TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PELANCARAN PELAN STRUKTUR KUALA LUMPUR 2040 (PSKL 2040)

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

MAJLIS PELANCARAN

PELAN STRUKTUR KUALA LUMPUR 2040 (PSKL 2040)

9 NOVEMBER 2023 | 11.00 PAGI

 

DEWAN PERDANA MESTIKA, BANDAR TUN RAZAK, KUALA LUMPUR

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Alhamdulillah,

Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem.

 

YB Tuan Ahmad Fahmi Bin Mohamed Fadzil,

Menteri Komunikasi dan Digital;

YBhg. Datuk Seri Sr Haji Kamarulzaman Bin Mat Salleh,

Datuk Bandar Kuala Lumpur;

YBhg. Dato’ Indera Noridah Binti Abdul Rahim,

Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan;

 

Rakan-rakan yang saya muliakan termasuk teman-teman dan Ahli Parlimen yang turut hadir.

  1. Pada hari ini tentunya semua sedia maklum, diadakan peluncuran Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL 2040) yang sedikit tertangguh kerana apabila kita membentuk Kerajaan Baharu, kita meminta supaya ia diubah suai mengikut Kerangka MADANI dan juga pendekatan yang sedikit berlainan daripada pendekatan lama.
  1. Tentunya beberapa pelan dan struktur yang telah dipersetujui dahulu diteruskan tetapi yang dimasukkan adalah beberapa penekanan tambahan. Ini termasuk umpamanya isu merakyatkan mana-mana pelan struktur dari segi perumahan, kehijauan, taman dan apa yang dirangkul sebagai lebih inklusif, selain mengambil kira tentang nilai yang diketengahkan.
  1. Maka, sementara kita memacu pertumbuhan, pembangunan ekonomi dan industri serta sektor perkhidmatan, kita menekankan juga soal keselesaan rakyat selain daripada perumahan dan juga perniagaan kecil rakyat yang kita kaitkan dengan warung atau gerai.
  1. Saya mengucapkan tahniah kepada Datuk Bandar dan seluruh pasukan yang menyelenggarakan kerana telah mengambil kira penyesuaian ini. Saya berasa bangga kerana kesediaan mereka untuk menerima pandangan daripada semua pihak seperti Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Ahli Parlimen, pemimpin politik dan pemimpin masyarakat kerana pandangan mereka ini harus diambil kira sebelum memuktamadkan apa-apa pelan struktur.
  1. Berdasarkan pengalaman, umpamanya tadi, saya mempengerusikan mesyuarat dan mendengar pandangan-pandangan daripada pegawai-pegawai yang berkaitan termasuk dari segi perancangan dan kelulusan. Saya melihat ada kesediaan pegawai yang bekerja bertungkus-lumus untuk memastikan kita melaksanakan pelan struktur ini.
  1. Walau bagaimanapun, pelan ini adalah perancangan. Cabarannya ialah pelaksanaan dan tidak perlu menunggu pelan untuk membuat pelaksanaan. Saya melihat tadi umpamanya bagi projek-projek perumahan baharu, sementara kita memberi ruang kepada orang yang mampu untuk meneruskan projek-projek megah, mewah yang bersamaan dengan keupayaan mereka tetapi perlu ada kesediaan dan tekad dari kalangan pengurusan di bandar raya yang menekankan aspek-aspek yang disebut dalam inti sari PSKL40.
  2. Sementara kita merangka, pelaksanaan itu penting dan saya dapat saksikan sendiri dalam mesyuarat selama 2 jam sebentar tadi bagaimana penekanan-penekanan ini diambil kira.
  1. Cabaran yang kedua adalah kepantasan atau kecepatan meluluskan apabila keputusan dibuat. Benar, kita telah berunding dan teliti tetapi seperti biasa, terdapat masalah sekiranya kita lewat meluluskan dan terdapat satu pandangan yang munasabah bukan sahaja di peringkat Kuala Lumpur tetapi seluruh negara yang disebut ease of doing business – kepantasan atau kecepatan meluluskan setelah mengambil kira semua peraturan yang diteliti, dicerakin sebelum keputusan dibuat.
  1. Pada masa sekarang, kita sudah beralih kepada satu tahap yang lebih meyakinkan. Kita melihat perkara dan kerangka besar ekonomi yang dapat kita capai, baik dari segi pertumbuhan dalam keadaan kekacauan politik dan sosial di era yang disebut Era Pasca Normal dan yang selalu saya sebut chaotic, complex and full of contradictions.
  1. Kekacauan yang kita saksikan di merata dunia dan masalah-masalah ini semakin kompleks kerana adanya penemuan disiplin dan ilmu baharu seperti artificial intelligence, transformasi digital dan beberapa tindakan baharu yang perlu kita tekankan termasuk transisi tenaga yang kita umumkan baru-baru ini. Semua itu harus diambil kira dalam perancangan yang tidak ditekankan seperti mana yang pernah kita lalui dahulu. Seperti yang saya kata the other chaos atau kekacauan, ada complexity kerana pelbagai perubahan yang canggih dan baharu. Ia juga penuh dengan pertentangan atau contradiction yang memerlukan keupayaan kita di Bandar Raya untuk melihat pelan struktur dengan cara yang lebih menyeluruh.
  1. Ianya bukan hanya penyambungan pelan struktur yang lalu. Umpamanya apabila kita meluncurkan Pelan Perindustrian Baharu, bukan hanya sekadar menyambung tetapi mengambil kira tuntutan semasa dan tuntutan zaman dahulu. Perkara yang tidak ditekankan dan tidak diambil kira dalam pelan struktur dahulu misalnya soal tekanan persekitaran, alam sekitar, electric vehicles, dan transisi tenaga tetapi sekarang ditekankan sebagai  faktor tambahan.
  1. Negara malahan di peringkat antarabangsa juga telah memberikan penekanan yang sama. Jadi tahap kecekapan pegawai-pegawai harus ditingkatkan kerana walaupun pelan struktur nampak menarik dan memukau tetapi pelaksanaan tidak menampakkan kelainan daripada dulu. Saya menekankan perkara ini kepada Datuk Bandar dan rakan-rakan serta keluarga bandar raya ini supaya gigih, bersungguh dan tekad dalam memastikan dasar-dasar ini dilaksanakan dengan baik.
  1. Selain itu, saya tekankan sekali lagi mengenai kecepatan kelulusan. Dalam kunjungan saya ke luar negara dan juga kunjungan orang asing dan syarikat asing ke Malaysia, semuanya memuji negara Malaysia kerana politiknya yang stabil, dasar dan ekonominya jelas dan tahap pengurusan jurutera dan profesional itu umumnya dianggap baik. Ini adalah daripada kenyataan Elon Musk, Syarikat Geely daripada China dan Syarikat Infineon daripada Jerman. Apabila saya bertanya kepada mereka, semuanya menjawab dengan penuh keyakinan walaupun ada beberapa kelemahan umpamanya tahap tertinggi kepakaran dan kemahiran kurang.
  1. Disebabkan itu, Syarikat Geely, dalam kerangka untuk mengadakan Industri Automotif Besar di Tanjung malim, mengingatkan tentang adanya keperluan latihan tambahan dari tenaga kejuruteraan dan teknikal yang baik. Jadi saya mencadangkan dan mereka bersetuju untuk peringkat awal ini, menghantar 300 orang jurutera atau lulusan TVET ke China untuk mendapatkan kepakaran tambahan dan seterusnya bertugas di Tanjung Malim.
  1. Infineon, syarikat gergasi daripada Jerman bersetuju untuk menambah pelaburan €5 bilion sekitar RM25 bilion di Malaysia. Yang menariknya dahulu cip mikro itu dikenali di peringkat yang dikatakan Back End tetapi sekarang apabila telah ada anjakan, keyakinan bahawa Malaysia sudah sampai ke peringkat teknologi tinggi, inilah kali pertama pelaburan besar dari Jerman, syarikat cip mikro yang terbesar di Jerman dan pelaburan terbesar di luar Jerman, di peringkat Front End menuntut kemahiran, kecekapan, keterampilan yang lebih daripada kursus-kursus biasa.
  1. Saya telah usulkan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi untuk mengadakan Fakulti Artificial Intelligence yang pertama dan akan dibangunkan di UTM. Saya memberi penekanan terhadap perkara ini kerana satu tahap kecekapan yang ditambah maknanya seperti saya umum semalam, pegawai-pegawai di bandar raya terutama di kalangan generasi kedua harus diberikan pendedahan dan latihan tentang perancangan kota, permasalahan di kota, kesenjangan yang berlaku di antara golongan pendapatan tinggi atau kaya dengan golongan rakyat di bawah dan masalah perumahan yang lebih selesa. In semua harus diteliti kerana ada negara yang kuotanya untuk melaksanakan beberapa program ini lebih baik daripada kita. Jadi kita harus contohi dan manfaatkan.
  1. Berbalik kepada asas yang saya bicarakan iaitu kecepatan kelulusan itu adalah penting. Walaupun terdapat perubahan pelaksanaan projek-projek ketimbang pada tahun-tahun sebelumnya dan untuk tahun 2023 pada bulan November itu dan di antara yang paling tinggi yang pernah kita capai.
  1. Namun bagi saya ia masih tidak memuaskan kerana, negara Malaysia dengan tahap jenteranya dan infrastrukturnya begitu rupa, kita tidak boleh mencapai 80% bagi pelaksanaan projek-projek? Jadi, bagi pelan struktur yang akan diluncurkan iaitu PSKL40 dan belanjawan yang telah dibincangkan tadi, haruslah dilihat dan diteliti mengapa dan di mana masalah yang dihadapi dalam pelaksanaan belanjawan tahun lalu atau tahun ini supaya kita tidak mengulangi kesilapan yang sama.
  1. Jadi, saya anjurkan supaya tahap kelulusan itu dan seperti mana yang saya sebut mengenai beberapa syarikat sebentar tadi, terdapat 2 perkara yang perlu kita ambil maklum:

Pertama: Mewujudkan satu bidang khusus di peringkat tertinggi yang masih kurang dan memerlukan latihan atau specialization serta profesionalisme yang lebih tinggi.

Kedua: Walaupun kita ini dianggap mencapai tingkat efisiensi relatif tetapi kecekapan, kepesatan atau kecepatan kelulusan itu masih belum memuaskan. 

  1. Saya mengingatkan bahawa kita tidak boleh melengahkan projek yang telah diputuskan dan diluluskan. Untuk sementara ini, saya sudah memberitahu Datuk Bandar, apa-apa keputusan yang kita buat sebentar tadi bersama Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan perlu menghantar laporan tentang pelaksanaan keputusan dalam tempoh dua (2) minggu.
  2. Kalau tidak, mungkin keputusan kita tertangguh sehingga ke tahun hadapan kerana mereka mengatakan bahawa bulan Disember ini adalah bulan yang dianggap separuh cuti. Saya tidak boleh menerima kenyataan itu kerana kalau saudara hendak mengambil cuti, boleh tetapi sebelum bercuti pada bulan Disember mesti ada laporan berkala. Jangan berasa tersinggung kerana memang benar ada kelewatan dan juga kerana kritikan itu harus kita terima dengan baik.
  1. Dua (2) bulan lalu, semasa saya di New York, saya telah bertemu dengan beberapa syarikat-syarikat besar dan apabila saya bertanya kepada mereka, mereka memberi jawapan memang banyak faktor-faktor yang positif tetapi mereka juga berkata walaupun kita membuat kelulusan dengan cepat berbanding dengan beberapa negara lain seperti Afrika, Amerika Latin serta Asia tetapi masih kalah dengan beberapa negara seperti Vietnam terutamanya dari segi the pace ataupun tahap kelulusan dan kecepatan kelulusan.
  1. Jadi saya berharap rakan-rakan di Bandar Raya ini menjadi jentera Kuala Lumpur dan seterusnya menjadi contoh kerana Kuala Lumpur ini dilihat sebagai Bandar MADANI yang ada pencakar langit yang hebat, cantik, ada juga gerai yang bersih dan indah, ada perumahan yang berkelas tinggi, ada juga perumahan rakyat, kawasan lapang, kawasan hijau, kawasan keselesaan bagi rakyat dan ia juga ada tahap pengurusan dan penjawat awam yang cekap dan meluluskan projek dengan tahap kepantasan terbaik di negara kita.
  1. Ini adalah cabaran kepada Datuk Bandar dan saya meminta dalam tempoh 2 minggu lagi untuk memberi laporan tentang kelulusan yang kita buat tadi. Jadi sekali lagi saya mengucapkan terima kasih dan PSKL40 yang akan diluncurkan sebentar lagi. Saya ingin memohon supaya ianya tidak menjadi muktamad seperti kitab suci. Maknanya perlu ada ruang untuk memberi teguran dan kita sama-sama membuat penyesuaian yang perlu mengikut tuntutan masa.

Sekian, Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.