
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
KONVENSYEN MEMARTABATKAN PERUNDANGAN SYARIAH DI MALAYSIA
15 JULAI 2024 (ISNIN) | 10.00 PAGI
DEWAN DAMAR SARI, BLOK F
PUTRAJAYA
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillah thumma alhamdulillah
Wa ma taufiqi wa’tusamu illa billah
Alhamdulillahil Qa’il wa man ahsanu qaulan mimman da’a ilallah wa’amila solihan wa qola innani minal muslimin
Rasulullah ala sayyidina Muhammad wa’ala alihi wasohbihi ajmain
YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Bin Haji Mokhtar,
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama);
Yang Berhormat Senator Dr. Zulkifli Hasan,
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama);
YAA Dato’ Haji Mohd Amran Bin Haji Mat Zain,
Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia;
YB Puan Fadhlina Binti Sidek,
Menteri Pendidikan; dan
YBhg. Datin Paduka Hajah Hakimah Binti Mohd Yusoff,
Ketua Pengarah JAKIM.
- Kepada semua yang hadir terima kasih, dan saya dimaklumkan kehadiran diwakili dari badan-badan Islam dan juga wakil-wakil Kerajaan Negeri, begitu memuaskan. Ini juga petanda bahawa kita terus meningkatkan kerjasama dan perbicangan supaya bukan sekadar memartabatkan perundangan tetapi jalinan kerjasama dalam soal pelaksanaan Islam itu lebih teratur dan berkesan.
- Saya ingin memulakan pandangan saya tentang permasalahan ini, yang mana soal iltizam itu jelas tetapi pendekatannya. Tugas saya dan rakan-rakan dalam Kerajaan MADANI adalah untuk menerapkan kefahaman itu bukan sahaja melalui Kementerian dan Jabatan Agama iaitu JAKIM dan Majlis Agama.
- Sebaliknya, jika kita mahu memartabatkan perundangan maka pencerahan, kesedaran, kefahaman harus merentas semua Kementerian. Ini dilakukan bermula di Kementerian Pendidikan, iaitu memberi kefahaman Islam dalam kalangan pelajar-pelajar Islam dan kemudian diperluaskan supaya ada sikap yang lebih lunak dalam kalangan yang bukan Islam, yang tidak mewakili pandangan prasangka, prejudis yang dikatakan Islamofobia.
- Kita tidak boleh memandang ringan atau meremehkan kerana kita mewarisi suatu sistem penjajahan yang selama ratusan tahun berusaha untuk memisahkan dan menakluki bukan sahaja rupa dan jiwa. Saya masih ingat ungkapan Muhammad Al-Ghazali tentang Isti’mar Ruhi Wa Fikri, penjajahan jiwa, roh dan pemikiran. Ini telah mencakup sekian lama dan kita hadapi dalam kebanyakan negara Islam untuk memberikan pencerahan dan kefahaman Islam itu berdepan bukan sahaja dengan masyarakat bukan Islam yang terperangkap dengan pemikiran Barat yang prasangka terhadap Islam yang diwarisi dari sistem penjajahan, tetapi juga sebahagian umat Islam yang kefahaman mereka itu bukan sekadar dangkal tetapi punyai juga bibit-bibit kefahaman yang mewakili pandangan asing dan juga dikalangan masyarakat Islam yang merasakan harus bertindak tegas dan segera. Sebab itu bagi saya, pendedahan itu penting.
- Saya masih ingat lagi beberapa bulan lalu, di Universiti Keio, Jepun, saya diminta berbicara tentang seorang sarjana terkemuka, Toshihiko Izutsu. Toshihiko Izutsu pernah menulis tentang Taoism and Islam. Dia tentu kuat dari segi aliran Sufinya dan buku dia termasuk epistemology tentang soal istilah dan sejarah istilah Islam, dan juga God and Man in the Qur’an.
- Kupasannya yang sangat mendalam, penguasaan Bahasa Arab yang sangat baik, Quran dan Sunah tetapi saya pilih untuk menjelaskan supaya masyarakat Jepun yang hadir itu 95% bukan Islam, Profesor, Pensyarah dan tetamu dan ini kadang-kadang mengundang salah pengertian. Dia mengatakan seolah-olah saya samakan Sufism dengan Taoism, saya tidak. Tapi saya setuju dengan pandangan Toshihiko Izutsu, bahawa kita harus empati melihat dari kaca mata Islam bukan kaca mata Taoism, bukan kaca mata Barat.
- Kelemahan dalam sistem orientalis dan pengkaji-pengkaji termasuk yang Islam ialah cuba melihat dan memahami Islam termasuk syariah dan perundangan Islam dari kaca mata warisan, luar, asing, barat ataupun agama-agama lain. Itu yang ditekankan dalam God and Man in the Qur’an.
- Saya jelaskan ini supaya saudara-saudara mendapat kefahaman, kadang-kadang pendekatan kita bila berdepan dengan masyarakat asing harus ada kebijaksanaan. Ya, saya terima teguran kalau mungkin beberapa pandangan itu kurang tepat tetapi itulah keadaannya. Maka kalau ia mengundang kritik bahawa Anwar cuba menyamakan Islam khususnya Sufism dan Taoism. Itu saya rasa pandangan tidak tepat kerana kalau saudara baca kupasan Toshihiko Izutsu, itu adalah kupasan yang sangat mendalam dan sangat memuliakan Islam.
- Termasuk kata-kata beliau antara lain bahawa dalam sejarah buat pertama kalinya ada satu peraturan, kefahaman, nilai yang begitu tetap thabit dan tidak dirungkai katanya. Dari segi moral dan etika, dia kata religiou ethical principle. Jadi dalam pendekatan kita ini kadang-kadang ada kebijaksanaan, kita menukil pandangan-pandangan lain supaya menyederhanakan kebimbangan orang lain. Terutama dalam masyarakat pelbagai kaum dan pelbagai agama di Malaysia. Dan kalaupun kita tidak setuju dengan pendekatan itu, tetapi jangan menolak kebijaksanaan, pendekatan yang sedemikian kerana ia dapat membantu melunakkan asalkan tidak lari daripada tunggak kefahaman Islam.
- Saya sebut tadi umpama dalam hal ini, Toshihiko Izutsu menyatakan for the first time in human history, pertama kali dalam sejarah ada satu pendekatan kefahaman, nilai, etika, the moral yang tetap morally coherent and consistent, dia jelas konsepnya dan konsisten kefahamannya.
- Walaupun zaman berubah ribuan tahun atau ratusan tahun tetapi tidak berganjak dari segi pegangan, apa dia Makruf, apa dia Mungkar, apa peraturan undang-undang yang Haq dan yang Batil. Menurut Toshihiko Izutsu, itulah kekuatan Islam yang kemudian menurut faham dia yang jauh dapat diselami oleh Ulama Tasawuf.
- Saya bukan nak kupas Toshihiko Izutsu, tetapi saya hendak menjelaskan tentang pendekatan. Begitu juga di Malaysia, untuk menjelaskan tentang perundangan, kehakiman malah fahaman Islam saya terus menganjurkan. Baru-baru ini dengan Premier Li Qiang, Negara China dia sebut tentang ikhtiar kita meningkatkan kefahaman. Kalau di Barat mungkin Islam and the West atau Islam and Christianity tetapi kalau di timur terutamanya di kalangan masyarakat China, itu Islam and Confucianism.
- Saya mengambil kesempatan ini menjelaskan supaya tidak timbul kekeliruan atau mengundang kecaman seolah-olah Anwar menyamakan. Tidak menyamakan. Kita menggunakan ruang itu supaya aliran Konfusianisme ini dengar pandangan kita Islam dan tentunya kita tingkatkan fahaman tentang apa pendirian dan idealism serta konsep dan falsafah, pandangan
- Pendekatan ini tidak mudah di Malaysia, seperti yang disebut tadi Perkara 121(1A), masa itu saya kebetulan mempengerusikan Badan Perunding Islam di bawah Pusat Islam. Profesor Ahmad Ibrahim bincang, kerana sebelum itu, keputusan Mahkamah Sivil membatalkan atau menolak semborono dengan alasan bertentangan undang-undang, bidang kuasa serta kedudukan Mahkamah Sivil yang jauh lebih tinggi daripada Mahkamah Syariah.
- Saya tahu pada masa itu, akhir tahun 80-an tidak mudah saya bicara, tetapi Almarhum Profesor Ahmad Ibrahim telah menyiapkan satu dokumen yang cukup lengkap. Contoh-contoh bagaimana hukum-hukum yang jelas dalam Islam itu ditolak bukan kerana Hakim itu menentang Islam kerana undang-undang dan peraturan itu tidak membolehkan. Sama seperti sekarang ini, iaitu tentang bidang kuasa Negeri dan Persekutuan. Kalau kita mahu menyelesaikan, maka kita harus berunding supaya kita dapat perbetulkan sama ada Perlembagaan atau Undang-Undang. Proses ini boleh berjalan.
- Saya tidak mewakili pandangan yang mengatakan tidak boleh diubah kerana Perkara 221 (1A) itu, saya sendiri yang bawa ke Jemaah Menteri pada ketika itu, dan pada ketika itu jauh lebih sukar daripada sekarang kerana pada tahun 80-an, kefahaman dan kesediaan untuk menerima perubahan apa lagi untuk mengangkat martabat Mahkamah Syariah itu belum cukup. Tentunya Badan Kehakiman sendiri pun tidak semuanya senang kerana mereka melihat keupayaan Kadi-Kadi dan Hakim pada masa itu sangat terbatas.
- Maka bila kita bincang, maka kita perkenalkan selari dengan Perkara 121(1A), kita minta Profesor Ahmad Ibrahim mengadakan beberapa kursus khas Diploma untuk meningkatkan keupayaan Kadi dan Hakim di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).
- Soal criminal procedure code umpamanya, undang-undang jelas, arif, tetapi proses prosedur itu kadang-kadang ada kelemahan. Pada masa itu, setiap kali ada pertemuan dengan kumpulan wanita semuanya bimbang, bila dirujuk kepada Kadi, dia kata bias, sexist and pro to men.
- Tapi dalam perbincangan itu, Profesor Ahmad Ibrahim kata tidak semua ada kelemahan. Kelemahan proses dan prosedur sepertimana kaedah kanun jenayah ini (criminal prosedure code) itu tidak diteliti dan tidak dipraktikkan di Mahkamah Syariah. Maknanya langkah-langkah itu harus di ambil sekaligus yang melibatkan bukan sahaja badan perundingan tapi juga kefahaman pimpinan politik dan persiapan dalam bidang pendidikan, khususnya Kementerian Pendidikan Tinggi dan juga semua program-program latihan berkaitan.
- Arahan saya, program latihan di Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi, Akademi Kenegaraan semuanya harus masukkan sukatan supaya ada kefahaman tentang Islam. Saya tidak mengatakan ini mudah kerana ada juga yang mengundang bantahan kerana dia kata ini adalah satu proses memaksa pengislaman. Sepertimana bila kita mula mengusulkan pertama, Buku Adab Al- Ikhtilaf Fil Islam (Adab Perbezaan Pendapat Dalam Islam) Karya Prof. Dr. Taha Jabir Fayyadh Al- ‘Alwani dan keduanya tentang Hadith 40 Arbain An-Nawawi, matannya, terjemahannya dan syarahnya. Itu juga mengundang bantahan daripada beberapa tokoh agama lain, tapi saya jelaskan kewajipan itu adalah bagi setiap pelajar Islam dan kita tidak memaksa yang lain.
- Saya sukacita kerana ada Menteri-Menteri dalam Kerajaan MADANI sekarang yang telah meminta buku itu dan membaca. Ini satu pendekatan yang baik kerana Menteri-Menteri bukan Islam kata tidak ada ruginya kerana menambah ilmu dan pendekatan dia dengan masyarakat Islam, dia ada kefahaman yang lebih baik.
- Saya telah menghadap Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Selangor mantan Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) untuk meneruskan perbincangan pindaan yang terkait dengan RUU 355. Minggu lalu saya dengan Pengerusi baharu MKI, iaitu Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. Kedua-dua setuju dengan kerangka awal yang dibentangkan oleh jawatankuasa pakar dan disampaikan oleh Dato’ Dr Naim.
- Tetapi kita mahu supaya ia di teliti betul-betul. Kalau sebaik kita bentangkan, ia menjadi satu dokumen yang kukuh, disepakati oleh semua Negeri, Mufti dan Ulama malah saya telah minta JAKIM dan Dato’ Dr Naim untuk cuba menyelaraskan dan minta pandangan pakar-pakar perundangan Islam antarabangsa kerana dokumen ini harus jadi dokumen penting yang boleh ditelaah oleh pakar-pakar antarabangsa.
- Ini bukan satu dalih untuk melengahkan atau untuk meremehkan usaha yang lalu, malah kita manfaatkan sedikit tetapi ada beberapa kelemahan besar dalam peruntukan-peruntukan. Ini kerana bukan sahaja dirujuk oleh Jabatan Peguam Negara tapi harus di rujuk ke pakar-pakar antarabangsa supaya apabila kita perkenalkannya, akan menjadi contoh terbaik pelaksanaan satu dokumen serta usaha memartabatkan perundangan Islam dalam konteks negara yang kemudian boleh dijadikan Serasikan diantara kedudukan dan kekuatan Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil.
- Disamping itu juga, melihat beberapa ciri atau peruntukan Mahkamah Sivil yang ternyata melanggar terang konsep perundangan Islam. Ini barulah kita kata pengislaman yang sebenarnya. Jadi ia tidak boleh lihat dari segi Jus Soli hanya perundangan Islam, hanya Mahkamah Syariah dan mengenepikan yang lain. Jadi sebab itu, saya jelaskan kefahaman itu harus menyeluruh dan perbincangan itu juga harus melibatkan bukan sahaja Mahkamah Syariah tapi juga Mahkamah Sivil dan pakar-pakar perundangan, Hakim-Hakim terutamanya Ketua Hakim Negara dan Hakim-Hakim Kanan dalam Mahkamah Sivil, supaya kefahaman itu lebih meluas.
- Saya ucap terima kasih kepada Dato’ Dr Naim kerana dapat menyegerakan proses ini dan Tuanku Sultan Nazrin menyatakan kesediaan berbincang dalam mesyuarat akhir bulan Ogos. Maknanya ada perubahan, kesedian dan saya harap rakan-rakan dari seluruh Negeri, semua kalangan melihat ini secara positif dan saya juga telah mengarahkan berbincang dengan semua. Siapa yang betul-betul ada kepakaran dan kemahiran, tidak kiralah ijtihad mana kita runding, santuni, supaya ada proses itu. Saya minta jawatan kuasa merujuk kepada semua pandangan, setuju atau tidak cadangan pindaan tetapi selepas itu diangkat, selepas mesyuarat MKI Ogos ini. Kita harus angkat ke peringkat antarabangsa dan kita boleh undang beberapa pakar utama luar negara untuk datang dan berbincang bersama.
- Seperti Perkara 121 (1A), mengambil masa lebih satu tahun sebelum kita kemukakan. Padahal ia hanya kecil peruntukan pindaannya, iaitu meningkatkan kedudukan dan martabat Mahkamah Syariah. Tetapi oleh kerana ia ada perbalahan dan tentangan ia mengambil sedikit masa.
- Tetapi yang ini menurut pandangan saya ia harus lebih menyeluruh. Alang-alang nak buat pindaan biar pindaan yang betul menyeluruh supaya kesungguhan kita dalam melaksanakannya tidak dipertikai. Tetapi sekurang-kurangnya jelas dengan hujah-hujah kita mencakup semua bidang yang mungkin.
- Jadi, bulan Ogos Insya-Allah kita bentangkan tetapi tentunya tidak dapat dimuktamadkan kerana perbincangan saya dengan Tuanku Sultan Perak sebaiknya diangkat kepada peringkat antarabangsa, rujuk semula sebelum di rujuk ke Jabatan Peguam Negara. Kemudian pada Sidang Majlis Raja-Raja Melayu dengan soal Islam, adat dan soal hal kewarganeraan dan hal-hal tertentu itu mesti mendapat kelulusan dari Majlis Raja-Raja.
- Setakat ini saya tidak melihat bantahan atau masalah sama ada dari Ketua Hakim Negara yang telah merestui usaha-usaha ini dan juga Majlis Raja-Raja yang telah diberikan taklimat awal dan memberikan perkenan. Cuma minta supaya diteliti dan jangan dilihat gopoh dalam pelaksanaan dilihat kelemahan-kelemahan ketara.
- Saya juga dimaklumkan tentang Akta Saraan Hakim Syarie, sekarang saraan adalah mengikut skim Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD). Jadi, Insya-Allah, saya sudah minta Dato’ Dr Naim menyegerakan untuk kita angkat supaya ada Akta Saraan Hakim-Hakim Syarie supaya dapat dipertingkatkan.
- Akhirulkalam, saya tegaskan tentang usaha kita bahawa di dunia ini keadaan Islam dan tekanan terhadap Islam itu sudah smpai ke tahap yang melampau dan keterlaluan. Bukan sahaja soal Gaza, serangan gila, ganas dan zalim zionis Israel itu berterusan. Kita seolah-olah tiada keupayaan untuk menghalang kerana kuasa-kuasa besar itu meninggalkan semua prinsip.
- Kalau ada perbicaraan tentang hak asasi demokrasi, saya kata boleh bicara dengan orang lain, ini kerana tidak mempunyai kredibiliti untuk bicara soal demokrasi atau hak asasi kerana pelanggaran ini sudah sangat keterlaluan, pembunuhan kejam berterusan. Tapi ini suatu episod, di Amerika, United Kingdom, Eropah sekarang naik kebangkitan kelompok yang dikatakan kanan (kelompok Islamophobia) life of fascism perkauman sempit yang hanya bicara soal kaum kulit putih dan menanam kebencian terhadap kekurangan lain. Di Eropah, beberapa negara telah jatuh ke tangan kelompok ini.
- Jadi perkara ini harus mengingatkan kita membina kekuatan dalaman dengan lebih kuat. Kita tidak boleh hanya menang dengan suara, kemarahan dan jeritan. Kita harus menang dengan perpaduan dan menang dengan perkukuhkan semangat kekuatan Islam. Kita menang dengan kekuatan ekonomi yang lebih utuh. Tanpa kekuatan ekonomi fundamentals, kita tidak boleh memberikan kekuatan baik dalam program dakwah ataupun mutu pendidikan, atau peralihan tenaga dan juga perubahan-perubahan yang sangat diperlukan di dunia sekarang.
- Sebab itulah penumpuan kita adalah memperkukuhkan ekonomi bermakna mengurangkan atau cuba menghalang berlakunya keterlanjuran, baik rasuah atau ketirisan dan penyelewengan. Saya belum berhasil untuk meyakinkan masyarakat tentang hal ini bahawa kadang-kadang dalam jemaah kita, dalam proses pendidikan kita, soal-soal salah guna kuasa, soal ambil wang, soal rasuah ini kecil.
- Jadi ini membimbangkan kita kerana ini punca kelemahan sistem negara. Mana mungkin kerajaan itu boleh kuat dan ini bukan pandangan baharu ini teori lama, Ibn khaldun bila sebut tentang “Umran Badawi” dan ‟Umran Hadhiri, dan kemudiannya Umran Hadhiri itu setelah tiga generasi runtuh sebab anai-anai dari dalam dan diantaranya ialah keangkuhan kuasa, kezaliman yang menyebabkan tamadun itu runtuh dan kebangkitan tamadun itu dengan semangat Esprit de Corps dan Assabiyah yang positif membina kekuatan mengangkat martabat negara menjadi maju tetapi mudah runtuh kerana kita cuai dalam hal-hal yang sedemikian iaitu kekuatan nilai dan akhlak.
- Soal ethical dan moral ini penting dalam negara. Sebab itu bincang dalam soal perundangan Islam, kenapa kita nak martabatkan perundangan Islam. Apakah undang-undang ataupun keadilan, maqasidnya adalah keadilan, sistem yang murni. Sebab itu pencerahan, kesedaran dan kefahaman itu harus lebih meluas. Kita tidak mahu laksanakan peraturan dan meningkatkan peranan Hakim-Hakim penuh di penjara itu dengan penghuninya. Sebab itu ia harus berlaku secara bersama.
- Saya tekankan dari awal, memartabatkan Mahkamah Syariah itu bermakna program dakwah dan pencerahan harus lebih meluas merentas semua Kementerian dalam semua bentuk latihan terutama menyentuh masyarakat Islam. Kemudian beberapa aspek kerukunan, hukum dijalankan dan hukum itu bukan sahaja melalui Mahkamah Syariah, melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri, melalui commercial crime, Polis, SPRM barulah kita boleh jaga, kawal apa itu yang disebut sebagai etika dan nilai.
- Mudah-mudahan dengan komitmen saudara-saudara kita boleh bina kekuatan dalam membina negara MADANI. Mudah-mudahan Insya-Allah, kita boleh ubah sikit cara kita mengurus. Ustaz-ustaz dan Hakim-Hakim kena tahu juga pentadbiran dalam negara ini, kena tahu juga ketirisan, mengapa dasar itu harus tegas walaupun tidak popular untuk menyelamatkan negara.
Saudara-Saudara,
- Saya akui tidak mudah negara dan budaya yang biasa dengan amalan mencuri dan sakau ini dan melibatkan terlalu ramai orang dan tak akan menyenangi banyak pihak. Saya katakan, tidak ada pilihan kalau kita mahu menyelamatkan umat dengan tekanan-tekanan baru yang kita saksikan bukannya dalam negara tapi antarabangsa dengan kekuatan dan prasangka Islamophbia yang begitu meluas. Kita harus bina kekuatan dalaman dengan perpaduan, dasar ekonomi yang jelas, dengan etika yang baik dan memupuk kasih sayang dan menyelamatkan bangsa dan negara.
Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Similar Posts:
- PM ANWAR ARAH JEMAAH MENTERI AMBIL SERIUS TEGURAN LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA 2021
- MALAYSIA MADANI ANGKAT SEMULA MARTABAT NEGARA – PM ANWAR
- TADBIR URUS YANG BAIK UNTUK TINGKAT KEYAKINAN PELABUR, HALANG GONDOL KEKAYAAN NEGARA – PM ANWAR
- PERBINCANGAN INTELEKTUAL UNTUK RESPONS KEPADA ISLAMOFOBIA – PM ANWAR
- USAHA DAMAI DI MINDANAO HARUS CAPAI KEJAYAAN – PM ANWAR