
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PECAH TANAH
KERIAN INTEGRATED GREEN INDUSTRIAL PARK (KIGIP)
30 OGOS 2024 (JUMAAT) | 9.00 PAGI
TALI AYER ESTATE,
BAGAN SERAI, PERAK
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Alhamdulillahilladzi arsala rosulahu bil huda wa dinil haq.
Liyuzhhirohu ‘alad dini kullihi.
Wa kafa billahi syahida.
Wa nusalli wa nusallimu ‘ala rasoolil kareem,
Wa ‘ala alihi wasahbihi ajma’in.
YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof,
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air;
YAB Dato’ Seri Saarani Bin Mohamad,
Menteri Besar Perak;
YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz,
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri;
YB Tuan Chang Lih Kang,
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi;
YB Datuk Seri Johari Bin Abdul Ghani,
Menteri Perladangan dan Komoditi;
YB Tuan Haji Akmal Nasrullah Bin Mohd Nasir,
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air;
Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda,
Pengerusi Kumpulan Permodelan Nasional Berhad;
YB Dato’ Hj Rashidi Bin Zinol,
Exco Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan Dan Luar Bandar Pulau Pinang;
Tan Sri Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani,
Pengerusi kumpulan SD Guthrie.
Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri;
Seluruh keluarga PNB dan seluruh keluarga SD Guthrie; dan
Rakan-rakan yang saya muliakan.
Saudara-saudari yang saya muliakan,
- Alhamdulillah kita bersyukur ke hadrat Allah S.W.T di pagi Jumaat yang mulia ini dan di ambang kemerdekaan negara yang akan kita sambut esok kita dapat bersama-sama ke Majlis Pecah Tanah Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP). Saya tentunya sangat bangga kerana kita boleh buktikan kemampuan PNB dan SD Guthrie melaksanakan projek raksaksa, satu yang baharu bagi rantau ini, satu-satunya high-tech hijau yang ulung di Asia Tenggara. Maknanya ke depan dari segi perancangan dan pelaksanaan yang pantas.
- Jadi saya bangga dengan keputusan yang disambut dengan begitu baik, walaupun saya faham mereka mendapat tekanan yang luar biasa kerana saya bagi tarikh, saya tidak tanya dahulu. Saya kata tarikh ini mesti luncur pelan, tarikh ini mesti pecah tanah. Jadi mereka bergelut siang dan malam untuk menyelesaikan.
- Terima kasih juga kepada Kerajaan Negeri kerana dapat meluluskan dalam masa yang cukup pantas dengan penjawat awam yang cukup cekap. Jadi tidak sia-sialah kita naikkan gaji penjawat awam. Mana satu Yang di-Pertua Majlis Perbandaran, tolong berdiri. Terima kasih seluruhnya. Pegawai Daerah Kerian? Terima kasih dan seluruh keluarga daerah. Kalau untuk ucap terima kasih, Menteri Besar atau Raja Tan Sri Arshad akan bagi makan khas (nada seloroh).
- Maknanya, kalau kita ada tekad untuk laksanakan projek untuk memberi faedah kepada rakyat dan ada kesungguhan dan iltizam, kita boleh laksanakan. Semalam saya luncurkan suatu projek perumahan Suria MADANI di Taman Desa, Majlis Bandaraya Kuala Lumpur beri kelulusan dalam tempoh 45 hari, rekod sejak sebelum merdeka sehinggalah sekarang kerana selalunya di antara 8 bulan hingga 1 tahun 2 bulan. Tetapi kalau syarikat itu persiapkan, geo-tech study, EIA dan seluruh keperluan-keperluannya mantap. Tidak ada sebab kita tidak boleh diberikan kelulusan begitu cepat.
- Maknanya dalam contoh-contoh ini yang saya berikan, semalam projek perumahan rakyat diluluskan dalam masa cepat kerana melegakan tuntutan rakyat. Kalau tidak, pembangunan Kuala Lumpur, petandanya apa, mercu tanda, twin-tower, projek-projek raksaksa, hotel-hotel 7 bintang tetapi untuk rakyat gerai dan warung itu di dalam keadaan usang yang lama. Rakyat terpaksa menunggu puluhan tahun untuk mendapatkan rumah untuk dibeli mahupun disewa.
- Sebab itu harus ada anjakan dalam keputusan kerajaan dalam bidang ini, saya syukur Alhamdulillah dalam masa singkat kita tunjukkan bukti pelaksanaan yang lebih berkesan dan saya hendak kaitkan pengalaman semalam kerana apabila kita mahu luncurkan projek perumahan rakyat MADANI, RM 200,000 ke bawah di Taman Desa. Jadi ada berdekatan dengan kawasan perumahan tinggi jadi penduduk di kawasan itu ada yang tulis bantahan kepada saya. Katanya tidak sesuai kerana perumahan itu tinggi tingkatnya dan mungkin akan menyebabkan kotor dan kesesakan.
- Saya jawab semalam, bila rumah-rumah orang kaya itu dibina, tanah itu tanah kampung, ada sebahagian tanah itu dibeli dengan harga yang murah, tiada yang protes. Jadi orang-orang yang miskin dan pekerja yang diperlukan. Siapa yang akan mencuci, membersihkan, siapa akan baiki eletrik, siapa akan siapkan kemudahan-kemudahan lain. Pengurusan di taman perumahan, pekerja-pekerja kelas bawahan, di mana mereka harus tinggal? Di ceruk rantau tidak munasabah, sebab itu kita putuskan juga saya kata saya tidak memperdulikan bantahan itu asalkan projek rumah itu 3 bilik, 800 square feet, walaupun syarat KPKT 750 square feet, dua bilik air kemudiannya pengurusan lebih baik, ada taman hijau, ada taman permainan, ada kemudahan-kemudahan untuk penghuni, jaminan kebersihan memadailah.
- Jika tidak kita ada satu dasar, mengingatkan Charles Dickens, “A Tale of Two Cities”. Ada satu Kota Permai Indah tetapi ada kelompok yang paling miskin, ada kelompok maha kaya. Jadi sebab itu dari segi dasar kerajaan MADANI harus mengenepikan dasar yang meremehkan kepentingan kelompok yang lebih miskin. Saya jawab semalam kerana kalau kita terima bantahan tiap kali ada perumahan rakyat ada sahaja bantahan.
- Kawasan terlalu sesak, kalau kamu duduk puluhan tahun yang sesak kamu tidak sibuk pula buat bantahan. Jadi saya berharap ini menjadi satu pengajaran kepada semua bandar-bandar dan kota-kota.
- Keduanya, ia boleh diluluskan dengan cepat. Kerana salah satu cabaran yang Tengku Zafrul lebih arif bab ini. Kerana kalau pergi mana-mana yang dibimbangkan oleh pelabur adalah ease of doing bussiness, adakah benar kita efisien, apa alasannya ketimbang tahun-tahun sebelumnya. Jadi saya syorkan kepada Jemaah Menteri bolehkah kita banding bukan sahaja dengan tahun sebelumnya tetapi dengan negera-negera berdekatan, Vietnam, Thailand, Indonesia, Singapura baru kita tahu sama ada kita cekap atau tidak.
- Bila kita buat perbandingan ada satu dua bidang yang kita cekap, ada banyak bidang yang agak ketinggalan. Kita pelajari dari kelemahan itu dan kita beri asakan baharu, peraturan-peraturan baharu, SOP yang baharu dan Alhamdulillah, bila dikaji semula Infineon atau baru-baru ini Google dan Microsoft dan Amazon Web Services mereka dapati bahawa Malaysia adalah di antara negara yang menunjukkan prestasi dan tahap kecepatan kelulusan yang membanggakan. Maka kita perolehi pelaburan yang besar.
- Pelaburan yang besar itu akan memberikan faedah kepada rakyat, ini satu hal yang penting kepada KIGIP. Ini satu projek pembangunan industri yang terbesar dalam negara kita yang dikendalikan seluruhnya oleh PNB dan SD Guthrie, satu badan bumiputera yang teruji dan diketahui kemampuan dan kecekapannya. Jadi ujian ini bukan sahaja pada negara bahkan pengurusan bumiputera yang dapat laksanakan satu projek yang baharu. Ini baru betul-betul bumiputera policy, jerit Melayu, Melayu, Melayu tetapi apabila beri kelulusan tiada pula diberi kepada Melayu ini bezanya.
- Jadi, umpamanya bila saya cadangkan Kerian dan kebetulan alasannya ada. Sebab itu rakan-rakan Jemaah Menteri yang ada di dalamnya Melayu, Cina, India malah dari Sabah dan Sarawak, mereka itu bersetuju kerana tanahnya itu tanah Sime Darby. Tidak mengganggu tanah-tanah orang kampung, tidak mengganggu tanah-tanah peniaga Melayu atau Cina atau India. Jadi tanah hampir keseluruhannya milik Sime Darby Guthrie, jadi dapat dibangunkan dengan cepat dan tidak memerlukan proses pengambilan tanah yang tentuanya akan mengambil masa.
- Jadi apabila ini dapat dilakukan dan Alhamdulillah dapat dipercepatkan, dan kita ada pula Perak di bawah pimpinan Saudara Sharaani yang menunjukkan ketegasan dan kesungguhan dalam melaksanakan projek-projek yang akan membantu membangunkan negeri dan membela nasib rakyat.
- Setelah kita jadikan ini sebagai satu projek, bila kita adakan pelan rancangan keseluruhannya, apa yang dimaksudkan? Dimaksudkan supaya ada dua pertimbangan, kita tahu mesti bangunkan tambak, pertimbangan kita adalah satu ekosistem, yang kedua supply chain Menteri MITI lagi arif dan saya suruh dia selaras dengan Pengerusi PNB dengan baik.
- Ramai tidak faham belakang itu. Apa dia maksud ekosistem, prasarana satu hal dan Dato Sri’ Fadhillah tahu tentang keperluan baik tenaga atau air dan PETRA telah memberikan kemudahan dan kelulusan sebab itu dapat solar farm, kerana kalau tidak ia tidak jadi hijau.
- Jadi kemudiannya perlu ada keperluan bekalan air yang memenuhi keperluan masyarkat di Utara termasuk di Parit Buntar, Bagan Serai dan seluruh Kerian dan sehingga ke Nibong Tebal dan keperluan Pulau Pinang. Kita bahkan sudah runding bagaimana kita boleh percepatkan proses pengaliran air dan paip dengan kadar segera dengan kos yang lebih munasabah dan saya telah minta ini disegerakan.
- Kita minta jaringan lebuh raya yang baharu untuk memasuki kawasan ini dan ini pada prinsip sudah diluluskan dengan peruntukan tambahan untuk keperluan projek KIGIP. Ini tanggungan Kerajaan Persekutuan dan yang lain saya percaya dapat dikendalikan oleh Kerajaan Negeri dan tentuanya syarikat. Ini juga suatu projek yang berbeza dengan projek lain dimana urusan dana itu banyak dikendalikan oleh swasta dan tidak dibeban kepada kerajaan melainkan prasarana asas seperti lebuh raya, bekalan air, mungkin keperluan sekolah, masjid dan sebagainya.
- Kerana ekosistem itu melibatkan latihan, jadi mulai hari ini SD Guthrie harus memikirkan jenis pelaburan, jenis pekerjaan, latihan pengkhususan dan berikan keutamaan kepada anak-anak utara Perak ataupun Padang Serai, Nibong Tebal sedikit untuk dapat latihan dan kalau ada TVET atau institut teknologi berdekatan saya akan minta supaya SD Guthrie ambil alih dan memberikan latihan yang diperlukan oleh KIGIP kerana latihan itu mengambil masa dua tiga tahun. Dulu kita kata semuanya mesti lulusan sains, matematik, ada yang lulusan Sekolah Menengah Vokasional atau TVET. Tetapi ada juga keperluan untuk mengambil lulusan sastera umum yang diberikan latihan jurusan agar mampu mengikuti sebahagian daripada kursus ini.
- Apabila saya dengan Saudara Zafrul ke India, ada syarikat mengatakan tidak semuanya matematik, sains untuk keperlua digital atau AI kerana majoriti mesti lulusan kejuruteraan tetapi ada sebahagian daripada lulusan sastera dalam kursus-kurus terpilih yang boleh dijuruskan untuk keperluan spesifik. Ini saya tekankan kerana memang kita kurang lulusan matematik dan sains di Malaysia, sangat kurang. Kita kekurangan keperluan kejurutaan sebanyak 30,000 jurutera baharu, sekarang dengan kemasukan pelaburan yang besar keperluan itu bertambah. Jadi semua universiti diminta perkembang lulusan AI, digital kejuruteraan tetapi kita telah memutuskan untuk mengambil anak-anak yang luar daripada itu juga.
- Jadi daripada sekarang harus ada satu bidang, satu pengkhususan oleh satu unit PNB untuk terus memantau keadaan di sekitar ini dan untuk memperbaiki ekosistem ini tadi dan tentunya masyarakat memerlukan perumahan. Dan perumahan mestilah dirancang daripada awal bagi memenuhi keperluan pengurusan dan pekerja.
- Jadi pelan KIGIP ini saya mahu menjadi pelan utama yang lebih mencakup keperluan majoriti rakyat. Kalau pelan itu buat perumahan sahaja kemudian daripada awal dengan tanah yang relatif murah tidak disiapkan untuk perumahan rakyat untuk peringkat bawahan, pekerja-pekerja, kita akan menghadapi masalah.
- Jadi yang disediakan itu bukan sahaja sewaan rumah, tetapi rumah pekerja yang boleh dibeli dan menetap secara permanent di situ. Kemudian mestilah sekolah, pendidikan Islam, masjid dan lain-lain keperluan untuk memenuhi keperluan masyarakat secara umum. Ini soal prasarana dan juga latihan yang diperlukan termasuk beberapa keperluan keselesaan yang saya percaya mengikut pengalaman PNB, SD Guthrie saya tidak ragu. Cuma saya minta dibandingkan dengan pengalaman di Johor, Selangor, di Kinta dan juga Kulim Hi-Tech dan saya percaya Tengku Zafrul boleh bantu laraskan supaya tiada kelompongan dan kelemahan dalam pelaksanaan ini.
- Saudara, saya memilih untuk hadir sendiri buat dua kali berturut-turut dan saya percaya dalam masa singkat mungkin sekali lagi untuk melihat sekali lagi sama ada projek ini berjalan dengan kadar yang lebih pantas. Kalau tidak, umpamanya, bila nak mula tambun tanah kerana tanah ini mendap? Bulan Januari. Saya tidak setuju kerana bila kata tambun tanah, minggu hadapan. Apa masalahnya, tiada tanah? Beritahu Menteri Besar, perlu bayar, bayarlah sedikit.
- Kemudian ia sekitar 3 batu sahaja, SD Guthrie ini lori dah banyak, korek tanah, tambun. Tender kita boleh buat fast track tender untuk syarikat-syarikat kemampuan. Jadi SD Guthrie perlu bantu kerana saya sudah beritahu pengurusan supaya biar laporan itu sampai kepada menteri-menteri berkenaan, kepada Dato Sri’ Fadhilah, Tengku Zafrul dan rakan-rakan menteri lain dan Menteri Besar. Saya mahu satu salinan terus ke pejabat saya di Pejabat Perdana Menteri supaya saya dapat pantau.
- Kerana saya mahu projek ini menjadi projek kebanggaan kita, projek kebanggaan bumiputera, projek kebanggaan rakyat Malaysia dan contoh yang terhebat kawasan rantau Asia Tenggara ini.
- Jadi saudara-saudara tentunya penyelarasan ini penting, saya minta MITI, MAIDA untuk terus proaktif kerana ini adalah satu projek gagasan baharu kerana saudara lihat naratif dunia sekarang, semua bicara soal hijau, teknologi hijau, tenaga hijau, green hydrogen, ammonia menggantikan fuel tradisional yang digunakan sebelum ini dan ini suatu yang baharu tetapi kalau projek itu dilaksanakan dalam kaedah yang lama saya tidak fikir wajar. Maka projek ini kita bagi kelonggaran apa sahaja dan kita telah buktikan dengan kesediaan Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Perak memberi kelulusan dengan rekod yang belum pernah dilakukan sebelum ini.
- Maknanya saudara-saudara, Yang di-Pertua dan Pegawai Daerah, kalau kita betul-betul ada keputusan jalankan dengan ikhlas, Fi Amanillah dan bersih boleh kita luluskan. Sepertimana saya katakan projek perumahan yang diluncurkan semalam, bayangkan projek 800 unit itu, 40 tingkat boleh diluluskan dengan semua syarat-syarat yang ketat dalam tempoh 45 hari. Yang mahu tunggu 4-5 bulan sebab apa?
- Sebab itu, apabila saya bagi arahan umumkan skim saraan gaji baharu ini, saya kata kalau lembab seperti dahulu gaji tidak jalan. Itu orang marah dia kata tengok Anwar ini bohong lagi, dia bagi, tetapi dia bagi syarat. Tetapi itu tidak mengapalah kerana kerja sesetengah pihak, saya tidak ada masalah tetapi kita lihat cara positif.
- Sekarang saudara lihat umpamanya dari lapangan terbang ke sempadan Golok ke sempadan Rantau Panjang dan Bukit Kayu Hitam, Kastam, Imigresen dan Pejabat-Pejabat Tanah dan Daerah secara relatif ada perubahan yang ketara. Jadi apabila ada perubahan ketara kita ucap terima kasih kepada penjawat awam kerana melaksanakan dengan jauh lebih baik dari sebelumnya.
- Contohya kerana projek di Pahang, Pulau Pinang ataupun Johor dan semalam Dato Fadhilah sebut tentang IPP Gelugor, petang ini dia ke Kulim untuk peralihan tenaga. Semua ini kita lihat kadarnya lebih cepat kerana negara ini punyai kekuatan untuk menjadi negara yang maju dan hebat di rantau Asia. Dan saya yakin apa pun yang dibicarakan kena lihat kepada angka-angka sekarang walaupun kita terpaksa sabar, satu tahun setengah ini kena balun teruk terutama soal ringgit tetapi kita tahu dia melihat kepada keyakinan.
- Orang tidak yakin dalam masa 6 bulan, dia tengok consistency of policy, dari segi politik stabil, dari segi crafting atau dari segi merangka dasar ada. Tetapi dia tidak yakin sehingga dia melihat ada perkembangan beberapa ketika dan Alhamdulillah tidak semuanya kerana Kerajaan, ada juga soal global system saya tidak nafikan.
- Tetapi kalau ikut global mengapa kekuatan ringgit kita relatif kepada peningkatan tinggi di rantau ini, kita masih terkuat. Ada sebabnya, mengapa dalam persaingan Google di antara Malaysia dan Vietnam, dia pilih Malaysia. Mengapa perebutan saingan Infineon di antara Texas, Germany dan satu lagi negara, akhirnya dipilih Malaysia tentunya pelbagai sebab. Antaranya pekerja yang lebih disiplin, mutu khidmat yang diberikan tahap kecepatan, dan ini mesti kita pertahankan dalam negara kita kalau kita menjadikan inisiatif, transformasi digital dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) serta konsep ekonomi MADANI ini menjadi kenyataan.
- Kita ada permulaan yang baik dan meyakinkan dan kita sambut kemerdekaan dengan bergaya. Syukur ke hadrat Allah S.W.T dan kita pastikan kerja kita, amal kita lebih baik daripada sebelumnya. Itqan fil amal ini, efisiensi dalam kerja juga adalah satu tuntutan dalam agama, kebersihan, tatakelola yang baik itu juga adalah tuntutan agama.
- Saudara lihat bila Yang di-Pertua sebut lulus 3 hari dan kepada EXCO maknanya apa, dia tidak ada komisien, dia tidak tetapkan SD Guthrie kena bayar kepada pegawai untuk buka fail, kalau tidak fail itu di bawah. Betul ke Nik ada bayaran? Tidak ada? Jika begitu, saya yakin tidak ada kerana dia tahu pemantauannya, dia tahu komitmennya, sebab itu dia boleh lakukan dengan cepat.
- Saya ingat projek perumahan dahulu apabila kita lewat untuk percepatkan mesti dibayar supaya fail itu naik ke atas. Hal-hal ini semua yang menjahanamkan banyak negara jadi sebab itu saudara jangan terasa bosan apabila kita terus bicara soal tatakelola. Kita lihat umpamanya, Kastam setiap bulan menyelamatkan negara ratusan juta, semalam Ketua Pengarah Kastam, seorang wanita yang gagah dia beri laporan kepada saya kebocoran-kebocoran yang dapat diselamatkan tetapi saudara kena tahu bahawa hal ini berlaku puluhan tahun tidak dipedulikan.
- Maknanya kita kehilangan bilion ringgit dan ini ada dalam rekod, diberikan rekod, keterangan bagaimana kebocoran berlaku, bagaimana boleh umpamanya satu kontena dadah dikeluarkan daripada Pelabuhan Klang tidak ketahui kesan sehingga ditangkap di Australia sebabnya yang jaga scanning machine dan yang memberikan kelulusan selepas itu dia tetapkan waktu yang tertentu. Sebagai contoh, jam 4 scanning machine itu dikendalikan oleh seorang pegawai, CCTV dikawal seorang pegawai dan syarikat itu masuk pada ketika itu. Kosnya, 1.2 bilion yang diseludup keluar negara, imej negara jatuh, tetapi rupanya ini telah dilakukan belasan tahun.
- Maka sebab itu ada langkah-langkah berani yang patut dibuat, ditetapkan sekarang dan Dato Seri Shamsul Azri, KSN yang baharu katakan tidak diizinkan mana-mana pegawai kekal di satu tempat, di satu jawatan lebih daripada 3 atau 7 tahun bagi mengelakkan daripada ini terus berlalu.
- Jadi sauadara-saudara bila ada kes-kes sebegitu dia tidak memberikan gambaran keseluruhannya, tetapi kelompok kecil itu jika diizinkan akan merosakkan bukan sahaja imej tetapi merugikan negara. Sebab itu bila saya lihat umpamanya projek KIGIP berjalan dengan kesan yang sangat menggembirakan saya. Saya lihat umpamanya di Kerian, siapa nak sangka Kerian kalau kami dari Bukit Mertajam, lahir Sungai Bakap, Kerian ini ulu sedikit tetapi sekarang tidak.
- Sekarang dengan projek ini, daerah Kerian akan muncul sebagai daerah utama dari sudut industri dan teknologi hijau di rantau ini dan saya percaya Kerian akan memberi manfaat kepada rakyatnya. Sebab itu saya minta supaya soal ekosistem, supply chain disediakan segera supaya rakyat Kerian itu tidak terpinggir. Apa guna kita bangunkan tetapi rakyat sendiri terpinggir, tersingkir dari arus perdana.
- Maka, anak-anak muda, anak-anak sejak dari sekolah dan pusat latihan Kerian dari sekarang harus diberikan peluang dan ruang serta keutamaan untuk diberikan latihan untuk masuk bekerja di KIGIP ini. Dan ini adalah tanggungjawab SD Guthrie dan PNB untuk menyelaraskan.
- Saudara-saudara saya cukup gembira hari ini kerana Kerian memang saya pilih, kemudian baru saya telefon mohon izin Menteri Besar dan saya umumkan dengan segera dan maklumkan kepada Jemaah Menteri. Masa itu tidak dikesan apa rancangan, makna saya pilih kawasan-kawasan yang relatif miskin di Pantai Barat, dan kawasan ini kebetulan memudahkan kalau kita bawa perubahan. Tetapi saya tidak mahu rakyat tempatan terpinggir, bila kita rancangkan, saya mahu penduduk Kerian untuk peroleh manfaat dan tidak terpinggir atau tersisih daripada arus pembangunan di Kerian.
- Saudara-saudara, kita mohon doakan ke hadrat Allah S.W.T, mudah-mudahan program ini dapat dilancar dengan kadar yang lebih pantas dan beroleh manfaat kepada negara dan rakyat. Saya mahu projek ini dijadikan satu fokus untuk dibangunkan dan saya mohon semua pihak mewakili masyarat dari imam ke ketua kampungnya, ketua-ketua parti untuk memberikan fokus. Ini kesempatan kita membangun. Janganlah timbul apa-apa masalah untuk timbulkan apa-apa ketegangan. Jika ada masalah tolong bawa ke pengetahuan syarikat, atau Pejabat Daerah, atau Majlis Perbandaran atau Kerajaan Negeri.
- Kerana kita mahu projek ini dijalankan sebagai satu contoh di mana syarikat utama Bumiputera boleh kendalikan dengan sebaiknya dan tentunya melibatkan penyertaan bukan bumiputera. Tetapi ini satu-satunya projek yang raksaksa, high-tech, green yang dikendali oleh syarikat bawah payung PNB dan ini bagi saya adalah satu perubahan yang bermakna bagi masyarakat Bumiputera dan negara yang tercinta.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Similar Posts:
- PENJAWAT AWAM DISERU BAWA PERUBAHAN KEMBALIKAN MALAYSIA KE TAHAP GEMILANG
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- KERAJAAN TUMPU USAHA TURUNKAN HARGA BAHAN MENTAH – PM ANWAR
- BELANJAWAN 2023 AMBIL KIRA CABARAN EKONOMI SEMASA – PM ANWAR
- PM ANWAR BERI JAMINAN TADBIR URUS TERBAIK DI MALAYSIA