TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PERASMIAN KARNIVAL KERJAYA MYFUTUREJOBS OKU DAN TVET

 

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

MAJLIS PERASMIAN

KARNIVAL KERJAYA MYFUTUREJOBS OKU DAN TVET

 

1 MAC 2024 (JUMAAT) | 4.30 PETANG

IDEAL CONVENTION CENTRE (IDCC), SHAH ALAM

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 

Alhamdulillah, Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem.

 

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Amirudin Bin Shari,

Menteri Besar Selangor;

 

YB Tuan Sim Chee Keong,

Menteri Sumber Manusia;

 

YB Dato’ Sri Abdul Rahman Bin Haji Mohamad,

Timbalan Menteri Sumber Manusia;

 

YBhg. Dato’ Sri Khairul Dzaimee Bin Daud,

Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia;

 

Pengerusi dan Pengurusan PERKESO; dan

 

Rakan-rakan yang saya muliakan.

  1. Terima kasih atas kesempatan ini dan kebetulan selain daripada Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah dapat pengiktirafan, jadi saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada seluruh keluarga PERKESO dan juga semua hadirin, wakil-wakil, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang kurang upaya (OKU) yang hadir.
  1. Saya mulakan dengan sikap kita tentang tema untuk memastikan negara MADANI ini dengan menyediakan peluang dan kesempatan kepada semua, iaitu merangkul seluruh kekuatan secara inklusif, tiada yang terpinggir.
  1. Bagi kita yang mempunyai nilai, apa lagi bagi kita yang biasa dengan Pengajaran Islam, tahu bahawa di antara tokoh yang sangat agung, mulia dan tinggi martabatnya itulah adalah seorang yang bernama Abdullah Ibni Ummi Maktum. Beliau seorang yang buta penglihatan tetapi diangkat dan diiktiraf sebagai salah satu sahabat ulung Rasulullah SAW. Apa pengalamannya? Beliau itu di kalangan yang agak miskin, terpinggir dan kebetulan buta penglihatan. Julung kali Nabi Muhamad SAW ditegur oleh Allah SWT sebagai pengajaran kepada kita.
  1. Apakah dia? Rasulullah SAW sedang berbincang dengan tokoh-tokoh kabilah Arab dan masa itu dakwah. Kalau kita dapat tokoh-tokoh senang kerana pengikut-pengikutnya akan ikut. Dalam masa yang sama, Abdullah Ibni Ummi Maktum masih menunggu juga untuk bertemu dengan Rasulullah SAW. Rasulullah SAW tentulah berikan keutamaan kerana pembesar-pembesar Quraisy ini akan membawa perubahan sekiranya mereka menerima Islam, mudah dalam dakwah.
  1. Jadi Rasulullah SAW terpaksa melayani dan menyantuni mereka maknanya kurang memberi perhatian kepada Abdullah Ibni Ummi Maktum. Lalu ayat al-Quran diturunkan, ‘Abasa wa tawallaa. An jaa-ahul ‘a-maa (Surah ‘Abasa: 1-2) maknanya, baginda berpaling, seolah-olah Rasulullah SAW itu berpaling daripada Abdullah Ibni Ummi Maktum kerana urusan yang agak penting. Itu sebagai peringatan kepada kita.
  1. Saudara-saudara tanya, mengapa apabila saya sampai dan ada kalangan VIP yang sudah saya santuni tetapi saya masih turun juga ke belakang kerana tidak mahu orang yang berada di belakang terasa mereka itu tidak penting bagi saya, maka saya turun bersalaman dengan mereka.
  2. Rasulullah SAW menyampaikan mesej sementara kita harus tahu protokolnya dan keutamaan dalam kerja kita, hubungan dengan pembesar-pembesar yang diamanahkan oleh negara tetapi jangan kita pinggirkan golongan yang dianggap dari segi protokolnya atau stratanya itu lebih rendah. Itu pengajarannya.
  1. Abdullah Ibni Ummi Maktum ini orang buta. Apa tugas beliau? Dalam Hijrah Nabi Muhammad SAW dari Makkah al-Mukarramah ke Yathrib yang kemudian dikenali sebagai Madinah al-Munawwarah, baginda tidak berurusan atau berjalan begitu sahaja, tetapi ada persiapannya.
  1. Kita hendak membawa perubahan MADANI, kita kena ada persiapan dan pencerahan, orang kena faham, rakyat kena bangkit tahu tanggungjawab mereka – tolak rasuah, tolak keangkuhan, tolak ketirisan, tahu bahawa mereka harus bekerja, menjadi baik, ada nilai dan akhlak yang baik, bekerja bersungguh-sungguh, cari pendekatan, kaedah dan ikhtiar baharu dan memperkenalkan instrumen baharu. Baik, dalam dakwah Rasulullah SAW, persiapan itu disebut bai’atul-‘aqabatil-ûlâ baiatul aqabah saniah, dua baiat dengan masyarakat Yathrib pada peringkat awal.
  2. Akan tetapi yang saya mahu sampaikan ini adalah peranan Abdullah Ibni Ummi Maktum apabila Rasulullah SAW hendak ke Madinah atau Yathrib, Baginda tidak pergi saja berhijrah, sebaliknya hijrah itu dengan persiapan dan di antara persiapan itu adalah menugaskan seorang yang bernama Abdullah Ibni Ummi Maktum yang buta penglihatan itu untuk mengajar masyarakat Yathrib termasuk juga seorang lagi Muṣʿab ibn ʿUmayr tetapi yang saya nak ceritakan apa dia?
  1. Kalau Rasulullah SAW dalam pegangan iktikad kita, punyai tanggungjawab besar dan mengiktiraf peranan seorang yang buta penglihatan, apa lagi kita manusia yang kerdil ini, mampukah kita terus dengan acara, berbicara soal pembangunan, negara MADANI, transisi tenaga, transformasi digital dan kita izinkan sebahagian daripada masyarakat kita terpinggir sama ada dia miskin ketara, bandar, desa, kurang pendengaran atau tergolong sebagai OKU.
  1. Sebab itu saya mengucapkan tahniah kepada KESUMA dan khususnya PERKESO kerana ada agenda khusus untuk menangani permasalahan di kalangan OKU berdaftar yang kini mencecah lebih dari 650,000 rakyat Malaysia.
  2. Tahniah dan mudah-mudahan Allah SWT memberkati usaha kita. Kita juga bersyukur, Alhamdulillah kerana dalam menghadapi kegawatan ekonomi dunia bahkan seluruh dunia menghadapi masalah inflasi, kita bersyukur kerana terlepas daripada permasalahan ini. Inflasi kita tercatat di bawah dua peratus. Kebanyakan negara-negara termasuk negara Asia, Eropah dan Amerika menyaksikan peningkatan golongan jumlah penganggur.
  1. Namun, kita dapat mengurangkan kadar pengangguran. Pelaburan yang tercatat pada bulan Januari tahun ini dan angka yang baharu dikeluarkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menunjukkan bahawa jumlah pelaburan yang kita catat merupakan jumlah pelaburan domestik dan luar yang tertinggi dalam sejarah Malaysia.
  1. Semua ini petanda-petanda keyakinan kerana sistem negara dan politik yang stabil. Kita terpaksa menangani permasalahan ringgit tetapi kalau ringgit itu jatuh tatkala inflasi naik, pelaburan menguncup, defisit membengkak, itu harus dibimbangkan. Tetapi jika ringgit itu lemah dengan kekuatan ekonomi keseluruhannya, saya yakin insha-Allah, Bank Negara Malaysia dan seluruh jentera Kerajaan mampu menanganinya seperti kita saksikan hari ini dan beberapa hari kebelakangan ini di mana, ringgit sudah merangkak-rangkak lebih kukuh, perlahan-lahan dan saya yakin insya-Allah seperti mana disebut oleh Gabenor Bank Negara, petunjuk jelas bahawa ringgit akan kian mengukuh.

Saudara-saudari yang dihormati sekalian,

 

  1. Mengapa saya tekankan soal makro ekonomi negara kita yang mampan ini? kerana dengan kekuatan inilah boleh kita manfaatkan untuk membela nasib rakyat. Awal pagi tadi sekitar jam 8 pagi, sebelum Mesyuarat Jemaah Menteri, saya ke Lembaga Hasil Dalam Negeri dan dalam hasil kutipan mereka bagi tahun 2023 mencatat hasil tertinggi dalam sejarah negara kita.
  1. Saya bertanya untuk apa kita kutip hasil? adakah supaya pemimpin-pemimpin boleh boros? supaya Perdana Menteri, Menteri-menteri dan pemimpin Kerajaan boleh mengaut kekayaan? Atau supaya kita dapat mengurus negara ini dengan lebih baik dan pulangkan kekayaan itu kepada rakyat? Ini Alhamdulillah menjadi tekad kita.
  1. Saya mengucapkan terima kasih juga kepada syarikat- syarikat yang terlibat dalam menyantuni OKU dan bekas banduan, mengadakan ruang dan peluang pekerjaan, memberi latihan kepada mereka dan saya harap tidak semuanya hanya bergantung kepada insentif yang disediakan oleh Kementerian dengan had RM9,000 dalam Program Daya Kerjaya tetapi saya percaya boleh ditingkatkan kerana sukar untuk kita baik Menteri, Ketua Pengarah atau saya diminta tidur lena dalam keadaan terdapat OKU yang terlantar. Berilah peluang kepada mereka supaya mereka seperti mana diceritakan oleh saudara YB Tuan Sim Chee Keong tadi supaya diberi kesempatan.
  1. Kalau ditanya apa itu keadilan? Keadilan itu bukan hanya mengambil orang yang tercerdik dan terpintar, kita ambil orang kurang pendengaran, tidak ada penglihatan dengan orang yang segar bugar sihat, anak orang kaya dengan sekolah terbaik dan kita kata kita pilih berdasarkan merit, tidak semuanya tepat kerana justice is after all fairness. Kalau kita fairness ini maknanya baru ada justice.
  1. Jika kita suruh dia bersaing di kalangan yang kurang sama kedudukannya, maka dia bukan lagi keadilan sebab itu saya harap Kerajaan khususnya PERKESO dan KSM atau KESUMA dapat memberikan perhatian bersama dengan semua kementerian dan jentera Kerajaan yang ada.

Saudara-saudara,

 

  1. Dalam konteks ini, saya tidak berhajat untuk menjelaskan apa dia perancangan teliti oleh Kementerian khususnya PERKESO. Saya nak tumpukan sedikit tentang cabaran Malaysia menghadapi masa depan. Menteri sebut tadi, kehadiran beberapa syarikat-syarikat gergasi, syarikat Infineon sebanyak RM25 bilion, kemudian NVIDIA, syarikat gergasi dalam bidang Artificial Intelligence (AI) bersetuju untuk masuk ke Malaysia. Syarikat automotif besar Geely, sedia mewujudkan kota automotif di Tanjung Malim.
  1. Apa relevan dengan kita? Kita kena sediakan tenaga mahir, maka latihan tambahan kemahiran, upskilling itu patut diberikan tumpuan. Saya nak gesa KESUMA dan PERKESO supaya tidak perlu terikat dengan sistem pendidikan yang ada. Dia terpaksa ikut struktur yang ada KESUMA dan PERKESO harus ada kebebasan untuk melihat keperluan semasa.
  1. Kita dikejutkan umpamanya syarikat baharu selain daripada syarikat NVIDIA, gergasi AI muncul, Open AI dan Chat GPT, suatu ikhtiar atau penemuan baharu yang menggemparkan. Dalam masa yang singkat, Open AI sekarang memperkenalkan Sora, aplikasi baharu yang paling canggih, boleh menzahirkan aplikasi yang cukup hebat, boleh menyaingi Bollywood dan Hollywood.
  1. Maka apakah kita harus tunggu sehingga ada Fakulti khas, Jabatan khas? Apakah tidak mungkin PERKESO fikir ke arah ke depan ini, dan tidak terikat dengan latihan-latihan yang berbentuk lama. Orang yang sudah lama bekerja, sama ada yang baharu dan tentunya baharu bagi tumpuan. Apa kata kalau kita mulakan dengan staf PERKESO sendiri yang sudah 30-an dan 40-an, beri mereka program upskilling ini dan pastikan diberikan contoh yang baik bahawa upskiling dalam bidang-bidang AI yang baharu dan mencabar agar dapat mereka kuasai supaya dapat terangkat mutu tenaga kerja kita kemudian kita pindahkan kepada kawasan-kawasan lain di kalangan pekerja dan saya harap Persatuan Pekerja akan melihat perkara ini.
  2. Kadang-kadang kita ini terlalu terikat, Menteri dengan pemikiran Kementerian lamanya, begitu juga KSU dan KP kerana sukatan-sukatan peraturan lamanya, begitu juga dengan Persatuan Pekerja dengan format dan keutamaan Persatuan Pekerjanya.
  1. Jadi hal-hal yang baharu tidak sempat kita gapai. Sebab itu tema saya selalunya mengatakan dengan AI, IT dan upskilling bermakna kita mahu menggapai yang di langit. Menggapai di langit atau mencapai sesuatu yang baharu dan ini tidak ada dalam kuliah. Dalam kuliah kita 10 tahun yang lalu sudah ketinggalan. Jurutera yang belajar 15 tahun yang lalu akan dapati bahawa beberapa program dan penemuan baharu itu sudah jauh lebih ke depan.
  1. Yang belajar IT di universiti lima tahun yang lalu akan tidak pernah tahu sangat dengan Open AI, Chat GPT, Sora kerana ini semua penemuan-penemuan baharu sebab itu saya katakan upskiling harus juga dapat mencungkil tenaga yang terbaru. Pilih mana-mana kepakaran yang ada, pinjam mereka sekejap, biar mereka beri taklimat dan biarlah pengurusan PERKESO dan KSM itu dapat menguasai bidang sedikit dan kemudian minta mereka sampaikan kepada kalangan yang dipilih.

Saudara-saudara,

 

  1. Saya tekankan bahawa selain daripada TVET yang kita bagi tumpuan yang besar dengan kerjasama PETRONAS, dan Government-Linked Companies (GLC), memang saya tidak dapat nafikan tetapi saya tidak fikir Malaysia boleh melonjak ke depan dengan hanya pertahankan apa yang ada. Sistem pendidikan kita memang baik, tenaga kerja kita dan jurutera kita baik, lulusan TVET kita baik tetapi tidak cukup dalam persaingan dan perubahan yang sangat cepat.
  1. Saya sering menyebut tentang apa yang disebut zaman atau era pasca normal (Postnormal Times). Postnormal Times itu apa? chaotic, complex, and contradiction tetapi, kepesatan perubahan atau kepantasan perubahan itu menakjubkan. Orang yang memikir dan mengurus dan mengikut kaedah lama akan ketinggalan. Kita mahu Malaysia ini hebat, terangkat, maju dan dapat bersaing dengan semua negara-negara maju. Kita tidak boleh capai kalau kita gunakan kaedah lama.
  1. Saya mahu PERKESO dengan KESUMA mendepani persoalan ini, ada kebebasan dan ruang, upskilling yang luar daripada sistem pendidikan yang kita biasa dan kenal, dan insya-Allah dengan Menteri, Timbalan Menteri, KSU dan juga tenaga keluarga PERKESO, saya harap ambil perhatian.
  1. Saya tidak punyai jawapan dalam semua perkara ini tetapi yang saya tahu kalau kita tidak lakukan perubahan, kalau kita tidak bersedia meninggalkan kaedah lapuk yang lama, memikirkan ke depan, menggali dan memperkenalkan instrumen, ikhtiar baharu, menggunakan beberapa ruang dan kaedah baharu, kita akan ketinggalan.
  1. Saya tekankan hal ini kerana saya yakin KESUMA dan PERKESO punyai keupayaan sama ada pelajar atau pelatih itu OKU atau tidak, bagi saya itu secondary. Yang penting peluang mesti diberikan. Kita akan ketepikan beberapa kaedah dan karenah birokrasi, KSU akan pastikan dan kita akan cuba robah apa-apa peraturan yang ada asalkan bawa kepada Menteri dan Kementerian dan seterusnya kalau perlu ke Jemaah Menteri dan saya akan bagi jaminan, selagi saya dapat amanah ini, saya akan pastikan kita boleh rombak asalkan kita boleh capai kemajuan yang diharapkan kerana Malaysia berhak terangkat semula sebagai negara maju dan hebat di dunia.
  2. Itulah tujuan saya hadir pada hari ini, memperkukuh keterangkuman, memastikan kita beralih dengan anjakan baharu, tidak terikat melainkan yang baik dan perlu dipertahankan dan robahlah dengan sebaiknya. Istilah-istilah memukau tidak akan bermakna, anjakan paradigma, perubahan menyeluruh, ini semua slogan. Akan tetapi yang akan menentukan ialah dalam tempoh satu bulan ini, apa cadangan khusus PERKESO dan KESUMA diangkat kepada Menteri supaya dapat dimaklumkan kepada saya dan Jemaah Menteri.
  1. Berapa lama? Satu bulan. Satu bulan keputusan yang dibuat, cadangan bagaimana boleh kita adakan kejutan baharu dalam bentuk latihan termasuk apa yang dimaksudkan upskilling jauh lebih hebat daripada apa yang kita lakukan sebelum ini dan ini saudara tahu gesaan kita dalam beberapa perkara yang kita lakukan.
  1. Saya pergi ke Melaka Tengah, melihat IPD, sudah daif dan lusuh maka kita bagi tempoh satu bulan dalam rencana pemindahan dan laporan dalam satu bulan. Maka tadi dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, ada laporan tentang tindakan ini diambil.
  1. Saudara, kalau ada di bawah pimpinan Menteri dan KSU, pastikan laporan satu bulan maka kita tahu ada tindakan iaitu Laporan Kemajuan tiap bulan dan saya harap rakan-rakan PERKESO tidak anggap ini sebagai satu beban tapi suatu kesempatan luar biasa bahawa PERKESO diberikan amanah dan kepercayaan yang besar untuk membawa perubahan yang sangat mendesak dan kritikal bagi negara Malaysia tercinta.

Terima kasih.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.