LABUAN, 7 Dis — Menteri atau timbalan menteri berkaitan pembangunan sosioekonomi di Labuan diarahkan untuk membuat lawatan kerja ke Wilayah Persekutuan ini setiap minggu atau selang seminggu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata lawatan kerja oleh menteri-menteri atau timbalan menteri ini adalah bagi mencari jalan penyelesaian kepada pelbagai isu rakyat dan ekonomi di pulau bebas cukai ini.
“Mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini telah memutuskan menteri atau timbalan menteri mesti ke Labuan setiap minggu atau selang seminggu untuk menyelesaikan pelbagai permasalahan di Labuan,” katanya ketika berucap di Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan Labuan hari ini.
Bagi penyelesaian jangka-panjang gangguan bekalan elektrik di Labuan, beliau berkata Kerajaan Persekutuan bercadang supaya Petroliam Nasional Bhd (Petronas) untuk membangunkan janakuasa baharu bagi menyelesaikan gangguan bekalan elektrik di pulau ini.
“Kita akan arahkan Petronas untuk membangunkan janakuasa yang baharu dengan kaedah laluan pantas bagi penyelesaian gangguan bekalan elektrik,” katanya.
Anwar berkata kerajaan lebih memberi keutamaan pemilihan pelaksanaan pembangunan janakuasa ini melalui sistem tender, namun melihat kepada keupayaan dan kredibiliti Petronas, ianya tidak akan menimbulkan keraguan seperti wujudnya isu komisyen atau kepentingan pihak-pihak tertentu.
Beliau berkata apabila siap nanti, janakuasa baharu itu akan membantu kapasiti aliran kerja Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) yang kini adalah operator pengendali bekalan elektrik di Labuan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri juga mengarahkan satu mesyuarat pihak berkuasa tempatan di sini diadakan pada minggu hadapan bagi mencari penyelesaian isu gangguan bekalan air dan elektrik.
— BERNAMA
Similar Posts:
- SYARIKAT EA BERMINAT TEROKA PASARAN MALAYSIA – ANWAR
- PM ANWAR UMUM TOL PERCUMA 20, 21 JAN SEMPENA TAHUN BARU CINA
- KERAJAAN AKAN PASTIKAN REFORMASI STRUKTUR EKONOMI YANG TERATUR — PM ANWAR
- KERAJAAN TIDAK BERCADANG PERKENAL GST, CUKAI KEPENGGUNAAN BERASAS LUAS TANGANI ISU HUTANG NEGARA – PM ANWAR
- PROJEK RANCANGAN TEBATAN BANJIR DISEGERAKAN, PERLU BEROPERASI MULAI JUN INI – PM ANWAR