
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
KUNJUNGAN KE SMK TINGGI BUKIT MERTAJAM
30 OGOS 2024 (JUMAAT)
SMK TINGGI BUKIT MERTAJAM
PULAU PINANG
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera. Salam Malaysia MADANI.
YAB Tuan Chow Kon Yeow,
Ketua Menteri Pulau Pinang;
YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz,
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri;
YB Encik Steven Sim Chee Keong,
Menteri Sumber Manusia;
YB Dato’ Dr. Mohamad Bin Abdul Hamid,
Timbalan Ketua Pulau Pinang;
Ahli Parlimen Bukit Mertajam;
YBhg. Dato’ haji Rosli bin Isa,
Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang;
YBhg. Dato’ Indera Nik Nasarudin Bin Mohd Zawawi,
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan; dan
Rakan-rakan yang saya muliakan dan terutamanya alumni, Haji Umar & seluruh keluarga termasuk bekas tenaga pengajar, pengetua, guru-guru yang berkhidmat dan anak-anak di luar sana.
- Tentunya ini satu penghormatan dan nostagia bagi saya kerana saya belajar tiga (3) tahun di sini, Special Malay 1, Special Malay 2 dan Standard Six, and I was a good student. Sebab dari seluruh Pulau Pinang ada special exam, tidak seperti mana negeri-negeri lain, di Pulau Pinang ketika itu di darjah enam ada satu peperiksaan ujian khas untuk ke Kolej Melayu Kuala Kangsar, dan negeri lain yang ada Sultan, sebenarnya diberikan kuota yang besar, Pulau Pinang ketika itu hanya ada tiga (3) yang boleh dipilih, iaitu peperiksaan khas. Saya syukur kerana mendapat didikan di Stowell School dan High School dan saya telah lulus dengan baik.
- Oleh itu, jasa Stowell School dan High School tentu saya kenang kerana membolehkan saya meneruskan pengajian di Kolej Melayu Kuala Kangsar. Tiga (3) orang sahaja yang dipilih dari seluruh Pulau Pinang, sekarang ini agak lebih demokratik dan lebih terbuka. Tetapi kalau dahulu, hanya negeri-negeri yang mempunyai Sultan yang mendapat kuota yang besar.
- Saya ingat lagi semasa saya Menteri Pendidikan, saya pernah datang ke Stowell dan juga High School, dan selalu saya tekankan tugas kita. Apa dia pendidikan ini? Assimilation of knowledge menimba ilmu dalam pelbagai bidang terutama ikut kurikulum dan pembacaan meluas dan sekarang cabaran bagi pendidik lebih kerana perubahan yang begitu pantas dan ada disiplin-disiplin baru yang tidak ada dalam kurikulum dan perubahan-perubahan itu mendesak. Kita bicara bila Menteri MITI, Tengku Zafrul luncurkan bersama Pelan Perindustrian, banyak bidang-bidang baru, Digital Transformation, Energy Transition, Artificial Intelligence, penguasaan media sosial yang smuanya dianggap baru.
- Pendidikan itu tidak boleh tinggal dua aspek ini, iaitu Assimilation of knowledge menimba ilmu dalam pelbagai bidang, dan yang kedua, menyemai nilai akhlak dan kebenaran, the dessimination of good values and truth. Dua ini tidak boleh tinggal yang menyebabkan negara kadang-kadang tercemar dengan salah tatakelola, penyalahgunaan kuasa dan rasuah, ini kerana menimba ilmu tidak menerapkan nilai, akhlak dan prinsip kebenaran. Jadi harus ingat bukan hanya teroka ilmu baharu, selalu saya sebut di Kementerian Pendidikan, maknanya seolah-olah kita menggapai yang dilangit, cuba mencapai menangkap bidang baharu dan ilmu baharu, tetapi silap kita sementara menggapai yang dilangit, kita tinggalkan akar, tradisi, budaya, akhlak, dan agama di bumi. Jadi harus ada perimbangan, menggapai di langit mengakar di bumi. Inilah cabaran kita kepada pendidik, pelajar, guru-guru dan Ibu bapa yang harus yakin. Sebab itu PIBG, alumni punyai peranan penting dalam memberikan ruang, agar pendidikan itu lebih bermutu dan bermakna. Bagaimana sistem pendidikan kita? Secara relatif, ia agak baik.
- Sebentar tadi saya di Kerian bersama Menteri MITI untuk projek pecah tanah, projek raksaksa baharu, KIGIP, maknanya satu projek di Kerian tetang teknologi baharu tetapi berasaskan hijau. Kalau ini dilakukan bagaimana pendidikan kita? Bagaimana matematik dan sains, Bahasa Melayu harus dimantapkan, Bahasa Inggeris harus dikembangkan. Selain daripada mengakar ke bumi supaya akar, budaya, dan Bahasa Kebangsaan dimartabatkan, kita mesti menggapai penguasaan ilmu baharu yang memerlukan penguasaan Bahasa Inggeris yang baik. Ia tidak boleh seperti apa yang disebut dalam istilahnya, zero sum games, if you choose to promote Bahasa Melayu means you are not pro English language, if you promote English language you must ignore the importance of national language. No! Dia boleh menguasai Bahasa Kebangsaan dengan baik sesuai dengan peredaran zaman dan menguasai Bahasa Inggeris dengan baik kerana ini menentukan sama ada kita boleh bersaing.
- You want to remain a competitive nation, particularly in the new technology, new fields of knowledge into advance, you must make sure that you routed in strong command of the Malay Language and proficiency in the English Language. Ini yang kita hendak tekankan dari segi bahasa. Sebab itu saya telah minta supaya Menteri Pendidikan untuk melakukan anjakan, perkukuhkan penguasaan Bahasa tetapi memberi penekanan terutama di peringkat menengah iaitu menengah atas dalam penguasaan Bahasa Inggeris yang lebih tinggi. Kalau tidak kita akan kalah dalam persaingan ini.
- Di Malaysia, Pulau Pinang dengan jentera Kerajaan, terutama Kementerian-kementerian yang aktif, kita ada pelaburan yang dianggap termasuk Pulau Pinang dianggap semiconductor hub in the region. Kalau Pulau Pinang itu semiconductor hub in the region, maka anak-anak yang disekolah harus ditunjuk dan diberikan galakan, rangsangan, dan asakan supaya lebih berminat dalam bidang matematik, sains dan Bahasa Inggeris, kemudian menjurus pendidikan mereka dalam bidang sains teknologi, kejuruteraan, digital dan artificial intelligence. Kalau tidak kita ada gedung-gedung besar, semikonduktur, Infenion dari Jerman, Intel, apa sahaja sebut di Pulau Pinang tetapi anak-anak kita tidak cukup terlatih. Ini cabara-cabaran yang harus direnung, kemudian tindakan diambil oleh kementerian dan oleh guru-guru termasuk soal nilai dan akhlak.
- Kita ini di Malaysia, kita anak Malaysia, Melayu, Cina, India, Dayak dan Kadazan, kita boleh bekerja sebagai satu pasukan, jangan tunduk kepada pemikiran-pemikiran lapuk mengadu domba, kadang-kadang di sekolah sudah bermula kelompok-kelompok isu kaum dan isu agama. Agama mana yang mengajar kita guna agama untuk bertarung dan meniupkan kebencian kepada sesiapa. Tidak. Agama itu tegak sama ada Islam, Hindu, Kristian atau Buddha untuk memupuk kasih sayang dan hormat menghormati. Ini yang harus kita pupuk kalau tidak nanti saudara-saudara akan mudah terpengaruh dengan fahaman yang boleh menimbulkan kebencian. Saya dengan asuhan dan didikan di sini, Alhamdulillah sudah menjawat jawatan Perdana Menteri.
- Saya mahu Islam dimartabatkan, saya bangga sebagai seorang anak Melayu, saya cinta kepada bahasa, budaya, dan sastera saya. Tetapi itu bukan bermakna saya harus menanam pandangan serong kerana saya tahu ada kekuatan dalam bahasa lain, ada sastera-sastera dan budaya yang gemilang dalam bahasa lain. Sebab itu saya juga hidupkan minat terhadap ajaran Confucius dalam ‘The Analects’ karya besar pemikir agung China, dalam Belanjawan saya juga perkenalkan buku atau kitab masyhur yang dibanggakan oleh masyarakat India khususnya masyarakat Tamil di Selatan India, iaitu Thirukural, ia tidak bermakna menghakis keyakinan saya sebagai seorang Islam atau saya sebagai orang Melayu, tetapi hanya menunjukkan bahawa budaya Melayu dan agama Islam itu ada sikap kemanusiaan (humanity), ehsan (compassion) dan kasih sayang di antara satu sama lain sebagai manusia.
- Sebab itu dalam al-Quran, bila Allah sebut firmannya, wa laqad karamna bani Adam, Allah angkat darjat manusia keturunan Bani Adam, syaratnya orang baik, orang ikhlas, orang yang membawa mesej kebaikan dan kemanusiaan. Mudah-mudahan fahaman ini menjadi asas dalam pendidikan kita.
- Balik kepada SMK Tinggi Bukit Mertajam, ada permohonan untuk keperluan anak-anak yang beragama Islam tidak ada surau yang teratur di sini, oleh itu saya luluskan projek sekitar RM225,000.00 ringgit untuk pembinaan surau di sini. Kemudian Steven Sim kata dia dah bagi sedikit air-cond di sini untuk keperluan pelajar-pelajar. Keadaan berubah, oleh itu pendidikan mendapat peruntukan terbesar dalam Belanjawan MADANI diikuti dengan kesihatan. Oleh itu, saya setuju untuk meluluskan kelengkapan-kelengkapan selain daripada RM225,000.00 ini, suku juta lagi untuk pembangunan-pembangunan yang mendesak di seluruh High School RM250,000.00.
- Bagi dewan yang besar, kita tidak boleh bagi begini kerana kewangan Kerajaan mesti ikut peraturan dan prosedur, saya perlu tengok keupayaan kewangan dan teliti setelah mendapat permohonan dan juga dikaji oleh kementerian-kementerian termasuk Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan selain daripada Jabatan Perdana Menteri.
- Jadi sekali lagi saya ucap terima kasih kerana jadual yang amat ketat hari ini. Saya ucap terima kasih kepada pengetua, guru-guru dan anak-anak, doa supaya mereka dapat kekalkan mesej dan imej High School Bukit Mertajam, kalau dahulu di Seberang Prai, High School was the Premier School in the whole of Province
Terima kasih, wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Similar Posts:
- KERAJAAN TUMPU USAHA TURUNKAN HARGA BAHAN MENTAH – PM ANWAR
- DENGAR PENDAPAT PAKAR NAMUN JANGAN SESEKALI ABAI PANDANGAN RAKYAT BIASA – PM ANWAR
- JANGAN AMAL BUDAYA SELESA, TEKAD LAKSANA PERUBAHAN UNTUK NEGARA – PM
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- JEMAAH MENTERI SETUJU POTONG GAJI 20 PERATUS – PM ANWAR