KERAJAAN KEKAL PENDIRIAN TIADA GST, YAKIN HASIL DAN PENGUATKUASAAN KUTIPAN MENCUKUPI – PM ANWAR

BERITA TERKINI

 

KUALA LUMPUR, 14 Mac — Kerajaan kekal dengan pendirian untuk tidak memperkenalkan kembali Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada masa ini dan yakin hasil yang bakal dikutip dan penguatkuasaan kutipan yang cekap mampu menambah pendapatan negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini berikutan pendapatan rakyat yang masih rendah berbanding negara-negara yang mengguna pakai sistem GST seperti Singapura dan Kanada.

 ‘’Kita belum bersedia kerana pendapatan rakyat masih rendah. Jadi saya tidak fikir dalam enam bulan atau satu tahun pun kita tidak akan pertimbangkan,’’ katanya yang juga Menteri Kewangan.

Anwar berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjong Karang) iaitu adakah kerajaan akan mempertimbangkan pengenalan semula GST selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, masih terdapat 130,000 golongan miskin tegar di Malaysia di samping kumpulan B40 yang semakin meningkat.

Justeru, Perdana Menteri yakin kecekapan penguatkuasaan kutipan cukai  dan pengenalan cukai-cukai baharu dapat menyumbang kepada peningkatan pendapatan negara.

Menurut Anwar, Malaysia akan memperkenalkan cukai keuntungan modal dan cukai barangan mewah seperti diumumkan di bawah Belanjawan 2023.

Beliau berkata adalah memadai untuk memperoleh pertambahan hasil daripada cukai-cukai ini selain langkah tegas mengelakkan kebocoran cukai dan memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan dan mengelak daripada membayar cukai.

‘’Jadi saya bagi tahu, kita jangan bertolak ansur dalam memastikan mereka (golongan yang mengelak cukai)  juga membayar cukai dan jangan melarikan wang mereka ke luar negara. Sebab itu saya mahu supaya semua siasatan dilakukan termasuk Pandora Papers. Kalau kamu tipu atau curi wang negara (pelari cukai), bayar balik,’’ jelasnya.

— BERNAMA

 

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.