TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS LAMBAIAN KASIH, SANJUNGAN BUDI  YBHG. TAN SRI DATO’ SERI MOHD ZUKI BIN ALI  MANTAN KETUA SETIAUSAHA NEGARA

 

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM 

PERDANA MENTERI

 

   

SEMPENA

 

 

MAJLIS LAMBAIAN KASIH, SANJUNGAN BUDI

YBHG. TAN SRI DATO’ SERI MOHD ZUKI BIN ALI

 MANTAN KETUA SETIAUSAHA NEGARA

 

 

 

7 APRIL 2025 | ISNIN | 8.00 MALAM 

ZENITH HOTEL, PUTRAJAYA

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia MADANI.

 

Yang Berbahagia Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar,

Ketua Setiausaha Negara dan isteri, Puan Sri Maheran binti Jamil;

 

Yang kita raikan, yang bersara tapi kekal muda dan segar, itu peringatan Puan Sri suruh jaga, saudara saya, Tan Sri Mohd Zuki bin Ali dan Puan Sri To’ Puan Seri Norizam binti Che Mohd Nor;

 

YBhg. Dato’ Mohd Dusuki bin Mokhtar,

Peguam Negara;

 

YBhg. Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz,

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam; dan

 

Rakan-rakan yang saya muliakan.

 

  1. Kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana mempertahankan sesuatu budaya yang penting. Meraikan, menyatakan penghargaan kepada orang berbudi dan memberikan sambutan sesuai dengan khidmat sumbangan dan pengorbanannya.
  2. Malam ini, bagi pihak Kerajaan MADANI, Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof dan rakan-rakan saya percaya sepenuhnya, ingin menyatakan penghargaan, ‘Jazakumullah Khairan Katsiran’ atas khidmat, bekerjasama kepada kami dalam menyempurnakan tugas.

 

  1. Tan Sri Zuki ini, dia sosok yang agak unik juga. Tak ramai orang di Malaysia ini yang boleh bekerja dengan lenggok tersendiri, berhadapan dengan empat (4) tokoh negara yang pelbagai fahamannya. Dan menerusi pengalaman saya, bukankah saya ini kiranya walaupun pernah dalam Kerajaan tapi bila masuk itu masuk macam dari luar lah ya. Jadi, dalam pertemuan pertama dengan saudara Tan Sri Zuki ini, dia memberi satu, bukan jaminan tapi dengan cara dan pendekatannya itu memberikan suatu perasaan yang sangat selesa. Saya seolah-olah tidak hadapi apa-apa masalah walaupun saya tahu di kalangan penjawat awam ada kesangsian, ada keraguan kerana kita dalam Kerajaan campuran dengan beberapa kelompok yang mungkin kurang disenangi beserta kebimbangan tentang apakah hala tuju kita iaitu menyimpang daripada hasrat majoriti penjawat awam.

 

  1. Tetapi Tan Sri Zuki, terima kasih kerana saudara jalankan tanggungjawab sebagai penjawat awam yang profesional, serving the government of the day dengan loyalty dan komitmen untuk berikan kerjasama sepenuhnya. Jadi saya selesa dari jam pertama sebagai Perdana Menteri bekerja dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Zuki. Saya sebut perkara ini kerana jangan kita remehkan kenyataan bahawa suasana politik dan pergelutan yang berlaku itu agak belum pernah berlaku dalam sejarah kita. Dalam konteks berlarutan bertahun-tahun, memang tahun 1969 memang ada sedikit kejutan, tetapi tidak timbul kedudukan dan kekuatan Kerajaan yang ada. Tapi emapat (4) tahun itu dia berkocak dengan arah yang tidak menentu dan kestabilan pun belum dapat dipastikan.

 

  1. Saya sebenarnya belum sempat tanya, jumpa dia itu kerja terus. Saya kak tanya macam mana dia boleh jaga 4 Perdana Menteri yang pelbagai dengan sikapnya pelbagai serta dasarnya juga pelbagai. Tidak seperti mana saya dalam Kerajaan Barisan Nasional dahulu kerana sistemnya, dasarnya itu agak hampir sama, cuma penekanan penugasan baru, tetapi Kerajaan MADANI pertamanya datang dengan beberapa gagasan baharu, dengan beberapa penekanan yang agak sedikit tegas daripada sebelumnya. Jadi eloklah saya sebut di sini, dan Azizah juga sampaikan salam dan minta maaf, dia jarang ikut acara malam. Untuk menyatakan Tan Sri Zuki, terima kasih banyak kerana memudahkan.

 

  1. Dan tiap hal yang kita umumkan umpamanya, konsep Negara MADANI, kemudian Kajian Separuh Penggal, kemudian Pelan Perindustrian dan Transisi Tenaga, Transformasi Digital dan yang utama juga yang diketuai oleh Tan Sri Tan Sri Wan Ahmad Dahlan soal SSPA. Tidak mudah kerana kita tahu kekangan kewangannya, tetapi persiapan yang rakan-rakan kita di JPA dan kerjasama malah panduan oleh Tan Sri Zuki banyak membantu. Memanglah tentunya orang berterima kasih kepada saya kerana saya buat keputusan akhir tetapi tentunya peranan TPM, Jemaah Menteri dan persiapan yang rapi oleh seluruh jentera, di JPA, Kementerian Kewangan dan yang berkait dan di bawah Tan Sri Wan Dahlan dan juga Tan Sri KSN ketika itu Tan Sri Mohd Zuki. Jadi, saya harus akui bahawa kejayaan ini adalah kejayaan hasil kerja sebagai satu pasukan. Kejayaan ini ialah kerana hasil komitmen bersama. Cita-cita untuk bawa perubahan dan dapat menerima bahawa tidak mampu negara ini diangkat martabat, harakat dan darjatnya kalau kita kekalkan kaedah, pelaksanaan lama. Kalau kita berasa yakin untuk bawa dan angkat keupayaan negara ini, kita harus terima kenyataan bahawa kaedah lama tidak mungkin dapat dipertahankan. Semuanya tentu, sebahagian besar mungkin kita teruskan, kerana tuntutan zaman, tuntutan semasa, perubahan-perubahan teknologi baharu, tenaga baharu itu menuntut kita memiliki cara baru, melatih cara baru, membawa perubahan-perubahan.

 

  1. Bagaimana mungkin ini dapat kita laksanakan tanpa kerjasama yang penuh dengan komitmen daripada penjawat awam? Jadi wajarlah saya ambil kesempatan dengan mengulangi penghargaan saya kerana Tan Sri Zuki bukan sahaja KSN ketika itu tetapi seluruh penjawat awam di kementerian-kementerian, KP dan KSU itu dapat memberikan sumbangan dan perkhidmatan yang membanggakan. Malah satu hal yang Tan Sri Zuki tak singgung tadi, mungkin kerana dia sendiri draf ucapannya, iaitu penekanan yang saya berikan kepada penjawat awam. Saya ada sedikit pengalaman dulu dan saya lihat umpamanya pada era 80-an, awal 90-an, tahap kecekapan dan keputusan-keputusan termasuk fiskal, ekonomi dan kewangan, projek, itu dilaksanakan hampir keseluruhannya dengan penyertaan konsultan secara minima. Dan saya lihat projek-projek ini dijalankan dengan begitu baik. Maknanya jika diberikan pendedahan dan latihan penjawat awam mampu lakukan. Tetapi semasa saya mengambil alih jawatan kali ini saya lihat terlalu banyak ketergantungan kepada konsultan asing dan konsultan luar. Jadi saya anjurkan kepada KSN dan KPPA, mari kita lakukan anjakan semula. Kalau ada kekurangan kita latih penjawat awam yang muda untuk memberikan mereka kepakaran, kemahiran, keterampilan agar dapat memenuhi keperluannya, maka diberikan peruntukan tambahan yang besar untuk memenuhi tanggungjawab ini kerana ini sebab dia muncul kerana keyakinan saya. Keyakinan saya bahawa prestasi penjawat awam itu harus dipulihkan dengan memberikan dan penugasan dalam hal-hal yang mampu mereka kendalikan dengan latihan dan pendedahan baru. Tidak semestinya formal seperti PhD, Masters tetapi apa sahaja latihan dan pendedahan ikhtisas serta specialization terutama dalam teknologi baharu harus diberikan. Dan ini bagi saya berlaku, Zuki ya kerana keyakinan saya akan keupayaan kita.

 

  1. Akhirul kalam, saya nak singgung satu hal yang saya harap sebahagian saudara baca. Semasa saya belum masuk dalam Kerajaan, ketika itu Peguam Negara, bukan Dusuki, sebelumnya lagi. Menulis buku, menerbitkan buku, dan dalam buku itu menyinggung 1 atau 2 hal yang sangat saya tidak senangi. Beliau pernah jadi peguam saya dan pro bono, jadi sukar saya untuk memberikan teguran yang keras. Tetapi ada dua (2) perkara yang sangat tidak menyenangi saya. Pertama ialah membuat tuduhan biadap terhadap Almarhum Tun Abdul Razak. Seolah-olah Tun Abdul Razak itu terlibat dalam tindakan yang menyebabkan berlakunya rusuhan 13 Mei 1969. Tanpa fakta, tanpa hujah, hanya sepintas lalu menyinggung menyerang seorang tokoh negara, negarawan Melayu dan negarawan Malaysia yang sangat dihormati terutama kerana keprihatinan beliau tentang soal pembangunan yang lebih seimbang.

 

  1. Yang kedua ialah menyinggung seolah-olah penjawat awam ini agak lekeh, tidak ada berkeupayaan. Dalam 1000 orang di Jabatan Peguam Negara itu tidak ada yang mempunyai kelayakan untuk mencapai jawatan tertinggi. Ini yang saya sebut umpamanya satu sikap yang pernah dikupas oleh Syed Hussein Alatas dalam ‘the origins of the myth of the ‘lazy native’ atau karya sahabat lama kita, ‘The Malay Dilemma’, ataupun ‘Revolusi Mental’ yang pernah diterbitkan oleh UMNO dahulu. Iaitu seolah-olah di bawah ini malas, rezeki secupak takkan jadi segantang, itu salah satu sikap peribadi budaya Melayu, ini Syed Hussein Alatas menyebut Captive Mind In Development Studies. Itu yang disebut mitos pribumi malas, the myth of the ‘lazy native’.

 

  1. Saya tulis ini, 2-3 tahun, 4-5 tahun sebelum saya jadi Perdana Menteri. Tapi ada hal-hal yang saya fikir saudara ikuti untuk membuktikan ini tidak benar. Negara ini setelah merdeka lebih 6 dekad itu dipertahankan bukan sahaja dengan pimpinan politiknya dan juga penjawat awam. Jadi kalau kita hargai dan sanjungi negarawan seperti Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj dan pemimpin-pemimpin lain itu mereka laksanakan kerana dukungan dan sistem penjawat awam yang membolehkan kita melaksanakan dasar-dasar tersebut.

 

  1. Jadi nanti KSN tolong edarkan ulasan saya buku mantan Peguam Negara itu supaya dibaca dan itu dapat melihat umpamanya sikap saya tentang tidak menafikan kelemahan-kelemahan dan kecuaian, keperluan untuk islah dan perubahan, tetapi mengiktiraf dan menghargai sumbangan besar.

 

  1. Terima kasih sekali Tan Sri Zuki, dia sebenarnya belum bersara. Bersara apa dia di EPF sekarang (nada seloroh). Saya duk kata, saya nak tanya sekejap lagi, saya bila fikir- fikirkan kemudahan dan kedudukan di EPF lebih baik di KWSP ataupun di KSN belum tentu. Sekali lagi terima kasih, terima kasih Puan Sri.

 

Wassalamualaikum warahmatullaahi wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.