TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PERJUMPAAN WARGA KEMENTERIAN KEWANGAN & AGENSI BERSAMA YAB PERDANA MENTERI DAN MENTERI KEWANGAN BAGI BULAN MAC 2025

 

TEKS UCAPAN

  

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

 

 

MAJLIS PERJUMPAAN WARGA KEMENTERIAN KEWANGAN & AGENSI BERSAMA YAB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM, PERDANA MENTERI DAN MENTERI KEWANGAN

 

 

13 MAC 2025 (KHAMIS) | 8.00 PAGI

 

 

DEWAN UTAMA

KOMPLEKS KEMENTERIAN KEWANGAN

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Alhamdulillah thumma Alhamdulillah,

Wama tawfiqi wa’tusomi illa billah.

 

Alhamdulillahil quail,

Shahru Ramadan allathee unzila feehi al-Qur’an,

Hudan linnas wa bayyinaat min al-huda wal-furqan,

Wa Nusalli ‘ala Rasulihi’l Karim

Wa Aala Aalehi wa sahbehi Ajmaeen

 

YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan,

Menteri Kewangan II;

YB Puan Lim Hui Ying,

Timbalan Menteri Kewangan;

YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican,

Ketua Setiausaha Perbendaharaan; dan

Rakan-rakan yang saya muliakan.

  1. Mudah-mudahan hampir pertengahan Ramadan, kita imarahkan dengan kekuatan kerohanian dan memahami dimensi disiplin, integriti dan juga sosial yang sebenarnya membawa makna penghayatan Ramadan. Juga untuk menelaah al-quran, membaca, mengikuti makna dan mesejnya kerana seperti mana yang disebut dalam firman Allah SWT yang saya bacakan tadi, bahawa bulan Ramadan, shahru Ramadan, unzila feehi al-Qur’an bulan turunnya Quran, matlamatnya itu petunjuk kepada manusia – Hudan linnas. Petunjuk itu kerana ia memberikan kekuatan, kecerdasan, pencerahan untuk menilai dari wa bayyinaat min al-huda – petunjuk alam, bumi dan segala, sejarah dan kegiatannya, agar kita dapat membuat penilaian – furqan. Sebab quran ada sebut furqan kekuatan untuk memberikan kita upaya memberi membuat penilaian di antara hak dan batil, makruf dan mungkar, dan apa yang disebut kebaikan keseluruhannya.
  1. Kita hanya menggesa supaya peringatan itu dalam masa singkat sekurang-kurangnya ada amalan tambahan di bulan Ramadhan ini. Semalam dalam perhimpunan yang diselenggarakan oleh Kementerian Kewangan, Perbendaharaan dan juga rakan-rakan syarikat-syarikat yang bersama, saya tekankan tentang keperluan kita memaknai Ramadan dengan meningkatkan sedikit usaha- usaha, amalan, praktik kerana kekuatan amalan itu bukan daripada ritualnya. Umat Islam ini tidak kalah pada ritual. Masjid-masjid itu penuh, kalau kita nonton umrah itu penuh, sesak dengan manusia. Satu kebajikan mudah-mudahan mendapat mabrur dan amal soleh. Sebab tu dalam doa umrah dan haji tu dikaitkan dengan wa ‘umratan ‘umratan mabruura wasa’yanaa sa’yan masykuuraa wa dzanban dzanban maghfuura, wa ‘amalanaa ‘amalan shaalihan maqbuulaa – amal soleh dan wa tijaaratan lan tabuura termasuk urusan ekonomi, perniagaan-perniagaan, dan perdagangan, Islam tidak mengenepikan.
  1. Tetapi cabarannya bagi umat Islam dulu dan kini adalah memaknai ritual itu seperti Ramadan. Apakah ramadhan memperkukuh keyakinan kita lebih baik pada tahun sebelumnya? Apakah Ramadan meningkatkan integriti kita? Apakah bulan Ramadan bagi umat Islam itu benar-benar dengan puasa, disiplin, menahan diri dari makan minum dan yang dilarang lainnya itu sebenarnya meningkatkan integriti kita, menolak kerakusan kuasa, penyelewengan kemalasan dan rasuah. Apakah Ramadan itu memberi kesedaran tambahan kepada kita untuk membela nasib jiran kita, khariah kita dan rakan-rakan yang lain yang kurang bernasib baik? Itu sebenarnya soalan itu kita mampu jawab sendiri. Sebab tu semalam saya sebut kadang kita, kami menteri-menteri ada peruntukan Kerajaan, pegawai ada dana Kementerian untuk membantu projek-projek seperti Kampung Angkat MADANI, sekolah angkat, itu dari dana yang dikumpul dari CSR. Ini ada baiknya supaya ada perencanaan yang lebih teliti, tetapi tidak mungkin ada sumbangan peribadi, itu yang juga dituntut, tidak perlu banyak, ikut keupayaan. Sebab itu dalam membina masjid umpamanya, tuntutan itu, seruan itu Innamaa ya’muru masaa jidal laahi – memakmurkan masjid itu satu suruhan umum kepada kariah. Pemerintah dan tanggungjawabnya tentu, jabatan, orang kaya, tetapi juga setiap kariah. Jadi saya lihat dalam pengalaman saya kadang-kadang bila kita sebut tentang sedekah, amal jariah ini dari segi sumber peribadi kita itu tidak ada. Saya rasa perlu amalan Ramadan itu mendorong selain daripada peruntukan-peruntukan sedia ada, penambahan. Pakaian minuman, makanan dan juga kemudahan-kemudahan yang diperlukan untuk meringankan beban rakyat.
  1. Semalam saya umumkan beberapa langkah di bawah ikhtiar MADANI untuk meningkatkan penyertaan pimpinan dan pegawai-pegawai kanan untuk turun ke bawah dan ini walaupun dilakukan dulu tapi tidak structured seperti sekarang, umpamanya KSU, Setiasuaha Bahagian, pegawai-pegawai kanan semuanya, Pengarah Belanjawan yang sekarang jadi Ketua Setiausaha Sulit (KSUS) saya sebab saya banyak tak lulus jadi saya kena bawa ke pejabat saya (nada seloroh), jadi dia beri pandangan makro yang baik sebenarnya dikalangan seperti mana yang kita tahu kemahiran di Bank Negara, di Suruhanjaya Sekuriti, bank-bank, PNB, Khazanah ini semua kalau lihat kepakaran, kemahiran mereka tidak dipertikai. Tetapi kurang kemunasabahannya untuk mereka turun sendiri ke kampung, tak semestinya kampung ini jauh, kampung asal mereka untuk melihat sendiri seluruh masalah di kampung itu, ini yang disebut Kampung Angkat MADANI.
  1. Alhamdulillah, bila saya lihat laporan ada kemajuan, tapi bukan fizikal, kita turun ke kampung, jambatan diperbaiki, parit, ataupun pagar masjid, yang fizikal, bumbung sekolah, tandasnya, tetapi juga jumlah penganggur, masalah dadah di dalam masyarakat itu, masalah sosial yang lain, kalau yang sakit, hospital yang paling dekat, klinik paling dekat apa masalah mereka? berapa jumlah miskin tegar? Mungkin dalam satu kampung mungkin 6 orang. 6 orang kita boleh balik ke Kuala Lumpur dan kutip sikit sebanyak dana daripada rakan-rakan dan selesaikan, sekurang-kurangnya untuk tahun itu. Maknanya secara keseluruhannya, jemaah di masjid? bagaimana diimarahkan? apakah masjid itu diurus dengan baik? ada kegiatan pengajiannya? Ini yang disebut pembinaan ummah secara keseluruhannya. Dan itu yang saya maksudkan Kampung Angkat MADANI.
  1. Dari segi laporan saya perolehi setakat ini banyak yang menumpukan kepada bidang fizikal, ada kejayaannya tetapi saya rasa untuk memenuhi dan memaknai falsafah negara kita tentang MADANI ini ia juga menyentuh soal nilai, soal akhlak, soal kemanusiaan, soal ihsan, jadi kita kena cuba tahu, tidak mungkin kita selesaikan semuanya, tetapi sekurang-kurangnya kita tahu dan ada usaha atau ikhtiar untuk meringankan beban mereka. Ada kadang-kadang hal-hal yang kecil, peniaga kecil yang memerlukan umpamanya RM5,000 atau RM10,000 kalau saudara tidak mampun saudara boleh merujuk kepada TEKUN atau Amanah Ikhtiar kerana saudara mempunyai kedudukan dan kefahaman yang lebih tentang perjalanan dan salasilah pengurusan dan pentadbiran negara.
  1. Jadi untuk tahun 2025 ini, kita berhasrat menambah supaya dari Ketua Pengarah, Setiausaha Bahagian mungkin kita turun sikit, kita ambil sekurang-kurangnya 200 kampung. Kalau setakat 50 kampung satu tahun jadi dekat kiamat baru selesai (nada seloroh). Kemudian, Majlis Iftar kita adakan semalam, GLC, CEO syarikat-syarikat semua ada, jadi kalau kampung angkat ini melibatkan mereka, target kita ialah sekurang-kurangnya 400 kampung. Umpamanya Maybank, takkan Maybank ambil satu kampung sahaja, malu saya, mereka ada kemampuan, mungkin ambil 20 atau lebih ataupun katalah PNB, PUNB, syarikat yang besar-besar ada keupayaan.
  1. Kemudian seperti saudara tahu sejak saya bangkitkan, iaitu sebaik mengambil alih jawatan ini adalah memantau kedudukan di sekolah, banyak masalah sekolah, pembangunannya, kantinnya, tetapi saya mula dengan tandas kerana itu pun dah mencecah hampir satu bilion ringgit. Saya kira selesai, tetapi belum selesai semuanya. Malah ada sekolah-sekolah di sekitar kuala lumpur. Jadi kita harus perbaiki. jadi saya rasa caranya bagaimana? nak harapkan jabatan Kerajaan atau Kementerian Pendidikan sahaja tidak upaya, seorang Pegawai Pendidikan Daerah, yang menjelajah nak cover 50 sekolah menengah, 60 sekolah rendah, sekolah agama, sekolah Cina, sekolah Tamil itu banyak. Jadi wajar kita anjurkan supaya, iaitu kita perkenalkan konsep Sekolah Angkat pada tahun ini. Sekolah Angkat, Kampung Angkat, hai beratlah Menteri, tak terangkat nanti (nada seloroh). Tapi saya rasa boleh, bukanlah pergi setiap minggu, kalau sudah ada contact person, seperti mana saya di Cherok Tok Kun ambil Kampung Angkat dan setahun nak pergi 2 kali pun berat, tetapi saya ada jawatankuasa pemantauan dan rakan yang akan memberi laporan dan kita bantu sedaya upaya. Contoh yang terbaik itu selesai, saya rasa belum tetapi saya rasa boleh. Maknanya kalau Kampung Angkat, saya ambil kampung asal saya di Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam dan Sekolah Angkat nanti pilih sebab kalau nak pilih Malay College nanti ramai sangat orang pilih jadi mungkin kita pilih sekolah-sekolah lain. Jadi kita cadang kalau boleh 500 Sekolah Angkat. Maknanya LHDN sahaja 20, pasal rekod kejayaan tinggi, mereka punyai kepakaran iaitu kutip wang. Jadi saya nak ajar mereka bagaimana belanja orang sikit (nada seloroh).
  1. Baik ada satu hal yang saya mahu singgung sedikit iaitu tentang kemelut sekarang. Dua (2) perkara yang saya nampak dijadikan bahan politik 2-3 hari ini ialah soal Sapura Energy yang mendapat suntikan RM1.1 bilion dari Kerajaan. Jadi dia kata Anwar dulu memang menentang bailout. Memang kalau saya beri pilihan saya tidak senang dengan cara kita menyelamatkan syarikat-syarikat besar. Puluh ribu syarikat-syarikat kecil yang kadang-kadang terlantar tidak dipedulikan. Tapi dalam kes ini, kita kena tahu, boleh tegur dan kritik dan serang, dia bukan penyelamat seperti yang direncanakan dulu, kita mulakan dengan forensik audit. Kenal pasti apa permasalahannya dan siasatan kalau ada apa-apa penyelewengan penyalahgunaan kuasa atau keterlanjuran, itu diteruskan. Saya semak juga 2 hari 3 hari yang lalu, diteruskan itu bukan urusan kita, kita hanya minta siasatan, jadi semua agensi yang terlibat harus siasat. Apakah ada kita keterlanjuran kemudian.
  1. Ketiganya kita tidak beri ruang itu kepada syarikat. RM1.1 bilion itu khusus kepada vendor yang telah kerja sekitar 2000, 80% itu vendor-vendor bumiputera yang telah memberi sumbangan, bagaimana harus mereka dihukum tengok dalam dunia politik, kalau saya tidak tolong Anwar khianat, dia bukan lagi membantu, memperjuangkan nasib bumiputera, dia hanya menjadi jurucakap DAP, ini salahnya di sini. Jadi, kalau kita buat dia kata ini kita bantu, saya tidak bantu menyelamatkan terkaya. Wang itu tiap sen terus kepada vendor yang telah bekerja dan tiada dapat bayaran. Jadi apa kata kalau kita kata, “baik, biar dia bankrap semua”, apa jadi? ini sahaja satu-satu syarikat oil and gas Malaysia yang boleh operasi di bawah pelaksanaannya. Kalau tutup maknanya tidak ada syarikat yang mampu mengendali, maknanya seluruh kegiatan di peringkat hiliran, di peringkat bawah pelaksanaan itu semuanya syarikat asing. Kita ada problem sekarang, dia bukan bailout, ini menyelamatkan syarikat besar dengan pengurusannya. Pengerusi, pengurusan kanan semua mesti keluar, itu syarat kita. Mesti diganti dengan pengurusan baharu. Dan kalau ada permasalahan atau yang melibatkan keperluan siasatan itu diteruskan.
  1. Jadi ini pertimbangan kita, kalau saudara dalam kedudukan saya saudara harus pilih, apakah kita harus hukum 2000 syarikat yang telah bekerja dan bukan salah mereka. Hukum orang yang salah bukannya mereka. Jadi sebab itu suntikan dana itu tidak kepada syarikat secara langsung, tapi kepada vendor. Dan dalam kes ini secara khusus tanpa syarikat ini, tidak ada syarikat yang mengendali di peringkat pelaksanaan atau peringkat kerja-kerja dalam negara dan kita terpaksa serahkan semua kepada syarikat asing. Jadi kita ada Apakah dia tidak ada masalah awal? ada, mungkin pengurusan, mungkin apa saya tidak dapat umumkan semua di sini, biar kita lihat forensik audit, tapi penyelesaian begitu baik.
  1. Apakah dana ini dana hangus? tidak. Apa yang dilakukan ialah suntikan ini akan dijadikan modal pinjaman supaya pengurusan baharu mudah-mudahan akan mengurus dengan lebih baik mendapat keuntungan dan membayar semula dana suntikan RM1.1 bilion. Bukan suntikan dana tetapi dilaksanakan dalam bentuk pinjaman. Letih, saya tidak ada masalah, tetapi caranya “Anwar telah mengkhianati amanah”, “Anwar sekarang menjadi alat dan perkakas negara ini, ekonomi, kepada korporat-korporat.” Bunyikan enak, tapi pembohongan di bulan Ramadan, kerana kedangkalan ilmu dan keengganan mendapat fakta yang betul. Bila kita tegur dan kritik Sapura Energy dulu, berapa tahun dulu, 3 tahun dulu, 4 tahun yang lalu. Mungkin saudara ingat debat saya dengan Datuk Seri Najib, apa yang saya sebut? Saya kata jangan bailout, pengurusannya itu masih di sana. Pendapatan mereka masih tinggi, berjuta-juta. Mana dia forensik auditnya? kita ambil laporannya yang masuk, jadi semua peraturan yang agak transparent, yang telus dilaksanakan sebelum keputusan yang dibuat dan keputusan ini percayalah saudara-saudara tidak mudah. Saya di antara orang yang paling keras dari segi bailout kerana pengalaman saya daripada awal dulu 1997, 1998 ialah menentang bailout kepada syarikat perkapalan yang melibatkan anak Perdana Menteri.
  1. Jadi ada pengalaman kerana menyelamatkan orang-orang yang hidupnya mewah dan dengan segala kemudahan. Kemudian mengurusnya paling lembap, menyebabkan kerugian besar dan kemudian ditampung oleh Kerajaan, tanpa syarat-syarat yang kita berikan begini. Jadi itu mengenai Sapura yang melibatkan dana RM1.1 bilion.
  1. Yang satu lagi, yang telah berlaku dalam sama tempoh sebulan ialah Akta Pembangunan Bandar. Itu dikatakan kita mahu merampas hak Melayu. Sebab itu, saya minta kita fikir orang yang perintah sebelum ini, dia buat apa? Saudara-saudara tahu tidak miskin bandar ini memang isu besar. Saudara-saudara tahu tidak, pergi tengok flat PPR yang lama, Sri Perlis disiapkan di sekitar 60-an, satu kamar, satu bilik, satu bilik air, keluarga anak 6. Hidup sejak tahun 60-an sampai 2000, 2024, 2025. Jadi saya ingat, saya pergi situ masa ada kebakaran, saya berasa lemas. Semasa itu saya Ketua Pembangkang, saya kata macam mana ini? Majoriti di situ Melayu, ada India yang ramai dan beberapa jumlah kecil keluarga Cina. Apakah bila kita jadi Kerajaan kita tidak mampu buat apa-apa? Ada tidak perancangannya? “aku hendak serah dia buat? Tidak. Hendak bayar sewa pun dia susah. Apakah kekal sampai anak-pinak dia begitu hidup dia? Bila kita ada segala kemewahan, kita ada mercu tanda yang hebat dengan Twin Tower dengan jambatan semua hebat-hebat, tapi majoriti rakyat miskin bandar hidup dalam keadaan begitu. Dia tidak boleh menyentuh hati nurani saya.
  2. Sebab itu, kalau saudara masih ingat tahun 90-an ketika itu, pembangunan Kerinchi, perumahan Kerinchi, Wangsa Maju, perumahan Gombak, Ampang, itu semasa saya Menteri Kewangan. Kita ambil alih banyak tugas KPKT masa itu melaksanakan program ini. Saya masih ingat kadang-kadang bila bincang minta tanah dari sebuah negeri, negeri Selangor masa itu, orang kata “tanah susahlah Datuk Seri”, saya marah, saya kata “tanah golf berpuluh-puluh tempat boleh, tanah rumah rakyat tidak boleh? Itu semasa saya Menteri Kewangan, Timbalan Perdana Menteri. Sebab itu saya kena terajang cepat (nada berseloroh).
  1. Saudara-saudara fikir, bagaimana kita hendak jawab tanah golf boleh? rumah rakyat tidak boleh? Itu tidak apalah saya belum pegang tampuk kekuasaan. Sekarang saya dalam keadaan boleh mempengaruhi, jadi saya lakukan sebaiknya. Baik, dengan undang-undang yang ada sebelum pindaan ini apa yang kita boleh lakukan? Satu projek di Jalan Tun Razak semua setuju, seorang tidak setuju tertangguh sampai sekarang. Bawa kes mahkamah, tunggu 4-5 tahun, kemudian mahkamah putuskan penilaian berdasarkan semasa. Tidak memberi manfaat. Kalau kita laksanakan program ini daripada harga sekitar RM70,000 atau RM60,000 lepas itu katalah RM100,000 sekarang, dia kemudian naik 3 kali ganda, 2 kali ganda dari itu jadi hak dia. Tidak ada rampasan, kalau status tanah itu rizab melayu kekal rizab melayu, status tanah itu status apa pun kekal. Status tanah tidak berubah. Pemilik dijamin dapat rumah yang lebih baik, itu dia. Jadi kita perlukan ini supaya, kalau 80% orang setuju 20% tidak setuju kita gunakan undang-undang ini beri pada dia akan dapat apa yang diperolehi oleh 80% penghuni. Ini yang kita lakukan tapi ada bantahan yang kuat ini “Anwar ini paling atas arahan DAP”, pulak dah (nada berseloroh), apa kena mengena, kerana kebetulan Menteri KPKT itu DAP, Timbalan Menteri Kewangan DAP, itu susah lah.
  1. Jadi saudara-saudara kalau betul, sebab itu saya jawab di Parlimen. Kalau betul hendak tolong Melayu, majoriti ini Melayu, jangan kekalkan sudah 60 tahun, 70 tahun dengan begitu keadaan dia, kita selesa. Jadi sebab itu saya ambil keputusan sudah diluluskan sekarang oleh Parlimen, kita jelaskan, kita jalan dengan tegas. Kerana biasanya orang akan mudah terpengaruh, ini soal bangsa, “lenyap kita nanti di Malaysia”, “Pulau Pinang tiada azan dan golongan Kristian telah ambil alih.” Ada yang bingai yang percaya. Jadi begitu juga macam saudara kalau dia bagi cadangan pilihan ini. Kalau cadangan Anwar tidak begitu menarik, “kami cadang begini”, tidak ada juga, dia hendak kekalkan orang Melayu jadi begitu rendah pendidikan, miskin, supaya dia boleh peralatkan. Ini yang disebut dependency syndrom theory oleh Samir Amin umpamanya rakyat itu dilemahkan supaya dia boleh kawal, ilmu yang sedikit, jadi boleh dihasut melalui agama, melalui kaum.
  1. Jadi, ini masalahnya, saya lontarkan kerana ini akan melibatkan Kementerian Kewangan. Kementerian Kewangan terpaksa mulai tahun ini mula bersama KPKT, Dewan Bandaraya memperuntukkan dana yang lebih besar dan saya akan minta semua GLC, syarikat-syarikat kewangan dengan jaminan Kerajaan sedemikian membangunkan dalam konteks masa yang lebih cepat. Tapi tentunya melibatkan sektor swasta, jadi yang kata “oh begini cara orang sektor swasta menelan kekayaan lebih besar”, dia hendak untung banyak mana pun soal dia, asalkan rakyat yang susah itu dapat kemudahan yang jauh lebih selesa dari satu bilik ke tiga bilik, dari satu tandas ke dua bilik mandi. Itu rencana kita, dan perumahan yang punyai tempat permainan, kawasan hijau. Itu kita kenakan syarat-syarat sepertimana perumahan MADANI di jalan Taman Desa. Itu kita cuba memberikan yang maksima yang belum diperolehi sebelum ini. Green ada, tempat permainan ada, untuk kategori ini dan juga gerai-gerai dan warung-warung yang lebih bersih, lebih indah untuk mereka.
  1. Jadi itu dua (2) isu yang saya minta saudara hadam dan faham, selain daripada menambah waktu untuk membaca Al-Quranul kareem.

Assalamualaikum warahmatullahi wabaratuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.