GEELY LABUR US$10 BILION JADIKAN TANJUNG MALIM KOTA AUTOMOBIL TERBESAR DI RANTAU INI – PM ANWAR

SEKINCHAN, 19 Julai — Syarikat automotif China, Geely bakal membuat pelaburan sebanyak US$10 bilion untuk menjadikan Tanjung Malim, Perak sebagai kota automobil kereta terbesar di rantau ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata hasrat itu disampaikan syarikat berkenaan menerusi surat yang disampaikan kepada beliau malam tadi, sekali gus bakal membuka ribuan peluang pekerjaan kepada rakyat di negara ini.

“Ini pertama kali saya nyatakan Geely yang bersama-sama mengeluarkan kereta dengan Proton telah menulis surat sebanyak 10 halaman kepada saya. Syarikat itu memaklumkan mahu meneruskan untuk menjadikan Tanjung Malim sebagai kota automobil kereta yang terbesar di rantau ini dan akan memulakan (pelaburan) sebanyak US$10 bilion atau RM40 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Program Sentuhan Agro MADANI Peringkat Negeri Selangor di sini hari ini.

“Untuk apa semua ini…untuk saya ambil komisen atau hadiah? Atau untuk menjamin ekonomi kita naik dan ribuan anak kita akan mendapat kerja,” katanya.

Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan Arab Saudi dan syarikat minyak dan gas (O&G) Aramco dari negara itu akan menumpukan pelaburan dan perkembangan operasinya di Malaysia.

“Ketua Pegawai Eksekutif Aramco Amin Nasser berjumpa saya dan memaklumkan bahawa Aramco sekarang senang dengan dasar dan pimpinan kerajaan dan membuat keputusan untuk menjadikan Malaysia hab perkembangan O&G bagi Arab Saudi di Asia Tenggara.

“Kebetulan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menunaikan haji (baru-baru ini), dan baginda duduk di sebelah Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman Al Saud dan memberitahu pelaburan Arab Saudi untuk Asia tertumpu pusatnya di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata Malaysia ketika ini mencatatkan pencapaian ekonomi negara yang baik, melibatkan pertumbuhan suku pertama 5.6 peratus lebih tinggi berbanding China, Singapura dan Indonesia.

Menurut Anwar, dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, negara berjaya menarik pelaburan sebanyak RM71 bilion yang turut disumbangkan oleh keadaan politik yang stabil.

“Jumlah ini tidak termasuk daripada Elon Musk, Aramco dan Geely yang baru saya terima surat malam tadi,” katanya.

— BERNAMA

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.