TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS PENUTUP PROGRAM MADANI RAKYAT 2024 ZON UTARA DAN SAMBUTAN AIDILFITRI MADANI PULAU PINANG

 

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

 

MAJLIS PENUTUP PROGRAM MADANI RAKYAT 2024 ZON UTARA DAN SAMBUTAN AIDILFITRI MADANI PULAU PINANG

 

5 MEI 2024 (AHAD)

 

TAPAK PESTA SUNGAI NIBONG

PULAU PINANG

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam sejahtera.

 

Alhamdulillah, Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolil Kareem

YB Tuan Chow Kon Yeow,

Ketua Menteri Pulau Pinang;

YB Tan Sri Dato’ Dr Johari bin Abdul,

Yang di-Pertua Dewan Rakyat;

YB Tuan Loke Siew Fook,

Menteri Pengangkutan;

 

Menteri-menteri;

Wakil Kerajaan negeri Kedah dan Perlis;

Ketua-ketua perkhidmatan;

 

Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri; dan

 

Rakan-rakan yang saya muliakan.

  1. Saya ucap terima kasih kepada Kerajaan negeri dan Kementerian Pengangkutan sebagai penyelaras yang bersama-sama menjayakan program ini. Tentunya kita ucapkan juga penghargaan kepada pegawai-pegawai yang mengurus yang diketuai oleh Tan Sri Zuki Ali, Ketua Setiausaha Negara yang membantu melalui penyelarasan agensi-agensi pusat dan negeri, menjayakan program di beberapa negeri selama ini dan penutup untuk bahagian utara di Pulau Pinang hari ini.
  1. Pulau Pinang telah mencatat kemajuan yang pesat, pemacuan pertumbuhannya itu agak luar biasa. Usaha menarik pelaburan juga tinggi dan beberapa bulan yang lalu saya diminta oleh Ketua Menteri yang meneruskan kerja-kerja penarikan (pelabur) ini dan rekod itu dipertahankan seperti mana pernah dilakukan sebelumnya oleh mantan Ketua Menteri Lim Guan Eng dan ini telah menyaksikan perubahan yang menakjubkan. Saya diminta merasmikan fasa 3 Projek Perindustrian Batu Kawan. Hanya setelah beberapa bulan, kawasan itu hampir sepenuhnya dimiliki oleh pelabur-pelabur sehingga Kerajaan di Pulau Pinang terpaksa memikirkan untuk mengembangkan lagi kawasan. Sebab itu kita selain daripada Kulim Hi-Tech dan kawasan perindustrian yang dirancang oleh Kedah di Gurun, kita juga merancang satu projek KIGIP di Kerian Hi-Tech dengan fokus hijau. Ini akan menjadi juga pusat dan seperti mana Kulim Hi-Tech, sinerginya masih lagi pelabuhan dan Lapangan Terbang Pulau Pinang.
  1. Kerian itu di antara kawasan pantai barat majoriti Melayu yang dianggap miskin dan kurang pesat pembangunannya. Jadi pemilihan kawasan itu dengan kerjasama Kerajaan negeri Perak akan membantu untuk memacu pertumbuhan yang menyegarkan, memberi peluang pekerjaan dan memberi fokus tentang dasar kita tentang transisi tenaga (energy transition). Fokus itu akan memberikan tarikan kepada pelabur di dunia Arab dan juga barat dan negara China yang sekarang kadang-kadang mensyaratkan semua kegiatan pelaburan hanya dengan tenaga hijau. Sama ada green hydrogen, ammonia dan ini akan diusahakan tenaga alternatif sekurang-kurangnya.
  1. Apa manfaatnya? Sebab itu saya kata tiap pembangunan itu tidak dilihat dari segi silo. Memang kalau Ketua Menteri, Menteri Besar akan tentunya fokus kepada negeri, tetapi saya tidak bimbang. Sebab selalunya kalau Kulim Hi-Tech tumpuannya di Kedah, tetapi manfaat juga kepada Pulau Pinang, begitu juga Kerian. Kemudian dalam program-program lain seperti mana yang berlaku di Selangor atau di Johor, manfaatnya itu juga melimpah ke negeri-negeri lain.
  1. Dalam kawasan Perak kerana kebimbangan terutama Nibong Tebal tentang bekalan air, saya percaya dengan hubungan yang lebih baik dengan negeri Kedah akhir-akhir ini mudah-mudahan dapat kekal. Saya percaya, boleh dirunding cara yang lebih profesional, keperluan Pulau Pinang bekerjasama dengan Kedah dari soal pembekalan air.
  1. Di samping itu, inisiatif Kerajaan negeri yang dimulakan sejak dahulu oleh saudara Lim Guan Eng diteruskan dan kita menerima berita baik kerana Tuanku Sultan Nazrin, sultan negeri Perak dan Kerajaan negeri, YB Dato’ Seri Saarani bersetuju untuk menyediakan bekalan air dari Sungai Perak dan mengalir melalui industri hijau Kerian dan sekurang-kurangnya ke Seberang Perai. Fasa pertama akan sampai ke Seberang Perai, masuk Nibong Tebal dan Sungai Bakap.
  1. Sambutan juga luar biasa. Saya ucap terima kasih kepada rakyat Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan juga saya percaya dari Perak yang hadir untuk menjayakan program hari ini.
  1. Jadi saudara-saudara, dengan kekuatan dan kestabilan politik yang ada, fokus kita mestilah menjana pertumbuhan ekonomi. Seperti mana saudara Chow Kon Yeow sebutkan sebentar sebentar tadi, kunjungan saya ke dunia Arab baru-baru ini, khususnya ke Riyadh atas undangan Putera dan Perdana Menteri Mohammed bin Salman untuk hadir ke World Economic Forum. Kita diberikan kesempatan menyampaikan sebagai panel utama yang pertama, dan dalam panel tertutup. Saya telah diberikan penghormatan untuk merumuskan semua pandangan yang dikemukakan oleh Presiden dan Perdana Menteri yang hadir, kebanyakannya dari dunia Arab, EU, dan IMF. Saya diminta merumuskan pandangan itu dan saya rasa ini satu penghormatan yang besar kepada Malaysia untuk diberikan peluang menyampaikan pandangan. Tentunya bagi pihak persidangan dan menumpukan juga keutamaannya kepada Malaysia.
  1. Selain daripada Aramco yang melabur besar di Pengerang, sehingga puluh bilion ringgit, yang terakhir ini adalah dari ACWA Power. Jadi syarikat ACWA, syarikat energy terbesar di Arab Saudi, bersetuju untuk melabur dan diberikan dalam tempoh sekarang sehingga 4-5 tahun akan datang sebanyak RM10 bilion. Ini satu kemajuan yang kita harap walaupun ia tak sampai ke Pulau Pinang tetapi ia akan menjana pertumbuhan ekonomi yang membanggakan.

Saudara-saudara,

 

  1. Apa cabarannya? Itu yang saya sebut dalam World Economic Forum. Dia tanya, “What is the challenge that you faced with a capacity to attract investors?”. Fokus kita sekarang adalah yang pertamanya, dasar yang jelas, kemudian, kecepatan kelulusan. Saya ucap terima kasih kepada Tan Sri KSN dan pegawai-pegawai yang mengambil pandangan dan tindakan secara serius. Pelabuhan harus efisyen. Lapangan terbang harus efisien. Maknanya tidak boleh lagi terima orang terpaksa tunggu berjam-jam. Saya beri contoh kalau saudara tunggu 2 jam di Lapangan Terbang New York, orang tak jadi masalah sebab New York menjadi satu attraction yang besar di dunia. Tetapi kalau 2 jam di Pulau Pinang atau di Kuala Lumpur, KLIA, orang tidak akan maafkan. Sebab itu saya tentunya mengambil keputusan seperti mana rakan-rakan Jemaah Menteri mengatakan bahawa semua langkah yang perlu diambil dan jangan bagi alasan-alasan remeh kerana orang tidak dapat bersabar dengan taraf inefficiency dalam servis.
  1. Oleh kerana mengiktiraf sumbangan perkhidmatan penjawat awam dan kesediaan mereka menerima pandangan baru, Kerajaan MADANI ini mesti melakukan anjakan. Kalau kita disebut ‘Islah Mastata’tu’ maknanya apa? Reform sedaya upaya kita. Reform dalam semua bidang. Maknanya tahap kecepatan kelulusan itu harus lebih baik. Kalau dalam rundingan-rundingan saya dengan Kerajaan Negeri ataupun dengan peringkat Persekutuan, semua ada alasan. “Kami dah efisyen” “Semua baik”, tapi tak benar. Setiap kali saya jumpa dengan pelabur-pleabur luar, dia kata masih ada.
  1. Efisyen itu tidak boleh dibanding dengan 5 tahun yang lalu. Efficiency itu, ‘Itqan fil amal’ itu mesti dibandingkan ketimbang keupayaan negara-negara lain meluluskan. Vietnam umpamanya muncul sebagai gergasi di rantau ASEAN dan kekuatan dia adalah kecepatan kelulusan dan dalam beberapa aspek mengalahkan kita. Saya tidak rasa Malaysia harus kalah dari segi efficiency kerana tarikan dari kekuatan tenaga kerja, penguasaan Bahasa Inggeris, latihan yang lebih baik, itu semua ada pada kita.
  1. Sebab itu saya harap Kerajaan-kerajaan negeri memberi kerjasama sepenuhnya, ada langkah-langkah yang diambil tetapi perhatikan kelemahan-kelemahan kita. Di peringkat pusat, peringkat negeri dan peringkat majlis perbandaran atau local councils. Saya tegaskan ini kerana ini input yang diberikan oleh semua. Sebab itu kalau macam Infineon yang bersetuju melabur 5 bilion euro ke Kulim Hi-Tech, dia kurang hadapi masalah kerana sistem Kulim Hi-Tech itu lebih efisyen, baru dan terkeluar daripada kaedah yang ada dalam majlis perbandaran. Jadi sementara saya hargai, saya minta saudara buat perubahan. Kalau tidak, dalam kajian kita dalam sistem persaraan yang telah saya umumkan, kita masih boleh cerakinkan lagi mana-mana jabatan yang rasa lembab itu akan dikurangkan peratus kenaikan. Boleh begitu? (nada seloroh).
  1. Kita umumkan baru-baru ini kenaikan yang besar. Untuk 2025 akan mencecah RM10 bilion dan untuk tahun-tahun berikutnya lebih dari itu. Tetapi saya berani bersama rakan-rakan Jemaah Menteri membuat keputusan itu kerana saya tidak fikir masalah beban hutang kita, kelembapan kita, rasuah yang berlaku dulu, ketirisan, harus dibebankan kepada penjawat awam. 12 tahun penjawat awam menunggu untuk dikaji semula dan dinaikkan gaji dan upah mereka dan kemudian mereka juga sanggup terima perubahan, lebih cepat bekerja, lebih bersungguh-sungguh, kadang-kadang lebih waktu, di hujung minggu dan sebagainya. Maka sepatutnya pimpinan negara mengiktiraf jasa mereka dan menaikkan gaji sewajarnya.

 

  1. Saya umumkan umpamanya kenaikan ini kenaikan tertinggi dalam sejarah Malaysia. Ya, biasa ada pembangkang yang pertikai, tak mengapa. Bila dilihat kita cerakinkan dia akan tahu bahawa kenaikan tahap yang lebih rendah itu akan mencecah lebih dari 30%. Kerana kita tidak mahu sementara kita iktiraf peranan pengurusan tertinggi, tetapi kita tidak mahu kesenjangan itu melebar. Maka kita berikan kadar upah yang lebih tinggi sekaligus dengan reform of the civil service.
  1. Tidak benar kalau orang katakan kita naikkan gaji dengan kekalkan kaedah yang ada. No. Kita naikkan gaji dengan reform of the civil service dari segi tahap efficiency, dari segi umpamanya keupayaan mereka meningkatkan prestasi kerja dan amalan mereka. Ini akan diumumkan sekaligus dengan sistem persaraan supaya pemilihan itu berdasarkan prestasi. Sekarang ini, umpamanya dia ikut tahun. Kadang-kadang orang itu lembab bekerja, dia tak hadir kadang-kadang dan ada masalah disiplin, tetapi terus dinaikkan gaji secara automatik. Jadi kita hendak peringatkan bahawa ia tidak automatik. Mungkin automatik bagi 95%, tetapi 5% yang rasa lembab itu dan ada masalah, kita akan perkenalkan kaedah supaya mereka dinafikan. Tidak adil orang bekerja bertungkus-lumus dia dapat kenaikan, orang yang malas dan lembap pun dapat kenaikan secara automatik. Jadi harus diberikan pertimbangan itu.
  1. Cabaran yang berikutnya seperti mana saya bincang dengan Kerajaan negeri Kedah semalam, dengan pelaburan yang masuk dan kelulusan-kelulusan kita yang baru, serta kelulusan terutama soal kemiskinan tegar, soal projek-projek pendidikan dan juga beberapa projek kampung tersusun yang kita luluskan dan pertimbangan untuk projek-projek infrastruktur yang mendesak. Saya minta disenaraikan ikut urutan keutamaan dan kita minta pertimbangan Kementerian Ekonomi untuk segera melihat ikut keutamaan dan keupayaan kita berbelanja untuk tahun ini atau tahun depan. Tetapi saya setuju kita laksanakan ini tanpa mengira kedudukan negeri dan sentimen politik masing-masing.
  1. Jadi saya harap mesej ini jelas dan kita bekerjasama. Tidak adil juga sesetengah daripada kawan-kawan kita terus cerita kita ini zalim dalam tindakan. Tidak benar. Ada yang mengatakan pilihan kita lebih kepada Pulau Pinang. Tidak benar. Pulau Pinang kalau kita lihat dalam sepanjang 5 tahun yang lalu, projek-projek tidak diluluskan. Kalau tengok peruntukan pembangunan Pulau Pinang itu paling rendah dibandingkan dengan negeri lain.
  1. Jadi yang diminta sekarang ini ialah LRT dan lapangan terbang dan lapangan terbang sebenarnya dibesarkan di hampir semua tempat. KLIA, Tawau kerana lapangan terbang kecil itu sudah menjadi tarikan pelancong-pelancong (negara) Timur, Korea dan China. Kita tidak ada pilihan, kita besarkan. Saya diminta pertimbangan kerana Kulim ini walaupun Menteri Besarnya menekankan berulang kali semalam, saya tidak jawab sebab Menteri Pengangkutan tidak ada. Tetapi bisik Menteri Pengangkutan, kita tidak pernah menolak keputusan kita untuk bincang dan meneliti semua faktor. Yang kita minta, proses kena ikut. Kerana ada bidang kuasa mutlak negeri, ada bidang kuasa mutlak Persekutuan. Jadi projek yang melibatkan infrastruktur yang merentas negeri, bidang kuasa Persekutuan mesti dibincang secara teliti. Keputusan mutakhir ini ialah YB Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan bersetuju untuk meneruskan rundingan, tetapi mesti ikut prosesnya. Sesetengah orang dia pakai bantai, dia tak tahu. Yang bantah umpamanya dari segi laluan penerbangan, soal sekuriti, soal bantahan daripada tentera udara, semua itu kita ambil kira.
  1. Kemudian unjuran kargo. Apakah kargo cukup? Semua itu kita bincang dan saya serah kepada Kementerian, technical committee dengan Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan. Kemudian kalau mereka merasakan patut disegerakan, kita segerakan kerana projek-projek ini akan memberi manfaat kepada negeri dan rakyat. Jadi saya tidak ada masalah itu sama sekali. Masalah dulu tergantung itu kerana pengumuman yang kita fikir kurang diteliti dan tidak mengikut proses sepenuhnya. Sekarang ini kalau minta proses dan saya rasa kesediaan pimpinan Kedah untuk terus meneliti dan kita boleh menyegerakan proses perbincangan itu. YB Anthony Loke sendiri akan ambil (perkara ini) dan akan update Jemaah Menteri.
  1. Saya fikir dalam hubungan kita patut begitu. Tetapi kalau kita terus pakai hukum dan cerca, susahlah kita nak berunding. Saya pun tak nak berunding. Biar dia reda dahulu baru kita runding. Tengah dia panas, kita jangan lagi (runding). Saya ingat cara Islam begitu juga. Jadi Alhamdulillah saya senang kerana perundingan hampir semua negeri sekarang termasuk Kelantan baru-baru ini, Pulau Pinang, Perak dan semalam di Kedah, proses itu nampak ada kematangan dalam suasana politik.
  1. Apa cabaran kita? Latihan, latihan, latihan. Kita bincang soal AI, digital, energy transition. Kita mesti latih anak-anak muda kita. Dipersetujui umpamanya TVET itu akan pastikan dilatih siapa sahaja yang mahu, termasuk Maahad Tahfiz. Hafal al-Quran tetapi beri ruang kalau dia sanggup, bagi latihan TVET. Kita tengok umpamanya TVET itu juga harus ditingkatkan, memenuhi. 3-4 hari yang lalu, Microsoft (melabur)5 bilion. Perlukan puluhan ribu pekerja dan dia kata kalau untuk semua ekosistem, mencecah ratus ribu pekerja yang harus dilatih. Apakah kita ada keupayaan itu? 10 hari bulan ini baru hendak luncurkan the first Artificial Intelligence Faculty yang akan linked dengan semua universiti-universiti yang mengajar. Kerana kalau kita tidak gapai dan kuasai bidang ini, kita akan ketinggalan. Kalau kita ambil kursus ini hanya untuk orang elit bandar, akan berlaku kesenjangan dengan orang desa, orang kampung. Jadi sebab itu peluang itu mesti di universiti, di TVET supaya kita dapat menguasai sepenuhnya.
  1. Saya hendak tekankan, harapan saya Kerajaan Persekutuan akan bekerjasama dengan Kerajaan-kerajaan negeri supaya peringkat latihan baru ini diberikan keutamaan kalau tidak kita akan ketinggalan. Kejuruteraan kita kurang 30 ribu orang sekarang. Matematik dan sains, anak-anak kita dah mula kurang minatnya. Ini saya tekankan kepada Kementerian Pendidikan. Macam mana pun harus ditekankan, dipaksa supaya ada peralihan itu segera. Kadang-kadang Kementerian ini dia kata “Okay kita buat pelan akan mula dilaksanakan tahun 2027”. Tak boleh! “Kita akan rancangkan untuk fasa pertama tahun 2028”. Tak boleh! Itu cara pendekatan lama. Pendekatan sekarang ini kita rancang sekarang, kita jalankan bulan depan, baru boleh kita bersaing dengan negara-negara lain. Kalau tidak kita ketinggalan. Jadi belajar daripada apa yang dilakukan di Singapura, Indonesia, Thailand kalau pun tidak jauh.
  1. Semua mengatakan bahawa adjustment in the universities and the education system must be done now. Kalau kita rancang untuk tahun 2026 atau 2027, AI discipline expertise itu sudah menjangkau. Kita baru belajar yang tahun 2024, hendak laksana tahun 2027. Sebab itu saya minta rakan-rakan pelaksana di semua Kementerian itu memikir pelaksanaan itu dalam kadar yang segera. We are dealing with the different world. Therefore, we require different strategy and the mode of action has to be immediate. I’m not impatient.
  1. Tetapi sebagai orang yang agak tua menekankan, patut orang muda rasa jangan tersinggung, patut dia rasa malu sebab patutnya dia lebih laju daripada saya. Saya bimbang kerana Malaysia sekarang, Astafirullahalazim bukan saya hendak takbur, tapi saya tengok minat dan dukungan luar biasa (dari negara dan pelabur luar). ACWA saya bincang pukul 9 pagi, pukul 8 malam saya jumpa Mohammed bin Salman. ACWA boleh hanya labur kerana dia adalah agensi pemerintah Arab Saudi, sekiranya Mohammed bin Salman bagi persetujuan. Saya jumpa ACWA pukul 9 pagi, pukul 8 malam Mohammed bin Salman beritahu “Yes Prime Minister, I have received the report. Everything goes right, we will go immediately.”

Saudara,

 

  1. Itu Arab Saudi tahun 2024. Kalau Arab Saudi tahun 1954 atau 1964 saya faham, dia ambil masa 2 tahun nak buat keputusan. Sekarang pagi ACWA jumpa saya, Mohammad A. Abunayyan, CEO syarikat itu dan 8 malam, Perdana Menteri, Crown Prince Mohammed bin Salman beritahu saya, “Prime Minister, yes I have been briefed and assuming the policy is correct, you have clear direction by the companies and Malaysian government approval, I have given the approval”. Tak sampai satu hari. Kerana dia rasa persaingan itu dahsyat dan kalau Saudi itu tidak dapat diversify, dia bergantung hanya kepada oil and gas, dia akan tewas. Dalam masa 10 tahun, Arab Saudi yang dulunya 90% oil and gas, hari ini 50% dah non-oil and gas. Maknanya radical shift dalam polisi pemerintah. Saya minta kalau Malaysia MADANI, shift itu harus segera. Tidak apalah masalah yang kita bercakap soal kecil, gaduh-gaduh ini soal lain. Tetapi fokus dalam training, fokus dalam approval itu harus disegerakan.
  1. Saya harap kerana rakan-rakan dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang ada, sebagai permulaan, saya harap kerjasama yang diberikan dan juga rakan-rakan Menteri-menteri pun ada di sini, Ketua-ketua Pengarah, KSU, KSN, KPPA terutamanya kerana kaji pasal gaji ini, kalau lambat dan kurang memuaskan dari segi pelarasan gaji ini, salahnya Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan kerana dia KPPA (nada seloroh).
  1. Sekali lagi saya ucap terima kasih dan saya harap fokus kita, clarity in policy dan juga pelaksanaan dari segi training, training, training dalam pendidikan itu harus ada. Saya hendak akhiri dengan satu sahaja, sebab orang bimbang Artificial Intelligence ini dia kata value neutral seperti mana knowledge Saya tanya Chief Executive Microsoft, bagaimana tentang nilai? Kita orang beragama, kita ada nilai, kita ada akhlak, kita ada halal haram, hak dan batil, maaruf dan mungkar. Saya kata “We have values, we have our own ethical, moral principles, we have our religion”. Kalau kita bawa AI yang diasak dari barat semata, kita akan hadapi masalah. Jawabnya itu relevan. Sama dengan jawapan NVIDIA. Dia kata terpulang kepada kita, apa yang kita masukkan dalam kerangka ilmu yang masuk dalam sistem AI itu. Sebab itu anak-anak kita harus ada expertise. Kalau hendak masuk prinsip Al-Quran, dalam hadis, dalam karya-karya Islam klasik Muktabar, masukkan. Jadi kita bila di Malaysia dengan teknologi baharu, kita tidak bimbang sama sekali bahawa soal nilai itu tidak asakan dan paksaan dari barat. Kita ada teknologi moden tetapi pertahankan integriti, maruah dan nilai kita sebagai rakyat Malaysia.

Wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.