TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PELUNCURAN LOJI JANAKUASA SOLAR HIBRID CYPARK
10 JULAI 2024
CYPARK SOLAR MERCHANG, TERENGGANU
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillahilladzi arsala rosulahu bil huda wa dinil haq.
Liyuzhhirohu ‘alad dini kullihi.
Wa kafa billahi syahida.
Wa nusalli wa nusallimu ‘ala rasoolil kareem,
Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.
Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air;
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar,
Menteri Besar Terengganu;
YBhg. Dato’ Hamidah Moris,
Ketua Pegawai Eksekutif Cypark;
Yang Berbahagia Datuk Seri Mohamed Faroz Bin Mohamed Jakel,
Pengarah Urusan Kumpulan, Jakel Group;
Tan Sri Dr. Syed Azman Syed Ibrahim;
Setiausaha kerajaan negeri;
Ketua Polis Negara;
Tetamu-tetamu kehormat, seluruh keluarga Cypark, hadirin dan hadirat yang saya muliakan.
- Alhamdulillah kita bersyukur kepada Allah SWT kerana hari ini kita menyaksikan satu projek yang bukan biasa kerana ia memenuhi rencana kritikal negara untuk menentukan peralihan tenaga.
- Suatu usaha sesuai dengan Energy Transition Roadmap iaitu transisi tenaga yang diberikan keutamaan oleh kerajaan dan negeri ini serta perbandaran dan khususnya Dato’ Sri Haji Fadillah yang memang diberikan tugas utama untuk memastikan keupayaan kita dalam renewable energy secara menyeluruh.
- Tenaga suria ini merupakan di antara penekanan kita selain daripada upaya lain yang sedang dikemukakan di merata-rata negeri khususnya di Sarawak berkaitan green hydrogen, ammonia yang akan memberikan dan menentukan kepada peralihan tumpuan serta kebergantungan kita kepada tenaga yang sedia ada.
- Ini bukan soal yang dituntut oleh COP28 dan COP29, tetapi kerana ini merupakan keperluan untuk menyelamatkan manusia daripada bukan sahaja kebergantungan kepada suatu tenaga yang tidak akan menjamin suatu suasana persekitaran yang sihat, tetapi juga peralihan ke arah suatu tahap yang lebih baik untuk manusia, negara dan kemanusiaan sejagat.
- Bertepatan dengan sambutan Maal Hijrah, iaitu hijrah Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Yathrib (Madinah al Munawarah), semangat perubahan itu harus dapat kita laksanakan, actualize dalam kehidupan dan negara kita.
- Tentunya dalam hijrah Nabi itu bermula dengan kekuatan, keyakinan atau akidah dengan sistem nilai dan akhlak serta sistem kemasyarakatan dan kenegaraan yang lengkap. Jika kita lihat perubahan itu dinamik, tentunya menuntut kita sebagai manusia turut dinamik dalam erti kata sedia menerima perubahan ke arah kebaikan – Islah mastata’tu. Jadi perubahan ke arah kebaikan dan perubahan ini selain daripada saya tekankan soal keyakinan dan keimanan, akhlak dan nilai, ia juga sedia menerima tuntutan dan keperluan semasa yang baru yang memberikan kebaikan kepada kita.
- Baru- baru ini bila Sheikh Al-Azhar Al-Sharif datang, beliau menekankan sesuatu yang lahir dari minda beliau sendiri, yang mana ucapan beliau dalam merumuskan tentang keyakinan dan perubahan, beliau telah menekankan tentang fahaman berhubung Islam, iaitu dengan keimanan, akhlak dan nilai, tetapi tidak boleh meninggalkan soal kehidupan, teknologi, artificial intelligence (AI), transisi tenaga dan transformasi digital. Beliau turut mengupas Surah Ash-Shams (91) tentang perubahan, Wanafsin wamasawwaha; Faalhamahafujoorahawataqwaha; Qad aflaha man zakkaha; Waqad khaba man dassaha.
- Jadi perubahan yang disebut tentang mengukuhkan keyakinan dan keimanan membawa perubahan amat jelas untuk kita meninggalkan amalan lama yang dikaitkan dengan tradisi jahiliah di Makkahtul Mukaramah. Kezalimannya, penindasannya dan syiriknya kepada satu yang bertauhid kepada Allah Taala dan menekankan tentang akhlak dan perubahan. Sudah tentunya ramai sheikh-sheikh, dan ustaz-ustaz yang berada di sini boleh kupas lebih baik tentang hijrah. Bukan maksud saya untuk berbicara tentang hijrah, tapi saya nak kaitkan bahawa dalam semangat perubahan itu yang terjadi dan islah itu memerlukan kita mengambil tahu tentang perkembangan semasa.
- Datuk Seri Ahmad Samsuri, Menteri Besar menyebut tentang mengupayakan ruang penyelidikan. Negara-negara yang berkembang kalau dilihat ada keupayaan maju adalah apabila negara itu memberikan tumpuan tentang penyelidikan. Tetapi penyelidikan yang bererti adalah apabila dapat dilaksanakan aplikasi penyelidikan itu dan tidak tinggal di ruang universiti sahaja.
- Sebab itu saya sambut baik gesaan beliau dan perkara ini telah diangkat dalam Majlis Sains Negara iaitu mempastikan semua institusi sains negara, pendidikan negara, bekerjasama dengan universiti, profesor ataupun jabatan yang berkaitan malah dengan sektor swasta. Cypark umpamanya akan memberikan perhatian penyelidikan, penelitian dalam bidang tenaga solar atau tenaga suria.
- Saya ada bertanya tadi dalam masa singkat tentang kos analisis di atas tanah dengan di permukaan air laut ataupun tasik. Bagaimana perbandingan kos, apa kekuatannya, dan ini semua terkait dengan bukan sahaja pengalaman dan penggunaan teknologi, tetapi juga dengan penyelidikan. Sebab itu institusi pendidikan negara atau negeri harus bekerjasama dengan universiti dan pusat penyelidikan serta sektor swasta. Di Westar saya percaya ada, Jakel saya percaya ada, bukannya sahaja soal kain memang dah arif tetapi saya fikir bila dikembangkan dalam bidang-bidang baru tentunya dapat dimanfaatkan.
- Saudara-saudara, kita masih ketinggalan dalam bidang penyelidikan, Malaysia ini masih jauh ketinggalan jadi penekanan kita berbanding dengan Brazil, India, China tentunya kita jauh ketinggalan, begitu juga Turkiye dan sekarang ini saya lihat Abu Dhabi itu bergerak ke hadapan dalam bidang tumpuan mereka iaitu bidang penyelidikan.
- Bila saya berkunjung ke Abu Dhabi umpamanya melawat Universiti AI pertama di dunia, Mohamed bin Zayed University of Artificial Intelligence, jadi saya terfikir mengapa kita tidak menumpukan dalam disiplin ini. Jadi kita pun mengambil idea itu dan menyegerakan pelaksanaan Fakulti Artificial Intelligence bermula di UTM dan rangkaiannya dengan semua universiti yang mempunyai disiplin Artificial Intelligence. Ini adalah contoh bagaimana harus ada usaha untuk menyegerakan bidang penerokaan bidang baru.
- Sepertimana semangat hijrah itu, ia masih berakar kepada yang lama, berakar kepada Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW, berakar kepada keyakinan lama dan tradisi serta budaya tetapi mengakar ke bumi sahaja tidak akan membawa kita maju. Oleh itu, kita mesti menggapai yang tinggi yang di langit dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan mengurus negeri dan negara kita mesti faham keperluan kedua-duanya.
- Mengapai ke langit bermakna meneroka alam pemikiran baru, meneroka bidang-bidang baru, mengadakan penyelidikan supaya kita dapat pastikan anak-anak muda kita dilatih seperti mana kita lakukan TVET. TVET ini bukan TVET 10 tahun yang lalu, kita tidak akan maju kalau gunakan dan kekalkan sistem TVET 10 tahun yang lalu, maknanya mesti bersedia membawa perubahan yang boleh menyesuaikan dengan keperluan semasa. TVET 20 tahun lalu, 10 tahun lalu tidak memberi penekanan tentang energy transition ataupun digital transformation.
- Oleh itu kalau ada TVET umpamanya di Merchang atau MARA yang berdekatan saya syorkan harus ada kepakaran dari Cypark untuk membantu melatih TVET di Merchang. Jadi ini adalah keputusan yang akan dilaksanakan dalam tempoh 2 minggu ini untuk melihat apa g institusi latihan yang menawarkan TVET dan teknikal. Walaupun kita percaya ada keupayaan guru-guru dan pendidik di TVET tetapi tidak sama orang industri (practitioners) yang mengurus Cypark.
- Jadi kalau boleh kita utuskan jurutera atau kepakaran di bidang tenaga suria Cypark, 2 minggu sekali ataupun seminggu sekali atau mengambil alih satu kelas dan anak-anak yang dilatih itu dijamin untuk mendapat pekerjaan dengan Cypark, ini sebagai contoh.
- Sementara itu, Tan Sri Syed Azman yang telah menjalankan beberapa program latihan bukan saja di Universiti Pertahanan tetapi Westar umpamanya, akan mengambil alih beberapa pusat TVET ataupun Politeknik, beberapa jabatan atau fakulti atau keseluruhannya untuk melatih memenuhi keperluan syarikat seperti yang dilakukan oleh Petronas di Batu Rakit, di Kimanis dan di Pengerang serta Proton di Pekan.
- Jadi kalau 40-50 syarikat-syarikat besar kita mengendali dan mengambil alih program seperti ini maka aspek latihan akan meningkat lebih baik dan tentunya tidak perlu bergantung kepada kaedah lama dan sebab itu saya minta Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di bawah TPM 1 Datuk Seri Zahid pun mengambil pendekatan yang sama. Jangan terkongkong dengan pendekatan yang lama.
- Apatah lagi kalau kita bicara soal-soal yang baru yang lebih arif di kalangan saudara-saudara kerana bila bicara renewable energy itu sendiri, kita faham bahawa ia sesuatu Maudok yang baru yang tidak dalam kurikulum pendidikan yang lama. oleh itu, sementara peralihan itu dibuat secara perlahan mengikut kaedah biasa, maka, penekanan ini harus diberikan juga tumpuan oleh Cypark mungkin dalam tempoh 2 minggu boleh bagi laporan ringkas kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk seri fadillah. Apakah rencana yang ingin dilaksanakan oleh Cypark untuk memastikan anak-anak Terengganu utamanya mendapat latihan istimewa sekurang-kurangnya dalam bidang renewable energy. Good luck to you.
- Umpamanya kalau kita bicara tentang net zero, GHG emission, itu technical terms yang baru. Kalau kita belajar di universiti 10, 15 tahun lalu, dia belum masuk dalam sukatan. Jadi ada kaitan dengan apa yang saya tekankan ini kerana kalau kita lihat dalam transisi tenaga roadmap hal-hal itu disebut, tetapi pelaksanaannya itu harus disegerakan. Jadi tenaga boleh baharu ini kalau mengikut cadangkan kita yang agak ambitious, 70% menjelang tahun 2050.
- Tapi kalau kita tidak kejar, kita masih ikut kelulusan cara lama, tulis surat, ikut pendekatan lama 5 bulan 6 bulan turun daripada persekutuan kepada negeri, kemudiannya kepada majlis perbandaran, pergi ke sana ke sini menjangkau masa 9 bulan, maka kita akan ketinggalan.
- Sememangnya kalau ikut prosedur biasa, saya tidak salahkan universiti, mereka kena ada perbincangan di peringkat jabatan selepas itu di bawa ke fakulti kemudian ke board of studies dan kemudian ke Senat, kemudian rujuk pula untuk persetujuan Lembaga Universiti, bawa pula kepada Kementerian Pendidikan Tinggi, dan akhirnya itu semua akan mengambil masa 9 bulan. Sedangkan penemuan penerokaan beberapa disiplin baru AI yang baru sudah muncul, jadi kita akan ketinggalan.
- Jadi sebab itu kalau kita bicara tentang zaman pasca normal atau post normal times ciri-cirinya complex, chaos, and contradiction. Masalah banyak dan perubahan itu sangat pantas dan cepat. Kecepatan, kepesatan perubahan itu sangat cepat, sangat pantas maknanya kita kena gerakkan arahan-arahan dan tidak mengikut peraturan pentadbiran yang lama.
- Saya percaya SUK faham maksud saya kerana kita perlu akui kaedah pentadbiran harus ada perubahan. Sebab itu saya ucap tahniah kepada UTM umpamanya bila kita gesa sebagai satu dasar, dia melihat perubahan itu dan melaksanakan Fakulti AI UTM, rekod dalam sejarah universiti tempatan kerana boleh ditubuhkan dalam masa 4 bulan. Saya belum tahu sama ada Tan Sri Syed Azman boleh melaksanakan perkara yang sama di Universiti Pertahanan.
- Yang istimewa juga tentang projek Cypark di Mercang ini ialah kerana konsep hybrid. Saya diberitahu Dato’ Sri Haji Fadillah, saya ingat hibrid ini pakai gas dengan tenaga baru, hybrid di mana campuran yang lama ini dengan yang baru macam kereta hybrid, elektrik dengan minyak. Rupanya hibrid ini ialah atas tanah dengan perairan, atas permukaan air. Dan sebab itu saya ingat pengalaman ini istimewa dan kita boleh lihat kos efektif. Saya ucap tahniah kepada Cypark kerana telah dapat memajukan walaupun tertangguh dengan cabaran COVID-19 tetapi sekarang telah mula dengan kadar yang sangat pantas.
- Cypark Resources ini seperti saudara tahu memang tersenarai dalam Bursa Malaysia sejak 2010 dan merupakan syarikat Bumiputera. Sementara Kumpulan Jakel adalah pemegang saham utama yang turut membanggakan kita dengan keupayaan syarikat Bumiputera meneroka suatu bidang industri dan teknologi baharu. Ini bagi saya agak istimewa, sangat menarik, tiada langsung kaitan dengan penjualan pakaian tetapi penerokaan sumber tenaga boleh baharu yang lebih mencabar.
- Oleh itu, loji janakuasa suria hibrid ini mendapat perhatian dan saya percaya dapat memberikan suatu lonjakan menunjukkan keupayaan kita menyediakan sumber tenaga boleh baharu. Saya juga ucap terima kasih kepada Kerajaan Terengganu, Menteri Besar khususnya kerana mempercepatkan proses kelulusan ini dan memberi ruang yang cukup baik kepada agensi negeri dan agensi kerajaan persekutuan untuk dapat menyegerakan projek-projek ini.
- Jadi soal keluhan-keluhan Terengganu ini tidak diberi perhatian itu tidak berapa benar, mungkin dalam ceramah-ceramah politik seringkali diperkatakan. Namun dalam kerajaan, saya bagi jaminan kepada Dato’ Menteri Besar, kalau ada saya tidak mahu halang, kalau ada cadangan yang baik, kalau selari dengan dasar bersama, kita laksanakan dan umpamanya perbelanjaan walaupun banyak dikatakan kita menyekat tapi saya hendak sebut di sini bahawa keseluruhan perbelanjaan negeri Terengganu ini meningkat berbanding tahun 2022, iaitu sebelum saya ambil alih Kerajaan Perpaduan. Walau apapun, keutamaan saya seperti mana yang saya sering umumkan mesti pertama, menyantuni rakyat yang paling susah maknanya menoktahkan kemiskinan tegar.
- Sekali lagi saya ucap tahniah dan terima kasih kepada seluruh jentera kerajaan negeri dan SUK kerana telah beri kerjasama yang baik sehingga kita dapat memenuhi maksud dan matlamat kita menoktahkan kemiskinan tegar sebelum akhir Julai tahun ini di negeri Terengganu.
- Kemudian keutamaan kita ialah masalah beban rakyat iaitu tebatan banjir. Pada peringkat awal Dato’ Sri Haji Fadillah telah bantu menyelaraskan program ini dengan mempercepatkan pelaksanaan kerana peruntukan tebatan banjir sudah diluluskan.
- Kita hendak percepatkan pelaksanaan kerana sekiranya berlaku kelewatan itu akan menyebabkan kerugian kepada rakyat, nyawa, harta benda dan keselesaan hidup. Jadi kita berikan keutamaan selain daripada proses pelaksanaan asas termasuk peruntukan tambahan untuk dalam bidang pendidikan juga kepada UNISZA kerana keperluan meningkatkan mutu pendidikan di sini. Jadi saya hanya sebutkan sebahagiannya, laporan terperinci itu ada pada saya. Saya akan serahkan kepada Menteri Besar.
- Sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada rakan-rakan daripada PETRA, Datuk Seri Fadillah dan kerajaan negeri serta Setiausaha Kerajaan Negeri dan Ketua Polis Negara dan rakan-rakan yang menjayakan majlis ini.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih.
Similar Posts:
- JANGAN AMAL BUDAYA SELESA, TEKAD LAKSANA PERUBAHAN UNTUK NEGARA – PM
- PENJAWAT AWAM DISERU BAWA PERUBAHAN KEMBALIKAN MALAYSIA KE TAHAP GEMILANG
- SUBSIDI BERSASAR : PM ANWAR BERI JAMINAN KEPENTINGAN PIHAK INDUSTRI TURUT DIBERI PERHATIAN
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- KERAJAAN TUMPU USAHA TURUNKAN HARGA BAHAN MENTAH – PM ANWAR