
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
PROGRAM MAJLIS BERBUKA PUASA MADANI 2025
21 MAC 2025 | JUMAAT | 7.00 MALAM
MASJID SULTAN AHMAD CUKAI, KEMAMAN TERENGGANU
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Alhamdulillah thumma Alhamdulillah,
Wama tawfiqi wa’tusomi illa billah.
Alhamdulillahil quail,
Shahru Ramadan allathee unzila feehi al-Qur’an,
Hudan linnas wa bayyinaat min al-huda wal-furqan,
Wasollallahu ‘ala sayyidina muhammadin
Wa’ala aalihi wasohbihi ajmaeen.
Saudara saya,
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Ahmad Samsuri Mokhtar;
Menteri Besar Terengganu;
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri;
YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar,
Ketua Setiausaha Negara;
YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican,
Ketua Setiausaha Perbendaraan;
Yang Di-Pertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM);
Ketua pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU);
Sahibus Samahah Mufti; dan
Rakan-rakan yang saya muliakan.
- Saya ucapkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada Datuk Seri Menteri Besar dan Kerajaan Negeri serta tempatan-tempatan termasuk YADIM dan ICU yang bantu menyelenggarakan majlis pada malam ini, dan terima kasih juga kepada pengarah Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman yang memberikan kesempatan kita untuk bersama mengadakan perbincangan.
- Saya mulakan tadi kerana kebetulan kita berada di 10 hari akhir Ramadan. Ramadan Kareem Kullu Aam Wa Antum Bikhair, ialah untuk mengingatkan kita bersama tentang kemurnian martabat bulan Ramadan – Syahru Ramadan unzila feehi al-Qur’an, bulan turunnya Al-Quran dan apatah lagi 10 hari yang terakhir itu lebih utama untuk kita. Dalam kesibukan kita, jangan lupa untuk kembali kepada pokok pangkalnya menguasai Al-Quran dan memaknai dan mengamalkan, Insya-Allah.
- Quran itu sebenarnya sebagai pedoman, panduan hidup –Hudan linnas kerana tanda-tanda yang kita saksikan itu hanya memperkukuh keyakinan kita. Wa bayyinaat min al-huda – memperkukuh hidayat itu petunjuk bagi kita dan memberikan kita kesempatan membuat penilaian yang baik di antara hak dan yang batil, di antara yang ma’aruf dan yang mungkar dan di antara yang baik dan yang jelik, itu yang disebut wal-furqan.
- Mudah-mudahan silaturrahim kita, kerjasama di kalangan kita, kerja kita dapat kita manfaatkan. Di beberapa program Ihya Ramadan, saya ingatkan bersama kita di kementerian-kementerian yang saya hadir bahawa Ramadan itu juga kesempatan kita, pertama, meningkatkan La allakum tattaqun – ketakwaan kita melalui amalan yang dianggapkan satu pengembaraan kerohanian. Tetapi, ia juga satu bentuk latihan yang luar biasa dalam tradisi Islam iaitu kukuh disiplin, tingkat integriti, nilai, budi pekerti, kerana bulan Ramadan itu melatih kita buat sesuatu yang hanya kita tahu dengan Allah subhanahu wa ta’ala. Jadi integriti itu begitu menjadi paksi dalam kegiatan amalan Ramadan.
- Dan saya syorkan supaya kita ingatkan diri kita masing- masing bahawa integriti Ramadan itu harus diterjemahkan dalam amalan di pejabat kita, dalam keluarga kita, dalam masyarakat kita, dalam siasah kita, dalam ekonomi kita, barulah selamat Insya-Allah umat ini terutama dalam zaman yang sangat mencabar dengan derita yang dihadapi oleh saudara mara kita di Gaza. Ini semua mengingatkan kita bahawa kita bukan dalam keadaan yang boleh dianggap di ruang selesa. Kita tercabar dalam banyak bidang.
- Dan yang ketiga, Ramadan juga kesempatan untuk kita mengingatkan diri kita tentang nasib supaya ada ihsan kepada golongan kurang bernasib baik. Jiran kita sama ada Muslim atau bukan Islam, kalangan miskin – walyataamaa walmasaakeen dan juga kita harus terjemahkan bukan sahaja di bulan Ramadan tapi mengingat kita supaya amalan itu tersebar dan menjadi amalan tetap dalam Kerajaan, dalam jabatan, dalam segala usaha kita.
- Jadi itu mukadimah tazkirah ringkas Ramadan. Saya ingat tadi Dato’ Seri Samsuri dia mula, dia tak mahu tadi. Dia bagi peluang kepada saya. Terima kasih.
- Di Terengganu ini, seperti mana kita tahu saya ucap terima kasih kerjasama baik. Sebab itu kita boleh segerakan floating solar ataupun tenaga solar yang agak terbesar dalam negara kita. Floating, itu di Terengganu, dipelopori oleh Petronas, dan dapat kita laksanakan dengan lebih cepat dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu. Ini satu permulaan yang baik, menunjukkan bahawa ada kesediaan kita untuk meningkatkan usaha kerana ekonomi negeri, peluang pekerjaan dan juga latihan serta pendedahan.
- Saya juga ucap terima kasih kepada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) melaksanakan banyak program seluruh negara termasuk saya seminar kenegaraan dan aspirasi belia Madani.
- Baik, tadi, kita bincang tentang projek projek baharu. Biasalah kalau Perdana Menteri bawa pegawai-pegawai kanan, KSN, KSP ini semua bagi senarai projek-projek besar. Dan ada apa keistimewaannya? Ini budaya pemimpin Persekutuan turun ke negeri bagi pandangan dan dengar pandangan pimpinan negeri itu ada berlaku tetapi tidak structured macam sekarang. Seperti mana bulan Ramadan saya turun ke kementerian, bukan kementerian pergi ke Jabatan Perdana Menteri tetapi Perdana Menteri dan pegawai kanan turun ke kementerian untuk beri pandangan dan bincang isu-isu bersama.
- Tahun 2025 projek-projek kita tentu tinggi, tetapi saya jelaskan bahawa belanja pembangunan negeri Terengganu memang kita tambah. Sebab itu betul, depan MB dan saya sebutkan apakah cukup, tak cukup. Tadi kita bincang tebatan banjir pun tak cukup tetapi kelulusan untuk negeri Terengganu itu tinggi ketimbang tahun sebelumnya. Untuk tahun ini RM1.836 bilion dan ini pertambahan RM239 juta.
- Kemudian, KSP ada di sini, umpamanya dari segi pemberian Kerajaan Persekutuan, 3 negeri yang tertinggi, yang mencecah lebih RM1 bilion adalah Sarawak, Sabah dan Terengganu. Dan MyProjek Negeri Terengganu, 432 program atau projek yang telah diluluskan, yang sudah bermula dan tahap permulaan tadi kalau kita tengok kebanyakannya ikut jadual. Saya ucap terima kasih kepada pegawai-pegawai yang menjalankan dan melaksanakan program ini, termasuk pegawai Kerajaan negeri dan juga di Majlis Daerah atau Majlis Perbandaran. Sehingga 10 Mac, 1,363 projek telah siap. Setelah diambil kira projek-projek yang lama, sebanyak 83 projek yang telah siap di Negeri Terengganu sahaja itu RM1.826 bilion.
- Yang di Terengganu ini, masalahnya saya katakan tebatan banjir. Peruntukan Kerajaan untuk Terengganu keseluruhannya bagi projek tebatan banjir dan pemuliharaan muara sungai, hakisan pantai di Negeri Terengganu, itu pun tadi dibangkitkan lagi, belum selesai di pantai Marang tak salah saya, beberapa hal yang belum lagi. Tetapi setakat yang dah diluluskan RM2.243 bilion. Ini termasuk umpamanya pemuliharaan muara sungai dan rancangan tebatan banjir RM581.39 juta. Loji rawatan kumbahan dan rangkaian paip pembentungan bernilai RM662 juta.
- Hospital Dungun bernilai RM145 juta dan tahniah kerana siap 25 Jun tahun lalu. Hospital Kemaman tertangguh dah puluh tahun, harga setengah bilion ringgit, dan kita bincang tadi bagaimana nak percepatkan proses itu? Ini Ahli Parlimen Kemaman.
- Kemudian, Kompleks Sokongan Klinikal, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Terengganu dan saya tak payah baca semua lah. Tapi nak sebut ada naik taraf jambatan merentasi Sungai Marang. Saya sebut ini, dan termasuk Sungai Besut di Jalan Jertih. Yang Marang nilainya RM397.5 juta dan Jertih Besut RM124 juta.
- Saya sebut ini juga kadang-kadang kerana sebahagian rakyat salah faham. Dia kata Anwar ni dia tak jaga Terengganu. Tak betul. Kalau nak Menteri Besar jemput lagi, kerap lagi Yang Berhormat lagi.
- Kemudian, Jalan Baru Kuala Terengganu bypass di Jalan Durian Burung ke Bulatan Jalan Paloh Muzium Terengganu RM120 juta. Dan ini semua berlaku kerana kerjasama di antara kedua-dua negeri.
- Tadi, selepas Solat Jumaat di Masjid KLIA, Saya umumkan Disember gaji naik, Januari gaji penjawat awam naik, bulan Februari bagi RM500 lagi. Kemudian dia kata ini bulan Ramadan bulan Mac macam mana? Aduhai. Belum pernah dalam sejarah, saya tengok rekod daripada merdeka 1957 sampai sekarang, belum pernah dalam sejarah kita naik gaji Disember dan Januari, bagi bonus bulan Februari dan dia orang minta lagi bonus bulan Mac. Jadi saya luluskan tadi RM500 untuk sambut Aidilfitri dan mengurangkan beban kita kos sara hidup bulan puasa penjawat awam. Ini termasuk veteran, veteran tentera yang ada pencen, yang tak ada pencen, kita bagi, dan juga pesara.
- Malam ini, saya nak tambah kerana guru KAFA, guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja dan marbut tak dapat. Jadi oleh itu, kita akan tambah kepada semua. Guru KAFA, guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja dan marbut RM 250. Dia akan disampaikan minggu depan. Kalau lambat, salah Datuk Johan, KSP.
- Sekali lagi, saya ucap terima kasih, doa ke Allah subhanahu wa ta’ala. Mudah-mudahan negara kita selamat aman, ekonomi dapat ditingkatkan, kebajikan rakyat diberi perhatian yang lebih.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Similar Posts:
- NASIB GOLONGAN MISKIN TEGAR TERUS JADI KEUTAMAAN KERAJAAN PERPADUAN – PM ANWAR
- KEHADIRAN PM KE JOHOR DIHARAP TINGKATKAN HUBUNGAN KERAJAAN PERSEKUTUAN, NEGERI
- KERAJAAN TIDAK BERCADANG PERKENAL GST, CUKAI KEPENGGUNAAN BERASAS LUAS TANGANI ISU HUTANG NEGARA – PM ANWAR
- PEMBANGUNAN NEGERI, TEBATAN BANJIR ANTARA DIBINCANG DALAM KUNJUNGAN HORMAT AMIRUDIN
- MALAYSIA-UAE SEPAKAT TINGKAT KERJASAMA – PM