TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS BERBUKA PUASA MADANI PERINGKAT NEGERI SABAH 2025

 

TEKS UCAPAN

 

 YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

PROGRAM MAJLIS BERBUKA PUASA MADANI

  

 

22 MAC 2025 | SABTU | 7.00 MALAM

 TUARAN, SABAH

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Salam Sejahtera dan Salam Malaysia MADANI.

Alhamdulillah thumma Alhamdulillah,

Wama tawfiqi wa’tusomi illa billah.

 

Alhamdulillahil quail,

Shahru Ramadan allathee unzila feehi al-Qur’an,

Hudan linnas wa bayyinaat min al-huda wal-furqan,

Wasollallahu ‘ala sayyidina muhammadin

Wa’ala aalihi wasohbihi ajmaeen.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor,

Ketua Menteri Sabah;

 

Yang Berhormat Datuk Armizan bin Mohd Ali,

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup;

Yang Berhormat Datuk Ewon Benedick,

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi;

Yang juga menjadi tuan rumah bersama Kerajaan Negeri;

 

Yang Berhormat Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad,

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam;

Timbalan Ketua Menteri dan Menteri-Menteri Negeri;

Yang Berhormat Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah;

Ahli-ahli Yang Berhormat;

Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan Persekutuan dan Negeri Sabah; dan

Terutamanya rakan-rakan di Tuaran yang budiman sekalian.

 

 

  1. Terima kasih banyak atas kesudian bersama-sama meraikan Ihya’ Ramadan, hidupkan semangat Ramadan dan seperti mana di majlis-majlis lain kita ada rakan-rakan daripada masyarakat Islam, masyakarat Kristian, Buddha dan Hindu, ini menunjukkan semangat kesatuan masyarakat Malaysia itu wujud walaupun ada yang puasa dan ada yang tidak.
  1. Saudara saudari, saya mulakan tadi dengan membaca sepotong ayat Quran, Shahru Ramadan, bulan Ramadan dan wajib bagi kita umat Islam mengingatkan dan rakan-rakan kita yang bukan Islam juga tahu, bahawa bulan Ramadan itu bulan di mana semua umat Islam tidak kira kedudukan mereka mesti diwajibkan kembali dalam sistem pendidikan sekolah, sebab itu Ramadan itu disebut Madrasah Ramadan atau Tarbiyyah Ruhiyyah.
  1. Dan Ramadan kita diperingatkan semula supaya dekat dengan Al-Quran, banyakkan amalan, imarahkan masjid dan jaga disiplin kita, tidak makan dan tidak minum, kawal peribadi kita. Jadi kita bertanggungjawab kepada Allah SWT. Untuk apa yang disebut La allakum tattaqun, dalam Al-Quran, meningkatkan ketakwaan, dia ada spiritual message bahawa tidak peduli apa kedudukan kamu, setiap tahun ada masa kamu perkukuhkan semula, bertaut kepada keyakinan kepada Allah SWT.
  1. Keduanya, Ramadan itu melatih disiplin, siapa tahu kamu puasa atau tidak, hanya kamu dan Allah SWT. Kerana bila kamu puasa, boleh diam-diam kamu minum atau makan. Jadi dilatih daripada kecil orang yang berpuasa itu, apa erti disiplin, integriti, keperibadian unggul, kerana integriti dilatih untuk bertanggungjawab kepada diri dan Allah SWT. Sebab itu saya sering tanya, kalau benar kita amalkan ini kita semakin bertaut kepada Allah SWT, dan keduanya punyai integriti. Bagaimana integriti kita ukur? Di pejabat kita, dalam keluarga kita, dalam kerja kita, dalam memikul amanah, apakah ada integriti? Kerana integriti itu dilatih semasa Ramadan. Mana mungkin kalau kita laksanakan Ramadan, 29 atau 30 hari setiap tahun, kemudian kita tidak punyai peraturan, tatakelola dan integriti. Kita tidak tahu hak kita atau hak orang lain, kita tidak tahu tanggungjawab untuk membela nasib rakyat atau mengambil hak rakyat, itu yang diajar dalam agama dan dalam Ramadan, melatih disiplin dan integriti.
  1. Dan yang ketiga, dimensi kemanusiaan. Jiran kita ada yang senang ada yang susah. Di kalangan yang susah, ada yang orang Islam, ada yang Kristian, ada Buddha dan ada Hindu. Kemanusiaan yang diajar dalam Madani ini supaya kita sedar ada tanggungjawab kita. Kita yang ada sedikit rezeki yang lebih, jaga, tahu betapa sukarnya hidup dalam kemiskinan, susah makan. Anak-anak orang lain makan dengan mewah, anak-anak kita tidak punyai makanan yang cukup. Pakaian sekolah compang-camping, sebab itu bulan Ramadan melatih umat Islam untuk merasakan keperitan hidup tanpa makan dan minum waktu siangnya. Untuk apa? Untuk bagi mesej supaya kita lebih ada Ehsan, Rahmah, prihatin terhadap nasib dan derita orang.
  1. Kita boleh bertanya setelah kini sudah sampai dua pertiga Ramadan, apakah benar ada kesedaran yang lebih untuk menjaga masalah orang miskin? Itu kita mampu jawab. Kalau belum baiki cepat. Tengok anak-anak yatim, tengok jiran dan ahli keluarga kita yang miskin. Bantu mereka, untuk meringankan, sekurang-kurangnya bulan Ramadan dan sambut Aidilfitri itu bolehlah meredakan mereka dan meredakan tekanan kepada mereka.
  1. Ini tanggungjawab kepada semua. Ada yang mengatakan ini tanggungjawab Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor kerana dia Ketua Menteri, itu tidak betul. Ini tanggungjawab kita sepertimana yang kita kaitkan dengan masjid, yang kita solat dan imarahkan. Tanggungjawab semua, kerana tanggungjawab mendiri dan memakmurkan masjid itu bukan sahaja tanggungjawab Kerajaan Negeri atau Persekutuan atau Majlis Agama, tetapi tanggungjawab semua.
  1. Al-Qurannul Kareem, menyebut dalam firman Allah SWT: innamâ ya‘muru masâjidallâhi man âmana billâhi wal-yaumil-âkhiri wa aqâmash-shalâta wa âtaz-zakâta wa lam yakhsya illallâh, fa ‘asâ ulâ’ika ay yakûnû minal-muhtadîn – Memakmurkan masjid itu semua harus memakmurkan. Untuk apa memakmurkan masjid? Untuk kaut keyakinan kita kepada Allah dan hari akhirat. Apa tandanya? wa aqâmash-shalâta – kita sempurnakan ibadah solat kita. Kemudiannya, wa âtaz-zakâta – kita bayar zakat. Mengapa bayar zakat? Sekali lagi mengingatkan kita institusi ekonomi itu penting melalui zakat supaya kita boleh membantu rakyat yang susah.
  1. Bagaimana mungkin kita fikir dalam negara kita atau di dunia ada kelompok yang maha kaya, luar biasa berpuluh-puluh bilion kekayaannya dan di kota mereka dan ditempat mereka tinggal disekitarnya masih ada yang merempat hidupnya. Ini bukan semangat yang ditanam yang disebut dalam Quran tadi – man âmana billâhi wal-yaumil-âkhiri wa aqâmash-shalâta wa âtaz-zakâta.

 

  1. Jadi saudara saudari yang dihormati sekalian, mudah-mudahan Ramadan ini memberi kesempatan kita untuk meningkatkan mutu hidup, kesedaran dan amalan kita. Ini kalau kita masuk sekolah ada ujian, berapa kali sudah Ramadan? Dua belas kali. Baik, berapa kali sudah ambil ujian Ramadan? Juga 12 kali, kali pertama C, kali kedua belas juga C juga markahnya. Tidak baik begitu. Jadi sebab itu kita mesti ada tekad supaya tingkatkan prestasi kita dalam Ramadan, maknanya dalam kerja kita. Bayangkan kalau kita dapat kerahkan seluruh Jabatan.
  1. Jadi terima kasih, di Pejabat Pegawai Daerah tadi, ada mesyuarat saya dengan pemimpin-pemimpin Kerajaan Negeri, kita bincang projek-projek, pelaksanaannya, air, letrik, jalan, sekolah, klinik semuanya dibincangkan, diluluskan, dan bagaimana dilaksanakan dengan cepat.
  1. Bayangkan kalau semua kita pakat, kita mahu jadikan Sabah ini negeri maju, hebat, berjaya, Malaysia ini negeri gagah, terkenal, dan semua kita ambil sikap kita akan kerja sekuatnya, Ikhlas, hentikan semua penyelewengan. Bayangkan dalam tempoh 1-2 tahun. Kalau semangat ini ada kita boleh berubah.
  1. Sabah ada kekuatan, apa dia? Tengok majlis ini ramai orang Islam, ramai orang Melayu Bumiputera, tengok ramai orang China, ada bumiputera dari pelbagai suku kaum, Dusun, Kadazan, semua ada, saya lihat tetapi tidak ada pula rasa pelik. Kalau bahagian pakaian, ada orang Kristian pun pakai baju Melayu, semasa Tahun Baru Cina, kita juga pakai baju warna merah, kerana apa? Kerana hormat. Kerana apa? Kerana kita ini bekerja sebagai satu pasukan. Ini yang kita harap kekal di negeri Sabah.
  1. Saya ucap terima kasih tadi dalam Mesyuarat Pembangunan Negeri kepada Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji, kerana beliau telah dapat membantu, pertama, tenang dan menyerderhanakan suasana hiruk pikuk politik ini yang tidak berkesudahan. Terima kasih Hajiji. Ini penting, sebab apa kita mahu stabil? Stabil ini bantu kita fokus, sebab apa? Umpamanya dalam Kerajaan sekarang, saya ucap terima kasih kepada rakan-rakan kita dalam semua parti bagi kerjasama dan sokongan. Bila kita stabil kita boleh tumpu bagaimana tentang transisi tenaga, bagaimana dengan Pelan Perindustrian? bagaimana dengan AI yang sekarang menjadi teknologi baharu yang hebat kencang merombak sistem dunia ini? Kita boleh fikir dengan tenang sebab politik yang stabil. Kalau tidak mana mungkin Perdana Menteri boleh fikir masalah, kerana AI (Anwar Ibrahim) itu mahu ditumbangkan (nada seloroh). Jadi tumpu dalam soal pembangunan dan permasalahan rakyat.
  1. Kita datang tadi, saya jumpa dengan Datuk Seri Hajiji, jumpa cakap peribadi, kerana cakap dengan negeri, kita bukan cakap Datuk Seri Hajiji ada tak tanah boleh bagi dekat saya sedikit? Ada tak balak diluluskan untuk saya? Tiada. Bagaimana miskin tegar? Bagaimana perumahan rakyat? Bagaimana Jalan belubang? bagaimana bekalan air? bagaimana bekalan elektrik? Itu yang kita cuba lakukan dan saya ucap terima kasih kepada Hajiji dan pasukan rakan-rakannya yang bekerja untuk hal ini.

  1. Kita tidak fikir-fikir soal peribadi, dan ini penting, kita kena ubah sikap pimpinan ini. Kalau pimpinan di atas situ serius, bersatu dan tumpu dengan pembangunan, ini tidak kalau ada microfon, hentam sana hentam sini, maki hamun sana maki hamun sini, benci sana benci sini, fikir pasal warna kulit, bergaduh soal budaya, soal bahasa, bergaduh pasal daerah. Tidak akan selesai. Tidak mungkin kita berpakat dan kita selsaikan satu-persatu mengikut peringkatnya.
  1. Inilah yang dilakukan dan saya datang ke Sabah, dan juga Tuaran, cantik tenang suasananya, orangnya pun baik semua, senyum sahaja. Tadi saya tengok kakak tu, saya kata pergi mana, dia kata dia di belakang sana, saya kata kuih mana? Dia kata kuih di rumah. Saya kata boleh saya minum kopi di sini, dia kata boleh. Saya nak cari dia nak pergi minum kopi sekejap lagi. Yang saya nak sampaikan apa? Datuk Seri Hajiji ada dengar, saya tidak kenal, kerana saya baru jumpa. Tapi saya nak tengok kasihnya persahabatannya, persaudaraannya, hubungan yang baik. Apa lagi kita hendak dalam hidup ini. Sekali-kali datang, disambut baik, orang pun baik. Jadi semangat kepada Ketua Menteri, semangat kepada Perdana Menteri, jadi buatlah sesuatu kerana rakyat itu kasih kepada kamu dan kamu kasih kepada rakyat. Itu yang terbaik yang kita boleh capai.
  1. Jadi kepada anak-anak kerana saya lihat ramai juga pelajar-pelajar dari sekolah sains dan sekolah-sekolah yang berada di sini, saya hendak bagi tahu, keadaan berubah. Saya nak ingatkan ibu bapa sekarang, apa yang kurangnya Malaysia? Malaysia menjadi tumpuan sekarang. Panggil syarikat-syarikat terkemuka di dunia, Microsoft, Google, Nvidia, Infeneon, Arm semua bertumpu ke Malaysia. Kita perlu jurutera, kita perlu AI experts, kita perlu technological experts, ramai. Dari mana yang kita hendak latih? Dari anak-anak sekolah. Sebab itu penguasaan bahasa harus baik, penguasaan Bahasa Inggeris harus baik, belajar dengan tekun, STEM atau matematik dan sains harus ditambah dan disiplin di sekolah mesti baik. Saya doa kepada Allah SWT mudah-mudahan semangat ini sampai di kalangan pelajar-pelajar kita, anak-anak yang menentukan masa depan kita, kita mampu hanya membawa, pergi runding di Amerika, di China, di Jepun, di Korea, runding dengan mereka, now come Sabah is beautiful, ini destinasi pelancongan, Selangor banyak peluang-peluang, Pulau Pinang, Kedah. Itu kerja kita untuk menjadi juru jual negara, maknanya untuk menarik minat mereka. Tetapi kalau anak-anak kita tidak terlatih, mereka akan cari kepakaran dan professional dari luar negara. Jadi, tolong, ada Pengetua di sini, ada Guru Besar, ada ibu bapa yang anak-anak di sekolah, ada guru-guru, tolong ingatlah pesan Pak Cik Anwar ini, kalau anak-anak Tok Anwar, mesti ubah.
  1. Baik, minggu ini ada lagi, kemudian kita cuti raya, sambut raya minta ampun dengan ibu bapa tunjuk kasih saying, mula sahaja sekolah selepas Eid, mesti ada dengan gegaran dan semangat baru, “Kami generasi muda dan baru hendak bantu angkat martabat negeri dan negara kami!” Itu harus jadi tekad anak-anak. Dan kalau itu semangatnya, insya-Allah, we are not only in the right track, but this country will remain and become a great country and great future for the young.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.