TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PERASMIAN SAMBUTAN HARI SUKAN NEGARA PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2023

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

MAJLIS PERASMIAN

SAMBUTAN HARI SUKAN NEGARA

PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2023

 

14 OKTOBER 2023 (SABTU)

 

PEKARANGAN ISTANA KEHAKIMAN,

PUTRAJAYA

 

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh dan

Salam Sejahtera

Alhamdulillah, Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem.

YB Hannah Yeoh,

Menteri Belia dan Sukan;

YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali,

Ketua Setiausaha Negara;

IG Tan Sri Razarudin Husain,

Ketua Polis Negara;

Saudara YB Adam Adli,

Timbalan Menteri Belia dan Sukan;

 

Rakan-rakan; dan

Terutamanya anak-anak, penggiat dan peminat sukan yang dikasihi sekalian.

 

 

 

  1. Terima kasih atas kehadiran semua hadirin yang hadir pada pagi ini. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih khususnya kepada YB Hannah Yeoh selaku Menteri Belia dan Sukan yang kuat, gigih, memperjuangkan dan membuat tuntutan supaya diperkasakan kegiatan sukan dalam negara.
  1. Semalam dalam Belanjawan Negara, ada beberapa hal yang dituntut sejak puluhan tahun, antaranya berkenaan kegiatan sukan secara umum, sukan di kalangan Orang Kurang Upaya (OKU), dan juga pelepasan percukaian, malah bagi program rakan muda sendiri pun saya tambah peruntukan supaya anak muda dapat bergiat cergas dalam semua bidang.

Saudara-saudara,

  1. Negara MADANI ini apa maknanya? Negara yang menumpukan perhatian dan memacu pertumbuhan. Kalau tidak ada pelaburan, negara tidak aman, politik tidak stabil, pelabur tidak akan datang. Saudara lihat umpamanya dalam kunjungan kita terakhir ke Abu Dhabi baru-baru ini, spontan mereka memberikan sambutan. Dua (2) hari yang lalu, saya ke Tanjung Malim Automotive City, Syarikat Geely bukan berjanji tetapi telah melaksanakan satu program yang menjadikan Tanjung Malim sebagai hub bagi industri automobil di rantau Asia Tenggara.
  1. Ini kerana seperti yang saya tekankan bahawa negara kita aman tetapi memperkasakan rakyat dalam Negara MADANI ini, kita mahu anak cergas dan sihat. Wahana sukan dan olahraga serta semua aspek-aspek kesukanan ini dianggap penting, integral dalam memberikan kesedaran dan kecergasan yang sihat.
  1. Kita menggalakkan bukan sahaja anak muda, yang lama juga harus cergas. Kalau tidak larat lari, berjalan pun boleh jadi. Oleh itu, saya berharap persatuan-persatuan sukan malah kelompok-kelompok anak muda keseluruhannya di sekolah dan di universiti, serta jaringan di antara Menteri Belia dan Sukan, Menteri Pendidikan, Menteri Pendidikan Tinggi harus ada rangkaian yang lebih erat supaya kegiatan di sekolah, di pusat pengajian tinggi dan kegiatan di kalangan masyarakat komuniti itu disegarkan.
  1. MADANI ini akan hanya berkembang kalau rakyat itu diperkasakan, bukan Kerajaan diperkasakan, rakyat diperkasakan. Rakyat diperkasakan dalam pelbagai bidang iaitu pekerjaan, ekonomi dan yang utamanya kesihatan.
  1. Rasulullah SAW, apabila ditanya doa yang ringkas, yang sangat mustajab itu pendek tetapi ada kaitan dengan kesihatan atau aafiyah (afiat)Allahumma inni asaluka al-‘afiyah. Maknanya kita meminta supaya mendapat kesihatan yang baik, segar dan cergas dalam pelbagai bidang tentunya badan, akal dan juga nilai.
  1. Soal nilai itu penting. Saya lontarkan idea ini kerana saya yakin Malaysia akan selamat, bahagia dan cemerlang sekiranya kita mempunyai keyakinan anak muda bangkit sebagai satu kesatuan, semangat perpaduan tulen tanpa mengira kaum dan budaya masing-masing. Kalau kita lihat, realitinya tiada masalah dalam kalangan pelbagai kaum tidak sama seperti mana kita dengar kadang-kadang percaturan dan pergaduhan di Parlimen, itu berbeza sekali.
  1. Rakyat di bawah mahukan keamanan, mereka menerima kenyataan kepelbagaian di negara kita dan di antara kegiatan utama yang kita galakkan adalah kegiatan sukan. Kita mahu kita menang tidak kira apa nama dia, sama ada dia Ali, Muthu atau Ah Hock, tetapi kalau dia anak muda Malaysia catat kemenangan hebat, itulah cita-cita dan kebanggaan kita.
  1. Saya tidak mahu terus baca teks ucapan secara serius, sebab YB Hannah Yeoh pun relaks sahaja tadi. Kita santai sahaja dan lepas ini kita bersukan.
  1. Jadi sekali lagi saya ucap terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan. Saya lantik dua (2) tokoh muda, YB Hannah Yeoh dan YB Adam Adli. Saya katakan, ini dia peruntukan tambahan, kamu dengan Ketua Setiusaha (KSU) dengan Majlis Sukan Negara (MSN) semuanya, kerjalah. Carilah jalan sebaik mungkin supaya kita dapat angkat martabat sukan negara ini.

 

Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.