TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI : MAJLIS AMANAT PERDANA PERKHIDMATAN AWAM KE-19 TAHUN 2024

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

MAJLIS AMANAT PERDANA PERKHIDMATAN AWAM KE-19 TAHUN 2024

 

 

 

16 OGOS 2024 (JUMAAT) | 10.00 PAGI

 

PUTRAJAYA INTERNASIONAL CONVENTION CENTER

(PICC)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Alhamdulillahilladzi arsala rosulahu bil huda wa dinil haq,

Liyuzhhirohu ‘alad dini kullihi,

Wa kafa billahi syahida,

Wa nusalli wa nusallimu ‘ala rasoolihil kareem,

Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.

YB Tan Sri Dato’ Johari bin Abdul,

Yang di-Pertua Dewan Rakyat;

Yang Berhormat Ahli-ahli Jemaah Menteri,

Yang Berbahagia Dato’ Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar,

Ketua Setiausaha Negara;

Yang Berbahagia Dato’ Sri Wan Ahmad Dahlan bin Haji

Abdul Aziz,

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam;

Yang Berbahagia Ketua-ketua Perkhidmatan;

Ahli-ahli Yang Berhormat;

Yang Berbahagia Datuk Johan Mahmood Merican,

Ketua Setiausaha Perbendaharaan;

Kementerian Kewangan;

Ketua-ketua Setiausaha Kementerian;

Yang Berbahagia Datuk Dr. Adnan Mat,

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam

Perkhidmatan Awam (Cuepacs);

Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan Persekutuan dan

Negeri;

Rakan-rakan media; dan

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.

  1. Pertamanya berita baik. Kita doakan insya-Allah dalam masa beberapa jam, pesawat dari sempadan Mesir, Gaza yang membawa anak-anak yang cedera parah dan ibu-ibu akan sampai ke KLIA dan akan diberi rawatan oleh pasukan kita. Yang kedua, insya-Allah dalam masa singkat berapa jam lagi Bank Negara Malaysia akan mengumumkan prestasi pertumbuhan yang jauh lebih baik daripada yang kita catat sebelum ini. Yang ketiga, berita yang agak menggusarkan, Jemaah Menteri belum memutuskan secara muktamad Skim Persaraan Gaji Perkhidmatan Awam (nada seloroh). Kalau saya senyum itu gurau lah. Saya nak tengok ada boo ke tidak (reaksi hadirin). Oleh kerana senyum, okey dan maknanya ada meningkat kesabaran dari kalangan kita. Memang benar saudara dah sabar selama 12 tahun dan masa untuk bertindak sekarang.
  1. Saya ingin mengambil kesempatan dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) 2024 kali ini, iaitu pertamanya untuk menyatakan penghargaan setinggi-tingginya. Dalam media kadang-kadang liputan lebih banyak menjurus kepada beberapa pelanggaran peraturan atau berita-berita negatif, kita tidak nafikan. Tetapi yang kurang dilapor ialah bahawa negara ini telah mencapai satu tahap kemajuan yang lebih membanggakan. Keamanannya, dasar ekonomi yang jelas, pelaksanaan yang pantas, cepat dan cekap itu adalah kerana jasa dan khidmat majoriti besar penjawat awam negara kita. Jadi saya mulakan dengan menyatakan penghargaan itu.
  1. Mari kita lihat dalam kerangka Ekonomi MADANI, teras utamanya ialah memperkasa rakyat. Memperkasa rakyat dengan roh dan semangat ‘bulat segiling, pecak setapik’. Maknanya negara dibangun, dijamin kemampanannya, kesejahteraannya dan meningkat upaya masyarakat serta mengiktiraf khidmat dengan memberi ganjaran yang setimpal. Dengan maksud akhirnya, mengangkat taraf hidup rakyat melalui pendapatan yang lebih baik dan lebih tinggi. Tetapi ini semua dilakukan dengan menerima kenyataan bahawa ada langkah-langkah yang seterusnya perlu diambil. Saya tidak bermaksud untuk menyatakan dan mengulangi umpamanya apa yang disebut oleh liputan mutakhir tentang kejayaan-kejayaan kita. Di antaranya nilai pelaburan yang mencecah RM83.7 bilion, KDNK yang meningkat.
  1. Selain itu, indeks keamanan global bagi Malaysia turut meningkat. Semua ini berlaku kerana khidmat daripada semua. Jadi sebab itu saya nak mulakan dengan mukadimah itu. Kerana kadang-kadang bila kita bicarakan soal layanan kepada penjawat awam, orang ini memikirkan bahawa CUEPACS ataupun penjawat awam hanya menuntut. Tapi mereka lupa bahawa bila saya sebut RM83 bilion pelaburan, itu kerana khidmat oleh ratusan pegawai di beberapa Kementerian. Maka kalau saya sebut Indeks Keamanan Global, ini bukan sahaja kerana khidmat, tapi pengorbanan nyawa, keringat, darah, pasukan polis, tentera dan perkhidmatan pertahanan negara kita. Jadi jangan buat andaian bahawa semua ini dicapai hanya kerana kita. Ini dicapai kerana kita bekerja sebagai satu pasukan.
  1. Kerana tekad kita bukan sahaja mencintai negara, tapi mengangkat martabat negara dan kita di kalangan yang yakin bahawa sekiranya tahap ini dapat kita tingkatkan, kerja kita diperbaiki, bersihkan negara daripada amalan jijik rasuah dan penyelewengan dan kemalasan. Saya yakin insya-Allah dengan kekuatan saudara-saudara, dengan semangat penjawat awam, kita boleh tingkatkan semula tahap negara ini sebagai negara yang cemerlang di rantau Asia.
  1. Maka gunakanlah kesempatan ini umpamanya, untuk memberikan ruang kepada kita melakukan beberapa anjakan. Dari sudut perencanaan ekonomi, menumpukan dalam bidang penyelidikan, pembangunan, pasaran buruh yang lebih berketerampilan, dasar dan peraturan yang lebih jelas, dan kecepatan meluluskan projek-projek, umpamanya bukan sahaja dari segi pelaburan, tetapi tidak perlu rakyat menunggu berjam-jam di tepi jalan untuk mendapatkan lesen atau mendapatkan kemudahan.
  1. Saya harap mulai hari ini, bila saya umumkan satu peningkatan yang paling tinggi dalam sejarah, maknanya mulai hari Isnin kita mahu lihat semangat dalam budaya kerja yang baru di kalangan penjawat awam. Kerana tidak bermakna kalau kita tingkatkan tetapi rakyat tanya “Mengapa dulu kami tunggu 2 jam untuk mendapat lesen, sekarang masih 2 jam?”, “Mengapa kalau tunggu 2 minggu untuk mendapat kelulusan, mesti terus 2 minggu?”. Jadi mesti ada suatu ikhtiar, iltizam, kecekapan pentadbiran yang baru yang saya minta nanti KPPA pastikan ia dilaksanakan tanpa tolak ansur.
  1. Maknanya ganjaran yang akan saya umumkan ini akan hanya diberikan kepada rakan-rakan yang menunjukkan kesetiaan mereka, khidmat mereka yang baik baru diberikan ganjaran. Satu kalangan kecil yang minoriti sahaja yang mengenepikan prinsip amalan bersih, yang cuai dan malas. Saya hendak beritahu di sini, saya tidak akan beri layanan dan tidak akan beri ganjaran yang setimpal.
  1. Saya harap seluruh penjawat awam, rakan-rakan yang bekerja kuat terima kenyataan ini. Tidak mungkin kita teruskan dengan amalan biasa. Siapa yang bekerja, ikut 10 tahun, 15 tahun, 20 tahun dia naik pangkat ikut biasa. Tidak boleh lagi dah kita teruskan prinsip tersebut. Dia bekerja, dia berkhidmat dengan baik, kita naikkan walaupun belum cukup 10 tahun. Kalau dia lembab, malas dan cuai, walaupun dia bekerja 20 tahun, peningkatan tidak akan diberikan.
  1. Saya ucap terima kasih kerana semua saudara bersetuju. Ini yang disebutkan anjakan islah, anjakan paradigma. Jabatan Perkhidmatan Awam akan memberikan beberapa ketetapan baharu yang mesti dilaksanakan dengan serius. Sebab itu pertanggungjawaban itu bukan sahaja kepada Ketua Setiausaha, tapi setiap Ketua Jabatan supaya pelaksanaan itu tidak dipandang sinis oleh masyarakat. Katakan kita buat pengumuman, beri ganjaran yang terbaik dalam keadaan ekonomi yang sekarang, kemudian kita dapat lihat umpamanya tidak ada perubahan yang nyata di kalangan rakyat. Jadi saya menaruh keyakinan yang sangat tinggi dan harapan yang tinggi menggunung. Kerana saya yakin, melihat kepada prestasi yang berlaku selama ini, kita berupaya meningkatkannya.

Saudara-saudara,

  1. Saya hendak beralih kepada isu pokok pada hari ini. Tetapi wajar saya mulakan dengan memberikan pengiktirafan dan ucapan penghargaan kepada mantan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Zuki Ali dan terutamanya kepada pasukan Jabatan Perkhidmatan Awam di bawah Dato’ Sri Wan Ahmad Dahlan yang bekerja bertungkus-lumus. Saya membuat beberapa pembetulan (pada pengumuman) hampir pukul 12 malam semalam, jadi saya tidak percaya mereka boleh tidur nyenyak selepas itu. Tetapi percayalah, saya, rakan-rakan Jemaah Menteri dan saudara-saudara harus lahirkan dengan ikhlas, penghargaan kami atas perkhidmatan dan sumbangan saudara-saudara yang tidak terhingga. Saudara Amir Hamzah (Menteri Kewangan II), Datuk Johan, KSP (Ketua Setiausaha Perbendaharaan) membantu saya dalam menentukan jumlah yang diputuskan itu dapat ditampung oleh perbelanjaan negara. Ia tidak mudah kerana sepertimana saudara tahu kita warisi hutang yang banyak, kita warisi satu sistem yang penuh dengan kebocoran dan rasuah.
  1. Alhamdulillah, kerana kesungguhan badan-badan penguatkuasaan termasuk SPRM, LHDN, disusuli dengan Kastam dan Imigresen, dan semua badan-badan penguatkuasaan yang lain, maka kita telah dapat jaminan tentang keupayaan kita menampung kos peningkatan yang besar akibat daripada keputusan kita pada hari ini. Jadi jangan pandang ringan dan remeh soal nilai dan integriti yang menjadi tonggak perkhidmatan awam.
  1. Walaupun saya berikan penghargaan dan pujian, saya tidak dapat nafikan masih ada pelanggaran seperti mana kita lihat tindakan-tindakan disiplin, tindakan-tindakan oleh SPRM akhir-akhir ini. Bila mana masih berlaku kecurangan-kecurangan yang tidak boleh kita maafkan, jadi Corruption Perception Index (Indeks Persepsi Rasuah) ini kita tidak harus tingkat 1-2 mata satu tahun. Ini Malaysia, negara yang ada asas Islam sebagai agama Persekutuan dan rakyat yang beragama baik Kristian atau Hindu atau Buddha, dan rakyatnya sering kali bicara soal nilai. Bagaimana boleh persepsi rasuah kita masih di tahap yang tidak membanggakan? Sepatutnya kita harus jadikan contoh. Persepsi rasuah ini tentunya bukan sahaja di kalangan penjawat awam tetapi juga pimpinan politik.
  1. Para pimpinan politik saya ucap terima kasih kerana rakan-rakan saya dalam Jemaah Menteri dan dalam Kerajaan Perpaduan memberikan sokongan penuh terhadap sebarang tindakan untuk menolak amalan lama. Umpamanya memberikan projek tanpa tender, lalu rundingan terus itu dihentikan dan kemudian menyerahkan kepada Ketua Audit Negara untuk masuk ke semua jabatan dan agensi tanpa berkecuali, membongkar dan menyelidik. Saya belum pernah dengar sekali pun mana-mana rakan Menteri yang mengeluh kerana tugas baru kegarangan Ketua Audit Negara sekarang ini. Jadi maknanya apa yang saya umumkan ini mewakili hasrat rakan-rakan saya dalam Jemaah Menteri termasuklah, pengumuman besar tentang ganjaran sistem saraan baru perkhidmatan awam hanya berlaku kerana dukungan padu, sistem politik yang stabil dan komitmen rakan-rakan dalam Jemaah Menteri yang ada sekarang.
  1. Ada yang bertanya, apakah ganjaran ini hanya kepada penjawat awam? Saya jawab tidak benar. Kerana sebelum kita lakukan nasihat, umumkan ini hari ini, sepanjang setahun setengah yang lalu, kita umumkan bersiri langkah-langkah untuk rakyat. Umpamanya:
  • Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kita naikkan sebanyak RM2 bilion atau 25%. Dari RM8 bilion (2023) kepada RM10 bilion (2024). Manfaatnya kepada 9 juta rakyat, 60% penduduk dewasa termasuk sebahagian besar daripada penjawat awam. Jangan nafikan ini. Penambahan ini berlaku dalam tempoh satu setengah tahun.
  • Sumbangan Asas Rahmah (SARA), peruntukan ditambah RM700 juta. Maknanya 5 kali ganda ketimbang RM130 juta tahun lalu. Diperluaskan penerima kepada 700,000 orang dan menambah nilai bantuan kepada RM1,200 ketimbang RM600 sebelumnya.
  • Bantuan murid sekolah yang juga dimanfaat oleh semua rakyat. Bermula tahun 2023 kita perluaskan skop penerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada semua murid iaitu dari darjah satu hinggalah tingkatan 5 dengan peruntukan hampir RM800 juta.
  • Hanya di bawah Kerajaan MADANI, Insentif Pengeluaran Getah telah kita naikkan bukan sekali, tetapi 2 kali. Daripada RM2.50 sekilogram (2022) kepada RM2.70 (2023) dan RM3 sekilogram tahun ini.
  • Kerajaan MADANI juga mengambil langkah meningkatkan pendapatan pesawah. Kadar Subsidi Skim Harga Padi ditingkatkan daripada RM360 (2022) kepada RM500 per metrik tan pada tahun 2023.
  • Kumpulan rentan dibantu. RM1.2 bilion menambah baik kehidupan golongan kurang upaya OKU melalui pusat pemulihan dalam komuniti termasuklah kenaikan elaun bulanan pelatih OKU daripada RM150 kepada RM300.
  • Dalam himpitan kos sara hidup, penjimatan perbelanjaan turut dimanfaatkan dengan memperbanyakkan Jualan Rahmah dan Jualan Agro MADANI. Ini peluang kepada rakyat untuk membeli barangan basah pada harga sehingga 30% lebih rendah ketimbang harga pasaran.
  • Melalui KWSP, kita perkenalkan Akaun 3 atau Akaun Fleksibel mulai 11 Mei 2024 yang membolehkan pencarum mengeluarkan caruman pada bila-bila masa. Simpanan persaraan rakyat terus dilindungi melalui peningkatan nisbah Akaun 1 atau Akaun Persaraan daripada 70% hingga 75%.
  • Dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12), Kerajaan telah menyasarkan 500 unit rumah mampu milik. Di bawah inisiatif perumahan penjawat awam MADANI yang telah kita luncurkan baru-baru ini, 28,000 unit rumah disasar disediakan. Sekarang kita telah siap untuk tahun 2024 sebanyak 3,838 unit rumah dan pada tahun 2025, 4,000 unit rumah. Ini mencerminkan hasrat Kerajaan meningkatkan mutu hidup selain memberi semangat kepada penjawat awam untuk terus menabur bakti kepada negara.
  1. Jadi saya tegaskan hal ini untuk mengelakkan pandangan serong seolah-olah tumpuan kita hanya kepada penjawat awam. Sebab itu saya masukkan tadi walaupun tidak keseluruhannya, pekebun getah, nelayan, OKU, pesawah padi supaya kita faham bahawa tanggungjawab kita dalam Kerajaan ialah menyantuni setiap rakyat terutamanya yang memerlukan bimbingan dan bantuan. Tentunya dalam Belanjawan MADANI ke-3 yang bakal dibentangkan pada bulan Oktober ini, insya-Allah hasrat Ekonomi MADANI melalui penstrukturan semula dan menaikkan ekonomi Malaysia supaya limpahan hasilnya itu diraih oleh semua dapat kita laksana dengan sebaik mungkin.
  1. Kita doa pada Allah SWT, mudah-mudahan prestasi kita yang nampak melonjak secara berkala ini, liputan laporan setiap suku tahun akan terus dapat dikekalkan. Hasil dari negara yang aman, politik yang stabil, dan sikap yang positif untuk membangunkan negara. Dan bukan pandangan-pandangan yang menabur kebencian berdasarkan kaum atau nak merebut kuasa politik sehingga meninggalkan semua nilai, luhur, bangsa dan agama. Ini satu hal yang harus diterima oleh rakan-rakan penjawat awam.
  1. Saudara saudari benteng negara. Benteng ini bermakna jaminan keamanan, jaminan pemacuan ekonomi, jaminan kesejahteraan sosial, jaminan kewarasan melalui nilai yang baik, bukan meniupkan api kebencian dan fitnah yang merosakkan banyak negara-negara termasuk beberapa negara Asia. Percayalah saudara, dalam Kerajaan kita tidak akan izinkan penyalahgunaan dan seperti mana saya sebut pihak rakan-rakan Menteri yang hadir, pendirian kami dalam urusan tata kelola mengelakkan rasuah tidak akan tolak ansur. Saya mohon kerjasama saudara-saudara kerana Sistem Saraan Malaysia yang kita kaji sejak Julai tahun lalu secara serius, fokus kepada aspek kemampanan saran, pembangunan organisasi dan pengurusan bakat.
  1. Baik, setelah mengambil kira pelbagai faktor, melaksanakan pertimbangan yang teliti dan berhemah, Kerajaan bersetuju agar Sistem Saraan Malaysia (SSM) diganti kepada Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) berkuatkuasa 1 Disember 2024. Ini tanda keprihatinan kita kepada penjawat awam.
  1. Saya tegaskan tadi tentang pengorbanan dan khidmat walaupun gesaan saya ialah Itqan Fil Amalstrive for excellence. Untuk mencapai kemajuan, kita tidak boleh ditahap yang selesa. Tahap pengorbanan ini luar biasa, bukan sahaja dalam menghadapi komunis militan yang mengorbankan nyawa tentera dan polis atau homeguard pada ketika itu tetapi baru-baru ini dalam menangani wabak pandemik COVID-19. Jangan lupa bahawa frontliners itu adalah perkhidmatan awam, petugas barisan hadapan, jadi negara sudah aman.
  1. Kita melepasi bencana COVID-19, tetapi jangan lupa, baik peniaga yang kaya, pengurus di bank, pimpinan politik Kerajaan atau pembangkang, jangan lupa bahawa mereka ini telah menyabung nyawa, berkorban jiwa raga demi menjalankan tugas mereka dengan memberi perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada seluruh rakyat dan negara. Berapa frontliners yang terlibat? 287,281 orang yang sanggup ke depan dengan segala risiko dan dedikasi mereka. Yang lebih menyayat hati dari kumpulan itu, berapa yang terkorban? 33 orang terkorban akibat kesan dari wabak tersebut. Inilah sebab mengapa kita memilih, rakan-rakan Jemaah Menteri memilih bukan sahaja mengenang jasa mereka, tetapi tahu bahawa ketika aman dan ketika krisis dalam menghadapi malapetaka, kita terpaksa beralih meminta rakan-rakan penjawat awam untuk ke depan bersama-sama bertarung.
  1. Mengambil kira hal ini, maka saya dengan itu memutuskan memperkenalkan SSPA. Mengiktiraf dan jangan lupa, ada yang mengatakan naik itu terlalu mendadak, betul tetapi mendadak setelah 12 tahun. Saya tidak nafikan bahawa ada beberapa habuan yang diumumkan sejak 2012 oleh Datuk Seri Najib semasa beliau menjadi Perdana Menteri selepas itu, Datuk Ismail Sabri semasa beliau menjadi Perdana Menteri, betul. Akan tetapi, kajian keseluruhan sistem saraan itu hanya berlaku sekarang dan saya nak ini diganding dengan civil service reform (reformasi perkhidmatan awam).

Saudara-saudara,

  1. Tiga (3) ikhtiar bagi mencapai maksud ini. Apakah ukuran nya, apabila kita memberi ganjaran, apakah ukuran kejayaan kita? Meningkatkan kadar produktiviti dan kecekapan perkhidmatan awam. Kedua, meningkatkan kesediaan penjawat awam dalam melaksanakan perubahan. Dan ketiga, meningkatkan daya saing negara. Maka SSPA mesti diukur berdasarkan produktiviti dan sumbangan secara langsung kepada kecekapan penyampaian perkhidmatan awam di semua peringkat, dari peringkat serendah di desa, kota kecil, bandar dan di kota raya. Ini terikat dengan apa yang kita sebut, tata kelola yang baik dan memuaskan.

Saudara dan Saudari, 

  1. Sabar menunggu ya. Sebelum saya umum, saya nak betul-betul yakinkan saudara. Kita serius. Kita ambil satu sikap yang sangat berani dan ia mengambil waktu entah berapa belas kali mesyuarat, bincang bawa balik ke Kementerian Kewangan minta pandangan secara kasar, rambang dari Jemaah Menteri supaya mereka nampak sehaluan dan faham keperluan ini. Sebab itu saya ridak mahu ada andaian di luar bahawa kita hanya permudahkan, hanya untuk menarik minat dan sokongan, tidak. Kita ambil keputusan ini kerana kita anggap keputusan ini adalah keputusan yang adil bagi penjawat awam. Jadi apakah skim yang saya maksudkan?
  1. Pembaharuan dan peningkatan dalam pendapatan, namun ianya adalah satu sistem saraan yang berteraskan nilai dan prestasi. Ini saudara harus terima sebelum menerima SSPA kerana kalau ada yang mengandaikan orang yang prestasinya lemah, yang tidak sering datang ke pejabat atau datang pejabat lewat serta sambil lewa, jangan menganggap bahawa sistem persaraan ini akan memberi manfaat. Percayalah dari kajian JPA, jumlah ini adalah jumlah kohort yang kecil dalam negara kita dan tanggungjawab saudara terutama Ketua-ketua Jabatan bukan melindungi mereka tetapi mengajak mereka kembali kepada landasan, tingkatkan tahap kerja mereka supaya mereka tidak akan terlepas dari peluang ini.

Saudara-saudara,

  1. Secara prinsipnya, kita mahu dan saya tegaskan tingkatkan dan memang benar saya ulang hal ini kerana sebenarnya satu keputusan yang sangat sukar. JPA tentunya memberikan sistem. Kementerian Kewangan harus memikirkan apakah ada upaya kita dalam keadaan sekarang. Jemaah Menteri harus memikirkan soal ekonomi mikro dengan Kementerian Ekonomi dan lain-lain. Apakah ia satu tindakan yang boleh menjamin negara itu meningkat dengan baik dan dapat kita optimumkan sumber negara melalui skim dan apakah kesannya kalau kita buat melakukan secara mendadak kepada peningkatan kos dan harga barang? Semua ini diambil kira. Jadi saya mahu saudara-saudara jangan melayani pandangan-pandangan orang-orang yang cemburu dan sinis. Percayalah ya.
  1. Maka, saudara harus lihat secara objektif. Sebab itu dalam semua kursus yang akan kita wajibkan kepada pegawai-pegawai, kita akan terangkan juga, orang imigresen, polis, LHDN, semua jabatan, PTD ataupun Kementerian Luar harus tahu tentang dasar dan kerangka besar kita. Kalau tidak, masing-masing kementerian dan jabatan fikir keutamaan mereka dan lupa bahawa kita harus bekerja sebagai satu pasukan. Apakah yang kita bersetuju untuk meningkatkan produktiviti?
  1. Pertama, meningkatkan kelayakan masuk minimum ke dalam perkhidmatan awam kepada Sijil Pelajaran Malaysia atau setara. Maka, beban dan kompleksiti tugas sedia ada tentulah ditambah dan ditingkatkan. Ini menggalakkan penugasan berbilang (multi-tasking) dan kemahiran berbilang (multi-skilling) di kalangan pegawai-pegawai sebagai pulangan kepada Kerajaan, penggunaan sumber Manusia perkhidmatan awam dapat dioptimumkan. Dan ketiga, sistem perkhidmatan yang mempunyai fungsi perkhidmatan tidak relevan, bertindih dan terpencil akan dipindahkan kepada skim perkhidmatan lain.
  1. Kita warisi sudah 60 tahun. Kadang-kadang jabatan yang sudah tidak relevan kita kekalkan juga. Puluhan agensi yang tidak relevan, kita samakan. Seperti contoh skim pemandu lokomotif, pengurus asrama, operator wayarles dan jurusolek. Jadi hal-hal ini harus diseragamkan bukan maknanya antar dditiadakan petugas yang sedia ada tetapi diseragamkan supaya tidak ada pembaziran. Ini yang disebutkan perubahan berdasarkan keperluan semasa perkhidmatan awam.
  1. Pindaan syarat lantikan bagi 17 skim perkhidmatan bagi memperoleh bakat terbaik perkhidmatan secara evolusi teknologi dan dasar pendidikan semasa. Maka kita melaksanakan kajian pertindihan saya sebut tadi tentang fungsi kementerian dan agensi yang menumpukan kepada dua (2) fokus utama iaitu keusahawanan dan keselamatan negara yang dijangka selesai pada Julai 2025. Ini selaras dengan hasrat Rancangan Malaysia ke-12 khususnya melalui strategi menyusun semula institusi, memperkukuh penyampaian perkhidmatan sektor awam yang bertujuan untuk mewujudkan organisasi yang lebih mendatar, meningkatkan ketelusan dan mengutama optimumkan penggunaan sumber secara menyeluruh.
  1. Sebagai contoh, penstrukturan semula melibatkan agensi seperti penggabungan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia tanpa implikasi kos. Yang kedua, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia melibatkan pengambilalihan fungsi agensi berkaitan di pintu masuk negara Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) tidak melibatkan penambahan peserta pegawai tetapi pemindahan mengikut tugas yang baru.
  1. JPA akan melakukan audit perjawatan yang menyeluruh supaya ketidakseimbangan ini dapat diperbaiki dan kementerian dan jabatan harus memberikan kerjasama yang sepenuhnya dan tidak ikut cara biasa iaitu tiap jabatan, dan kementerian hanya menuntut tambahan pegawai mengikut lazim tetapi tidak mengikut keutamaan.
  1. Oleh sebab itu rasionalisasi pejabat perwakilan diperbaiki. Sebagai contoh, di luar negara, kita ada Tourism Board, MATRADE, MITI selain daripada kedutaan dan semuanya ada pejabatnya masing-masing. Mulai 1 Januari tahun 2025, semua pejabat di luar negara seperti MOTAC, MITI, MATRADE dan MIDA akan disatukan di bawah satu bumbung untuk menjimatkan belanja dan mengoptimumkan kos operasi.
  1. Dunia masih kecil. Ekonomi dan teknologi kian canggih tetapi cara kita berfikir dan bertindak masih lagi usang. Sebab itu saudara-saudara harus memberi bekerjasama Menteri-menteri dan lementerian harus terima kenyataan bahawa kerja-kerja ini boleh dijalankan secara yang optima melalui proses yang lebih teratur.

Saudara-saudara,

  1. Ini yang dikaitkan dengan return of investment. Maknanya kalau kita belanja berlebihan, ada tempat umpamanya yang tidak diperlukan masih kekal kerana sudah disiapkan 20 tahun yang lalu, dan tidak berubah kepada tempat yang lebih strategik, ia akan merugikan kita.

Saudara-saudara,

  1. Apakah kesan daripada perubahan ini? Semua ini harus difikir. Kalau saudara itu ketua jabatan, ketua setiausaha atau ketua pengarah menjalankan tugas itu seperti mana pada masa yang lalu sahaja, tidak fikir yang baharu tidak menggunakan kecekapan dan pengalaman untuk membuat penyelidikan dan kajian, maka tidak mungkin negara ini akan terangkat kedudukan mereka. Saudara harus berikan pandangan, apakah ada pertindihan fungsi? apakah perlu diwujudkan jabatan baharu seperti mana kita wujudkan Kementerian Digital? Ia tidak perlu 40 tahun yang lalu. Dan ada beberapa jabatan yang tidak diperlukan sekarang harus dirobah. Sebab itu JPA dan Kementerian Kewangan perlu melaksanakan tanggungjawab ini dan tentunya harus kekalkan yang perlu tetapi tidak gunakan alasan lapuk. semata-mata kerana kita sudah ada pengarah di jabatan itu ataupun jawatan-jawatan yang sedia ada.
  1. Dalam aspek pengurusan dan pembangunan bakat, kita bersetuju untuk menambah baik aspek pengurusan prestasi, tata kelakuan dan pengurusan tatatertib:
  • Penambahbaikan Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A)395] yang antara lain mewujudkan peraturan baharu bagi menangani isu kegagalan tadbir urus pengurusan kewangan awam dan pengukuhan prosedur tatatertib yang lebih tegas.
  • Pelaksanaan sistem penilaian prestasi tahunan yang baharu bagi menggantikan Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) kepada sistem MyPERFORMANCE yang berasaskan kepada aspek kompetensi dan nilai serta menitikberatkan prinsin iaitu adil, objektif, telus, relevan dan kebolehasingan.
  • Kita tambah baik Pergerakan Gaji Tahunan (PGT). PGT hanya kepada pegawai yang mencapai tahap prestasi yang memuaskan dan lulus tapisan tatatertib.
  • Markah penilaian prestasi tahunan bagi urusan pemangkuan dan kenaikan pangkat ditingkatkan daripada 80% kepada 85%.
  • Markah penilaian prestasi tahunan untuk layak menerima PGT dinaikkan daripada 60% kepada 75%. Maknanya kalau prestasi terlalu rendah, boleh dimasukkan dalam Dasar Pemisah (exit policy) – penamatan perkhidmatan, ia memberikan tempoh yang lebih cepat; dan
  • Tempoh proses urusan di bawah Dasar Pemisah dikurangkan daripada 36 bulan kepada 18 bulan.
  1. Maka tanggungjawab Ketua Jabatan untuk memperkukuh integriti dan tata kelola perkhidmatan awam. Ketua Jabatan yang gagal melaporkan salah laku pegawai bawahannya akan dikenakan tindakan tatatertib dan menjejaskan peluang kenaikan pangkat kerana ada Guru Besar atau Ketua Jabatan yang mahu menjaga imej Jabatan, mahu menjaga imej sekolah, budak itu didera setengan mati dan tidak dilapor kepada Polis. Ada Ketua Jabatan tahu pegawainya punyai kekayaan yang melebih tetapi tidak dilaporkan. Maka tanggungjawab, kalau itu terbukti dia tidak dilaporkan, maka Ketua Jabatan itu tidak akan dinaikkan pangkat.
  1. Kita juga akan lakukan job rotation (pusingan kerja). Kadang-kadang apabila diletakkan satu tempat yang terlalu lama, dia terlalu biasa dengan amalan lama dan merosakkan. Jadi di tempat-tempat yang strategik seperti di perbatasan, lapangan terbang, pelabuhan mesti ada gerakan yang cepat supaya memantau prestasi mereka. Dan yang utamanya ialah perkhidmatan terus kepada rakyat yang kita harus pasti lebih baik maka Pegawai Polis di lapangan dan doktor umpamanya harus diberikan tugas hakiki. Kalau naik pangkat, naik pangkat dalam bidang tugas mereka, tidak semestinya menjadi Pegawai Tadbir di Kementerian baru nak naik pangkat. Kalau tidak, polis yang profesional tinggal lapangan, doktor yang pakar mesti jaga jabatan, jadi tertinggal urusan utama mereka.
  1. Ini hanya boleh berlaku sekiranya Kerajaan mengiktiraf peranan mereka dan naik pangkat di tempat asasi tugas mereka melaksanakan. Jadi apakah pengumuman ini dilaksanakan secara segera atau kemudian? Saya mahu cadangan-cadangan ini dilaksanakan sebelum Belanjawan pada Oktober dan pelaksanaannya pada 1 Disember 2024.
  1. Kualiti penyampaian perkhidmatan yang disebut servis delivery kepada rakyat itu isu yang sangat membimbangkan saya. Sebab itu langkah pemerkasaan perlu diambil. Kenapa kita umum dasar, pertumbuhan dan pelaburan? Itu tidak akan menyentuh secara langsung rakyat sehingga dilihat di depan mata mereka. Dia pergi ke pejabat, dia pergi ke hospital, dia pergi ke JPJ, apakah layanan mulai isnin itu lebih baik daripada layanan minggu lalu? Dan saya percaya layanan minggu depan akan lebih baik daripada minggu lalu, Insya-Allah.
  1. Peraturan dan pekeliling Kerajaan yang melibatkan urusan dengan awam perlu disemak semula kerana kadang-kadang peraturan terlalu banyak dan ada kisah di mana Ketua-ketua Jabatan mengatakan pekeliling dari KSN dan KPPA terlalu banyak yang tidak siapa baca yang semuanya failkan. Jadi sebab itu harus dipermudahkan supaya lancar penyampaian perkhidmatan itu menjadi keutamaan kita.

Saudara-saudara,

  1. Ada kebimbangan juga, apakah apabila saya sebut tadi SPM, ini tidak termasuk lain-lain sijil tidak, saya kata SPM dan setara maknanya graduan TVET, kelayakan Sijil Vokasional Malaysia itu diperluaskan bagi 26 skim perkhidmatan. Maknanya tambahan kepada 18 skim perkhidmatan yang sedia ada. Kelayakan Diploma Kemahiran, Diploma Lanjutan Kemahiran diperluaskan dalam syarat lantikan bagi 11 skim perkhidmatan berkelayakan diploma STPM sebagai tambahan kepada dua (2) skim yang sedia ada. Ini memberi peluang kepada 295,000 graduan SKM SVM dan DKM/DLKM sedia ada, dalam pasaran.
  1. Bagi memastikan pengurusan kewangan negara lebih mampan, Kerajaan sedang meneliti kaedah baru, lantikan tetap dan bercantum dan kajian terperinci sedang dilaksanakan bagi menentukan strategi terbaik kepada Kerajaan dan pegawai awam. Lantikan baru hasil kajian akan dibentang kepada jemaah menteri untuk pertimbangan dan kelulusan sebelum dilaksanakan.
  1. Selain dari itu, Kerajaan perkenalkan iltizam kecekapan pentadbiran. Ini penting saudara-saudara, ada di jemaah Menteri bila kita bincang mencadangkan kalau boleh kita adakan Akta Kecekapan Pentadbiran. Tapi setelah berunding saya ingat setakat ini kita beri keyakinan kepada Ketua Setiauasaha Negara (KSN), Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) sekadar iltizam kecekapan pentadbiran melalui kaedah pentadbiran. Kalau secara tegas dan kalau nampaknya kurang berkesan maka kita tiada pilihan tapi mengadakan Akta supaya pertanggungjawaban dalam isu governance tatakelola itu lebih pasti. Ini disebutkan Reformasi Pentadbiran dan saya percaya akan dapat diterima nanti, pimpinan CEUPACS dan ketua-ketua Jabatan akan diberi kefahaman dari segi pengoperasian tahap akauntabiliti dan kecekapan yang dimaksudkan.
  1. Dalam tempoh 10 tahun kebelakangan, berlaku peningkatan sebanyak 21.3% indeks harga pengguna. Maknanya 12 tahun, naik kos sara hidup umumnya 21%, terutama harga barang, makanan dan minuman merupakan keperluan asas naik 24.8%. Ini juga memberikan kita alasan dan rasional, mengapa kadar peningkatan itu bagi Sistem Saraan Penjawat Awam harus ditingkatkan. Memikirkan 12 tahun peningkatan harga makan minum 24% tetapi belum ada kenaikan ketara dari sudut gaji khidmat penjawat awam. Jadi saya percaya, setelah mengambil kira semua ini, dengan peningkatan kos sara hidup, dengan harapan yang melangit kepada rakan rakan penjawat awam seluruh peringkat di Daerah, Perbandaran, Negeri dan Persekutuan, kita rasa gaji penjawat awam yang selama ini sejak 12 tahun yang lalu, naik hanya 5.8% ketimbang inflasi 24%.
  1. Maka sebab itulah bagi penjawat awam, amat menekan terutama gred 26 dan ke bawah yang mempunyai nilai gaji pokok yang rendah. Dari skim ini saya percaya, saudara sedang menunggu dan kali terakhir pelarasan gaji tahun 2012. Pelarasan gaji yang akan dilaksanakan nanti pada umumnya, saya sebut tadi jauh lebih baik daripada apa yang pernah dilaksanakan.
  1. Lantaran itu, Kerajaan komited memastikan pembelaan nasib penjawat awam. Maka, adalah diumumkan pelarasan gaji penjawat awam seperti berikut:

 

  • pelarasaan gaji sebanyak 15% kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional; dan
  • pelarasan gaji Sebanyak 7% kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi. Ini juga satu langkah yang berani kerana Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan rakan rakannya di atas naik tujuh (7) yang di bawahnya naik di antara 15 sehingga 42%.
  1. Pelaksanaan pemberian pelarasan gaji ini akan dilaksanakan cara bertahap, berfasa. Maknanya, pada 1 Disember 2024 Fasa 1 dan 1 Januari 2026 Fasa 2. Naik tetapi secara berfasa kerana kekangan, tidak mahu ada tekanan inflasi. Kalau naik kemudian naik inflasi, pendapatan sebenar itu akan jauh kurang.
  1. Maka bagi pegawai Kumpulan Pelaksana, pegawai Kumpulan Pengurusan Dan Profesional, pelarasan gaji untuk Fasa 1 adalah 8% dan Fasa 2 adalah 7%. Secara umum 15%. Bagi Kumpulan Pengurusan Tertinggi, pelarasan gaji Fasa 1 adalah 4%, Fasa 2, 3%.
  1. Seperti penjawat awam yang sedang berkhidmat akan diselaras gaji pada Disember 2024. Penyelarasan pencen juga akan dilaksanakan berdasarkan pelaksanaan ke atas gaji akhir pesara. Ramai rakan-rakan pencen bangkitkan isu ini. Saya bagi jaminan tidak terjejas dengan perubahan baru ini.

 

  1. Julat peningkatan pendapatan yang akan diterima oleh penjawat awam adalah di antara 16.8% hingga 42.7%. Mengambil kira faedah berganda compounding effect.
  1. Sebagai contoh seorang pembantu hidupan liar, gred G11 dengan pendapatan bulanan gaji dan elaun pada 30 November 2024, sebanyak RM1,795 akan menerima pendapatan bulanan sebanyak RM 2,115 mulai Disember Fasa 1 dan Fasa 2 beliau akan menerima pelarasan sebanyak 7%, menjadikan jumlah pendapatan bulanan Fasa 2 berjumlah RM2,327. Contoh kedua, Jururawat gred U29. Pendapatan bulanan, 30 November 2024. RM2,457. Akan menerima pendapatan bulanan RM2,697 mulai Disember 2024 dan mulai 2026 Januari, tambahan 7% lagi mendapat keseluruhannya RM 2,994.74.
  1. Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Guru yang berkhidmat 5 tahun dengan pendapatan bulanan sebanyak RM3,838 pada November 2024 akan mendapat pelarasan gaji kadar 8%, 1 Disember meningkat RM4,085.04 dan Fasa 2, 7%, maknanya jumlah RM4,559.24. Seorang Prebet Askar gred ZA1, pendapatan bulanan RM2,379, November meningkat, 1 Disember 2004 dan pendapatan bulanan meningkat kepada RM2,619 dan keseluruhannya jumlah pendapatan bulanan setelah fasa 2, RM2,857.63.
  1. Yang terakhir, contoh Konstabel Polis gred YA1, sekarang RM2,256 dengan pelarasan 1 Disember 2004, RM2,496 dengan tambahan Fasa 2, 1 Januari 2026, pendapatan RM2,726. Ini formula pengiraan ini kena diterangkan dengan lebih lanjut oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
  1. Seterusnya dalam usaha meningkatkan motivasi kerja Kumpulan Pelaksana, satu bentuk insentif berasaskan prestasi akan diberikan kepada pegawai telah mencapai tempoh perkhidmatan sekurang-kurangnya 6 tahun selepas Time-Based Kecemerlangan (TBK) 2. Insentif ini bersamaan dengan kadar satu (1) kenaikan gaji tahunan (KGT) gred jawatan semasa pegawai.
  1. Manakala Kemajuan Kerjaya Kumpulan Pengurusan Profesional Perkhidmatan Awam juga ditambah baik seperti berikut :
  • Kenaikan pangkat secara one off melibatkan pegawai gred 41 hingga gred 48 secara Khas untuk Penyandang (KUP) akan dilaksanakan bagi pegawai yang telah memenuhi tempoh dan kriteria yang ditetapkan. Urusan ini hanya bagi skim perkhidmatan yang kenaikan pangkatnya terhad kepada kekosongan jawatan; dan
  • Pengiktirafan kepakaran diberikan kepada pegawai yang berkelayakan sebagai pegawai Subject Matter Expert (SME) dilaksanakan melalui urusan pemangkuan kenaikan pangkat tanpa kekosongan secara Khas untuk Penyandang (KUP) dari Gred 48 hingga ke Gred Khas C. Fokus diberikan kepada 7 bidang tujahan baharu seperti kecerdasan buatan Artificial Intelligence (AI), Keselamatan Siber, Transformasi Digital, Teknologi Makanan dan Peralihan Tenaga dan Persempadanan Negara dan akhirnya Pengurusan Bencana.
  1. Bagi mengiktiraf pengorbanan khidmat bakti anggota tentera ATM, Veteran ATM Tidak Berpencen maknanya dalam skim, memang daripada awal mereka menerima perjanjian berkhidmat singkat tapi tanpa pencen tapi. Tahun lalu saya berikan RM300. Tahun ini, selari dengan penyelarasan gaji, kita pastikan naik menjadi RM500 sebulan bagi kategori yang layak.
  1. Jadi saudara-saudara, kita cuba sedaya upaya meliputi semua pihak termasuk dalam veteran yang tidak berpencen. Jadi ini berita baik pada hari Jumaat yang mulia ini dan menggembirakan. Alhamdulillah, saya akan jelaskan dalam Belanjawan kos sebenarnya yang mencecah lebih dari 10 bilion ringgit satu tahun apabila dilaksanakan. Jadi saya harap, saudara-saudara faham kekangan dan kesungguhan rakan rakan pimpinan Kerajaan untuk menjamin supaya rakyat, keluarga kita yang berkhidmat bagi pihak kita bagi pihak Negara itu diberikan pengiktirafan yang sebaiknya.
  1. Dan saya harap juga, jangan ada bulan Disember ini, syarikat-syarikat, kedai-kedai yang mengambil kesempatan kerana kita naik secara berfasa dan tidak harus memberi tekanan kos harga barang keperluan terutamanya makana dan Badan-badan Penguatkuasaan Kementerian KPDN umpamanya, akan bertindak lebih tegas melalui rakan-rakan pegawai Penguatkuasaan.
  1. Saudara-saudari, saya ambil kesempatan ini, pertama menyatakan penghargaan kepada rakan rakan semua, jadilah benteng Negara sesungguhnya. Pertahankanlah dasar- dasar kita dan janganlah beri ruang kepada musuh-musuh bisik hal-hal yang memecahbelahkan kita, menanam bibit kebencian dan fitnah kerana bila diberi amanah, ujian yang Allah berikan kepada kita bila laksanakan amanah semasa kita berkuasa lah kita laksanakan. Esok, bila saya pencen saya jerit itu tak betul, ini tak betul, tak ada makna lagi. Sekarang ada kuasa setelah jalan liku-liku yang susah payah perit maung keluar masuk Sungai Buloh, inilah masa saya bersama rakan rakan saya berikan khidmat yang sebaik mungkin. Apapun cercaan, penghinaan dan fitnah tidak mengganggu fokus saya bangunkan Negara, selamatkan Negara, angkat darjat rakyat dan Negara ini.

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.