’, addendum’, addendum’.

  1. Saya kata saya tak nak, yang saya nak tahu ini, saya nak buat ini adalah agenda rakyat. Saya tumpu perhatian tarik pelaburan, biar orang yakin dengan kita kerana yang pentingnya saudara adalah sekolah anak kita mesti lebih baik, daripada tandas, computer dan guru. Kesihatan kita juga, kemudahan kesihatan yang lebih baik. Itu yang kita nak. Sekolah ya, sekolah Melayu majoriti kita beri bantuan. Tadi saya pergi sekolah Jit Sin, kalau anak Cina nak pergi sekolah Cina, syarat dia apa? Belajar bahasa Kebangsaan, jangan tinggal. Kemudian dia nak pilih nak belajar bahasa Cina, baik tidak ada masalah. Dia belanja semua, puluh-puluh juta semua buat sendiri. Kita tambah bagi RM300 ribu. Itu pun ada yang marah bantuan macam itu. Ini masalah negara kita, tetapi saya kata bagi ibu bapa, bagi anak anak yang penting sekolah kita, universiti kita, hospital dan klinik kita, peluang pekerjaan kita, gaji tidak cukup dan rendah. Oh, pasaipa tidak naikkan sekarang? Aku baru jadi Perdana Menteri dua tahun hampa suruh penaik semua? Yang hampa buat bertahun-tahun itu buat apa?

  1. Jadi kita dalam dua tahun, tidak sampai dua tahun kita naikkan gaji penjawat awam. Naik sikit? tidak, kenaikan tertinggi dalam sejarah Malaysia ini. Dan kita naik siapa? kita naik yang di bawah yang paling tinggi. Dulu naik, ada. 12 tahun dulu adalah naik, yang atas naik besar, yang bawah naik sikit. Kali ini yang bawah naik banyak, yang atas naik sikit, baru betul. Menteri tak naik potong 20%. Perdana menteri tak ambil gaji lagi, aku rasa lepas ini nak kena ambil juga lah (nada seloroh). Pun dia kata oh dia ni nak lebih daripada Nabi Muhammad. Elaun Parlimen saya ambil, yang saya tak ambil gaji Perdana Menteri. Dua (2) tahun dah berjuta dah, pasal apa saya tak ambil, pasal orang susah ramai lagi, orang tak ada kerja ada, orang gaji rendah ada. Saya tak susah, kereta Kerajaan, Polis Kerajaan, kapal terbang Kerajaan, cukuplah, bagilah pada rakyat, bukannya nak terima kasih, tak terima kasih tak apa, dia perleceh pula. Inilah perangai sesetengah orang.

  1. Sebab tu saya kata bila saya sebut dia marah, dia kata Anwar ini anti ulama. Tidak, saya bukan anti ulama, tapi kalau kamu guna serban kopiah putih maki orang, saya jawab lah balik. Saya bukan nak hina ulama. Perdana Menteri nak kaya senang tuan-tuan, apa lagi kepada Menteri Kewangan, saya boleh sakau bilion-bilion boleh. Kemudian kalau pergi mana-mana orang cium tangan lagi. Tapi kita tak boleh buat kerja begitu.

  1. Saudara-saudara di Permatang Pauh, Pulau Pinang kenal saya, saya tidak tolak ansur. Dua tahun ini mana ada skandal rasuah, kalau ada sebut sahaja SPRM saya suruh masuk, saya tidak peduli siapa. Belum ada, yang bangkit cerita-cerita lama. Orang-orang kaya, taukeh-taukeh besar bila kita suruh isytihar harta, bayar. Sebab apa nak suruh bayar? sebab dengan duit itu kita boleh bantu rakyat. Ini ada pemimpin bilion-bilion buat bank di sana sini, di luar negara, ambil duit di sini beli harta di seluruh dunia, bila kita nak pergi ambil, suruh isytihar bagi balik pada rakyat, ada juga yang sokong, “weh tak boleh kesianlah dekat dia, dia sudah uzur, dia sudah tua, dia pun ada jasa. Ini hendak bagi tahu Ketua Kampung pun ada jasa, kerani pun ada jasa, tukang cuci parit pun ada jasa. Tapi kalau dia rogol, tangkap, kalau dia curi duit, curi basikal masuk penjara. Ini baru dikatakan negara hukum.

  1. Kenapa televisyen nak ambil, saya sembang kampung sahaja. Masuk televisyen dia bunyi kasar sikit (nada seloroh). Tapi di sini saya hendak pilih, memang orang tanya banyak, saya tidak pernah jawab. Addendum, sini baru saya hendak jawab, dua mingggu saya tidak jawab.

  1. Kita kena faham macam mana undang-undang kita. Siapa pun bila dihukum masuk penjara, setelah tiga (3) tahun peraturan, dia boleh rayu kepada Raja di negeri itu. Kalau di Kuala Lumpur, Yang di-Pertuan Agong. Boleh tidak? boleh. Keputusan siapa? Lembaga Pengampunan. Dalam mesyuarat, bagi hujah, laporan kesihatan, laporan penjara, laporan kes daripada Peguam Negara, laporan Polis dari segi kalau dia ada masalah-masalah lain jenayah. Kemudian Agong atau Raja dengar semua, dia bagi keputusan. Hendak kurangkan ke, hendak tolak ke, itu keputusan Raja.

  1. Baik, dalam kes Dato’ Seri Najib, mesyuarat tahun lalu, ada tidak dalam agenda? tidak ada. Siapa yang bawa? saya bawa. Sebab apa saya bawa? saya fikir, setuju tidak setuju dengan orang itu kita bagi peluang Raja bagi pertimbangan. Janganlah oleh kerana kita tidak setuju sampai dia hendak kemukakan rayuan pun tidak boleh. Dia kemukakan rayuan. Jadi dalam mesyuarat itu saya bawa, kalau saya tidak bawa agenda itu tidak ada dalam agenda, tidak bangkit soal addendum ini. Saya bawa, sebab apa saya bawa? saya kata, saya terang dalam itu Yang di-Pertuan Agong yang pengerusikan.

  1. Saya dulu tidak mahu sebut hal ini sebab dia melibatkan Raja. Dan selalunya kita tidak boleh bahas sebab Raja. Itu saja sebabnya. Di Parlimen saya kata saya tidak mahu jawab kerana yang pengerusikan Agong dulu, yang Pengerusikan sekarang, Agung sekarang. Jadi saya hanya bagi faktanya saja. Saya sembah kepada Tuanku Agong, boleh tidak saya bawa? dia kata, sebab apa? sebab bekas Perdana Menteri, dia sudah duduk dalam penjara, dia sudah kemukakan rayuan. Bagilah peluang dengar. Jadi bila mari agenda 11, Yang di-Pertuan Agong betul sebagai pengerusi, tanya yang ini, 10 kes lain semua dibentangkan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri. Agenda 11 oleh kerana kertas pada saya, maka dia kata “Perdana Menteri, tolong bentang”. Maka saya pun bentang. Mengapa dia masuk penjara? bagaimana hukuman dia? bagaimana masalah rakyat? bagaimana sikap antarabangsa? kemudian apa laporan penjara, dan apa kes-kes baru yang belum selesai. Baik, itu masalah.

  1. Mengapa kita harus pertimbang juga? Dia pernah jadi Perdana Menteri dan Menteri Besar. Dia pernah ada jasa kepada negara, kedudukan dia di penjara, laporan penjara baik, dia tak ada timbul masalah. Kesihatan dia umumnya baik, tapi sekali-sekala pergi balik ke hospital ulang-alik. Itu pandangan yang saya bagi sepenuhnya, kemudian terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong. Yang di-Pertuan Agong tangguh keputusan dua (2) kali sehinggalah bulan Januari tahun lalu. Dan bulan Januari kurangkan hukuman daripada RM250 juta jadi RM50 juta dan penjara 6 tahun(dikurangkan) daripada 12.

  1. Saya bukan jadi ahli. Sebelum itu tahun 2023, kerana semasa itu saya jalankan tugas Menteri Wilayah Persekutuan. Selepas itu saya lantik Dr. Zaleha sebagai Menteri Wilayah. Dialah hadir saya tak hadir. Jadi keputusan itu kemudian dihantar ke Ketua Pengarah Penjara dan itulah hukuman dia.

  1. Lepas itu, itu yang disebut Addendum. Surat yang disampaikan. Surat itu dihantar kepada Peguam Negara, bukan kepada saya, bukan kepada Ahli Lembaga Pengampunan dan Peguam Negara. Kemudian bila Agong berganti, diserah kepada Istana Negara, kerana Agong yang pengerusikan. Itu keadaan dia, bukan kita sorok.

  1. Keputusan sekadar Peguam Negara nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong yang lalu, yang saya hadir masa itu ialah apa-apa keputusan, keputusan mutlak oleh Yang di-Pertuan Agong, tapi dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan, tidak di luar. Jadi dalam mesyuarat masa saya ada, benda ini tidak dibangkitkan. Masa Dr. Zaleha ada benda ini tidak dibangkitkan. Itulah keadaan dia, bukan kita sorok. Ini keadaan dia setakat itu sahaja sudah lah.

  1. Apakah Datuk Seri Najib tak boleh buat rayuan? Boleh. Kepada siapa? Kepada Agong baru. Apa Agong kata? Boleh. Mana kita tahu? Ada kenyataan Agong. Rayu kepada Tuanku, peraturan itu. Jadi ini keadaan dia. Jadi kita terus je lah apa yang jadi masalah? Mengapa nak pecah? Yang nak tumpang ini siapa? BERSATU dengan PAS.

  1. Yang suruh siasat dulu, pergi dedah segala rumah ada ratus-ratus juta semua ni, masa mana? Masa Perdana Menteri dia Tun Mahathir, penasihat hangpa la ni. Tun Mahathir sekarang jadi Mursyidul Am empat (4) negeri PAS. Yang dakwa siapa? Masa Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri. Bukan dia, tapi dakwa masa dia. Yang hukum masa siapa? Masa Dato’ Seri Ismail Sabri jadi Perdana Menteri. Datuk Seri masuk penjara masa Dato’ Seri Ismail Sabri. Yang salah siapa? Anwar Ibrahim. Ini kerja apa ini. Yang suruh tangkap, Mahathir. Yang dakwa, Muhyiddin. Yang hukum, masa Ismail Sabri. Yang saya apa dia? Yang saya buat hanya bagi lah dia peluang buat rayuan. Saya bagi pertimbangan duduk penjara supaya ada layanan yang baik itu sahaja.

  1. Ini dia dunia sekarang yang dipenuhi khianat. Ada orang pula kata Anwar harus ditangkap dan harus dihukum gantung. Ini dia politik sekarang ni. Saya tak ada masalah, tapi apa dia yang PAS ni punya hentam Najib ini daripada rambut sebagai kaki. Sekarang ini depa junjung kerana semata-mata politik. Prinsip di mana? Islam itu di mana? Melayu ini di mana? Pergi jaga Melayu ini yang ramai-ramai. Anak-anak masa depan mana ke mana? Jaga anak-anak yang Cina ini ramai, yang India jaga. Kalau tanya saya ini tumpuan dia.

  1. Bagaimana kedudukan Datuk Seri Najib? Hakim mahkamah masih jalan? Tapi kalau dia kemukakan rayuan, itu terserah kepada Agong. Boleh tak boleh? Boleh. Boleh tak Agong buat apa-apa keputusan? Boleh. Perlembagaan kata boleh. Di mana? Dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan. Ini sahaja saya nak terangkan. Kali pertama saya jelaskan. Sebahagiannya saya jelaskan masa di Parlimen. Tapi saya kata oleh kerana mahkamah sedang berjalan, tapi oleh kerana terlalu banyak fitnah, semua nak jadi pakar, semua orang nak jadi hero. Kalau nak jadi hero, hero rakyat. Bela orang susah yang ramai. Berapa orang yang kena tangkap masuk penjara sebab curi motor? Mana dia suara hangpa? Mana orang susah ditangkap, mana dia pejuang-pejuang ini? Kalau nak jadi pembela.

  1. Jadi ini yang saya nak tekankan. Kita sekarang ini masalah. Ekonomi ada, kos sara hidup ada, harga barang masalah. Kita cuba tak tumpu sebab tu kita kerja kuat. Kita kerja. Saya nak beritahu betul-betul, bukan main-main. Walaupun saya berumur tapi saya tak ada pilihan. Kena kerja sebab kita pegang amanah.

  1. Sebelum ini saya tengok Perdana Menteri, Menteri-menteri, duta-duta khas yang kaya-kaya tapi ambil gaji semua, tak apa pula yang kita tak ambil kita kena maki. Cuba kalau ambil maki juga. Jadi saudara-saudara, tolonglah tumpu kepentingan kita, akhirnya negara ini untuk siapa? untuk rakyat. Kita pilih pemimpin kita, pemimpin ini untuk apa? untuk jaga kepentingan rakyat.

  1. Saya bincang dengan Saudara Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang dia minta untuk LRT Pulau Pinang sampai ke Penang Sentral sebelah seberang kerana saya tidak bertolak ansur, saya kalau nak bangunkan di Pulau Pinang mesti sampai ke seberang. Kemudian apa yang saya cakap tadi, saya kata tak apa lah kita buat macam tu, tapi soal kemiskinan rakyat, perumahan rakyat, gerai, warung kena jaga juga kerana ini rakyat terbanyak.

  1. Kemudian Lapangan Terbang Pulau Pinang dah sesak kena bantu juga. “Oh, jaga Pulau Pinang saja”, siapa kata? RM1 bilion kita bagi untuk Kedah nak tingkatkan pendapatan pesawah supaya produktiviti hasil pengeluaran lebih tinggi. Kalau saya tahu saya tak payah, bilion kita cari RM1 bilion, RM2 bilion kita cari RM2 bilion di Kelantan, siapa perintah, PAS perintah. Tapi saya tidak fikir parti pemerintah, saya fikir rakyat yang terbeban dengan banjir, ada terima kasih adalah kadang-kadang terima kasih, tetapi maki lebih banyak.

  1. Ini saya minta kawan-kawan sedar, apa kita buat di Pulau Pinang sahaja, tidak. Kulim Hi-tech di Kulim dan KIGIP Green Industrial Park itu di Kerian. Jadi kita tengok di Johor, Johor-Singapore Economic Zone (JSEZ), bangunkan Johor dengan kerjasama Singapura. Bincang dengan Prabowo Subianto, Presiden Indonesia akan kerjasama untuk menjalinkan hubungan supaya dapat kita tingkatkan pembangunan Malaysia-Indonesia. Dengan Thailand kita bincang supaya negeri di utara Semenanjung miskin, dan Selatan Siam itu miskin. Kita nak usahakan supaya ada pembangunan bersama. Semua ini perlukan kerja, kerja menteri, kerja KSU, ketua Menteri, EXCO, Setiausaha Kerajaan negeri dan seluruh jentera.

  1. Maka bila Yayasan Muhibah, Yayasan Global ambil usaha bantu, kita sambut lah bagi kerjasama. Bank Rakyat dan nama pun Bank “Rakyat” bukan bank tauke, kalau tak jaga rakyat kita tukar nama, mudah saja. Jadi ini lah yang saya hendak sampaikan dan saya minta kawan-kawan faham. Saya kalau kerja, saya tidak boleh balik selalu macam ini nak terang macam ini, saya jarang, kerana saya kata bila jadi Perdana Menteri kena kerjalah, tetapi sekali-sekala kena jelaskan juga. Kalau tidak semua isu, bercakaplah soal ini.

  1. Perdana Menteri Jepun datang dengan projek yang penting. Undersea cabledan ASEAN Energy Green, Singapore-Johor Economic Zone kena terang, soalan Adendum jangan masuk sini, saya dah berpuluh kali jawab dah. Ini dia masalah kita. Ini saya minta kawan-kawan fikir masa depan kita dan negara kita. Modal lain tidak ada cucuk bagi orang Melayu benci kepada Cina dan orang India sesetengah pemimpin India “Dei, ini Anwar jaga negeri, India apa pun tidak dapat”, jadi kamu baca apa kerana saya kalau orang miskin saya tidak peduli siapa Melayu, Cina, India, Dayak, Kadazan saya kata mesti tolong semua.

  1. Kalau di KL, more Indian dapat benefit daripada Melayu sebab orang India di Sentul di Bandar Tun Razak ramai yang miskin tapi saya tidak kira ikut kaum. Dulu Amanah Ikhtiar mana ada untuk orang India, sekarang sudah ada. TEKUN dulu mana ada orang India sekarang kita bagi RM 50 juta, cukup ke tidak cukup. Tanya orang Melayu di Kampung cakap tidak cukup tanya orang Cina tidak cukup jadi sabarlah tapi jangan kata kita tidak buat apa-apa. Mana boleh bercakap macam tu?

  1. Kita mesti ada semangat kerjasama di antara dalam kalangan kita. Ada juga pelampau Cina pun ada, “Oh Anwar sekarang dia dapat undi Cina, dia langsung tidak peduli Cina”, sebab tu dulu saya suruh Anthony Loke sahaja bagi duit kepada sekolah Cina. Tadi saya pergi sendiri. Makna kata yang mampu kita lakukan kita lakukan. Negeri ini, negeri kita semua. Melayu majoriti, Islam agama Persekutuan, kita ada hak istimewa Melayu dan bumiputera kita ada Raja-raja Melayu tapi kita mahu semua hidup dengan aman, supaya orang Cina, India, Dayak, Kadazan merasakan mereka ini ada tempat, kita iktiraf bersama-sama bangunkan dan jayakan negara kita.

  1. Jadi itu sahaja saya ucapkan terima kasih atas kesabaran saudara-saudara dengar tazkirah petang ini. Dan mudah-mudahan Allah memberikan kekuatan kepada kita.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.