BERITA TERKINI
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berbuka puasa bersama golongan pendidik, ilmuwan, ulama dan badan bukan kerajaan (NGO) Islam di kediaman rasmi, Seri Perdana, di sini.
Majlis yang dihadiri kira-kira 1,000 tetamu itu turut disertai Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Turut serta isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail.
Tetamu jemputan merupakan kakitangan dari agensi kerajaan antaranya Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan, Lembaga Tabung Haji dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia serta NGO Islam antaranya Pergerakan Belia India Muslim Malaysia.
Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran 20 anak yatim dari Pertubuhan Rahoma Darul Fakir Malaysia, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur.
Anwar turut meluangkan masa beramah mesra dengan warga kementerian dan NGO yang hadir serta menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada anak yatim sebelum menunaikan solat Maghrib, Isyak dan tarawih secara berjemaah yang diimamkan Johan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa 2011, Amir Rahman Abbas.
– BERNAMA