TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PECAH TANAH BAGI PROJEK PROGRAM RESIDENSI RAKYAT (PRR) HARMONI MADANI BESTARI JAYA, SELANGOR

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

MAJLIS PECAH TANAH BAGI

PROJEK PROGRAM RESIDENSI RAKYAT (PRR) HARMONI MADANI BESTARI JAYA, SELANGOR

15 FEBRUARI 2025 | SABTU| 11.00 PAGI

TAPAK PROJEK PRR HARMONI MADANI BESTARI JAYA

 

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Alhamdulillah, nahmaduhu wa nusalli ala rasoolilah kareem.

Saudara-saudara, saudari-saudari,

Ellorukkum Vanakkam.

 

YB Tuan Nga Kor Ming,

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan;

YBhg. Datuk Wira M. Noor Azman bin Taib,

Ketua Setiausaha KPKT;

YB Tuan Papparaidu A/L Veraman,

Exco Sumber Manusia & Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor;

YB Datuk Borhan Bin Aman Shah,

Exco Perumahan & Kebudayaan Negeri Selangor;

YB Dato’ Ng Suee Lim,

Exco Kerajaan Tempatan & Pelancongan Negeri Selangor;

YB Puan Pang Sock Tao,

ADUN Kuala Kubu Baharu;

YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Vincent Tan Chee Yioun,

Pengasas dan Pengurus Berjaya Corporation dan Berjaya Group Berhad; dan

Semua rakan rakan yang hadir.

  1. Pertama, saya syukur ke hadrat Allah SWT kerana sempat sampai dan bersama di sini. Projek perumahan ini, seperti kita maklum mengambil masa yang agak panjang, dan berjaya kerana kerjasama semua pihak. Sebab tu saya beritahu selalu kawan-kawan, baik orang Melayu, Cina, India, Sarawak dan Sabah, kalau mahu maju kita kena runding baik-baik. Negara ini mesti kita ambil tahu, di bandar kena jaga, di kampung kena jaga, estet, dan pedalaman.
  1. Kita pacu pertumbuhan, orang pemodal boleh untung, tapi yang miskin bandar kena jaga, yang miskin estet kena jaga. Kita boleh buat rumah paling besar untuk orang paling kaya. Tetapi kita kena jaga supaya rakyat susah di estet pun ada rumah. Cara dia apa? Runding dengan baik.
  1. Sebab tu saya katakan, contoh hari ini ialah bila kita runding, aci ya, tadi saya tanya aci, semua ya, ya, ya, vadey tak ada, tosei tak ada (nada bergurau). Maknanya, hormat antara satu sama lain dan bincang. Dan saya terima kasih kepada saudara Nga Kor Ming, kerana dia ambil inisiatif betul-betul. Berapa banyak Menteri ganti-ganti tetapi projek tidak boleh siap. Tapi cara dia, dia dengar daripada estet, daripada Perbandaran dan kementerian-kementerian, kemudian Menteri Besar, kemudian bawa ke Jemaah Menteri, tanya saya, jadi bila kita runding begitu, kita boleh selesai.
  1. Jadi saya mahu saudara saudari termasuk masyarakat India faham hal ini. Kerana kadang-kadang yang cakap banyak tu, dia sudah jadi pemimpin dahulu. Ada yang banyak, kaya raya. Tapi pergi duk hasut kata, belum buat, belum buat. Selalu saya tanya, belum buat, betul belum buat, tapi masa kamu perintah kamu buat apa? Selalu saya tanya, di Parlimen hari Isnin begitu juga, pasal pesawah padi. Orang tanam padi, sawah padi kalau di Selangor, okeylah juga kerana produktiviti tinggi. Di Kedah banyak miskin, di Kelantan banyak miskin, jadi marah Kerajaan. Ada yang tunjuk perasaan marah. Tapi masa dia perintah 33 bulan dia tidak buat apa? RM1 pun tidak naik.
  1. Masa kita, 2023 naik, 2024 naik. Minggu lalu, beberapa hari lalu, Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan naikkan lagi. Daripada RM1,200 naik RM1,500. Cara apa? Cara runding. Kerana bila kita ada kuasa, kita cari jalan bagi selesai. Sawah padi orang Melayu, di sini orang India, saya pergi di Ipoh orang Cina, di Sarawak Dayak. Tapi itu bukan soal, kalau dia perlu, kita tolong. Cara apa? Cara kerjasama dengan baik. Ini bagi saya, bila saya tanya kawan-kawan yang pemimpin. Kalau mahu tolong, masa kita ada kuasa. Apa masalah kita? Harga barang masalah kita, rumah masalah kita, sekolah, hospital, klinik, jalan. Ini nasib baik Perdana Menteri masuk, jalan cepat baik. Mula-mula saya dah ready 4×4.
  1. Maknanya boleh kita buat, caranya kerjasama dan runding. Saya tidak mahu nanti esok bila kita pencen, marah sana, marah sini. Apa guna? Masa ada kuasa buat. Dan kalau kos perlu RM20 juta, RM40 juta cukup, jangan curi! Tanah tidak ada, cakap baik-baik, Tan Sri Vincent, 20 ekar dia bagi free. Nanti tempat-tempat lain bagi lagilah (nada bergurau). Kerana kita bincang dengan dia. Dia mahu meniaga, mana patut kita tolong. Tidak ada masalah, tetapi jangan curi. Tanah dia bagi, kemudian kementerian ada peruntukan dia bagi sikit, tidak cukup, tanah Kerajaan Negeri tambah lagi, tanah Kerajaan Persekutuan tambah lagi, jadi kita siapkan rumah.
  1. Kemudian saya ucap terima kasih Majlis Perbandaran Kuala Selangor, percepatkan. Kita dah setuju, nak tangguh apa lagi? Ada masalah selesaikan. Sebab tu bila saya buat rumah perumahan MADANI di Kuala Lumpur, saya bagi contoh dalam empat puluh hari, saya bagi tetap. Sebab if everything is in order jangan delay sebab kalau kita tangguh, dia ada holding cost, dia bebankan kepada rakyat. Dan di Pulau Pinang, contoh yang disebut oleh saudara Nga Kor Ming, perumahan yang paling besar dalam sejarah kita untuk masyarakat berpendapatan rendah atau menengah, yang dikatakan perumahan MADANI. Itu saya bagi tarikh, hari ini saya akan hadir, dan kerahkan seluruh tenaga persekutuan dan negeri dan Pejabat Daerah, dan boleh buat.
  1. Tapi mesti bersih. Negeri ini boleh baik kalau kita urus dengan baik. Negeri ini akan rosak kalau semua orang mahu curi duit. Atas curi banyak, bawah curi setengah, lagi bawah curi sikit. Mahu ambil angkat fail ada harga dia, mahu lulus ada harga dia. Ini kalau kita terus, jahanam ini negeri. Sebab itu saya katakan, kita mesti firm. Kalau kita datang membuat kerja, ini, rumah-rumah ini, ada aci mahu duduk, anne, ya. Berapa lama duduk susah dalam estet. Ini peluang, ada sikit rumah, ada cantik sikit, bersih sikit, ada parit, air, elektrik dan jalan baik sikit. Bagilah peluang dia. Kalau tidak nanti orang kaya ada rumah elok, semua baik, tapi orang di estet tak ada apa-apa.
  1. Jadi hari ini saudara YB Nga Kor Ming, saya nak sebut kita bagi seperti mana kita buat. Contoh Program Residensi Rakyat (PRR) yang kita pergi di Subang. Bagaimana kita bangunkan, cat balik, baiki lif, bagi rakyat duduk bagi senang sikit.
  1. Hari ini kita mahu tengok estet pun boleh bangunkan. Jadi banyak kita ada estet-estet besar. Banyak juga pekerja-pekerja India di situ. Kita start runding dengan syarikat estet besar, bagi sikit tanah. Tak boleh 20 ekar, 10 ekar, tapi bagi sikit tanah. Kita tolong bangunkan supaya penghuni estet ada rumah yang agak baik untuk diduduki. Jadi saya mahu semua estet di mana perumahan rakyat kebanyakan orang India. Ini kadang-kadang orang politik India marah, marah, marah. Mahu pilihan raya, semua mahu cari curi curi undi tapi kerja tak buat. Jadi saya minta kawan-kawan orang India ingat, saya Melayu tapi saya Perdana Menteri untuk semua. Saya mesti jaga orang Melayu, Melayu pun banyak susah. Ini Kuala Selangor orang Melayu miskin pun ada, kita mesti cari jalan selesai masalah mereka. Orang Cina peniaga-peniaga kecil bukan semua Tan Sri Vincent Tan. Yang meniaga kecil-kecil pun kita kena tolong. Orang India di estet yang susah banyak, kita kena tolong. Ini negeri kita, kita kena jaga semua. Tapi kalau kita mahu jaga semua, kita kena pakat. Jangan dengar orang hasut, marah-marah. Kerja tak buat.
  1. Ada orang bagi tahu ini masa Anwar, MADANI apa pun tak boleh tolong orang India. Bagi 100 juta sahaja daripada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA). Kita bagi tekun 50 juta, Amanah Ikhtiar Malaysia 50 juta, pinjaman 100 juta. Tapi saya tak boleh sebut ini perumahan India. Saya tak sebut perumahan India. Saya kata Perumahan MADANI. Majoriti India, ada 78 orang Melayu, tak apalah. Tapi tanggungjawab kita. Kalau sini ada orang India susah kita tolong. Kalau sana orang Melayu di sawah padi, saya akan pergi 27 hari bulan di Kedah, kita tolong. Saya nak faham.
  1. Jadi kalau perlu, kita minta pegawai bagi penjelasan. Bagaimana boleh kita bantu selesaikan masalah kita kerana saya fikir kalau kita balik semua, fikir ini semua, semua mahu jadi hero kaum, kerja dia tak buat pun. Ini banyaknya jadi hero-hero kaum ini, dulu semua pun dia ketua-ketua ada banyak besar juga. Tanya diri dia semua kaya, yang hero kaya, yang sokong itu miskin. Sebab itu, saya mahu selalu ingatkan. Jangan kena tipu. Orang yang banyak-banyak jerit di atas tu banyak kaya. Masa ada kuasa sakau sana, komisen sini, beli tanah, beli harta di Australia, beli di London kemudian balik kampung. Oh, kita kena jaga ini negeri Melayu. Tengok dia punya harta bila isytihar, anak saja satu bilion. Tapi bila bercakap kita mesti tolong Melayu. Kalau tolong, juallah kamu setengah, ada satu bilion, 500 juta, bagi balik kepada orang susah, bagi tanah sikit, ini tak ada.
  1. Saya bukan marah achi, ayo-yoo, ini Anwar sudah marah, tak ada, bukan marah. Mahu bagitahu. Kita orang bawah, mahu hidup kita kena pakat. Kita kena baik, kita kena kerjasama, jangan sakit hati. Hari ini ada projek perumahan majoriti India, orang Melayu, Cina jangan sakit hati kerana kita tolong yang susah. Esok saya pergi Kedah majoriti Melayu, orang India jangan rasa, ini sahaja tolong Melayu saja. Ini dengar orang-orang jahat cakap. Itulah gaduh-gaduh padahal saya datang, ini hari Sabtu. YB Nga Kor Ming kata, ini saya tahu ini estet, saya tahu ini kawasan majoriti India. Saya tahu ini perumahan-perumahan India tapi saya kata saya mesti tolong. Dan bila dia sebut dalam Kabinet pun, memang saya tahu 90 persen India. Tapi bagi saya tak apa sebab orang-orang India di sini perlu rumah, bukan rumah besar, rumah kecil. Rumah kos rendah supaya anak dia boleh belajar baik, lampu terang, hidup bersih. Ini saya harap kawan-kawan faham.
  1. Di negara ini bukan mudah. Kita ramai sekarang ini pemimpin-pemimpin dunia datang. Tapi dia selalu tanya, bila saya sebut ya, Melayu majoriti tapi Cina ramai, India ramai, kemudian di Sarawak, Dayak, Kadazan Sabah memang rumit bukan mudah. Masing-masing mahu cakap mahu jadi hero. Mahu jadi hero tolong negeri sendiri, tidak apa. Mahu jadi hero buat kebajikan untuk orang India, tidak apa, tapi mahu jadi hero maki orang lain dan timbulkan kebencian di antara satu sama lain.
  1. Jadi saya harap pada hari ini terutamanya bagi masyarakat India, kita lihat. Bagi saya mudah, ada projek betul, Exco India, Menteri Cina, Perdana Menteri Melayu, semua ada. Tuan tanah Cina, yang akan dapat majoriti India, sikit Melayu. Apa kita kira itu ke? Tak. Kita kira ini rakyat kita, mana kita boleh bantu kita bantu. Apa semua boleh selesai? Tak boleh selesai. Apa semua orang Melayu happy? Semua selesai? Tak. Apa semua orang India happy dia punya program semua jalan? Tak. Orang Cina senang? Tak. Semua akan selesai, ada sikit-sikit, konyong-konyong kita tolong bantu selesai. Jadi kita kena buat dengan cara baik.
  1. Pertama, ketua-ketua jangan curi duit. Itu yang penting sekali kita ingat. Sebab negara ini dulu kalau jadi Perdana Menteri, Menteri dia semua kaya-kaya. Ini kita kena stop. Anti-Corruption Commission (SPRM) mesti firm bagi amaran supaya wang jangan hilang. Esok kos patut RM70 juta, RM10 juta hilang. Jadi saya nak bagi ingatan baik Kerajaan Negeri atau KPKT atau PRIMA, Majlis Perbandaran, kita kena ingat, kalau kita nak angkat balik Malaysia ni sebagai negara hebat, kita kena sepakat dan kita kena bersih.
  1. Hari ini dunia ni belum tentu ke mana. Ekonominya, politiknya, gaduh. Baru-baru ini Amerika dengan Eropah gaduh, perniagaan Amerika dengan China tegang, Rusia dengan Ukraine perang, Gaza hancur. Kita kena belajar daripada ini. Kita tak boleh ikut cara itu. Kita kena aman, kita kena kerja kuat, kita kena siapa boleh meniaga, dia berniaga. Siapa kerja ladang dia kena kerja betul, disiplin kena jaga. Yang mana jadi pegawai, jalan kerja dengan baik dan saya percaya insya-Allah kita boleh bawa perubahan bagi negara kita.
  1. Jadi Nga Kor Ming, saya nak jadikan model perumahan PPR MADANI Bestari Jaya Selangor ini kerana dia melibatkan banyak estet di sekitar. Dia ada sejarahnya, asalnya milik SOCFIN syarikat Perancis. Sekarang ini Berjaya City. Dia ada Ladang Mary, Ladang Nigel Gardner, Ladang Bukit Tagar, Ladang Sungai Tinggi, Ladang Minyak. Jadi perubahan pentadbiran mengesankan dan ada penuntutan iaitu 245 keluarga pekerja ladang dari 5 ladang saya sebutkan tadi. Tunggu puluhan tahun, gaduh sana gaduh sini, tak boleh selesai. Tapi saya ucap terima kasih kerana bila Nga Kor Ming jadi Menteri, dia terus turun cuba selesaikan.
  1. Jadi golongan yang berpendapatan rendah ini, pekerja estet sebab tu kita kena bantu. Kalau di Kuala Lumpur rumah orang kaya kita tak ada bantuan, tapi di sini umpamanya seperti mana saudara tahu tanah free. Terima kasih Tan Sri Vincent Tan, kalau tidak kos akan tinggi. Jadi perumahan seperti kita tahu kalau projek perumahan bukan kecil. Nombor satu pendidikan, nombor dua kesihatan, puluhan bilion. Kemudian perumahan, diluluskan RM12.198 bilion, bukan kecil. Boleh selesai? Tak boleh selesai. Kita baru kerja 2 tahun, ekonomi baru naik sikit perlahan-lahan dan kita boleh bagi peruntukan ini. Tetapi contoh yang baik ini juga ialah kerjasama swasta, Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri. Kalau Kerajaan Negeri bersama kita macam Kerajaan Negeri Selangor Bawah Menteri Besar saudara Amiruddin, jadi dia jadi mudah. Dia boleh runding, boleh bincang dengan baik dan Kerajaan Negeri Selangor pula diurus dengan baik, ekonominya pun baik, jadi boleh bagi bantuan. Saya ingat sesetengah negeri ada tak boleh langsung, satu sen pun tak boleh bagi. Jadi kena ingat itu. Sebab itu siapa yang pimpin itu penting.
  1. Jadi kawasan rumah itu kalau bila tengok pelan memang jauh lebih baik lah. Sebab dia ambil kira semua. Suasana rumah itu bagi yang elok, bagi kita hidup Kalau dulu punya rumah saya tengok macam di Bandar Tun Razak, Sri Perlis, satu bilik sudah berapa? 50 tahun sudah. Itu memang masalah bagi kita. Dia sesuai mungkin 50 tahun yang lalu, sekarang sudah tidak sesuai lagi. Jadi sebab itu program-program ini mesti dijalankan. Saya sekali lagi lah ucap terima kasih kepada rakan-rakan dan saya harap kerjasama ini diteruskan dan saya harap semua kelulusan dah selesai. Terima kasih banyak.
  1. Jadi maknanya supaya projek ini boleh dijalankan segera dan kalau boleh kita selesaikan sebelum awal 2027 pun boleh bagi selesai. Dia bukan projek besar, ini bukan macam Berjaya City punya projek, itu ratus-ratus juta punya, ini kecil saja. Saya ingat kalau Tan Sri Vincent Tan boleh push sikit selesai lagi cepat.

  1. Jadi sekali lagi saya ucap terima kasih doa ke hadrat Allah SWT. Mudah-mudahan projek ini memberikan kesan dan kita akan jadikan ini sebagai model untuk estet-estet lihat, semua estet. Nanti KSU KPKT bawa ini sebagai sebagai contoh di mana estet boleh provide sedikit kawasan tanah dan KPKT boleh membuat rancangan lebih baik untuk faedah pekerja estet. Jadi dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Majlis Pecah Tanah Bagi Projek Program Residensi Rakyat (PRR) MADANI Bestari Raja Jaya, Selangor.

Wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.