
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
PROGRAM MADANI RAKYAT
PERINGKAT ZON SELATAN & SETAHUN EKONOMI MADANI
17 OGOS 2024 (SABTU)
DATARAN UNIVERSITITEKNOLOGI MALAYSIA
SKUDAI, JOHOR
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillah, Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem
Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Dato’ Ghazi,
Menteri Besar Johor;
YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh,
Ketua Menteri Melaka;
YB Tan Sri Dato’ Johari bin Abdul,
Yang di-Pertua Dewan Rakyat;
YB Tuan Mohd Rafizi Bin Ramli,
Menteri Ekonomi yang membantu menyelaraskan acara hari ini bersama 3 Kerajaan negeri. Termasuk YB Arul Kumar a/l Jambunathan yang mewakili Kerajaan Negeri Sembilan;
YBhg. Dato’ Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar,
Ketua Setiausaha Negara;
Rakan rakan Menteri, Timbalan Menteri, Pegawai-Pegawai dan Saudara-saudari yang dimuliakan.
- Alhamdulillah kita dapat bersama-sama dalam acara Program MADANI Rakyat. Sudah keliling ke seluruh negara dan hari ini kita bentangkan hasil kerja kita dan kemudian untuk dinilai sendiri oleh rakyat.
- Kita bincang tentang projek, tentang strategi, tentang kemudahan, baik pendidikan TVET, projek industri, pelancongan, digital, Ai, dan memperbaiki proses pentadbiran, semua ini saudara sudah dengar sepanjang tahun.
- Ini kesempatan wilayah Selatan – rakyat Johor bersama Melaka, Negeri Sembilan, melihat sendiri dari reruai (booth) yang disediakan dan menilai apakah yang diumumkan itu dilaksanakan. Ini tujuan kita menunjukkan hasil tindakan yang telah diambil.
- Kerana kalau tidak nanti ada pengumuman tetapi orang tidak tahu. Bila tidak tahu maka adalah pandangan-pandangan negatif, hasutan seolah-olah tidak ada apa yang dikerjakan.
- Saudara-saudari, kalau tidak ada apa yang dikerjakan kadar pertumbuhan kita sama tidak mungkin capai 5.9% bagi suku tahun kedua baru-baru ini.
- Dan kita lihat umpamanya berkat kerjasama semua, Kerajaan, swasta, penjawat awam, rakyat, kalangan pekerja, petani, pekebun kecil, nelayan semuanya menyebabkan ada keyakinan dan ringgit merupakan di antara mata wang yang peningkatannya terkuat di rantau kita, alhamdulillah.
- Saya tidak bermaksud menyebut lagi kerana tadi dipaparkan beberapa contoh kejayaan. Dan hasil kejayaan inilah kita dapat mengambil langkah yang berani umpamanya kita sebut reform perkhidmatan awam dan manfaat kepada penjawat awam.
- Dan semalam saya umumkan kenaikan saraan gaji dan elaun penjawat awam yang terbaik dalam sejarah. Ini kerana mengiktiraf, kerana kita tengok ada kemajuan. Kita lihat kesungguhan rakan-rakan penjawat awam.
- Maka kita tekankan, seperti yang disebut oleh KSN, KPPA semalam, kita minta supaya masih boleh diperbaiki, masih boleh ditingkatkan. Supaya bila kita katakan tahap kecekapan penjawat awam, dari kampung tidak payah tunggu berjam-jam untuk mendapat kelulusan atau menemui pegawai dan kerana jaminan ini semualah, maka kita dapat rasa dengan senang hati dan yakin perubahan ini akan terus meningkat dan reform dalam sektor awam akan dijalankan dengan begitu meyakinkan, insya-Allah.
- Malah dalam perjumpaan semalam, tatkala mengumumkan peningkatan dan melalui pengiktirafan kita, pendapatan keseluruhan penjawat awam, ada janji, ada ikrar. Mulai Isnin ini di setiap pejabat akan dipastikan penjawat awam masuk pada waktunya dan bekerja bersungguh-sungguh meningkatkan prestasi mereka.
- Jadi saya harap rakyat boleh menilai kalau ada di mana-mana pejabat daerah atau pejabat persekutuan atau agensi, di mana ada kelemahan mesti segera melaporkan. Kerana bila kita bagi ganjaran kalau ada kecuaian saya minta KSN, KPPA ambil tindakan segera supaya nama baik penjawat awam dipertahankan.
- Sebab akhirnya kita nilai di mana, bukan salah seorang menteri atau menteri besar atau ketua menteri umum, tetapi rakyat yang menunggu baik di JPJ atau Imigresen atau Kastam atau pejabat tanah, dia akan nilai. Kalau dilihat macam dulu juga, jadi dia akan tanya kita sebab apa Kerajaan hendak berikan ganjaran begitu baik, tetapi kerjanya seperti dulu.
- Sebab itulah saya terima baik jaminan ketua-ketua jabatan dan penjawat awam untuk menjamin prestasi yang lebih baik mulai minggu depan, insya-Allah.
- Saudara-saudari, ini beza saudara hadir di sini dipapar laporan kemajuan, tapi didengar di luar lain. Saya sebut semalam beberapa berita baik, Bank Negara dan DOSM Jabatan Statistik umumkan pertumbuhan ekonomi 5.9%.
- Kemudian kita umumkan jumlah ganjaran, penjawat awam yang naik di antara 15% dan ada ketogori yang naik sampai 40%.
- Ada dalam sosial media dikritik mana ada? mana ada? belajarlah sikit, baca dulu kalau tidak faham tanya dulu, ada saluran aplikasi di mana patut tanya, janganlah kerana hendak tolong rakyat, hendak tolong penjawat awam tetapi dijadikan politik pembangkang tidak guna, tidak boleh macam itu.
- Tanya penjawat awam, saya keluarkan kenyataan itu berdasarkan perkiraan teliti oleh Jabatan Perkhidmatan Awam. Dan yang naik ini pendapatan rendah, yang golongan pendapatan tinggi naik sedikit 7% yang di bawah ini tidak sampai RM2000 dulunya. RM2,000 sebulan atau atau sekitar RM2500. Jadi kenaikan mereka itu yang dipastikan jauh lebih tinggi supaya tidak berlaku terlalu lebar kesenjangan di antara golongan yang berpendapatan tinggi dan rendah.
- Kemudian kita perluaskan syarat SPM, TVET, kursus-kursus vokasional di sama rata supaya mereka mendapat peluang pekerjaan. Semua peluang, perubahan ini dilakukan, tetapi terperincinya itu tentulah diserah kepada jabatan untuk menjelaskan.
- Janganlah sampai tidak reti syukur langsung. Keadaan ekonomi tumbuh pun tidak syukur. Naik gaji pun tidak syukur. Kerana negara aman pun tidak syukur.
- Kemudian semalam kita bawa 2 pesawat TUDM. Bawa anak-anak yang cedera parah kerana kezaliman Israel Zionis, menembak bom, hancurkan rumah, bunuh bayi, wanita mati, bahkan baru-baru ini lelaki yang dipenjara diperkosa oleh beberapa orang dengan zalim.
- Kemudian kita bawa balik, itu pun dicerca. Ada orang kata Anwar tidak payah jadi Perdana Menteri Malaysia, pergi jadi Perdana Menteri Palestin, hendak tolong sangat. Apa punya sikap manusia? jenis apa ini? orang mati terkorban, diseksa.
- Yang lain datang ramai dari Rohingya, ratus ribu, bukan kita usir begitu sahaja. Dan banyak lagi negara jiran lain yang datang meminta pertolongan.
- Dahulu pelarian Acheh tatkala ada pergaduhan, maka ada juga kita simpan di sini untuk beri perlindungan sehingga keadaan terkawal.
- Jadi saya hendak beritahu di sini saudara-saudara, ini tanggungjawab kecil yang kita laksanakan. Yang upaya kita lakukan. Jadi kalau tanya saya, syukurlah kepada Allah SWT kerana kita ada juga perasaan ihsan, timbang rasa dan tolong ringankan beban.
- Apalah 40-50 orang ini berbanding dengan 40,000 orang yang ditembak ganas. Ada kalangan sana yang ucap terima kasih? tidak ada. Ada yang katakan tahniah kepada TUDM? tidak ada. Yang ada hanya cerca, kita ini ejen Yahudi, ejen Amerika, ejen Israel. Dan ada orang kampung terima dan yang saya pelik sekali ada penjawat awam pun terpukau dengan pandangan-pandangan buruk dan kusut seperti ini.
- Jadi saya harap bukalah minda kita sedikit ya. Ini negara pertama di Asia yang lakukan. Saudara tahu semua apa? sebab apa kita jadi negara pertama di Asia lakukan, kerana barisan Jemaah Menteri Kerajaan, Kerajaan-kerajaan Negeri sepakat dalam Kerajaan Perpaduan MADANI ini untuk sama-sama menjalankan tanggungjawab bersama.
- Dan kedua, kerana kita tahu ini juga kehendak rakyat dan sokongan rakyat. Sebab itu, dibawa mereka ke mari. Dan setentunya ada yang tanya, mengapa hantar pesawat TUDM? patut naik penerbangan komersial. Kita ambil di sempadan, kena runding dengan Kerajaan Mesir, syaratnya mesti bawa pesawat tentera udara, dan ada kelengkapan.
- Risikonya ada, jadi yang datang itu dia tahu risiko mungkin ditembak oleh peluru berpandu Israel. Jadi orang-orang yang di dalam pesawat itu, ibu yang mengiring anaknya tahu risiko. Dan ini hanya boleh dilakukan dalam pesawat tentera udara. Kita tidak boleh naik flight komersial.
- Kemudian kedua, rundingan. Saya sendiri terpaksa telefon Presiden Mesir, Abdul Fattah Al-Sisi, minta kerjasama. Kita tidak mungkin boleh bawa kalau tidak ada kerjasama daripada Kerajaan Mesir. Ini baiknya kerana kita ada hubungan baik dengan Qatar, Mesir, Arab Saudi, UAE, Iran. Kita ada hubungan baik dengan negara jiran itu yang membolehkan kita melaksanakan.
- Sebab itu bersyukurlah kata Allah SWT. Pertama negeri kita aman. Keduanya dengan sedikit kekayaan kita, kita bantu yang menerima siksaan dan malapetaka kerana kezaliman Zionis Israel. Seperti firman Allah SWT, Lain Syakartum Laazidannakum Walain Kafartum Inna Adzabi Lasyadid” (Surah Ibrahim:7).
- Syukurlah nikmat yang ada. Janganlah terus kufur akan nikmat ini. Dan janganlah guna semua hal, tidak pernah dengar yang baik sama sekali.
- Saya tidak ada masalah kalau di Johor, kalau MB kata, Exco atau ADUN bagi pandangan, teguran, bagaimana hendak baiki, kita boleh terima baik. Tetapi sikap untuk mengkafirkan orang, mencerca orang, mengaibkan orang dan memperlekeh semua yang baik kita lakukan termasuklah ganjaran yang tinggi diberi kepada pekerja, penjawat awam yang kita umumkan semalam.
- Jadi saudara-saudari, saya dalam majlis ini menjelaskan kalau selalunya dalam penjelasan yang kita cerita tentang projek-projek kerajaan, tetapi yang saya dengar di luar kadang berlebih.
- Dia sudah melampau daripada hadnya. Katanya kita tidak Islam, kita hanya jadi alat dan tali barut orang Amerika dan Israel. Kita jadi tali barut kepada DAP. Itu sahaja yang kita dengar. Padahal kita bekerja sebagai satu pasukan.
- Negara ini sejak merdeka, adalah negara pelbagai kaum. Melayu majoriti Bahasa Melayu, bahasa rasmi, Islam agama persekutuan, hak istimewa orang melayu dan bumiputera dipertahankan dan juga kedudukan kemuliaan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu.
- Bila kita capai kemerdekaan dan seterusnya bersama Sabah Sarawak dalam Malaysia, prinsip ini tidak pernah kita ketepikan dan Kerajaan Perpaduan yang ada sekarang ini tidak pernah melanggar prinsip ini.
- Jangan dengarlah fitnah buruk dan jahat orang-orang yang membuat tohmahan dan tuduhan. Mereka tidak pernah kerja dan hanya puas nafsu mereka untuk menghina orang dan memecah orang.
- Sebab itu dalam penutup ucapan semalam saya sebut saudara-saudara, kita syukur kepada Allah SWT. Negara ini pada landasan yang betul, rakyat bersatu padu. kerajaan kian utuh dan percayalah baik di kampung di kalangan pesawah padi atau pekebun kecil atau pekerja di zon ekonomi atau di pelabuhan percayalah, kalau semangat ini kita teruskan, kita pastikan anak-anak kita mendapat pendidikan yang terbaik, kita hentikan kerja dan amalan pemimpin-pemimpin menyakau duit rakyat. Memperkayakan anak isteri, keluarga dan kroni. Kalau kita halang itu dan bekerja, percayalah insya-Allah Johor dan Malaysia terangkat sebagai negara yang hebat.
- Dan sebab itu saya kata biarlah mereka menjerit dan melalak. Kerana dalam dunia politik memang ramai tukang-tukang jerit. Tetapi percayalah, saya ajak rakan-rakan di kalangan pimpinan politik, di kalangan penjawat awam, pengurus-pengurus agensi yang pelbagai di negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan seluruh negara.
- Rakyat di kalangan pekebun kecil, nelayan dan pekerja dan pengurus, tumpu perhatian saudara. Ini kesempatan kita angkat semula martabat negara kita Malaysia negara hebat Malaysia kita cintai kerana keupayaannya terangkat sebagai satu negara yang paling cemerlang di rantau ini dan insya-Allah kita boleh lakukan kalau kita bersemangat.
- Saudara dan saudari, kita tumpu perhatian kita secara positif. Bangunkan dan saya curahkan perasaan saya dari hati sendiri, kata-kata Arab, al hadis al hal apa bil khaba – dari hati ke hati. Maknanya kita boleh lakukan.
- Saudara belajarlah dari pengalaman negara-negara lain yang tidak tentu arah, politik Thailand contohnya, sebelum itu di Bangladesh, dan kebanyakan negara-negara Arab. Kerana apa? kerana politik hasad dengki, kerana cemburu, kerana gunakan kebebasan tanpa gunakan kewarasan akal fikiran.
- Marilah kita berdoa kepada Allah SWT, mudah-mudahan negara kita ini terus terselamat dan manfaatkan waktu dan kudrat kita untuk mengangkat martabat rakyat. Saya umum kenaikan gaji penjawat awam. Gaji orang politik, Menteri, Timbalan Menteri tidak naik. Bukan sahaja tidak naik sebaliknya gaji Menteri dipotong 20% dan masih diteruskan. Perdana Menteri sampai hari ini, walaupun ditohmah segala macam belum pernah ambil gaji sebagai Perdana Menteri.
- Ada orang kata iyalah tidak ambil gaji sebagai Perdana Menteri, dia ambil gaji sebagai Menteri Kewangan. Menteri Kewangan kedua ada, saya tidak ambil. Bukan kerana apa saya hendak tunjuk contoh. Hendak jadi pemimpin, tidak semuanya yang dianggap memikirkan kedudukan mereka, saya kena tunjuk contoh, berkorban sedikit.
- Kerana yang lain semua ada, kemudahan perjalanan, pesawatnya, keretanya, keselamatannya, rumah rasminya semua ada. Cukuplah, syukur kepada Allah SWT. Yang lain kita berikan peluang untuk angkat ekonomi negara kita ini supaya kita boleh berbangga insya-Allah nanti sebagai negara yang maju.
- Kalau tidak, tidak mungkin kita mampu membawa 2 pesawat TUDM dari sempadan Gaza, Mesir, tidak mampu kita lakukan kalau kita ini negara miskin dan tidak ada pembangunan.
- Jadi sekian sahaja yang saya hendak sampaikan, kita akan dengar lagi Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri sampaikan pandangan selepas ini. Dan saya harap saudara-saudara hadam tapi tumpu seperti mana saya sebut fokus, baiki nilai, baik akhlak kita dan baiki mutu kerja kita.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Similar Posts:
- PENJAWAT AWAM DISERU BAWA PERUBAHAN KEMBALIKAN MALAYSIA KE TAHAP GEMILANG
- BINCANG SEMULA KADAR GAJI, UPAH PENJAWAT AWAM BILA KEWANGAN NEGARA BERTAMBAH BAIK – PM ANWAR
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- TERAP ELEMEN AMANAH, KEPERCAYAAN DALAM KERJA BERPASUKAN
- BELANJAWAN 2023 AMBIL KIRA CABARAN EKONOMI SEMASA – PM ANWAR