TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PERJUMPAAN YAB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM PERDANA MENTERI BERSAMA WARGA JABATAN PERDANA MENTERI (JPM) BAGI BULAN DISEMBER TAHUN 2023

 

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

MAJLIS PERJUMPAAN YAB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM PERDANA MENTERI BERSAMA WARGA JABATAN PERDANA MENTERI (JPM) BAGI BULAN DISEMBER TAHUN 2023

 

11 DISEMBER 2023 (ISNIN) | 8.00 PAGI

 

DEWAN DE’ SERI ENDON, PUSPANITAPURI,

PUTRAJAYA

 

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh dan Salam Sejahtera

 

Alhamdu lillaahil lazeee anzala ‘alaa ‘abdihil kitaaba wa lam yaj’al lahoo ‘iwajaa.

Wasallallah hu ala saidina Muhammad, wa’ala a’lihi wasabihi wassalim.

 

YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi,

Timbalan Perdana Menteri;

 

Menteri-Menteri;

 

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA); dan

 

Rakan-rakan yang saya muliakan

  1. Alhamdullilah, kita akan melabuhkan tirai akhir tahun Masihi dan ini merupakan perhimpunan terakhir kita untuk tahun ini. Insya-Allah, kita akan bertemu lagi pada tahun hadapan dengan lonjakan semangat yang lebih baik. Insya-Allah.

 

  1. Kita sudah cuba sedaya upaya dengan kekuatan seluruh pasukan seperti mana yang saya sebut semalam bukan sahaja Jemaah Menteri, pegawai-pegawai kanan atau penjawat awam umumnya yang memungkinkan kita untuk membuat perubahan sedaya upaya – ‘in ureedu illal islaaha mastata’tu’. Itu doa Nabi Syu’aib AS dalam melakukan perubahan atau islah sebaik mungkin.

 

  1. Andaian bahawa tidak harus ada yang saya sebut semalam sebagai budaya keselesaan, iaitu menganggap kita sudah sempurna. Dalam Islam disebut “itqan fil amal” – kalau menggunakan istilah pengurusan sekarang ialah Strive for Excellence tetapi rumusan hadis Nabi Muhamad SAW itu ialah itqan fil amal.

 

  1. Jadi kalau ada sikap begitu maknanya ada tawaduk (humility). Bahawa dengan sedaya upaya kita lakukan sesuatu perkara tetapi keterbatasan itu sedemikian rupa. Masih ada ruang untuk diperbaiki dan semuanya mempunyai satu sikap sedemikian termasuk saya iaitu mencari ikhtiar baharu untuk selalu meningkatkan, menutup dan mengelak daripada kelemahan dan kekurangan serta mencari jalan.

 

  1. Ini yang saya usulkan daripada awal supaya budaya dalam politik dan juga penjawat awam iaitu memberi ruang, mendengar pandangan atau teguran malah kritikan yang membina.

 

  1. Semalam umpamanya, sebenarnya bukan satu aturan yang saudara YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi tetapkan dan kami telah pergi. Dalam perkara itu, pengerusi meminta YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi mendengar soalan-soalan yang dibangkitkan yang kami tidak tahu dan tidak ada tapisan. Saya rasa itu satu budaya baik yang disebut sebagai demokrasi yang bermakna atau musyawarah. Ia bukan sesuatu yang diatur atau diprogramkan begitu rupa, contohnya soalan begini jawapannya mesti begini dan agak terbuka.

 

  1. Seterusnya, kalau mengikut budaya masyarakat kita, masyarakat umumnya akan bertanya dan kadang-kadang soalannya agak kritikal tetapi sopan kerana soal nilai dan akhlak itu dipertahankan. Sebab itu saya katakan bahawa kadang-kadang Ahli Parlimen harus belajar daripada rakyat tentang apa ertinya sopan atau ertinya soalan yang menetapkan soal akhlak dan nilai. Kadang-kadang dengan sedikit kuasa dan media sosial yang akan mempromosikan ucapan-ucapan mereka, mereka itu nampak keterlaluan dan ini harus ditekankan.

 

  1. Terdapat satu soalan yang ditanyakan kepada saya iaitu mengapa Perdana Menteri Anwar Ibrahim ini apabila bercakap soal MADANI selalu diselang-seli ayat al-Quran dan hadis, menunjukkan seolah-olah orang bukan Islam itu tidak mendapat tempat. Jadi saya menjawab dan mengatakan sebagai orang Islam tentu sandaran kita adalah kepada al-Quran dan hadis, tetapi ia tidak bermaksud eksklusif kerana mesejnya itu mesej umum dan mesej kepada negara dan keseluruhan rakyat.

 

  1. Kadang-kadang saya ambil juga dari Tirukkural iaitu khazanah Tamil dari India ataupun Konfusius dari China. Ia terdapat sedikit titik persamaannya dan bukannya soal akidah, soal ibadah khusus, tetapi soal pemikiran tentang kemanusiaan, manusiawi yang harus diterapkan melihat kepada keperluan semasa atau realiti yang kita hadapi.

 

 

  1. Saya bagi contoh semalam – wasatiyyah iaitu kesederhanaan tetapi dalam falsafah Greek Yunani dahulu disebut sebagai Golden Mean, sikap yang tidak melampau, tidak memilih untuk mengambil sesuatu yang ekstrem atau dalam Falsafah Konfusius dia sebut Chung-Yung.

 

  1. Ini semuanya memberi mesej yang sama bahawa dalam hidup itu harus dipertahankan kesederhanaan bukan maksud kesederhanaan itu adalah average tetapi kesederhanaan itu bermaksud sikap yang tidak melampau dan sentiasa mengangkat darjat dan martabat.

 

  1. Saya ingat kupasan tentang insan yang disebut tadi, bagaimana al-Quran menafsir dan menterjemah sejarah. Ianya tidaklah pada tarikh, hari bulan atau sultan bertitah membuat begini, peperangan pada tarikh sekian tetapi mesej nilai.

 

  1. Mesej atau prinsip ini umpamanya dalam Surah al kahfi – Nahnu naqussu ‘alaika naba ahum bilhaqq; innahum fityatun aamanoo bi Rabbihim wa zidnaahum hudaa. Wa rabatnaa ‘alaa quloo bihim iz qaamoo faqaaloo Rabbunaa Rabbus samaawaati wal ardi lan nad’uwa min dooniheee ilaahal laqad qulnaaa izan shatataa. Maksudnya Allah SWT menyebut dalam al-Quran akan aku ceritakan kisah yang sebenar. Surah Al-Kahfi (The Cave) ini menarik kerana terdapat banyak persamaan dengan Bible.

 

  1. Saya tahu apabila saya sebut begini nanti mereka akan cakap Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah samakan al-Quran dengan Bible. Jenuh saya nak jawab. Ini yang saya katakan soal pemikiran yang pelampau, dia tidak mendengar keseluruhan konteks tetapi hanya mengambil konteks tengok Perdana Menteri Anwar Ibrahim samakan semua agama, oleh yang demikian beliau tidak boleh diterima sebagai pemimpin negara ini.

 

  1. Selain daripada itu, saya menyebut tadi bahawa sebenarnya sejarah dalam cerita The Cave (Al-Kahfi) itu berlaku pada zaman Kristian dan diberikan nilai yang baik bahawa ada pemuda-pemuda masa itu beragama Kristian. Jangan dilupakan perkara ini tetapi kalau saya kupas begini orang Kristian berasa senang. Kita gunakan dalam al-Quran iaitu kisah sejarah di zaman Nafsani di mana anak muda diselamatkan kerana prinsip mereka yang kental – akanku ceritakan kisah yang sebenarnya.

 

  1. Apa cerita yang sebenarnya? innahum fityatun aamanoo bi Rabbihim wa zidnaahum hudaa – anak muda dengan keyakinan mereka, dengan Iman mereka, Allah SWT menambah petunjuk kepada mereka. Mengapa? Kerana soal nilai, prinsip dan mereka tidak terpukau dengan kuasa, kezaliman, penindasan dan penipuan borak peranan di luar. Mereka memilih untuk menyelamatkan diri kerana perkara yang terpahat dalam hati sanubari mereka. Apa yang terpahat? wa rabatnaa ‘alaa quloo bihim – terpahat di hati sendiri mereka hanya keyakinan dan kekuatan Allah SWT yang menjadikan langit dan bumi. Saya sedang melihat kalau JAKIM angguk maka saya selamat.

 

  1. Jadi yang terpahat di hati sanubari mereka bahawa yang kuat dan berkuasa itu sebenarnya Allah SWT. Maknanya ini soal nilai yang ditekankan. Sebab itu apabila saya menyebut dalam MADANI, ia adalah pertumbuhan ekonomi, transformasi digital dan energy transition yang penting kerana kalau tidak kita bicarakan ini iaitu tentang nilai, kemudian kita tidak melakukan kerja dan kita akan ketinggalan.

 

  1. Ya, kita menang dari segi nilai tetapi kalah dari segi teknologi dan transformasi digital. Kita harus kembangkan kedua-duanya tetapi mendasari semua ini adalah sistem nilai. Nilai ini dimulakan dari peribadi bukan untuk mengutuk orang lain tetapi harus baik, harus jangan rasuah, mesti hidup dalam kesederhanaan dan kurangkan makan gula. Ini saya sebut kerana penyakit diabetik. Ianya – ya ayyuhalladzina amanu ku anfusakum wa ahlikum naro iaitu mula dari diri kita, yang pertama al-Quran dan yang kedua hadis.

 

  1. Apa intisarinya? Nilai. Sementara menjadi orang politik atau seorang pentadbir, jangan dilupakan yang mendasari semua itu adalah nilai yang baik. Tidak perlulah umpamanya hanya terikat dengan undang-undang. Undang-undang itu kerana terdapat kelemahan manusia, ghaflah, cuai dan lupa, tetapi peringatan itu kepada semua dan kalau kita ada nilai yang kita terapkan dalam MADANI, saya yakin sebenarnya kita boleh mengangkat dan menghentikan kelemahan yang lampau.

 

  1. Tidak dapat dinafikan adanya kekuatan dan kelemahan dahulu. Mari kita bina dari kekuatan itu dan kita tinggalkan the excesses yang berlaku.

 

  1. Mudah-mudahan kita tutup dan melabuhkan tirai 2023 Masihi ini dengan semangat yang sama dan membuka lembaran baharu sejarah negara kerana saya yakin sangat, bukan soal pelaburan atau soal keyakinan negara luar sahaja tetapi tentang kapasiti kita untuk mengangkat keupayaan ekonomi, sosial dan sebagainya.

 

  1. Sekurang-kurangnya kita telah memberikan garis-garis, urutan dan keutamaan bahawa sementara kita menggapai langit maknanya seolah-olah cuba mencapai yang ideal dalam bidang-bidang baharu termasuk yang saya sebut tadi iaitu pendigitalan, Artificial Intelligence (AI), tenaga baharu, tenaga hijau, tenaga hidrogen untuk menggapai langit.

 

  1. Walaubagaimanapun, kita harus sentiasa mengakar ke bumi sementara kita menggapai langit. Jika kita hanya menggapai langit dan kita hilang tradisi dan budaya. Jadi asasnya itu adalah agama, akhlak, budaya dan nilai iaitu mengakar ke bumi. Yang kita hendak menggapai ke langit itu adalah idealisme baharu, perubahan teknologi digital dan sebagainya.

 

  1. Maka, carilah jalan dan ikhtiar supaya kita dapat mengangkat dan kembalikan maruah kepada bangsa dan negara Malaysia tercinta.

 

Terima kasih dan Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

 

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.