TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PENUTUP KONGRES EKONOMI BUMIPUTERA 2024 (KEB 2024)

 

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

MAJLIS PENUTUP KONGRES EKONOMI BUMIPUTERA 2024 (KEB 2024)

 

2 MAC 2024 | 3.30 PETANG

 

PUSAT KONVENSYEN ANTARABANGSA PUTRAJAYA (PICC)

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Alhamdulillaahil lazeee anzala ‘alaa ‘abdihil kitaaba

walam yaj’al lahoo ‘iwajaa

Wassalatu wassalamu ‘ala saidina muhammadin

Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.

 

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi,

Timbalan Perdana Menteri;

Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof,

Timbalan Perdana Menteri;

Yang Di-Pertua Dewan Negara;

Para Menteri;

Timbalan Premier Sarawak;

Ketua Menteri Sabah;

Menteri Besar Selangor;

Menteri Besar Kelantan;

Ketua Menteri Melaka; dan

Rakan-rakan yang saya muliakan.

  1. Alhamdullilah, kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala, kerana pada hari ini dan hari-hari sebelumnya, kita dapat menyempurnakan kongres yang sangat bererti dalam negara MADANI ini. Ia memberi penjelasan bahawa ada agenda yang belum selesai.
  1. Kita faham bahawa Dasar Ekonomi Baharu (DEB) diperkenalkan pada tahun 1971 dan ada kejayaan nyata yang tidak dapat dipertikai. Prasarana di desa dan pedalaman jauh lebih baik berbanding sebelum merdeka. Mobiliti sosial anak-anak Bumiputera, baik Melayu Semenanjung, Orang Asli, Bumiputera Sarawak mahupun Anak Negeri Sabah menunjukkan lonjakan yang membanggakan. Ini kenyataan yang tidak dapat dimungkiri. Apa yang dikhuatiri, hanya tentang pelaksanaan dari segi keusahawanan, perniagaan dan perdagangan.
  1. Ada kritikan keras terhadap beberapa keterlanjuran. Sementara menggagaskan perubahan yang memberi peluang kepada pengusaha dan pedagang, ada kecaman yang agak kuat bahawa sering kali ia memberi manfaat kepada kelompok kecil, segelintir yang memunggah kekayaan atas nama Bumiputera dan meminggirkan majoriti.
  1. Saya maklum persiapan kongres ini telah dibuat sejak beberapa bulan lalu, dipengerusikan oleh Dato’ Seri Zahid sendiri, dan sekretariatnya saudara YB Tuan Mohd Rafizi bin Ramli, dibantu oleh saudara YBhg. Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi bin Dato’ Dusuki dengan kumpulan-kumpulan sarjana, ketua setiausaha, penjawat awam dan peniaga.
  1. Ada kekuatan, ada usul baharu, ada kelemahan-kelemahan yang tidak mahu kita ulangi dan pertahankan. Ada agensi-agensi yang diamanahkan tetapi curang. Ada dana saham berpuluh bilion, namun disakau dan tidak memberi manfaat kepada Bumiputera. Ada projek- projek atas nama Bumiputera, tetapi tidak menepati maksud kerana diserahkan kepada bukan Bumiputera.
  1. Sebagai Kerajaan, sebagai Negara, tidak ada masalah kalau projek itu projek untuk rakyat atau Negara yang boleh dimanfaatkan oleh Bumiputera, Cina dan India. Tetapi sekiranya projek ini khusus untuk Bumiputera, adalah salah dan pengkhianatan kalau tidak dipertahankan kepentingan Bumiputera keseluruhannya.
  1. Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala:

innal laaha laa yughaiyiru maa biqawmin hattaa yughaiyiroo maa bianfusihim

 

Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri (Surah Ar Ra’d: 11).

  1. Kita sedar tentang lonjakan semangat dan perubahan yang harus bermula daripada masyarakat itu sendiri, dengan iktikad mereka, nilai akhlak yang luhur dan kesungguhan melakukan islah atau perubahan. Saya lebih cenderung dengan istilah reformasi. Dato’ Seri Dr. Zahid lebih senang dengan transformasi. Tetapi kita boleh gabungkan kedua-duanya, asalkan ada Islah Mastata’tu, iaitu melakukan perubahan sedaya upaya kita.
  1. Dalam negara MADANI ini, kita bermula dengan perkara asas, iaitu memperkasakan rakyat. Rakyat itu bukan segelintir elit, penguasa atau pun elit bandar atau elit desa. Rakyat itu mestilah majoriti terutama yang terpinggir, sama ada di Sabah atau Sarawak, Kelantan atau di pinggir-pinggir bandar Kuala Lumpur. Kita sentiasa ingat gesaan leluhur bangsa termasuk pemikir Melayu Za’aba, jangan kita terus mengizinkan kemiskinan merata. Miskin pada wang ringgit dan harta benda, miskin pada hemat dan cita-cita, miskin pada pelajaran dan latihan pengetahuan dan miskin perangai yang mulia. Pemikir bangsa memberikan natijah kemiskinan yang sangat luas.
  1. Oleh kerana itu, dalam merangka dasar, kita harus menerima beberapa kenyataan. Saya ingin mengemukakan dengan terang apabila berbicara tentang Kongres Ekonomi Bumiputera. Ada yang bimbang dan kita takut, kita mengulangi beberapa kesilapan untuk memenuhi tembolok golongan kecil. Kita harus pastikan ia tidak berlaku.
  1. Ada kalangan sebahagian kecil bukan Bumiputera yang berasa bimbang dan sinis, mengapa dasar membantu Bumiputera dan kongres Bumiputera diteruskan. Mereka tidak lihat kenyataan bahawa jumlah besar Bumiputera di Semenanjung, Sabah dan Sarawak masih dalam kategori miskin. Mereka lupa bahawa peluang perniagaan usahawan besar masih terbantut bagi Bumiputera.
  1. Oleh itu saya ingin menyeru supaya pendekatan kita ini ubah, dengan maksud untuk tidak meminggirkan sesiapa. Malah, saya ingin jelaskan di sini beberapa kenyataan. Tahun 2023, bantuan kebajikan masyarakat yang diperuntukkan sebanyak RM2.4 bilion setahun telah memanfaatkan golongan rentan tanpa mengira kaum. Penerimanya merangkumi hampir 70 peratus Bumiputera, 15 peratus Cina dan 19 peratus India. Jadi, andaian bahawa semua projek ini hanya memberi manfaat kepada Bumiputera adalah meleset.
  1. Program SARA yang melibatkan 700 ribu penerima miskin, memanfaatkan semua kaum dengan agihan yang sama, tidak ada pilih kasih, tidak ada diskriminasi, kategorinya miskin dan diberikan kepada semua. Sumbangan Tunai Rahmah (STR), peruntukannya RM10 bilion dan penerimanya lebih 8 juta orang yang manfaatnya kepada 5.7 juta Bumiputera, 1.6 juta Cina dan 700 ribu kaum India. Saya tekankan hal ini untuk menolak tanggapan bahawa beberapa dasar kita, apabila membicarakan soal kemiskinan, kemiskinan tegar itu seolah-olah memberi manfaat kepada sesuatu kaum sahaja. Tetapi dasarnya harus telus, menilai berdasarkan kelayakan masing-masing.
  1. Dalam konteks pendidikan, Kerajaan MADANI melaksanakan penyelenggaraan dan baik pulih tandas sekolah, telah bersikap terangkum bagi memastikan semua sekolah dibantu, termasuk Sekolah Kebangsaan, Sekolah Cina, Sekolah Tamil dan Sekolah Agama. Pengantaraan ini sekadar menolak tanggapan apa yang dibicarakan oleh kita hari ini seolah-olah meneruskan satu kesinambungan hal-hal yang tidak akan menguntungkan negara.
  1. Saya tekankan bahawa kenyataan hari ini tidak membanggakan. Kesenjangan antara golongan kaya Melayu Bumiputera dengan yang miskin itu kian melebar ketimbang tahun 1971. Kesenjangan di antara kaum Melayu, Cina dan India juga terus melebar. Bagi memastikan negara lebih mampan, aman dan terjamin serta terpelihara untuk semua kaum, hal ini harus ditangani dan cuba dikurangkan kesenjangan tersebut.
  1. Bila kita bicara tentang Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang merupakan antara strategi utama dalam ekonomi MADANI, tentunya peruntukan besar diluluskan, dan kebetulan faedah yang terbesar adalah kepada golongan atau masyarakat Cina. Tapi kita tidak lihat ini sebagai program masyarakat Cina atau masyarakat India. Program ini penting bagi negara. PMKS itu harus dibantu, diangkat keupayaan mereka walaupun secara kebetulan faedah terbesar diterima oleh syarikat-syarikat Cina.
  1. Maka, saya minta rakan-rakan saya dalam kalangan Melayu, Cina, India, Bumiputera Sabah dan Sarawak melihat dalam konteks ini. Bahawa negara kita, jika mahu maju dan mampan serta terangkat martabat keupayaannya, kita harus berani mengambil beberapa tindakan sama ada faedahnya langsung kepada Bumiputera ataupun memberi manfaat kepada Cina atau India. Kita akan lakukan sebaiknya supaya Malaysia hebat dan terkenal semula.
  1. Kali ini dalam sidang kongres, peranan GLC, GLIC, PETRONAS lebih ketara, kerana sudah sampai ke tahap di mana mereka juga harus mengambil alih tanggungjawab yang dahulunya digalas oleh jentera Kerajaan. Saya mengucapkan terima kasih dan mengharapkan sesuatu yang lebih jelas supaya agenda negara, iaitu memartabatkan rakyat dan negara, memacu pertumbuhan yang segar dan menjamin keselesaan hidup Bumiputera dengan peluang tambahan, juga menjadi agenda jelas bagi semua GLC dan GLIC, tanpa terkecuali.

  1. Maka Kongres Ekonomi Bumiputera tahun ini adalah selaras dengan matlamat Ekonomi MADANI. Tentunya pemacuan pertumbuhan dan mengambil kira beberapa pendekatan baharu, seperti peralihan tenaga, menangani pemasalahan sekuriti makanan dan juga transformasi digital. Jadi persaingan dan tumpuan mestilah juga ke arah bidang-bidang baharu yang sebelumnya tidak menjadi fokus dalam agenda Bumiputera.
  1. Oleh sebab itu, setelah berbincang dengan rakan-rakan dan mendukung aspirasi yang diutarakan oleh semua lapisan, mengambil kira pandangan yang berulang kali kita bincang dalam Jemaah Menteri yang dihadiri oleh Menteri-Menteri Bumiputera, Cina dan India, melihat beberapa usul dikemukakan oleh kementerian- kementerian dan juga kumpulan-kumpulan yang diketuai oleh tokoh-tokoh akademik dan sarjana, kita rumuskan beberapa agenda tindakan dengan beberapa penegasan jelas dalam agenda pertumbuhan ekonomi Bumiputera. Ini yang kita katakan mengisbatkan, iaitu mengukuh keyakinan. Kalau pujangga Hamzah Fansuri, bila dikata kehadiran Islam itu, mercu tandanya “mengisbatkan Allah, menafikan patung.”
  1. Dalam isbat Kongres Ekonomi Bumiputera ini, Isbat Pertama, memperkukuh pasak ekonomi negara, sama ada daya saing, penskalaan, pemilikan ekuiti, bakat, dan peningkatan pendapatan. Jadi dengan cara yang sedemikian kita dapat tingkatkan taraf sosioekonomi ke landasan yang lebih baik.
  1. Isbat Kedua, memperkukuh kerukunan tatakelola dan institusi. Ini adalah selari dengan falsafah Bumiputera. Usaha memperkukuh penyampaian perkhidmatan dan peningkatan penyertaan syarikat swasta, GLC, GLIC dan SOE perlu diberikan tumpuan khusus.
  1. Kita tidak boleh bicara integriti dan ketelusan, dan pertanggungjawaban kepada kalangan lain sekiranya kita lihat agensi kita sendiri dalam keadaan yang berkecamuk, yang terpaksa balik kepada Kementerian Kewangan untuk ditampung kerugian berbilion ringgit kerana kecurangan dan kecuaian pengurusan. Kalau tanya saya, seperti mana yang saya sebut dalam membicarakan institusi zakat, pengurusan zakat itu patut nombor satu dalam menentukan kaedah integriti pengurusan yang paling cekap.
  1. Dalam nada yang sama, saya ingin tekankan tentang agensi-agensi Bumiputera. Berapa puluh bilion saham dalam penyenaraian yang diagihkan. Berapa puluh bilion ringgit, dibelanjakan untuk menampung keperluan agensi-agensi Bumiputera. Sebahagiannya sampai kepada kumpulan sasar, sebahagiannya hilang lesap entah ke mana.

Saudara-saudara,

  1. Saya mohon kerjasama saudara untuk pastikan bahawa kita tidak boleh lagi bertolak ansur dengan kecurangan dan pengkhianatan sedemikian. Ia memerlukan ketangkasan pimpinan dalam semua GLC dan GLIC. Saya tidak ada masalah sama ada pengurus itu adalah profesional, teknokrat malah orang politik sendiri tetapi yang tidak boleh kita izinkan adalah segala bentuk kecurangan apa lagi atas nama Bumiputera.
  1. Isbat Ketiga, menegakkan keadilan sosial. Ini menyokong anjakan mobiliti sosial, meningkatkan kesaksamaan peluang dan memperluas jaringan perlindungan sosial. Antara bidang yang memerlukan penelitian khusus merangkumi ekosistem pendidikan, perkhidmatan kesihatan, perumahan dan akses kepada infrastruktur asas yang berkualiti. Ini termasuk untuk Orang Asli serta keseimbangan pembangunan di negeri Sabah dan Sarawak yang dibangkitkan oleh kedua-dua pemimpin Sarawak dan Sabah. Seperti saudara sedar, julung-julung kali kita beri penghormatan khas kepada pimpinan Sabah dan Sarawak supaya usaha dan agenda nasional ini benar-benar memenuhi hasrat, cita rasa dan aspirasi semua rakyat di negara ini.

Saudara-saudara,

  1. Saya memanfaatkan waktu ini untuk mengumumkan beberapa keputusan penting kerajaan, setelah merenung dan memikirkan usul-usul dan mengakui kelemahan corak pelaksanaan sebelumnya. Kelemahan terbesar dalam agenda Bumiputera adalah generasi baharu usahawan Bumiputera. Ada teguran yang saya dengar sepanjang semalam dan hari ini yang harus kita ambil kira.
  1. Pertama, saya mahu mempertanggungjawabkan kepada GLIC dan GLC satu dana besar khusus bagi pembinaan dan penzahiran generasi usahawan Bumiputera berjumlah RM1 bilion, diluluskan. Kita mesti mampu mencipta lebih banyak usahawan Bumiputera seperti Aerodyne yang berjaya menembusi pasaran global dalam perkhidmatan dron. Kita harus berbangga dengan kejayaan Les’ Copaque dan Animonsta yang mengungguli industri karya kreatif. Begitu juga usahawan muda yang ramai. Sebaik sahaja mereka ada petanda keupayaan untuk maju, kita harus berikan segala dukungan seperti mana yang disaksikan berdasarkan kelebihan teknologi digital baharu untuk berniaga seperti saudara Khairul Aming baru-baru ini.
  1. Kedua, masalah tanah rizab Melayu yang berulang kali disuarakan termasuk dalam laporan kongres hari ini harus dimanfaatkan dan dibangunkan. Kita memutuskan supaya Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) diamanahkan untuk menerajui dan memacu pembangunan komersil di tanah-tanah rizab Melayu. Ini termasuk Pelaburan Hartanah Berhad yang telah membangunkan Hospital Pakar KPJ di tanah rizab Melayu di Sungai Penchala. Ini satu contoh yang baik dan kita akan teruskan segera melalui Skim Perumahan MADANI di tanah rizab Melayu dengan sasaran untuk membangunkan 2,500 unit rumah mampu milik dalam kadar segera.

Saudara-saudara,

  1. Kita sedar bahawa Kerajaan telah mengambil alih Bandar Malaysia di tengah kota Kuala Lumpur. Saya telah memutuskan supaya sebahagian daripada tanah Bandar Malaysia, iaitu 50 ekar kekal dimiliki oleh orang Melayu sebagai tanah rizab Melayu. Maknanya di pusat bandar yang strategik, kita tetapkan kawasan milik Melayu dengan maksud dalam tempoh satu tahun jumlah ini, dan di kawasan-kawasan strategik bandar dan pembangunan baharu, ditambah menjadi 200 ekar tanah Kerajaan yang dijadikan milik tanah rizab Melayu.
  1. Ketiga, ini tajuk yang sangat dekat dengan hati Saudara YAB Zahid Hamidi, TPM, iaitu soal TVET. Beliau telah menjayakan melaksanakan kolaborasi antara institusi TVET tempatan dengan lebih 200 pemain industri. Saya tekankan peranan swasta kerana sementara kita tumpukan peranan ini bagi syarikat-syarikat milik Kerajaan dan Bumiputera dan dengan kehadiran wakil Dewan Perniagaan Cina dan India bersama, dan langkah-langkah yang kita ambil seperti PMKS untuk sama-sama turut menjana pertumbuhan dan membantu syarikat-syarikat Cina dan India.
  1. Sebagai tambahan kepada usaha murni tersebut, saya inginkan satu program yang jelas supaya GLIC, GLC, syarikat-syarikat swasta Bumiputera dan syarikat-syarikat swasta Cina dan India terlibat dalam latihan pelatih TVET yang sejumlah besarnya Bumiputera.
  1. Dalam jangka pendek, kita mahu sumbangan dan penyertaan syarikat-syarikat ini termasuk syarikat-syarikat di bawah gabungan Dewan Perniagaan Cina dan India turut melatih 100,000 pelatih TVET majoriti Bumiputera bersama Cina dan India, dengan sasaran gaji lebih daripada yang diperoleh sekarang, minima RM3,000 sebulan. Setakat ini yang terlibat secara aktif adalah PETRONAS, Sime Darby, MRCB, TNB dan Telekom Malaysia. Kita anggap ini permulaan kecil yang harus diperluaskan. Anak-anak kita terutama daripada keluarga peneroka FELDA harus diberi peluang dan keadilan dan jangan dibiarkan tersisih dan terpinggir. Dalam kata terpinggir ini kadang-kadang orang membicarakan soal persaingan yang adil, berdasarkan merit seperti mana dibicarakan sekarang dalam wacana yang tidak berkesudahan.

Saudara-saudara,

  1. Kita harus memilih yang paling baik, anak muda yang paling pintar, lulusan sekolah yang paling cekap, tetapi kita juga harus tahu bahawa persaingan itu harus adil. Selalu saya tekankan pandangan John Rawls, apa itu justice? Justice is about fairness. Kita suruh sekolah di Lawas bersaing dengan sekolah terbaik di Kuala Lumpur dengan Charok Kudong, Kedah dan itu dipanggil pilihan berdasarkan merit. Apa yang berlaku adalah gross injustice. Ini yang ditekankan oleh karya Michael J Sandel tentang Tyranny of Merits. Saya tekankan ini kerana bila kita bicara soal Bumiputera, mana meritokrasi. Negara ini tidak boleh berkembang kalau tidak ada meritokrasi, yang terbaik harus diberi peluang tetapi yang termiskin dan terpinggir juga harus diberi peluang. Jadi ada perimbangan dan keseimbangan di sini. Kalau tidak, wacana kita hanyalah sebegitu rupa, tidak memikirkan yang paling sukar. Ini kebijaksanaan dalam apa yang dibicarakan tentang affirmative action.
  1. Sebab itu bagi saya, bila kita akan tamatkan? Kita akan tamat kalau benar hilangnya, terbatalnya atau selesainya masalah kemiskinan tegar dan peminggiran rakyat, barulah kita boleh selesaikan atau hentikan affirmative action. Kalau orang tanya saya, Anwar bila nak hentikan dasar-dasar yang dianggap dalam istilah barat itu diskriminasi kaum. Saya sebut affimative action ini pertamanya, tidak kira sangat isu kaum, tetapi lebih melihat kepada golongan rentan dan golongan yang terkesan. Kalau masih ada kesenjangan begitu rupa, kemiskinan yang ketara, melebarnya kesenjangan, selagi itulah dasar affirmative action mesti diteruskan.
  1. Sekiranya rakyat daripada kalangan masyarakat Bumiputera, Cina dan India mahu selesaikan, mari kita selesaikan bersama. Kalau dikatakan diskriminatif, saya telah baca awal tadi tentang angka-angka dan data – SARA dan STR yang menunjukkan bagaimana kita tidak memilih untuk mengikut kaum, tetapi cuba menangani masalah mengikut keperluan.

Saudara-saudara,

  1. Keempat, kita bicarakan soal wakaf yang banyak disentuh dan disinggung oleh kumpulan-kumpulan. Saya sukacita memaklumkan bahawa anak-anak kita dari Persatuan Alumni MARA dan pimpinan MARA sendiri telah menggesa supaya ada rencana wakaf yang bukan sahaja memerlukan huluran dana Kerajaan tetapi mengajak rakyat yang dulunya daripada kelompok paling miskin dan diberi peluang dan berlakunya mobiliti sosial, terangkat kedudukan mereka sebagai profesional dan peniaga, ratusan ribu malah mencecah satu juta lebih, anak-anak yang mendapat peluang pendidikan di kolej-kolej MARA termasuk di UiTM, maka dengan ini, saya umumkan penubuhan Wakaf MARA MADANI.
  1. Geran peluncuran RM100 juta dengan maksud dalam tempoh 2 tahun terkumpul minima RM1 bilion. Wajar saya maklumkan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong terkesan dengan usul ini dan bersetuju untuk menjadi penaung Wakaf MARA MADANI. Seperti mana potongan cukai bagi wakaf berasaskan saham, seperti ASNB dan juga Waqaf An-Nur di bawah JCorp, kita bersetuju untuk melanjutkan potongan cukai untuk maksud tersebut.

Saudara-saudara,

  1. Bagi memanfaatkan tanah-tanah wakaf terbiar, Belanjawan MADANI 2024 telah menyediakan dana pembiayaan berjumlah RM500 juta sebagai galakan untuk membangunkan tanah-tanah wakaf agar dapat menjana pendapatan mampan dan menyediakan rumah mampu milik.
  1. Kelima, ini masalah vendor tempatan dan syarikat-syarikat kecil yang tidak diberi perhatian dan ada teguran disampaikan oleh salah seorang penceramah tentang bagaimana kita, Kerajaan serta jabatan dan agensi Kerajaan apabila menetapkan apa-apa yang hendak dibeli langsung tidak mengambil kira sama ada industri tempatan atau industri asing, industri Bumiputera atau industri luar negara.
  1. Dengan ini, saya ingin mengarahkan bahawa semua hadiah dan sagu hati, termasuk untuk sambutan Malaysia sebagai Pengerusi Persidangan ASEAN pada tahun 2025 dengan puluhan ribu pembesar-pembesar dari luar negara yang akan datang dan mencecah lebih seribu mesyuarat, mesti berdasarkan kraftangan dan industri tempatan. Kita telah tentukan bahawa jangan ada negeri yang terbiar dan tertinggal. Maknanya, mesti dikenal pasti beberapa produk dari Sarawak dan Sabah, Johor, Selangor, Kelantan dan Terengganu supaya mereka dapat bersama-sama menjayakan program ini.
  1. Untuk maksud ini, Kerajaan akan menambah baik insentif cukai, serta menyediakan tabung geran padanan sebanyak RM100 juta bagi menggalakkan lebih banyak syarikat kecil berfungsi. Saya sebut hal ini kerana syarikat kecil tersebut, kadang-kadang merasa mereka terbiar dan tersisih daripada arus perdana dan tumpuan kongres seperti ini.

Saudara saudara,

  1. Kita juga hadapi masalah dalam kalangan rakyat, termasuk apa yang dikatakan golongan muda yang terlibat dalam ekonomi gig. Saya setuju semua gesaan supaya mewujudkan Suruhanjaya Pekerja Gig bagi melindungi hak pekerja gig yang kini mencecah 1.12 juta orang, terutamanya golongan muda. Kita harus memberi keutamaan dalam menubuhkan suruhanjaya ini bagi menyediakan keperluan perlindungan sosial, pertikaian kontrak dan kemajuan kerjaya. Langkah ini diambil kerana majoriti besar belia Bumiputera terlibat dalam ekonomi gig. Namun, sebagai pekerja tidak formal, mereka tidak mempunyai perlindungan perundangan pekerjaan serta sistem perlindungan sosial.

Saudara-saudara,

  1. Akhir sekali, Kerajaan bersedia untuk meningkatkan akses kemudahan pembiayaan kredit mikro kepada golongan yang memerlukan. Dana pembiayaan kredit mikro Bumiputera sebanyak RM1 bilion disediakan melalui institusi kewangan pembangunan, seperti BSN, Agrobank dan Tekun Nasional, kepada pelbagai segmen usahawan Bumiputera dengan memberi penekanan kepada wanita, belia dan veteran tentera.
  1. Ramai yang bertanya, pengumuman-pengumuman sedemikian kadang-kadang lunak bunyinya dan ada yang mungkin terpukau tetapi bagi yang lebih kritis akan bertanya whats next? Apakah ia hanya tinggal pengumuman? Sebab itu saya setuju supaya Majlis Ekonomi Bumiputera yang saya pengerusikan akan terus memantau perjalanan dan pelaksanaan sama ada melalui kementerian atau jabatan kerajaan atau GLIC dan GLC dan syarikat-syarikat swasta supaya apa yang saya umumkan tadi dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan.
  1. Saya juga setuju supaya Jawatankuasa Pelaksana Kerja dipengerusikan oleh Dato’ Seri Dr. Zahid Hamidi, TPM yang akan membantu saya dalam memastikan program ini terlaksana dengan baik. Sekretariat, seperti mana yang telah diputuskan, di Kementerian Ekonomi di bawah saudara YB Tuan Mohd Rafizi bin Ramli akan menentukan supaya pemantauan itu jauh lebih berkesan dan terhala. Dengan cara ini, maknanya saya lepaskan beban saya, bukan satu orang, kita dah lepaskan kepada ramai orang.
  1. Jadi kalau saudara nak tanya, tanya menteri-menteri ini dahulu dan TPM sebelum sampai kepada saya. Jadi saudara, untuk Wakaf MARA MADANI yang saya sebutkan tadi, sekretariatnya harus kekal di ibu pejabat MARA, Kuala Lumpur.

Saudara yang dihormati sekalian,

  1. Saya harap usaha susulan ini akan jauh lebih bermakna. Saya juga berharap pendekatan lebih inklusif yang memerlukan penyertaan seluruh negara dan melibatkan seluruh rakyat Bumiputera dan bukan Bumiputera, bukan sahaja akan memberi manfaat langsung kepada negara dan Bumiputera, tetapi juga akan mengambil kira keperluan rakyat minoriti lain terutama masyarakat India dalam negara kita.
  1. Sehubungan itu, saya berharap dengan cara yang sedemikian, kita dapat bersama mengangkat Malaysia sebagai satu negara yang maju dan mempunyai kekuatan, barulah menjadi negara hebat di rantau ini.

Terima Kasih dan Assalamualaikum Waramatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.