TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: PERJUMPAAN YAB PERDANA MENTERI BERSAMA WARGA JABATAN PERDANA MENTERI BAGI BULAN SEPTEMBER TAHUN 2024

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

PERJUMPAAN YAB PERDANA MENTERI BERSAMA WARGA JABATAN PERDANA MENTERI BAGI BULAN SEPTEMBER TAHUN 2024

 

 

2 SEPTEMBER 2024 (ISNIN) | 8.00 PAGI

 

 

𝐃EWAN DE’ SERI ENDON, PUSPANITAPURI

PUTRAJAYA

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Salam sejahtera.

Alhamdulillah Rabbil Alamin,

Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem

Waala alihi wa sohbihi ajmain.

YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi,

Timbalan Perdana Menteri;

YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof,

Timbalan Perdana Menteri;

Rakan-rakan Menteri;

 

Timbalan Menteri;

Ketua Setiausaha Negara;

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam; dan

Semua rakan-rakan yang saya muliakan.

  1. Kita bersyukur, Alhamdulillah kerana sambutan Hari Kemerdekaan 2024 ini begitu menyemarakkan semangat rakyat dan saya perhatikan sambutan begitu hebat dan luar biasa di seluruh negara dan acara sambutan di putrajaya yang dihadiri oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong menampakkan satu semangat yang sangat mengesankan.
  1. Jadi saya hendak mengambil kesempatan ini sekali lagi berterima kasih kepada semua yang terlibat, bukan sahaja Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Menteri Komunikasi, saudara Fahmi Fadzil tetapi kepada semua Jabatan-jabatan, Jabatan Perdana Menteri diantara yang sangat terkait dan terikat dengan beberapa acara utama negara, kemudian anak2 di sekolah dan di IPT serta pertunjukkan daripada anggota pertahanan kita sama ada darat, laut, terutamanya udara itu sangat menakjubkan.
  1. Jadi saya tengok sambutannya dan komen-komen dalam dan luar negara itu luar biasa dan saya lihat juga kibaran bendera itu di Sepanyol, di Paris dan beberapa negara lain. Jadi saudara kita bersyukur, Alhamdulillah kerana negara aman, stabil dan semangat rakyat itu kian menyemarak, ia tidak malap dan lembab.
  1. Jadi kita manfaatkan ini, manfaat untuk menyakinkan, pertama diri kita dan tentunya yang akhir adalah manfaat kepada negara, iaitu memperbaiki prestasi kita dalam segala bidang. Sebab itu dalam doa kita sebut juga Islah jadi tema kita, ‘In uridu illal-islaha mastata’tu’, maksudnya sedaya upaya kita kerana semangat ini tidak selalunya jadi.
  1. Kita sambut 67 tahun negara merdeka tetapi bukan setiap tahun semangat itu sama. Jadi kerana penglibatan anak-anak kita, penglibatan pihak sekolah, IPT dan kita saksikan sendiri kita berupaya untuk berbuat sesuatu yang lebih baik. Jadi saya hanya hendak memanfaatkan perjumpaan pada pagi ini untuk menyeru supaya program Islah ini termasuk dalam pentadbiran awam dan diteruskan secara berterusan.
  1. Sebab tanggungjawab saya, rakan-rakan TPM dan Jemaah Menteri adalah untuk memperbaiki skim dengan sebaiknya dan telah saya umumkan. Selain itu, kita telah membuat penyesuaian dan kemaskini tanpa menjejaskan program ataupun pengumuman kita, skim yang telah diumumkan itu kita akan teruskan. Tetapi yang kita minta sekarang ini supaya beberapa langkah reform itu dilaksanakan dengan segera. Penggabungan agensi dan jabatan itu belum berlaku dengan memuaskan, pertindihan perjawatan yang kadang-kadang kurang perlu itu masih belum ditingkat kepada yang memuaskan, laporan daripada ketua-ketua jabatan, ketua-ketua pengarah, ketua-ketua unit tentang kelembapan dan kecuaian beberapa pegawai itu pun belum ke tahap yang memuaskan. Semua ini harus kita lakukan, kerana kita mesti melakukan anjakan yang sebaiknya.
  1. MADANI itu menuntut kita melihat kerangka, tumpuan tentunya dari segi tatakelola, pemacuan pertumbuhan ekonomi, dan keselesaan rakyat. Ini saudara-saudara lihat umpamanya masalah-masalah rakyat, kecepatan kita menjawab surat tuntutan mereka sama ada boleh atau tak boleh beberapa langkah-langkah prosedur yang mereka harus patuhi, itu semua kita kena cari kaedah-kaedah baharu.
  1. Saya selalu menganggap bahawa pace tahap kecepatan, melakukan perubahan itu harus setimpal dengan tuntutan zaman dan tentunya masa. Jadi kerana kita tentunya saya mengambil jabatan ada dia punya perkara-perkara biasa yang telah dijalankan sejak berpuluhan tahun, ada yang baik kita teruskan tetapi ada yang perlu kita ubah suaikan tumpuan, keutamaan dan sebagainya. Ini sahaja yang saya nak mohon saudara-saudara berikan perhatian. Kita bangga, Alhamdulillah tapi tidak pernah seorang manusia apa lagi seorang Muslim, saya selalu menggunakan rumusan hadis Rasulullah SAW tentang itqan fil amal, dia tidak pernah ada nilai, dia syukur betul, ‘La in syakartum la azidannakum wala in kafartum inna adzabi lasyadid’ (Surah Ibrahim:7). Manusia ini harus bersyukur, tetapi bersyukur itu bukan bermakna kekal ditahap yang sederhana tapi bersyukur itu kerana yakin kepada Allah SWT, tetapi syukur akan nikmatnya dan melakukan sebaik mungkin perubahan ke arah kebaikan. Itu yang disebut itqan fil amal.

 

  1. Kalau kita kata tahap pencapaian hasil baik tapi apakah itu maksima ataupun boleh diperbaiki tahap kecekapan naik daripada 70 sampai 85 peratus mengapa tidak boleh 95 itu dalam kaedah pahaman kita tentang tuntutan Islam itu sendiri, tidak pernah manusia itu kekal pada tahap yang average sebab itu ada ulama-ulama, sepertimana saya masih ingat kupasan Sheikh Yusuf al-Qaradwi tentang umattan wassata, umat yang sederhana, umat yang seimbang ia bukan sederhana itu average. Sederhana itu tentang sikap, ia tidak keras, tidak melampau, tidak menghukum, sederhana dari segi kemanusiaan tetapi kesederhanaan itu menuntut yang terbaik.
  1. Mantan mufti Mesir, Ali Jum’ah sebut ibarat mendaki gunung dari bawah ke atas dan ke bawah lagi, jadi sederhana itu dipuncaknya iaitu dipertengahan dalam pola dan liputan kehidupan. Jadi ini intisari kasarnya iaitu saudara boleh jangkakan bulan September ini bulan pergerakan reform yang lebih besar dan saya akan bincangkan dengan KSN dan KPPA apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk memperbaiki prestasi yang dianggap sudah baik. Jadi mudah-mudahan Allah SWT merestui usaha kita.
  1. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini mengalu-alukan kehadiran Datuk Seri Shamsul Azri, KSN kita yang baharu. Saya ucap tahniah dan saya percaya beliau akan bekerja dalam satu pasukan bersama rakan-rakan penjawat awam dan memenuhi harapan bukan sahaja penjawat awam tetapi juga rakyat. Saya juga seru kepada rakan-rakan seperti yang terdahulu beri kerjasama sepenuhnya, keputusan telah dibuat dan keputusan seperti mana apa pun termasuk perlantikan Perdana Menteri tidak semestinya keputusan yang terbaik, tetapi keputusan sudah diambil yang perlu kita lakukan adalah fa idzâ ‘azamta fa tawakkal ‘alallâh, innallâha yuḫibbul-mutawakkilîn (Surah Al-Imrah:159). Sudah kita ambil keputusan ada tekad melaksanakan, itu Amanah besar untuk kita laksanakan dan tawakkal kepada Allah.

Terima kasih.

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.