
TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN HARI HASIL KE-28
LEMBAGA HASIL DALAM NEGERI
1 MAC 2024 (JUMAAT)
DEWAN BANGSAWAN, MENARA HASIL
CYBERJAYA
Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh,
Salam Sejahtera, Salam Perpaduan dan Salam Malaysia MADANI.
- Alhamdullilah kita dapat bersama-sama pada pagi ini dalam Sambutan Hari Hasil ke-28. Saya memberitahu kepada YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq bin Jamaluddin sebentar tadi, inilah julung kalinya, pada hari yang diadakan Mesyuarat Jemaah Menteri pada jam 9.30 pagi, saya dipaksa hadir untuk bersama-sama di sini.
- Saudara dapat bayangkan betapa pentingnya harapan pimpinan negara dan rakyat, menganggap ini sebagai antara institusi atau agensi utama negara sehingga saya merasakan perlu untuk hadir secara peribadi walaupun hari ini agak mendesak.
- Di antara sebabnya ialah kerana khidmat dan jasa serta pengorbanan saudara. Agensi ini perlu untuk memastikan hasil yang lumayan dan hasil itu, kalau diikat dengan konsep negara MADANI, dengan tatakelola yang baik, pengurusan yang cekap, mengelakkan daripada ketirisan pembaziran dan rasuah, pulangan itu adalah kepada rakyat dan negara.
- Asas cukai kita masih rendah iaitu 11%, jauh lebih rendah daripada Thailand 16.4% atau Singapura 12.6%. Oleh yang demikian, tugas kita itu lebih mencabar kerana dengan asas cukai yang rendah dan berhadapan dengan bilangan syarikat yang membayar cukai pun relatif rendah. Syarikat-syarikat yang ada di negara kita umpamanya, dari 1.5 juta syarikat berdaftar di Malaysia, kurang dari setengah juta itu yang membayar cukai – 435,000.
- Ini bermakna kurang daripada 29% syarikat berdaftar yang membayar cukai. Saya sentuh atau singgung hal-hal sedemikian untuk menjelaskan betapa mendesak dan perlu kecekalan, kecekapan, kepantasan, pengurusan dan pendirian rakan-rakan dan keluarga Lembaga Hasil Dalam Negeri, untuk menjalankan tugas mengingatkan bahawa jumlah yang membayar itu kecil dan hasilnya itu sangat diperlukan bukan sahaja untuk menjamin pertumbuhan negara tetapi untuk memberi keselesaan kepada rakyat.
- Kendati pun begitu, pada tahun 2023, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kerana Lembaga Hasil Dalam Negeri berjaya mencipta sejarah baharu dengan kutipan cukai sebanyak RM183.34 bilion, lebih dari RM7.8 bilion atau 4.49% dari jumlah kutipan tahun sebelumnya.
- Seterusnya, saya kaitkan dengan urusan tatakelola kerana saya seringkali tekankan di mana-mana acara, di Parlimen dan di luar Parlimen bahawa negara ini harus beralih daripada keselesaan dan kebiasaan untuk menerima kenyataan bahawa mencuri, mengizinkan ketirisan, membiarkan pemimpin-pemimpin menggondol kekayaan yang bukan hak mereka itu nampak dibiarkan.
- Jadi akhirnya, kita lihat umpamanya segelintir kecil yang berkuasa, baik di kalangan politik ataupun penjawat awam dan juga di syarikat-syarikat kerajaan memperoleh kekayaan yang luar biasa. Saya mahu hentikan amalan ini dan di antara jentera yang kita harapkan selain dari SPRM, di kalangan penjawat awam dan utamanya ialah keluarga Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk menyelamatkan bangsa dan Negara.
- Aspirasi MADANI ini kalau tidak dihadam, dihayati akan hanya menjadi slogan sahaja sebab tu pada hari Jumaat yang bertuah ini kita harus ingat apa erti keyakinan – “Yaaa aiyuhal lazeena aamanus tajeeboo lillaahi wa lir Rasooli izaa da’aakum limaa yuhyeekum” (Surah al-Anfal:24), itu seruan dan gagasan Al-Quran Al-Karim kepada yang beriman.
- Menjalankan dan menyeru ke arah kebaikan itu adalah tuntutan tetapi bezanya bukan hanya “izaa da’aakum”, seruan pengurusan harus baik, elak ketirisan, tolak rasuah dan penyelewengan tetapi kita terus mengizinkan. Ukurannya itu bukan sekadar menyeru “izaa da’aakum”, tetapi menghayatinya dalam diri kita, jabatan kita dan bagaimana kita melaksanakan dan menghayati “limaa yuhyeekum” – actualization of the ideal atau cabaran yang penting.
- Saya tekankan hal ini kerana saya percaya insya-Allah, YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq bin Jamaluddin meneruskan usaha rakan-rakan terdahulu dan dapat terus meningkatkan usaha.
- Penyakit kita ini di antara lain adalah kita selesa. Apa lagi masalah kita? Kita sudah tingkatkan hasil, kita sudah kurangkan ketirisan tetapi dalam hidup ini kalau kita tidak Strive for Excellence atau dalam rumusan hadis Nabi Muhammad SAW, “Itqan Fil Amal”, tidak efisien dan Excellence in Action, maka amalan kita itu tidak ada tanda manusia.
- Sebagai seorang manusia apatah lagi manusia muslim itu harus dinamik, harus tidak mudah rasa selesa, tidak jumud dalam memahami ilmu, menguasai ilmu atau melaksanakan tugas atau mencari pendekatan-pendekatan baharu. Harus sentiasa rasa dirinya tercabar dan membuat sesuatu yang lebih baik serta bertanggungjawab kepada jabatannya, kepada rakyatnya dan yang utama kepada Allah SWT.
- Sebab itu saya menggesa rakan-rakan untuk merasakan sama-sama bertanggungjawab kerana sudahlah jumlah syarikat kecil yang bayar. Kalau kita lihat permainan angka 31 Disember 2023, pembayar cukai individu di Malaysia ini 5.7 juta, masih belum mencapai tahap negara berkembang yang sepatutnya.
- Namun yang demikian, pada hari ini saya tidak boleh menafikan kerana langkah-langkah diambil, ikhtiar-ikhtiar atau inisiatif-inisiatif baharu yang diperkenalkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri telah berjaya meningkatkan hasil kepada negara. Jadi saya mengulangi, pengiktirafan itu dan penghargaan itu, dengan harapan terus meningkat lebih baik daripada unjuran tahun 2024. Itu adalah cabaran bagi YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq bin Jamaluddin.
- Dalam pada itu, kita tahu juga Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) 2.0, sehingga 15 Februari 2024, Lembaga Hasil Dalam Negeri telah menerima 68,806 kes pengisytiharan sukarela berjumlah RM610 juta daripada pembayar cukai baru dan sedia ada. Akan tetapi, saya tekankan secara umum di Asia Pasifik, kutipan kita itu masih rendah.
- Kita mewarisi hutang yang tinggi, defisit yang membengkak, walaupun begitu cabarannya, Alhamdulillah dengan kepantasan rakan-rakan di perbendaharaan di bawah YBhg. Datuk Johan bin Mahmood Merican, kita dapat mengurangkan 5% dan insya-Allah akan terus berkurang.
- Mengapa harus kita mengurangkan defisit? Kalau kita terus meningkatkan hutang dan defisit, itu akan menjadi beban kepada generasi akan datang. Kutiplah hasil banyak mana pun tetapi amalan kita terus boros dan tiris, bebannya kepada generasi akan datang. Itu bukan pimpinan yang bertanggungjawab. Sebagai contoh, ibu bapa demi keselesaan anak-anak, hutangnya meningkat lalu meninggal, beban itu jatuh kepada anak-anak. Itu bukan pengurusan yang baik.
- Kita warisi iaitu kegagalan pimpinan yang terus berbelanja secara boros dengan ketirisan begitu banyak. Kita tidak boleh lagi meneruskan dan mempertahankan sistemnya. Inilah sebab usaha-usaha diambil untuk meningkatkan keyakinan.
- Pelaburan masuk dengan rekod tertinggi dalam sejarah kerana keyakinan pelabur domestik dan pelabur luar. Inflasi di tahap terendah. Kadar pengangguran kian rendah. Kita cabar dengan kedudukan ringgit dan saya terangkan di banyak tempat walaupun ada kritikan dan rakan-rakan di perbendaharaan dan Bank Negara mengambil langkah-langkah yang wajar tetapi tidak wajar untuk hanya dikaitkan soal ringgit padahal inflasi rendah.
- Pada krisis tahun 1998, nilai ringgit jatuh merudum dan inflasi terus melonjak. Pelaburan tidak datang, pengangguran meningkat dan syarikat-syarikat yang muflis itu mencecah ratusan ribu. Hal sedemikian tidak berlaku. Jadi kita seharusnya melihat dalam konteks keseluruhannya.
Saudara-saudara,
- Bagi terus mengangkat martabat rakyat dan negara, hasil sangat penting. Untuk apa kita mengutip hasil? Saudara lihat pada tahun ini Sumbangan Tunai Rahmah (STR) meningkat, memberi manfaat kepada hampir 10 juta rakyat daripada 7-8 juta rakyat sebelumnya. SARA iaitu Sumbangan Asas Rahmah, dahulu memberi manfaat kepada 210,000 rakyat, sekarang memberi manfaat kepada 700,000, rakyat. Hasil peningkatan itu daripada mana? Bagaimana mungkin kita meningkatkan sumbangan. Jadi, saya berharap orang yang menerima SARA dan STR jangan lupa jasa Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kastam dan lain-lain.
- Kalaulah tidak kerana usaha saudara, tidak dapat kita meningkatkan. Untuk pekebun kecil getah kita tambah, untuk nelayan kita tambah, untuk anak pergi ke sekolah kita tambah, peruntukan baiki tandas seluruh negara tahun lalu kita tambah. Tahun ini perumahan penjawat awam, perumahan polis dan tentera, kita telah memberi peruntukan tambahan, ini adalah hasil yang membantu kita memberikan pulangan balik kepada rakyat.
- Walaupun saya sebut beberapa projek tambahan termasuklah tebatan banjir dan lain-lain. Semua yang kita lakukan itu di antara penyumbang utama tentunya rakyat tetapi kecekapan saudara-saudara membantu secara langsung kepada rakyat. Mudah-mudahan Allah SWT memberikan ganjaran yang setimpal kepada saudara-saudara kerana jasa untuk membantu mengurangkan beban rakyat susah di negara kita.
Saudara-saudara yang dihormati sekalian,
- Sebentar tadi, YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq bin Jamaluddinada menyebut tentang kecekalan Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk terus menyempurnakan tugas mereka iaitu mengutip cukai dan hasil daripada semua tanpa mengira kedudukan mereka.
- Jika saudara masih ingat dahulu, apabila saya membantu menetapkan Lembaga Hasil Dalam Negeri sebagai agensi, ia tidak mudah. Pada ketika itu tidak mudah tetapi saya bangga kerana saya dapat memberi sedikit sumbangan untuk tidak menjadikan hasil ini sebagai Jabatan.
- Ada sejarahnya. Saya datang ke Jabatan Hasil Dalam Negeri masa itu dan saya mendengar laporan. Kemudian mereka beritahu pada ketika itu terdapat puluhan syarikat-syarikat raksasa dan gergasi yang terkenal di negara ini tetapi sukar membayar cukai. Ada yang membayar setengah, ada yang baru suku. Kerana mereka itu terlalu besar, gergasi dan naga, siapa berani singgung? Tetapi apabila saya berbicara dengan pimpinan pengurusan jabatan ketika itu, mereka berkata kalau ada kesediaan menteri untuk memberikan laluan, beri kami tempoh berapa bulan dan mereka laksanakan sebaiknya.
- Saya hormat sikap yang demikian dan mereka pergi secara berani tanpa mengira di peringkat bawah termasuk gergasi dalam perniagaan dan mereka berjaya mengutip hasil buat pertama kalinya kerana sikap dan ketegasan kita bersama.
- Mengenang jasa mereka, kesungguhan dan pengorbanan, malah risiko yang mereka hadapi, saya memutuskan untuk menaikkan Jabatan menjadi agensi Lembaga Hasil Dalam Negeri.
- Jadi saya harap semangat itu kekal supaya jangan ada orang yang rasa kerana pengaruh dan kedudukan, mereka terlepas dari bayaran cukai. Ada ke tidak ada? Ada. Adalah keperluan kita lebih tegas kerana kita tidak boleh memberi gambaran yang atas atau paling maha kaya itu terselamat daripada tindakan. Mesti ada kesungguhan dan keberanian saudara.
- Tidak kira kaitan kedudukannya seperti saya selalu sebut, saudara bertugas menjalankan tanggungjawab. Apakah dia Ahmad atau Ah Seng, Tan Sri atau Tun? Jangan dikira. Saudara hanya kira dia bayar cukai itu atau tidak. Kalau tidak membayar cukai, geledah dan ambil tindakan. Barulah hebat saudara-saudara.
- Jadi dengan lafaz “Bismillahir Rahmanir Rahim”, saya dengan ini merasmikan Majlis Sambutan Hari Hasil ke-28 LHDN.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Similar Posts:
- PENJAWAT AWAM DISERU BAWA PERUBAHAN KEMBALIKAN MALAYSIA KE TAHAP GEMILANG
- KERAJAAN TIDAK BERCADANG PERKENAL GST, CUKAI KEPENGGUNAAN BERASAS LUAS TANGANI ISU HUTANG NEGARA – PM ANWAR
- SUBSIDI BERSASAR : PM ANWAR BERI JAMINAN KEPENTINGAN PIHAK INDUSTRI TURUT DIBERI PERHATIAN
- DENGAR PENDAPAT PAKAR NAMUN JANGAN SESEKALI ABAI PANDANGAN RAKYAT BIASA – PM ANWAR
- KERAJAAN TUMPU USAHA TURUNKAN HARGA BAHAN MENTAH – PM ANWAR