TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
SIDANG KEMUNCAK TAHUN
PENGKOMERSIALAN MALAYSIA 2023
4 OGOS 2023 (JUMAAT)
CONNEXION, BANGSAR SOUTH
KUALA LUMPUR
Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh dan Salam Sejahtera
Alhamdulillah, Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolihil Kareem.
YB Chang Lih Kang,
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi;
YB Datuk Arthur Joseph Kurup,
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi;
YB Dato’ Sri Huang Tiong Sii,
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam;
Ketua Setiausaha;
Pegawai-pegawai termasuk dari MRANTI,
TYT Pesuruhjaya Tinggi India; dan
Rakan-rakan yang saya muliakan termasuk anak-anak dari TVET yang datang.
- Alhamdullilah, dapat kita bersama-sama pada pagi ini untuk menjayakan satu program yang penting dalam konteks hala tuju negara dan ekonomi MADANI. Saya ingin menyingkap semula pandangan kehidupan kita di Era Pasca Normal atau yang disebut Postnormal Times.
- Apa itu pasca normal? Ianya adalah kepesatan tahap perubahan yang menggemparkan, the pace of change and creativity, termasuk transformasi digital yang juga disebut sebagai spontaneity – berjalan pantas atau segera; dan juga simultaneity – berjalan serentak di kalangan semua tempat, yang mana semua itu berlaku dalam masa yang sama dan melibatkan banyak negara.
- Saya sengaja menyebut hal ini kepada saintis-saintis muda dan juga anak-anak yang menceburi bidang teknologi dan TVET kerana kita harus faham bahawa kita tidak boleh terus dengan tahap kelajuan biasa. Jika kita menerima kenyataan Postnormal Times tetapi kita bergerak seperti dahulu, dengan simpang siur politik, ekonomi yang memberi ruang kepada orang mengaut kekayaan, tidak ada dasar sains dan hala tuju yang jelas, pasti ini akan menyebabkan kita terbantut dan kekal pada tahap yang lama.
- Saya selalu meminjam dan menukil pandangan Joseph Schumpeter, yang menyebut tentang keadaan negara apabila dilanda krisis. Apabila sebuah negara dilanda krisis, ia menuntut perubahan. Beliau menyebut pada ketika itu tahun 30-an dan 40-an iaitu Gale of Creative Destruction, apabila terdapat krisis ekonomi, politik dan sosial, maknanya ada kelemahan dalam sistem.
- Terdapat kerosakan yang berlaku atau mungkin akan terus berlaku tetapi manfaatkanlah kelemahan-kelemahan itu untuk menolak sistem usang yang menyebabkan kerosakan dan mengekalkan ciri-ciri yang baik serta daya cipta baharu yang disebut Creative Destruction. Maknanya menggunakan, mempelajari atau menimba ilmu dari kelemahan itu dan merangka yang baharu.
- Sebab itulah kita selalu menyarankan agar rakyat Malaysia menerima kenyataan ini dan saya berharap golongan sarjana, intelektual dan saintis harus lebih ke depan kerana apabila kita menyebut dunia sains, dunia yang meneroka alam kreativiti dan daya cipta yang baharu di mana ia harus juga melonjak dari keadaan dan kesediaan untuk menerima beberapa kenyataan baharu dan perkara ini tidak mudah.
- Saya sebagai ahli sains sosial tahu bahawa apabila kita menambah perubahan atau menganjurkan perubahan, akan menghadapi tekanan dan permasalahan dari orang yang biasa dengan kaedah lama sama ada dari kalangan politik umpamanya, biasa dengan cara merompak kekayaan atau saintis sendiri pun yang biasa dan selesa dengan kaedah lama dan tidak bersedia untuk menerima kenyataan-kenyataan baharu.
- Resistance to change atau keengganan melakukan perubahan itu tidak semestinya dari kalangan orang-orang desa yang tidak berpengetahuan. Resistance to change itu kadang-kadang dalam kalangan saintis, intelektual dan pemimpin-pemimpin politik kerana menjaga kepentingan masing-masing. Oleh yang demikian, apabila kita menyebut propensity to change, kesediaan untuk melonjak dan membuat perubahan itu mesti mengajak semua untuk bersedia menerima perubahan.
- Inilah sebab dalam pentadbiran baharu ada terdapat sedikit kontroversi kerana kita sentiasa menyatakan kepada Malaysia, kalau kita kekal dengan kaedah lama, tidak menerima bahawa pasca normal ini menuntut beberapa kaedah baru terutama dalam bidang sains dan teknologi yang disebut Science, Technology and Innovation (STI) tadi dan juga dari segi transformasi digital, kita tidak mungkin dapat bersaing.
- Kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dalam berita-berita mutakhir ini, begitu membanggakan. Dua hari yang lalu, syarikat Infineon, syarikat raksasa dalam bidang teknologi tinggi dari Jerman bersetuju memutuskan dan ini bukan Perjanjian Persefahaman (MOU). Saya juga telah berjumpa dengan beberapa wakil mereka pada bulan lalu dan dalam perbincangan untuk menentukan beberapa dasar Malaysia sekarang, kemudahan, kaedah percepatan (ease of doing business) atau kelulusan segera dan dibawa kepada Mesyuarat Lembaga di Jerman dua hari yang lalu untuk memuktamadkan keputusan.
- Jadi kita terpaksa merahsiakan keputusan mereka itu sehingga Lembaga Pengurusan Syarikat Infineon memutuskan dan alhamdulillah mereka memutuskan dan ini satu pelaburan terbesar Syarikat Infineon di dunia dan kita bersaing dengan satu negara maju yang memberikan insentif yang sangat menarik tetapi akhirnya mereka memilih Malaysia.
- Elon Musk berbincang dengan saya juga sekitar satu setengah bulan yang lalu dan memutuskan dalam keadaan persaingan dengan negara di rantau. Dan semalam Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sekali lagi bertanya kepada saya, mengapa dalam persaingan dan perebutan untuk mendapatkan pelaburan dari Elon Musk, mereka memilih Malaysia? Dua minggu yang lalu, Presiden Bongbong Marcos Junior bertanya kepada saya soalan yang sama. Tentunya saya menjawab kerana perancangan ekonomi, saintis dan TVET, itu yang menyebabkan mereka tertarik.
- Bercakap tentang Elon Musk, terkait juga dengan Tesla, Starlink dan Space X. Space X itu seperti mana yang diketahui oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi itu mempunyai rangkaian tiga syarikat penting di Malaysia. Jadi saya telah mengarahkan supaya kerajaan dan Kementerian-kementerian berkaitan mencari jalan menemui ketiga-tiga syarikat ini dan membantu dengan apa cara sekalipun untuk melonjakkan kegiatan mereka dan mengembangkan industri itu supaya dapat memenuhi tuntutan Space X.
- Dan sebelum itu, Saudi Aramco iaitu syarikat gergasi minyak dan gas dari Arab Saudi telah memutuskan untuk mengembangkan pelaburan mereka di Johor.
- Kemudiannya, Pengerusi Syarikat Geely, telah menulis surat kepada saya dua minggu yang lalu, menyatakan keputusan mereka sudah muktamad untuk menyediakan satu projek raksaksa iaitu Automotive City di Tanjung Malim yang menelan belanja awal sebanyak RM10 bilion.
Saudara-saudara,
- Ini sebahagiannya dan saya tidak menyebut semua tetapi bagaimana sambutan kita? Dalam beberapa pertanyaan dan perbincangan saya dengan syarikat-syarikat ini, mereka berbangga dengan tahap keupayaan kejuruteraan kita, berbangga dengan TVET tetapi satu hal yang mereka sentuh adalah berkaitan upskilling yang perlu ada serta beberapa pendekatan baharu yang perlu memenuhi tuntutan baharu dalam bidang transformasi digital yang membolehkan mereka memenuhi satu ruang yang tertinggi, yang agak belum dapat dipenuhi.
- Jadi ini cabaran bagi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. Dalam Mesyuarat Majlis Sains Negara, saya telah memutuskan supaya Kementerian menyelaraskan dengan semua Pusat Penyelidikan Kerajaan, swasta dan universiti-universiti supaya memanfaatkan kekuatan mereka, tidak bergerak secara in-silos dan cuba memberikan ruang supaya kita boleh menekankan bidang penyelidikan sains dan teknologi yang terbaik dan kita boleh tonjolkan.
- Oleh itu, bagi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, tugas besarnya juga adalah untuk menyelaraskan dan mendukung bukan sahaja institusi sains yang diasaskan oleh Kerajaan Persekutuan tetapi mengenal pasti beberapa peluang pendidikan lain yang diselenggarakan oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat swasta terutamanya universiti-universiti.
- Saya menerima sedikit keluhan daripada beberapa universiti yang menganggap mereka tidak dapat menembusi kerana terpaksa berhadapan dengan kerenah kerangka birokrasi yang menetapkan keutamaan kepada Institusi Penyelidikan Sains Negara.
- Saya lihat pendekatan baharu ini menuntut kita untuk melihat kekuatan seluruh negara daripada kekuatan Kementerian, Jabatan atau Institusi dan inilah peranan Menteri dan Ketua Setiausaha (KSU) terutamanya untuk memastikan hal ini berlaku.
- Dalam soal TVET umpamanya, bagi memenuhi keperluan yang penting, kita telah memberikan penekanan bahawa belanjanya tinggi iaitu RM6.8 bilion setahun. Kesannya amat positif kerana lebih kurang 95% anak lulusan TVET telah mendapat pekerjaan tetapi masih tidak memuaskan seperti yang pernah saya sebut kerana rata-rata pendapatan mereka tidak melebihi RM2,000 sebulan.
- Kalau kita dapat tekankan supaya bentuk latihan itu melalui TVET, melalui sinergi dengan syarikat swasta, syarikat-syarikat lain dan juga badan-badan penyelidikan, saya percaya ia dapat ditingkatkan kerana kita mahu lulusan TVET itu mendapat sekurang-kurangnya minimum RM2,800 sehingga RM3,000 sebulan. Ini barulah boleh melayakkan mereka untuk hidup dalam keadaan selesa.
- Justeru, penekanan harus diberikan kepada kementerian-kementerian berkaitan seperti Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi untuk memberikan keutamaan dalam bidang sains dan teknologi.
- Itu bukan bidang saya, YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan ada di sini dan dia tahu yang saya ini orang liberal arts and philosopy tetapi saya tahu bahawa tuntutan zaman atau tuntutan semasa itu mesti juga berakar kepada kekuatan sains dan teknologi dan tentunya TVET adalah satu bidang yang bertepatan.
- Kementerian Pendidikan memaklumkan kepada saya mengenai hasil kajian terbaru bahawa minat anak-anak sekolah di bidang sains dan matematik mulai menurun. Majoritinya tentunya di kalangan Melayu, tetapi juga di kalangan Cina. Ini mengejutkan saya. Di Malaysia ini, saya kena sebut India, Iban dan Kadazan, kalau tidak jadi sensitif.
- Jadi bagi saya harus ada pendekatan baharu. Menteri-menteri seperti Menteri Pendidikan dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, walaupun terdapat beberapa pertemuan tetapi perlu juga mendapatkan pandangan ahli sains dan badan-badan penyelidikan menerusi hasil mereka turun padang ke sekolah-sekolah, politeknik, TVET dan sekolah-sekolah vokasional untuk menambah minat anak-anak tentang kepentingan sains, matematik dan teknologi.
- Saya berharap hal-hal ini dapat dilaksanakan walaupun telah ada permulaan tetapi saya selalu menekankan kalau kita guna kaedah mesyuarat penyelarasan seperti biasa, kita akan ketinggalan zaman kerana dalam beberapa hal kita telah dapat mencatat kemajuan. contohnya pelaburan baharu, namun kita harus menyambutnya melalui bentuk latihan dan sinergi penyelidikan yang disebutkan tadi.
- Saya juga telah menemui umpamanya badan induk seperti Mesyuarat Majlis Sains Negara dan MIMOS yang harus dimanfaatkan sepenuhnya dalam memberikan pendedahan, latihan dan pencerahan kepada anak-anak kita, dan juga usaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, MRANTI serta Jawatankuasa Induk yang menjayakan pengkomersialan ini.
- Maka kita mesti elak latihan dan pengkomersialan yang mempunyai masalah mismatch seperti mana yang selalu disebut dan saya sudah dengar puluhan tahun tentang penyelidikan tetapi tidak dimanfaatkan dari segi sinergi dengan syarikat-syarikat. Hal ini harus diberikan perhatian untuk tidak lagi menggunakan pendekatan lama.
- Saya ingin tegaskan di sini dan meminta rakan-rakan di kementerian dan badan penyelidikan untuk melihat keperluan yang sangat kritikal dan sangat mendesak. Kita lihat umpamanya dari segi umum walaupun Malaysia ini tidak tercorot sangat, tetapi kalau kita kekal dengan pendekatan lama, kita tidak mungkin mendapat manfaat seperti mana kita harapkan.
- Saya gunakan ruang ini untuk menggesa saudara-saudara untuk melihat ini sebagai sesuatu yang sangat kritikal dan sangat mencemaskan kerana dari segi tanggungjawab, umpamanya untuk menarik pelabur mesti ada tindakan susulan dan dapat memanfaatkan secara langsung kepada negara.
- Kalau tidak kita masih menarik pelabur tetapi pulangannya itu seperti mana pulangan pada tahun 70-an atau 80-an dahulu dan tidak memberi manfaat langsung dari segi kecekapan, pendedahan yang boleh memberikan ruang kepada kita.
- Kita ada kekuatan sebenarnya. Saya masih ingat pada tahun 90-an, apabila Michael S. Dell ingin mengembangkan pusat penyelidikan di Pulau Pinang, saya bertanya kepada beliau mengapa Pulau Pinang kerana selain Amerika Syarikat ketika itu, mengapa Pulau Pinang menjadi keutamaan beliau?
- Beliau menjawab satu hal yang sangat menarik dan bagi saya sangat membanggakan, iaitu beliau berkata anak muda di Malaysia ini, kalau kita berikan latihan yang cukup, kesediaan mereka menerima itu menurut beliau memang berada di tahap yang sangat tinggi berbanding pengalaman dengan pusat-pusat pendidikan yang berada di berpuluh negara lain. Sebab itu beliau memutuskan pada ketika itu, memohon kepada kita beberapa kemudahan untuk mengembangkan Pusat Penyelidikan Dell di Pulau Pinang. Ini saya membicarakan soal pengalaman yang saya dengar sendiri daripada mereka pada tahun 90-an.
- Saya tanya kepada syarikat Geely sewaktu bertemu sebanyak dua kali dan memutuskan untuk mengembangkan, beliau memberi pandangan yang sama, tetapi beliau menegur tentang satu kelemahan. Kelemahannya adalah latihan kita itu masih belum di tahap yang dianggap berkemahiran tinggi sehingga menyebabkan di peringkat tertinggi itu mereka masih memerlukan kepakaran kemahiran teknologi dari luar negara.
- Saya bertanya kepada beliau, apakah terlalu rumit dan canggih bidang kajian dan disiplin itu? Beliau kata tidak, beliau hanya memerlukan tenaga mahir, pengajar dan saintis untuk mengetahui keperluan syarikat dan memenuhi keperluan itu dengan menetapkan supaya TVET dan upskilling itu betul-betul memenuhi. Kita menggunakan istilah upskilling tetapi upskiling itu sebenarnya tidak memenuhi keperluan industri di peringkat tertinggi.
Saudara-saudara,
- Ini bukan teguran tetapi harapan supaya ada kesediaan kita memenuhi keperluan ini kerana apabila mereka menyebut dan dalam perbincangan tu, saya tidak hanya bercakap soal diplomasi biasa, tetapi saya berkata “you tell me what is required, you tell me about the level of our discipline and profesionalism of our engineers.” Dia kata “excellent, in terms of discipline, commitment and of the learning curve” Jadi saya bertanya lagi “then tell me what is lacking? what is terribly lacking?” normally they will be very polite tetapi saya kata “you tell me, it cannot be okay because at the highest level of expertise you employ people from other countries and only then they suggest that we need to then give educate, emphasis And to that level of expertise to fill in the gap so that our professional engineers, and those who have been train in TVET could fulfil the requirements of this industry.” Ini mesej yang penting bagi saya dan patut diteliti bersama selain daripada isu pengkomersialan yang juga harus diberi keutamaan.
- Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih and tahniah kepada YB Tuan Chang Lih Kang, MRANTI, KSU dan semua. Saya minta maaf kerana seperti biasa saya ketepikan teks kerana ada kadang-kadang pengumuman-pengumuman penting yang harus dibuat tetapi kali ini tidak mengapa kerana YB Tuan Chang Lih Kang boleh membuat pengumuman itu. Saya memilih untuk melontarkan idea saya secara terang-terangan, apa yang saya fikir hal yang patut diberi keutamaan. Jika ada beberapa pengumuman yang sangat penting, saudara YB Tuan Chang Lih Kang fikir boleh buat pengumuman khas selepas ini.
Terima kasih.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Similar Posts:
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- PENJAWAT AWAM DISERU BAWA PERUBAHAN KEMBALIKAN MALAYSIA KE TAHAP GEMILANG
- PM ANWAR ARAH JEMAAH MENTERI AMBIL SERIUS TEGURAN LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA 2021
- KERAJAAN TUMPU USAHA TURUNKAN HARGA BAHAN MENTAH – PM ANWAR
- SUBSIDI BERSASAR : PM ANWAR BERI JAMINAN KEPENTINGAN PIHAK INDUSTRI TURUT DIBERI PERHATIAN