TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PERASMIAN SEMINAR ANTARABANGSA IMAM AS-SYAFI’I

 

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

MAJLIS PERASMIAN

SEMINAR ANTARABANGSA IMAM AS-SYAFI’I

 

18 MEI 2023 | 10.00 PAGI

 

BORNEO CONVENTION CENTRE, KUCHING

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Alhamdulillah, alladzi arsala rosulahu bil huda

Wa dinil haq. Liyuzhhirohu ‘alad dini kullihi.

Wa kafa billahi syahida. Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem,

Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.

 

YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg,

Premier Sarawak;

 

Datuk Amar Haji Awang Tengah bin Ali Hasan,

Timbalan Premier Sarawak;

 

YB Dato Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah,

Menteri Bertanggungjawab merangkap Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan / Menteri Belia Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak;

 

YB Datuk Snowdan Lawan,

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan  Sarawak;

 

YBhg Datu Haji Kipli Bin Haji Yassin,

Mufti Sarawak;

 

Sahibus Samahah, Mufti-mufti;

 

Dif-dif kehormat; dan

 

Saudara-saudari yang dihormati sekalian.

 

  1. Marilah kita memanjatkan setinggi-tinggi syukur kepada Allah SWT kerana dapat bersama-sama pada hari ini. Saya mengucapkan sekali lagi jazakallah khairan kepada Premier Abang Jo dan jazakumullah khairan kepada semua terutama yang telah bertungkus-lumus menganjurkan seminar yang amat bermakna ini.

 

  1. Ini yang menyebabkan saya selalu mencungkil pengalaman negeri Sarawak. Sarawak seperti mana saya sebut dalam Konvensyen baru-baru ini di Kuala Lumpur, telah mendepani beberapa hal pembangunan seperti ekonomi, teknologi digital dan teknologi hijau. Pada hari ini kita menyaksikan kesediaan pimpinan negeri Sarawak untuk menekankan satu aspek yang sangat penting dalam negara MADANI. Negeri itu harus makmur, harus berkembang maju tetapi mesti berakar kepada keyakinan, mesti meletakkan soal nilai dan akhlak sebagai paksinya.

 

  1. Apabila kita dengar sebentar tadi ucapan mufti dan juga Premier Abang Jo, mereka mengulangi prinsip kesederhanaan, wasatiyyah yang tentunya berdasarkan kefahaman dan ilmu. Terdapat beberapa aspek dan saya ingin tekankan mengenai hal kesederhanaan dan ilmu. Tentunya apabila disebut wasatiyyah itu adalah berteraskan Al-Quran. Wa kazaalika ja’alnaakum ummatan wasatal litakoonoo shuhadaaa ‘alannaasi wayakoonar Rasoolu ‘alaikum

 

  1. Umat yang seimbang, sederhana itu adalah umat yang mampu maintain and equilibrium. Sederhana itu mungkin kerana adanya keyakinan akidah, kerana adanya ilmu, kebijaksanaan dan hikmah. Wasatiyyah itu bererti kita dapat menekankan kepentingan duniawi dan ukhrawi, iman dan ilmu, akal dan kalbu, material and spiritual dan man and nature.

 

  1. Kalau disebut wasatiyyah itu mengikut kupasan Almarhum Al-Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi di antara lain menyatakan bahawa selain daripada menekankan tentang iman dan ilmu, dunia without qowiy, material and spiritual, juga tentang man and nature, maknanya kita harus mempertahankan equilibrium itu dalam seluruh nilai dan kehidupan kita.

 

  1. Dalam kefahaman kita yang lebih mendalam, kita dapat mengetahui bahawa dalam dunia ini dengan apa yang diciptakan Allah SWT adalah tanggungjawab kita bersama, sama ada kepada keluarga kita, kepada Muslim, kepada manusia keseluruhannya, kepada yang bukan Muslim, kepada haiwan, kepada tumbuh-tumbuhan dan kepada bumi yang kita pijak. Itu sebabnya terdapat keseimbangan atau wasatiyyah dan antara man and nature. Tidak boleh ada kemusnahan sewenang-wenangnya dan tidak harus ada keangkuhan untuk bertapak di bumi ini dan menganggap ia adalah kepunyaan kita, bukan amanah dari Allah SWT.

 

  1. Apabila saya menyebut tentang hubungan kesederhanaan dengan kemanusiaan, ia tidak terlepas dengan semangat atau prinsip Lita’arafu. Allah SWT menjadikan kita pelbagai jantina, pelbagai kaum, pelbagai budaya bukan untuk bermusuh. Prinsip Al-Quran itu mengatasi doktrin, ideologi, kefahaman yang sempit kerana lita’arafu itu mengiktiraf tentang wujudnya kepelbagaian dan kemajmukan.

 

  1. Untuk apa? untuk mengenali dan saling menghormati. Lita’arafu itu bukan sahaja toleransi tetapi untuk arif atau tahu. Apabila kita tahu, kita akan kenal dan kita hormat. Perbezaan kepelbagaian ini ditekankan oleh Premier Abang Jo dan terima kasih kerana menjadi tonggak di Sarawak yang kita harap akan lebih kukuh di negara MADANI Malaysia.

 

 

  1. Hari ini, sementara kita berbicara tentang 60 tahun Merdeka bersama Malaysia dan menekankan soal pertumbuhan ekonomi, kita memuliakan seorang tokoh agung, Almarhum Al Imam Shafi’i. Seorang imam besar dalam sejarah umat manusia bukan sahaja di kalangan ahli Sunnah Wal Jamaah dan penganut Mazhab Syafii tetapi umumnya dalam sejarah umat manusia. Kerana kekuatan beliau dalam penguasaan Al-Quran, hadis dan sunnah Rasulullah SAW.

 

  1. Saya bukan pakar seperti mufti dan ahli ulama tetapi izinkan saya untuk mengupas sedikit. Saya tidak berani sangat menyentuh tajuk ini. Baik, apa keistimewaannya? Kalau ditanyakan kepada saya setelah membaca kupasan Almarhum Al Imam Shafi’i, tidak semuanya tetapi saya membaca risalah kerana ada terjemahan yang sangat baik dalam Bahasa Inggeris.

 

  1. Kekuatannya adalah keupayaan meneroka alam pemikiran baharu yang disebut oleh Sahibus Samahah Waqia – realiti masyarakat setempat tetapi berakar kepada Al-Quran dan Sunnah. Sebab itu apabila orang membicarakan yang kita menolak taklid dan membawa ijtihad, dikatakan kita mahu menjadi mujahid. Namun, ada prinsip-prinsip yang tidak boleh kita tinggalkan. Bukan semua orang mampu berijtihad kerana terdapat prinsip-prinsip yang ketat yang harus dipatuhi.

 

  1. Jadi sebab itu dalam pengajaran ilmu agama di kalangan masyarakat kita, kadang-kadang mudah untuk kita menganjur anak muda yang kita harus berijtihad, itu benar ya tetapi kita ketepikan prinsip ijtihad, jadinya ijtihad kita jadi lintang pukang. Kita dapat lihat mujtahid menolak beberapa taklid oleh Al Imam Shafi’i.

 

  1. Ini kerana kekuatan dan penguasaan beliau tentang ilmu Islam yang sangat mendalam. Sebab itu disebut tadi qaul qadim di Iraq, qaul jadid di Mesir. Walaupun suasana persekitaran berbeza tetapi tidak pernah bertentangan dengan prinsip Al-Quran Al-Karim dan Sunnah Rasulullah SAW.

 

  1. Penerokaan dalam pemikiran baharu ini adalah cabaran sehingga sekarang. Saya masih ingat semasa saya menjadi Menteri Kewangan dahulu, Suruhanjaya Sekuriti telah mengundang Almarhum Al-Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi untuk memberi pandangan. Pada masa itu, terdapat beberapa bidang baharu yang ingin diterokai umpamanya Futures Trading. Apabila ditanya, saya memberitahu yang saya tidak berani hendak mengatakan ya atau tidak kerana pada masa itu belum ada satu badan penasihat syariah dalam sistem kewangan Islam.

 

  1. Jadi saya mengatakan lebih baik kita memanggil tokoh alim dan berbincang dengan beberapa mufti dan ulama yang sesuai. Jadi pabila Almarhum Al-Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi sampai, beliau memberitahu saya jangan dahulu. Hari pertama beliau mahu dengar sepenuhnya pandangan daripada Suruhanjaya Sekuriti dan pada hari kedua baru dia mula memberi sedikit sebanyak ulasan. Ini bermakna di kalangan para ulama juga terpaksa mendepani beberapa aspek teknologi digital, soal futures trading yang saya sebut tadi, soal beberapa instrumen baharu kewangan yang diperkenalkan.

 

  1. Justeru, kita harus mendepani perkara ini dan tidak mudah untuk kita ketepikan. Yang diperlukan adalah penguasaan ilmu asas dari Islam dan juga dari ilmu-ilmu baharu. Inilah yang disebut penerokaan ke alam pemikiran baharu tetapi berteraskan kepada kefahaman.

 

  1. Baru-baru ini, saya telah meluncurkan semula Yayasan Karyawan di Dewan Bahasa dan Pustaka. Yayasan yang pernah saya bangunkan puluhan tahun dahulu kerana tujuannya seperti mana yang dibuat oleh inisiatif Kerajaan Sarawak dan Pejabat Mufti adalah menggali khazanah lama. Kita mempunyai cendekiawan-cendekiawan baharu dan semuanya memberikan keupayaan meneroka pemikiran baharu tetapi tidak berakar kepada khazanah yang besar yang pernah kita lahirkan dan hasilkan.

 

  1. Dalam Yayasan karyawan ini, kita meminta supaya pertama, hasilkan karya-karya lama tempatan seperti mana dilakukan di sini, karya-karya dari Sheikh Othman Sarawak. Beliau merupakan seorang ulama besar yang diiktiraf termasuk oleh Buya HAMKA sendiri sebagai guru dan juga Haji Abdul Karim Amrullah bapa kepada Buya HAMKA.

 

  1. Jika Buya HAMKA, seorang ulama besar di rantau ini boleh mengiktiraf seorang ulama silam daripada Sarawak, adalah sangat memalukan jika cendekiawan Sarawak sendiri tidak kenal siapa tokoh besar ini. Ini yang saya sebutkan tentang keperluan menggali khazanah dan kemudian tentunya mengupas karya besar.

 

  1. Hari ini kita membicarakan soal Almarhum Al Imam Shafi’i. Saudara semua tahu dalam dunia pemikiran ilmu di barat, terdapat buku yang bertajuk Great Books of the Western World yang disunting oleh Mortimer Adler. Ada juga buku yang bertajuk the Great Western Canon oleh Harold Blook. Sebagai seorang sarjana barat, beliau mempunyai rangkaian khazanah yang harus dikuasai atau kebanyakannya dikuasai.

 

  1. Tetapi dalam dunia Melayu atau dunia Islam ini tidak ketara. Oleh sebab itu, saya meminta supaya karyawan menggali semula karya termasuk karya Melayu seperti Hikayat Hang Tuah atau Tuhfat Al-Nafis oleh Raja Haji Ahmad dan Raja Ali Haji. Termasuk khazanah ilmu Sheikh Othman Sarawak dan Syeikh Daud Abdullah Al-Fathani, ulama yang besar.

 

  1. Ini semua adalah pendukung Mazhab Shafi’i. Syeikh Daud Abdullah Al-Fathani ialah seorang yang berpegang kuat kepada Mazhab Syafi’i walaupun memberikan sedikit ruang kerana menulis di rantau Melayu, Pattani, Tanah Melayu dan Indonesia. Pernah di beberapa tempat lain saya mengupas, Mufti Datuk Prof. Madya Dr. Luqman bin Haji Abdullah pernah mendengar kupasan saya sebelum ini. Yang menariknya daripada Almarhum Al Imam Shafi’ umpamanya – penafsiran dari pengajaran tentang solat.

 

  1. Kupasan kitab beliau iaitu Munyatul Musalli yang banyak dibaca di madrasah dan pesantren-pesantren. Saya menyebut buku ini kerana saya bernasib baik diberi peluang membaca semasa beristirahat di Sungai Buloh. Yang menarik bagi saya dalam buku Munyatul Musalli itu terdapat dua (2) aspek.

 

  1. Yang pertama, karya itu lama dan besar. Yang kedua, ia membicarakan tentang semua jenis solat. Jadi semasa saya masih beristirahat itu, saya mengambil kesempatan untuk menguasai semua jenis solat dan membuat apa yang ketinggalan disebabkan kesibukan dunia di luar.

 

  1. Namun, bagi saya sesuatu yang luar biasa itu adalah seorang ulama silam dari Kepulauan Melayu boleh menulis sekitar ratusan tahun yang lalu tentang solat, pelbagai jenis solat mengikut panduan Mazhab Syafi’i. Tetapi pada bab akhir buku itu adalah mengenai “Tatmim Al-Faedah”. Penamatnya itu apa? tentang tatakelola, urus negara, perpaduan dan keadilan, sangat luar biasa ulama ini. Beliau menulis mengenai solat tetapi pengakhirannya itu “Tatmim Al-Faedah”. Bunyi Arab ini betul ke Mufti? Saya macam Premier Abang Jo juga, kami berbahasa Inggeris.

 

  1. Tapi ” Al-Faedah” itu membicarakan soal tatakelola dan perpaduan kaum. Bicaranya Syeikh Daud Abdullah Al-Fathani itu untuk orang Melayu tetapi inilah kekuatan yang saya sebut harus digali. Apakah hubungannya solat dengan tatakelola dan keadilan? Keserasian seperti apabila pimpinan politik dan negeri seperti Premier Abang Jo, Timbalan Premier dan rakan rakan memikirkan soal Sambutan 60 Tahun itu diserasikan tentang kekuatan tunggak, akidah dan islam dengan isu kenegaraan dan pengurusan negara serta tatakelola.

 

  1. Termasuklah satu kisah yang sengaja dimasukkan dalam kitab solat Munyatul Musalli iaitu kisah Khalifah Makmum. Kisahnya adalah pengalaman seorang Makmum dengan seorang Yahudi yang datang menemuinya merayu bahawa dia dizalimi kerana tanahnya dirampas. Namun, dia tidak diberi perhatian kerana Khalifah Makmum itu sibuk tidak sempat melayannya. Dia membicarakan bahawa Khalifah Makmum itu tidak mendengar apa yang dibicarakan.

 

  1. Kali kedua, dia merayu lagi kepada Khalifah Makmum tetapi masih tidak mendengar. Pada kali ketiga, dia menyebut ayat di dalam Kitab Taurat iaitu ‘dijamin prinsip keadilan’, barulah Khalifah Makmum terdiam dan terus mengambil tindakan membantunya. Khalifah Islam dalam negara yang umat Islam majoritinya besar dan tidak pernah meremehkan tuntutan golongan kecil. Itulah kekuatan Islam yang harus diterima oleh negara kita.

 

  1. Jadi berbalik kepada buku Great Books of the Western World tadi, terdapat satu kenyataan daripada Mortimer Adler, seorang ahli intelektual Amerika yang hebat, a scholar, historian and philosopher. Beliau berkata, kelemahan besar dunia barat termasuk di Amerika adalah dari sudut pemikiran dan falsafah. Kegagalan mereka menghubung kait dengan khazanah besar yang diwarisi dari zaman berzaman. Maka itu muncul ilmu dan teknologi baharu dan lain-lain yang penting tetapi telah hilang nilai ihsan, rahmah dan kemanusiaannya.

 

  1. Apakah pengalaman atau pengajaran yang saya dapat daripada ini? Jangan kita ulang. Apakah kemahiran yang saya dapat? Kita memanfaatkan teknologi digital sehingga sehingga teknologi hijau dengan sebaiknnya. Apa kelemahannya? Pemikiran baru dan moden itu tidak ada hubung kaitnya dengan khazanah yang luas dan besar. Alhamdulillah, dengan inisiatif dan ikhtiar untuk menggilap semula pengajaran, pengalaman, pendidikan Almarhum Al-Imam Shafi’i, ini menunjukkan bahawa kita mudah-mudahan insya-Allah dapat kembali ke garisan yang betul.

 

  1. Kita membawa perubahan, membawa teknologi baharu, meningkatkan penguasaan ilmu dan bahasa, menghormati budaya serta perbezaan budaya tetapi sentiasa kekal dengan tunggak khazanah Al Imam Shafi’i. Setelah mendengan kupasan daripada Premier Abang Jo dan Mufti, saya berasa bangga, alhamdulillah dan tidak perlu lagi membaca teks ucapan saya.

 

  1. Kalau bertanya kepada saya apakah rumusan MADANI? MADANI itu tidak terlepas daripada kembali kepada akar keyakinan, tradisi dan budaya kita tetapi sedia berdepan dengan cabaran baharu untuk menjadikan Malaysia ini negara yang maju, mampan dari segi teknologinya tetapi melahirkan manusia yang disebut Karamah Insaniah dan bukanlah melahirkan orang-orang yang meminggirkan khazanah, nilai dan akhlak.

 

  1. Sebab itu dalam teras MADANI, tidak terlepas daripada nilai amanah, ihsan dan rahmah yang saya rasa wajar di rangkul dalam membina negara bangsa yang bermakna. Saya bernasib baik alhamdulillah kerana rakan-rakan, Premier Abang Jo ada di sini dan juga negeri Sarawak bukan sahaja mendukung semangat ini tetapi mendukung idealisme yang kita bawa bersama.

 

  1. Walaupun ianya berbeza iaitu menyokong kepimpinan Kerajaan sebagai sebahagian suatu jalur politik tetapi yang saya rasa terkesan, sebati dengan jiwa dan hati nurani ini ialah kerana saya lihat dalam pimpinan negeri Sarawak, bukan mereka sekadar mendukung dari sudut kesatuan politik, bekerjasama dan perpaduan tetapi juga mereka mendukung hasrat dan idealisme yang mengangkat martabat negeri Sarawak dan Malaysia sebagai negeri yang maju dan makmur.

 

  1. Dengan semangat itu dengan lafaz “Bismillahir Rahmanir Rahim”, saya dengan segala sukacitanya merasmikan Muktamar Antarabangsa Al Imam Shafi’i.

 

Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.