TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PENUTUPAN SUKMA 2024

 

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

MAJLIS PENUTUPAN SUKMA 2024

24 OGOS 2024 (SABTU) | 8.30 MALAM

 

 

STADIUM NEGERI SARAWAK,

PETRAJAYA, SARAWAK

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Alhamdulillah, Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem

 

Yang Amat Berhormat Tan Sri Datuk Patinggi Haji Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Haji Abang Openg,

Premier Sarawak;

Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof,

Timbalan Perdana Menteri;

Yang Berhormat Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah,

Yang Dipertua Dewan Negara;

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Amirudin bin Shari,

Menteri Besar Selangor;

Yang Amat Berhormat Tuan Haji Mohd Shukri bin Ramli,

Menteri Besar Perlis;

Timbalan-Timbalan Premier;

Menteri-Menteri Persekutuan dan negeri; dan

Terutamanya dua (2) Menteri yang bertanggungjawab, iaitu YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan serta YB Dato’ Sri Hj Abd Karim Rahman Hamzah, Menteri Belia dan Sukan Sarawak, terima kasih.

 

  1. Malam ini kita bersyukur kepada Allah SWT kerana suasana kelihatan lebih hebat dari perasmian, saya di New Delhi lihat perasmian yang cukup hebat. Ada yang mencatat boleh menandingi perasmian Sukan Olimpik Paris. Hebat Sarawak ini. Ini baru semangat Segulai Sejalai, Agi Idup, Agi Ngelaban!.
  1. Kalau semangat begini saya ucap tahniah! Persaingan yang sangat sengit dengan Wilayah Persekutuan saat akhir Sarawak catat kontinjen yang terbaik diikuti oleh Wilayah Persekutuan, tahniah!
  1. Dalam ruang ini kita bertemu sebagai pasukan dengan semangat sukan, semangat olahraga dan atlet bersaing dengan hebat, bersahabat dengan akrab dan ini saya saksikan tadi bersama Premier Abang Jo, setiap kontinjen beri tepukan yang gemuruh, inilah semangat kesukanan yang sangat hebat. Ini yang kita hendak pupuk semangat perpaduan dan persaingan hebat di kalangan sahabat semua agar terus akrab.
  1. Kadang-kadang kita dengar di antara negeri, jabatan, wilayah, pasukan-pasukan universiti atau sekolah itu kadang-kadang persaingan terlalu sengit. Padahal semangat sukan ini yang disebut sportsmanship, semangat kesukanan, kekal kasih sayang sebagaimana ‘ihsan’ dalam negara MADANI.
  1. Di sini saya ucap tahniah kerana anak-anak Sarawak dan rakan-rakan dalam kontinjen dari semua negeri yang telah menunjukkan semangat perpaduan yang sangat tinggi. Kerana semangat inilah malah saya dimaklum bahawa prestasinya meningkat baik. Kita lihat kesungguhan pasukan kita bertarung sehingga ke Olimpik, ya ada yang catat kemenangan, ada yang kurang menang. Bukan kalah tapi kurang menang.
  1. Tetapi semangat cintakan negara, tunjukkan keupayaan luar biasa ini adalah semangat yang patut kita semua rasa bangga dan salute kepada pasukan kita. Baik Olimpik mahupun SUKMA, saudara-saudari anak-anak telah catat rekod baru, 7 rekod kebangsaan dipecahkan. 21 rekod SUKMA sebelumnya telah dipecahkan, luar biasa semangat anak-anak semua.
  1. Jadi oleh kerana ini dan dengan keupayaan Sarawak menganjur sukan di antara yang terbaik yang pernah kita adakan. Saya bagi pihak Kerajaan Malaysia bersetuju untuk Sarawak bersama dengan Kerajaan Malaysia menganjurkan Sukan SEA 2027.
  1. Saya bisik kepada Datuk Seri Fadillah, TPM tadi bersama-sama Datuk Alex Linggi, dan Hannah, tentunya nanti dalam Mesyuarat Kabinet Rabu hadapan ini kita akan sahkan.
  1. Kerana ada keupayaan, prasarananya baik dan pasukan yang baik, Menteri Datuk Karim Hamzah dengan seluruh pasukan yang menunjukkan persiapan, kesungguhan dan komitmen luar biasa. Jadi, apalah susahnya untuk SEA Games. Saudara-saudari mampu laksanakan dengan baik, insya-Allah.
  1. Dua (2) tahun lagi kita akan bertemu di Selangor untuk Sukan SUKMA 2026. Sama ada sarawak dapat pertahankan prestasi ini atau tidak kita lihat 2026 nanti.
  1. Apakah yang kita harus lakukan sebelum SUKMA 2026 dan Sukan SEA yang akan datang? Tentunya kita harus mulakan persiapan dari sekarang. Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Belia dan Sukan, Kerajaan-Kerajaan Negeri dan badan-badan sukan akan diminta untuk melakukan semua persiapan. Persatuan-persatuan sukan patut digerakkan untuk tumpu meningkatkan mutu dan prestasi para atlet, olahragawan dan tidak diheret dalam masalah-masalah titik bengik yang lain.
  1. Terkadang berita-berita tentang persatuan sukan juga membimbang dan menggusarkan. Oleh itu, saya ingin menggesa kerana kita telah bersetuju untuk menganjurkan sukan peringkat antarabangsa dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak di Kuching ini. Maka persiapan harus dimulakan mulai sekarang. Persiapan itu melibatkan seluruh jentera kerajaan dan juga persatuan-persatuan dan lebih-lebih lagi anak-anak yang terlibat harus berlatih dari sekarang kerana kita mahu menjadi kalau pun tidak juara, prestasi yang sangat baik dalam Sukan SEA tahun 2027, boleh? Agi Idup, Agi Ngelaban!. Saya ikut semangat Premier tadi.
  2. Baik dari segi Kerajaan tentunya kita bersyukur kepada Allah SWT. Bila Kerajaan Perpaduan MADANI ini mula ditubuhkan, kita menghadapi banyak kekangan, hutangnya terlalu besar, ekonominya itu terumbang ambing, ringgit diasak teruk, tapi saya bersyukur kepada Allah SWT kerana kekuatan semangat semua pihak, kerjasama pasukan Jemaah Menterinya, kerjasama dengan Kerajaan-Kerajaan Negeri, dan jentera penjawat awam yang begitu komited, maka sekarang kita saksikan jumlah pelaburan yang sangat tinggi dan saya baru bisik tadi Amazon Web Services (AWS) itu menetapkan pelaburan yang tertinggi, mencecah lebih RM25 bilion.
  1. Dan kita lihat keupayaan-keupayaan bukan sahaja pusat-pusat industri dan pelaburan, zon ekonomi yang biasa di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor. Sekarang kita lihat umpamanya kemunculan Sarawak sebagai gergasi ekonomi yang meyakinkan. Dengan kemudahan ini kita boleh tumpu dalam semua bidang. Dalam negara MADANI ini ekonomi diletakkan sebagai keutamaan, tetapi kita mesti memperkasakan rakyat dalam bidang budaya, dan dalam bidang sukan, namun yang merentas ini semua adalah semangat perpaduan dan nilai yang baik.
  1. Apa erti negeri maju, sukan cemerlang, tapi nilai dan akhlak buruk dan rendah. Sebab itu dalam negara kita dan kepada anak-anak yang giat dalam sukan, jangan lupa ada tanggungjawab kita, kita belajar disiplin dalam olahraga atau dalam sukan, kita belajar kesungguhan dan dedikasi, memupuk semangat seumpama dalam hidup barulah kita jadi manusia yang baik.
  1. Jadi dengan semangat ini saya doakan kepada Allah SWT mudah-mudahan tingkat negara kita dari segi ekonomi, dari segi budaya, sukan, olahraga akan terus meningkat. Saya ucap sekali lagi setinggi-tinggi penghargaan kepada para guru, pendidik, pelatih dan seluruh jentera yang telah bekerja bertungkus lumus menjayakan SUKMA ke-21 pada tahun 2024 di negeri Sarawak Bumi Kenyalang.

Assalamualaikum, warahmatuhallahi wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.