
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN KARNIVAL BARANGAN MALAYSIA 2023
14 DISEMBER 2023 (KHAMIS)
IOI GRAND EXHIBITION & CONVENTION CENTRE, PUTRAJAYA
Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh dan Salam Sejahtera
Alhamdulillah, Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem
YB Datuk Armizan Mohd Ali,
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang baharu mengambil alih tugas;
YB Senator Puan Hajah Fuziah Salleh,
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang memegang tunggak sekian lama dengan ketiadaan menteri;
Ketua Setiausaha,
Timbalan Menteri yang pernah mewakili kawasan parlimen di sini; dan
Rakan-rakan yang saya muliakan.
- Syukur Alhamdulillah, kita dapat meneruskan acara yang penting dari sudut pembangunan dan ekonomi negara. Kalau kita tanya rakyat Malaysia, cintakah anda akan Malaysia? Jawabnya ya. Betul taat kepada negara? Jawabnya ya. Tetapi, apabila ditanya beli tidak barangan Malaysia? Jawabnya kurang. Minum kopi dipilih kedai yang mahal-mahal.
- Sebab itu sejak saya menjawat jawatan Perdana Menteri acara tetap saya pada setiap hari Jumaat sebelum solat Jumaat adalah saya akan pergi ke warung atau gerai, minum kopi tempatan atau teh dan makan di kedai-kedai tempatan. Ini adalah salah satu juga cara kita mempromosikan barangan Malaysia. Orang-orang ini pendapatannya kecil tetapi terbawa dengan pengiklanan yang kemudian membebankan.
- Pagi tadi saya bermesyuarat dengan Yayasan Pelaburan Bumiputera. Kebimbangan saya adalah kesedaran bumiputera untuk menyimpan itu kurang. Beli nak beli barang mewah, pendapatan RM2000 tetapi baju RM400. Ini kalau ikut teori ekonomi, dikupas oleh Thorstein Veblen, seorang pakar ekonomi yang menyebut teori – conspicuous consumption. Maknanya dengan asakan, iklan yang begitu kencang dan hebat – lagi besar syarikat, lagi kaya jaringan syarikat-syarikat peringkat antarabangsa, lagi kuat pengaruhnya untuk membebankan kita dengan pemikiran sehingga apa yang disebut oleh Thorstein Veblen “conspicuous consumption”. Maknanya dia terpaksa membeli walaupun tidak mampu, terpaksa menunjuk hebat ikut trend walaupun membebankan ekonomi sendiri.
- Jadi Kempen Beli Barangan Malaysia ini, pertama, harga itu jauh lebih sederhana ketimbang dengan harga import. Kedua, ia sebenarnya membantu menjana pertumbuhan ekonomi, pekerjaan, jaringan kedai-kedai dan menyemarakkan pertumbuhan ekonomi Negara.
- Jadi saya harap Kempen Karnival Beli Barangan Malaysia ini dapat dilihat sebagai suatu langkah memenuhi tanggungjawab, bukan setakat batik Malaysia yang kita promosi tetapi lebih daripada itu iaitu untuk memastikan ada dukungan. Faktor yang berikutnya adalah tentang keupayaan kita. Apabila ada dukungan tempatan hebat, maka keupayaan syarikat-syarikat tempatan ini untuk buka jaringan di peringkat antarabangsa juga meluas.
- Saudara, puluhan syarikat sekarang telah menerobos ke pasaran antarabangsa bukan sahaja di ASEAN tetapi sehingga ke Amerika Syarikat dan beberapa negara di Eropah. Asas kekuatan itu dibina dalam negara.
- Jadi kepada anak muda sekarang, saya ingin menggesa mereka supaya melihat, tentunya mereka mahu mutu. Mutu itu penting, jadi persaingan di kalangan syarikat tempatan mempertahankan mutu tetapi mutu itu bukan pada label, bukan jenama. Mutu itu juga dari pandangan sudut persepsi yang dibina.
- Walaubagaimanapun, siapa yang menang untuk membina persepsi? Tentulah syarikat besar, syarikat gergasi, syarikat asing kerana dana pengiklanan mereka tu besar. Jadi kita terperangkap kerana taksub dengan pemikiran asing. Dalam pembangunan pernah seorang sarjana menyebut ‘the captive mind in development studies’, pemikiran yang terperangkap kerana asakan pandangan luar asing.
- Kalau ia benar boleh kita terima tetapi dalam banyak keadaan itu tidak benar. Soal mutu, cita rasa, fesyen itu semua ditentukan oleh mereka di New York, Paris, dan Rome, dan kita hanya ikut.
- Jadi sebab itu saya lihat ada usaha untuk melawan, menongkah arus ini umpamanya dalam mempromosi batik Malaysia. Sekarang umpamanya, beberapa negara telah melihat keindahan batik kerana dipromosi begitu rupa. Setiap pelawat ke Malaysia apabila kita pakai, yang berminat batik Malaysia, ada yang rasa terpanggil untuk melihat.
- Esok petang saya akan ke Tokyo bagi Mesyuarat ASEAN, kesemua 10 negara ASEAN diundang oleh Kerajaan dan Perdana Menteri Jepun. Ada satu malam, dia kata, boleh pakai kot, tali leher atau pakaian rasmi. Jadi saya bagi nota saya kata saya nak pakai batik Malaysia. Walaupun musim sejuk, jadi saya kena pastikan pakaian dalam tu tebal.
- Sebabnya? Sebab saya rasa bertanggungjawab untuk mempromosikan barangan buatan Malaysia. Saya akan rasa bangga dan akan beritahu batik Malaysia ini mutu dan rekaannya baik. Menyentuh soal rekaan, saya ada memberikan pandangan, saya juga tidak menafikan keindahan dan corak serta cita rasa yang berbeza, saya unjurkan supaya pengusaha batik tempatan ini juga faham tentang nilai keindahan seni Melayu dan Islam supaya rekaan itu, selain daripada conteng-conteng celoreng juga mengambil kira kekuatan, keaslian dan keindahan seni Melayu Islam tempatan.
- Jadi corak-corak itu boleh dibuat dan dikembangkan berdasarkan keaslian dan diindahkan mengikut cita rasa semasa. Itu sebagai satu contoh batik tetapi banyak lagi yang boleh dibeli, Chef Wan pun ada nak bagi makanan. Banyak lagi disini yang boleh dibeli – Ana Muslim, Inas Global dan Bantal Leyna.
- Tentunya ada keterangan yang lebih ditekankan dan seperti mana yang disebut oleh YB Datuk Armizan Mohd Ali sebentar tadi dalam belanjawan, kita telah menambah peruntukan supaya ada galakan dan ini termasuk juga dalam PMKS, pengusaha kecil dan sederhana yang kita galakkan tetapi yang penting dan hasrat saya adalah dukungan dan sambutan.
- Saya sediakan belanja dana dalam RM20 juta tambahan untuk mempromosikan syarikat-syarikat tempatan. Bayangkan Kerajaan menyediakan dana untuk membantu iklan kerana syarikat-syarikat ini kecil dan nak berlawan iklan syarikat besar, satu halaman panggil model-model yang cantik dari Itali.
- Padahal saya lihat anak Melayu, Dayak atau Kadazan pun lebih cantik . Jadi tak payahlah terpegun dengan yang asing. Bukanlah masalah RM20 juta itu nak cari model, tetapi maknanya nak ambil langkah untuk mempromosikan barang tempatan.
- Seperti saudara tahu di antara lain adalah Francais. Industri Francais di Malaysia ini kalau yang tempatan itu mencecah RM1.4 bilion. Berapa jumlah pekerja? 80,000 orang pekerja. Jadi kalau ada kesedaran kita untuk dukung, kita bantu. Saya tidak terasa kurang darjat saya atau turun darjat saya kerana makan di gerai dan warung setiap minggu, saya tidak terasa begitu. Malah kopi ataupun makanan yang dihidang di warung itu kadang-kadang lebih enak dari restoran 5 bintang dan lebih murah. Yang pentingnya, tempatan.
- Jadi saya harap Menteri, Timbalan Menteri dan KSU serta kawan-kawan lain mengambil langkah-langkah tambahan, ada kesungguhan dan memang tentunya dalam kempen ini bermula dari Menteri, Timbalan Menteri dan KSU. Kalau nampak mereka pakai pakaian jenama luar, saudara boleh tanya, mana mungkin dia akan kempen beli barangan Malaysia.
- Akan tetapi, kita tidak mengharamkan pakaian atau makanan luar tetapi harus ada perimbangan dan pertimbangan untuk membantu menjana pertumbuhan ekonomi dan membantu anak kita, saudara kita yang giat berniaga dan mengusahakan syarikat-syarikat tempatan walaupun kecil-kecilan.
- Sekali lagi saya rumuskan, jangan kita terutama di kalangan muda, yang pendapatan sangat sederhana terpukau dengan propaganda dan iklan yang sebenarnya di upah untuk memperkuatkan dukungan kepada syarikat yang berkenaan dan tidak bermakna orang yang tidak mampu mengupah model dan iklan besar-besaran itu tidak mempunyai kekuatan. Kalau kita lihat sejarah syarikat-syarikat ini pun mereka mula daripada peringkat awal kemudian tercetus sebagai pengusaha yang berjaya.
- Sekali lagi saya ucapkan tahniah, pertamanya kepada pengusaha dan peniaga-peniaga yang turut serta, ada sekitar 150 yang bersama pada hari ini, terima kasih dan tahniah kepada mereka termasuk Solar Save.
- Saya juga mengucapkan penghargaan kepada Kementerian yang sangat gigih dalam usaha mereka mempertahankan kos sara hidup yang sangat mencabar. Tetapi kadang ini yang dipilih, dibeli, apabila semua jumpa saya cakap kos dah meningkat, tanya minum kopi di mana? Restoran 5 bintang. Kalau betul kamu berusaha untuk mengurangkan kos, kamu tunjukkan contoh yang baik. Kalau tak minum kopi di rumah, pergilah warung-warung atau kedai-kedai kecil ini, rasanya lebih enak dan harganya lebih rendah. Jadi saya nak nasihat kawan-kawan terutama yang bising itu cuba tanya dia, boleh tidak dia mulakan kerana saya tengok kadang-kadang golongan korporat-korporat dan elit-elit intelektual yang bising-bising ini, mereka tidak pernah pergi ke warung dan gerai pun. Hanya celoteh di luar.
- Jadi patut beri contoh yang baik bukanlah semestinya setiap hari, sekali-sekala bantulah syarikat tempatan. Tidak semestinya semua tetapi sebahagiannya, itu sudah memadai.
- Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih dan semoga Allah SWT merestui dan memberkati usaha kita dan sama-sama merestui usaha kita untuk mengukuh dan meningkatkan ekonomi negara kita.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Similar Posts:
- PM ANWAR BERI JAMINAN TADBIR URUS TERBAIK DI MALAYSIA
- COVID-19: MALAYSIA TIDAK DISKRIMINASI PELANCONG ASING, UTAMAKAN KESIHATAN RAKYAT
- PENJAWAT AWAM DISERU BAWA PERUBAHAN KEMBALIKAN MALAYSIA KE TAHAP GEMILANG
- PERBINCANGAN INTELEKTUAL UNTUK RESPONS KEPADA ISLAMOFOBIA – PM ANWAR
- MALAYSIA SAMBUT BAIK PEMBANGUNAN NUSANTARA – PM ANWAR