
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
PROGRAM MAJLIS SAMBUTAN AIDILFITRI MADANI
BERSAMA YAB PERDANA MENTERI PERINGKAT
KEBANGSAAN
5 APRIL 2025 | SABTU | 12.30 TENGAHARI
PUSAT PERDAGANGAN ANTARABANGSA MELAKA
(MITC)
AYER KEROH, MELAKA
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, dan salam sejahtera.
Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin,
Nahmaduhu wa nusalli ala rasool kareem
Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam,
Ketua Menteri Melaka dan Toh Puan;
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi,
Timbalan Perdana Menteri
Yang Amat Berhormat Datuk Seri Utama Ab Rauf bin Yusoh,
Ketua Menteri Melaka
Tan Sri Dato’Johari bin Abdul,
Speaker Dewan Rakyat;
Ahli-ahli Jemaah Menteri;
Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri;
Seterusnya tetamu kerhormat yang saya muliakan dan rakan-rakan.
- Alhamdulillah kita memanjatkan setinggi tinggi kesyukuran kepada Allah SWT kerana kita dapat menyempurnakan acara Sambutan Aidilfitri Madani, pelancarannya di negeri Melaka yang bertuah ini. Saya ucap terima kasih kepada saudara Aaron Anak Dagang, Menteri Perpaduan dan seluruh jentera kementerian bersama dengan Saudara Ketua menteri dan seluruh jentera Kerajaan Negeri dengan bekerjasama menjayakan acara ini. Dan kalau lihat kepada acara sambutannya dan jumlah kehadirannya, ini dengan sendiri menjawab, mengapa Kerajaan Persekutuan berminat untuk memilih Melaka sebagai tuan rumah banyak acara.
- Soal Pelancaran Tahun Melawat Malaysia yang 3 kali diulang oleh Ketua Menteri ini, maknanya bukan dia usulkan tetapi dia maknanya secara halus memaksa. Dan oleh kerana sebelah saya itu Timbalan Perdana Menteri yang juga merangkap Presiden UMNO, dia turut memberi asakan. Jadi melihat kepada persiapannya, pelancongan ini bukan sahaja kehadiran orang asing sebagai pelancong, tetapi manfaatnya kepada rakyat tempatan. Sebab itu persiapan kita dari segi sambutannya, budayanya, seninya, makanan, minumnya, tempat tinggalnya itu kalau diatur dengan baik tentunya akan memberi manfaat kepada negara, kepada negeri dan kepada rakyat.
- Sebab itulah saya cenderung untuk bersetuju dengan gesaan supaya pelancaran tahun ini dibuat di Melaka tanpa kos tambahan yang banyak. Dan saya percaya Kerajaan Persekutuan akan memberikan peruntukan tambahan untuk menjayakan acara tersebut.
- Beralih kepada sambutan ini, Adilfitri Mubarak ini walaupun kita tahu Aidilfitri itu hanya hari pertama, iaitu hari kebebasan kita, kejayaan kita, setelah menjalani madrasah Ramadan selama satu bulan, supaya peningkatan keimanan kita, akhlak kita, nilai kita, disiplin kita, integriti kita dapat kita pertahankan seterusnya. Sebab itu kita sambutnya sebagai hari kemenangan. Cuma budaya kita itu membolehkan kita menyambut dan mengingatkan. Jadi setiap kali kita sambut Aidilfitri, kita juga mengingatkan diri kita tentang kejayaan kita lulus dalam ujian Ramadan, lulus dari erti kata, peningkatan kerohanian kita, akhlak kita, nilai kita, integriti kita dan disiplin kita. Jadi saya fikir selain daripada majlis makan minum, silaturrahim, kita harus juga berpaksi kepada keyakinan yang dimaksudkan. Walaupun sesetengah orang berpendapat Aidilfitri itu sudah habis, tetapi budaya kita membolehkan kita sambut Aidilfitri itu sepanjang Syawal. Malah di Kuala Lumpur ada orang yang lajak seminggu lepas Syawal. Tapi majlis itu majlis seperti biasa disebut silaturrahim, tidak adalah salahnya.
Saudara saudari yang dihormati sekalian,
- Saya ucap tahniah kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf bin Yusoh dan seluruh jentera Kerajaan Negeri kerana di antara Negeri mencapai kejayaan dari segi upaya menarik pelaburan termasuk pelaburan tinggi Hi-Tec, Data Center, Artificial intelligence, semiconductor selain daripada Selangor, Johor, Pulau Pinang dan kini Sarawak dalam bidang energy Melaka terdapat catat suatu kejayaan yang membanggakan. Tahniah kepada pimpinannya, Setiausaha Kerajaan Negeri dan seluruh jenteranya.
- Saya tertinggal tadi Tan Sri Johari Abdul speaker Dewan Rakyat. Kerana dia dapat mengurus Dewan Rakyat yang segala kelam kabut dari semasa ke semasa. Baik, saya sebut ini kerana bila kita ke German atau ke negara China ataupun banyak negara lain, Melaka itu terpahat. Sebab prasarananya, kecekapan pegawai-pegawainya, dasar dan apa yang disebut clarity, pimpinannya untuk mempercepatkan proses.
- Ada negeri-negeri yang umpamanya dalam isu tebatan banjir, kita laksanakan dengan memastikan tanah itu dapat diambil alih untuk mengurus projek tebatan. Ada negeri boleh selesai dalam masa 3 bulan, ada negeri selesai dalam masa satu tahun. Sebab itu peranan Kerajaan Negeri untuk mempercepatkan proses ini sangat dialu- alukan dan saya tegaskan semula contoh dilakukan di Melaka ini mempermudah dan menarik minat pelaburan dan dapat mempercepatkan proses pembangunan termasuk yang melibatkan rakyat terbanyak, dari isu-isu paritnya kepada prasana asasnya, bangunan sekolah dan pendidikan dan tentunya TVET dan lain lain.
- Saya nak ambil kesempatan ini sedikit dengan izin Yang Tuan Terutama Tun, untuk menyebut tentang perkembangan mutakhir ini. Dunia dikejutkan sejak 2 hari yang lalu dengan pengumuman oleh Presiden Amerika Donald Trump, mengenakan tarif ataupun kadar cukai tambahan untuk semua barangan yang dibawa ke Amerika Syarikat. Kita dikenakan 24%. Laos, Cambodia 50%-40%, Thailand 36%, yang lebih rendah dari kita hanya Filipina dan Singapura di ASEAN.
- Ini bermakna barangan yang dihasilkan oleh Malaysia yang dijualkan Amerika akan meningkat harganya. Ini menimbulkan tentunya sedikit permasalahan. Semalam satu hari suntuk dari pagi sehingga petangnya, satu mesyuarat jawatankuasa yang melibatkan semua Menteri-menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri hadir, untuk melihat bagaimana boleh kita lakukan, tindakan yang boleh meredakan atau mengurangkan tekanan kepada kita. Ini bukan rencana kita, kita atur dengan sedaya upaya kita. Kita tentukan tatakelola baik, kita cuba hapuskan rasuah dan penyelewengan. Kita cuba tingkatkan kecekapan pentadbiran awam di bawah pimpinan Tan Sri Ketua Setiausaha Negara yang bersama kita. Itu semua yang kita lakukan.
- Projek-projek yang terbantut kita cuba selesaikan. Tetapi ada beberapa tindakan yang di luar daripada jangkaan dan keupayaan kita dan disebut ini unpredictability, tidak terjangka oleh seluruh dunia. Negara yang menjadi tonggak membawa dan menekankan perdagangan bebas sekarang meletakkan tarif yang bertentangan dengan semangat perdagangan bebas. Negara China jauh lebih terkesan, Kanada dan Mexico parah kerana perdagangan mereka besar.
- Bagi Malaysia, Amerika Syarikat masih menjadi rakan dagang nombor satu selain daripada negara China dan Jerman baru-baru ini. Negara Amerika Syarikat juga mengimport hasil kita yang tinggi. Semikonduktor yang juga dihasilkan di Melaka, setakat ini belum pasti setakat mana terkesannya. Peringkat awal tidak terkesan, tapi kita masih dalam rundingan. Saya sendiri menghubungi beberapa tokoh yang biasa dengan saya, yang dekat dengan Trump dan semalam Menteri Luar Negeri, YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan menerima telefon daripada Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio untuk cuba meneruskan sedikit perundingan.
- Sepanjang hari semalam, saya menghubungi Presiden Indonesia, Perdana Menteri Singapura, Presiden Filipina, Perdana Menteri Laos, Cambodia dan Thailand untuk mendapat kesepakatan ASEAN kerana kita mempengerusikan ASEAN. Hari Khamis akan datang, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz akan mempengerusikan Sidang Khas Menteri-menteri Perdagangan ASEAN supaya sebagai ASEAN sebagai satu kumpulan kita bergerak bersama, bertindak bersama dalam menghadapi tekanan baru tarif Amerika Syarikat.
- Dan saya tentu akan berunding juga dengan Perdana Menteri Jepun, Presiden Korea Selatan dan Presiden negara China supaya tindakan kita itu nampak rapi tapi dalam masa yang sama dalam rundingan saya dengan semua ketua-ketua negara ASEAN termasuk Tuanku Sultan Brunei semalam, semua menganjurkan supaya kita lebih berhati-hati. Kekuatan dalaman mesti kuat, kekuatan ASEAN harus kuat. Tetapi, tidak boleh gopoh dalam tindakan kerana belum ada kepastian, secara terperinci di mana tindakan itu. Setakat mana, apa yang diberikan kelepasan, kelonggaran dan apakah mungkin kita teruskan sedikit sebanyak rundingan lagi dengan Amerika Syarikat supaya dapat mengurangkan tekanan? Ini nampak konsensus di kalangan negara-negara ASEAN untuk cuba menjaga kepentingan negara kita.
- Presiden Donald Trump bicara untuk mempertahankan kepentingan ekonomi negara dia. Kita, oleh yang demikian mesti cari jalan, kaedah dan helah untuk pertahankan kepentingan ekonomi negara kita. Kerana ini bermakna pekerjaan rakyat kita, mutu pendidikan, kemudahan kesihatan dan kekayaan keupayaan hasil bagi negara kita, tetapi Malaysia, Thailand dan Indonesia sahaja tidak akan cukup kuat sekiranya kita tidak rangkul seluruh kekuatan ASEAN sebagai kekuatan ekonomi untuk berunding dengan semangat kesepakatan itu. Mengapa saya pilih untuk menyebut perkara ini, Tun? Ialah kerana kita tak boleh nafikan bahawa mungkin ada sedikit sebanyak terjejasnya, pertumbuhan ekonomi kita yang rancak dan agak baik walaupun kalau tanya pembangkang, kita ini paling parah lah. Ringgit kita paling parah, memang tak betul.
- Ekonomi ini bukan celoteh politik di kampung. Ekonomi ini berdasarkan angka dan fakta. Kalau lihat umpamanya merosotnya Bursa Saham seluruh dunia semalam termasuk Malaysia tetapi merosot Malaysia itu kecil ketimbang Jepun, Korea, Indonesia, Thailand dan Filipina itu tidak pernah disinggung oleh mereka yang membenci kita. Sebab itu saya ajar rakyat, ini masalah yang dihadapi oleh semua negara. Ini menuntut seluruh kekuatan ASEAN bersama. Dan masalah ini menuntut kekuatan rakyat Malaysia sebagai satu pasukan. Bangkit untuk pertahankan kepentingan kita. Dan jangan berikan ruang kepada unsur-unsur yang melemahkan semangat dan kekuatan kita.
- Saudara-saudara, kita pernah hadapi masalah lebih besar sebelum ini. Sebelum kemerdekaan dan Melaka negeri bertuah, tahu benar. Yang membolehkan kita mencapai kemerdekaan, yang boleh kita menghadapi konfrontasi Sukarno Indonesia, yang mengupayakan kita menghadapi kemelut kemelesetan ekonomi, dan masalah COVID. Bukan hanya sekadar masalah pemerintah. Pemerintah harus bersih, pemerintah harus telus, pemerintah harus elakkan penyelewengan, rasuah, dan memunggah kekayaan untuk peribadi. Tetapi rakyat harus bersama. Dan dalam hal ini saya yakin insya-Allah kita akan dapat mengharungi bersama tetapi dengan kebijaksanaan, dengan kesabaran.
- Ada suara-suara pinggiran pembangkang yang menuntut seolah kita harus keras berlawan. Itu bukan cakap orang pintar. Tidak ada negara di dunia yang mengelak daripada bertegas pertahankan kepentingan tetapi masih buka ruang untuk berunding. Malaysia ini negara dagang, kita bergantung kepada pelancongan, dan pelancongan maknanya dari asing. Kita bergantung kepada eksport, berapa eksport kita dari semikonduktor? Itu mencecah 200 bilion dolar. Ke mana? 65 peratus ke Amerika Syarikat. Jadi, apa jalan keluar? Runding dengan baik.
Tegas pertahankan kepentingan negara kita. Berani! berani macam Jebat. Tapi bijaksana dan penuh hikmah seperti Hang Tuah. Ini baik orang Melaka, luar biasa.
- Dalam pentadbiran negara pun begitu. Harus ada hikmah dan kebijaksanaan. Dan harus ada keberanian. Kalau keberanian, berani pergi sondol tak tentu arah, lingkup kita. Jadi harus ada kebijaksanaan strategi yang baik dan insya- Allah kita dapat harungi bersama.
- Sekian saya ucap sekali lagi terima kasih atas kesudian saudara-saudara untuk hadir, menjaya dan meraikan majlis ini. Terima kasih kepada YAB Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri Melaka bersama dengan saudara YB Datuk Aaron Ago anak Dagang dan seluruh kekuatan Kementerian Perpaduan Negara.
Wabillahitaufiq walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Similar Posts:
- KERAJAAN TUMPU USAHA TURUNKAN HARGA BAHAN MENTAH – PM ANWAR
- USAHA DAMAI DI MINDANAO HARUS CAPAI KEJAYAAN – PM ANWAR
- JOE BIDEN UCAP TAHNIAH KEPADA ANWAR, PUJI DEMOKRASI MALAYSIA
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- JANGAN AMAL BUDAYA SELESA, TEKAD LAKSANA PERUBAHAN UNTUK NEGARA – PM