TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI: MAJLIS MEMPERINGATI PROFESOR DR. SYED HUSIN ALI AL-ATAS

 

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

SEMPENA

MAJLIS MEMPERINGATI PROFESOR DR. SYED HUSIN ALI AL-ATAS

 

21 SEPTEMBER 2024 (SABTU) | 2.00 PETANG

 

AUDITORIUM INSTITUT PENGURUSAN DAN PERKHIDMATAN PENYELIDIKAN,

UNIVERSITI MALAYA

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

Alhamdulillah, Nahmaduhu Wa Nusalli Ala Rasoolilah Kareem.

 

Rakan-rakan dan keluarga saudara Profesor Dr. Syed Husinli;

Emeritus Prof. Dato’ Dr. Abdul Rahman Embong;

Timbalan Naib Canselor; dan

Rakan-rakan yang saya muliakan.

 

  1. Saya selalu menukil pandangan Roger Garaudy, seorang pemikir Perancis apabila mengenangkan pejuang, sahabat lalu yang meninggalkan kita. Kata beliau, ‘tidak bermaksud untuk sekadar menanam debu-debu dari luputnya jasad mereka tetapi untuk menyemarakkan api agar terus menyala’ – ‘Not to bury the ashes of the dead but to rekindle its flame’.
  1. Saya percaya keluarga Syed Husin Ali, Abdul Rahman Embong dan rakan-rakan tidak bermaksud sekadar mengimbau jasa seorang pemikir awam (public intellectual), penyumbang kepada kesedaran rakyat dalam bidang bahasa, sastera, masyarakat, kemiskinan, keadilan dan anti-rasuah tetapi untuk menyemarakkan semangat itu agar berbekas kepada generasi kini.
  1. Saya juga mengenali beliau sebagai seorang guru sosiologi di Universiti Malaya kemudian dengan lebih dekat kerana Syed Husin Ali itu terlibat dalam banyak kegiatan penulisan pena, sastera dan pejuang bahasa yang kental. Sikap beliau tentang kepelbagaian masyarakat majmuk di Malaysia itu tidak boleh dipertikai tetapi komitmen beliau untuk mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan juga sangat kental.
  1. Tentunya kita berdamping juga kerana dalam beberapa perbincangan, saya telah lebih kuat dalam jurus perjuangan kebangsaan dan pengaruh Islam dan beliau masih di jalur yang kita anggap sedikit kiri kalau pun tidak banyak tetapi persahabatan kita itu rapat. Disebabkan itu, saya satu-satunya, seorang sahaja yang bukan daripada Kelab Sosialis tetapi mengikuti kuliah-kuliah dan diskusi tertutup, soal perjuangan kiri dengan teks ‘The Political Economy of Growth’ oleh Paul A. Baran.
  1. Oleh yang demikian, sementara saya ikut jalur kebangsaan Islam, saya tidak melihat satu pertembungan yang dahsyat dan sengit dengan fahaman beliau terutama keprihatinan beliau tentang masyarakat miskin. Tahun-tahun berlalu, kemudian berlaku peristiwa Baling 1974 dan kami berdua bersama Gurdial bersebelahan lokap high street, Kuala Lumpur kemudian saudara Gurdial kerana beliau pakai jampi serapah, beliau terlepas, kami ini dikirim ke Kemunting.
  1. Di situ kerana bersama dengan beberapa pemimpin persatuan bahasa Cina kerana beliau dekat maka kami tentunya berdamping sangat akrab, dari pagi solat subuh sampai malam. Sebab itu apabila rakan-rakan banyak mencemuh beliau dari segi sudut kefahaman agama beliau, saya tekankan berbeza daripada persepsi awam, beliau itu sangat tekun dalam menyempurnakan solat lima waktu, saban hari membaca Al-Quran, dan penulisan tulisan jawi itu mengalahkan banyak ustaz termasuk saya. Tulisan jawi, nota-nota beliau sampai di mesyuarat-mesyuarat Keadilan, nota beliau masih dalam tulisan jawi yang sangat cantik. Itu kerana mungkin pendidikan bangsa Johor. Saya kena sebut tepat kerana Yang di-Pertuan Agong dari Johor sekarang.

 

  1. Dan di situ tentunya kita berkongsi pengalaman, berbahas, berbeza pendapat dalam banyak hal. Saya masih kuat mengekalkan pandangan-pandangan karya-karya Muhammad Iqbal umpamanya, beliau kemudian menganjurkan supaya selain daripada falsafah dan aliran Teologi, harus menekankan kepada saya supaya juga menjejak kepada permasalahan rakyat seperti mana sama-sama kita perjuangkan nasib rakyat miskin yang terlantar di Baling. Maka gabungan itu bagi saya sangat berharga. Dua tahun perbincangan saban hari, saban petang, saban malam, permainan ping pong saya kalah tetapi badminton saya menang kerana apa? kerana kami bermain di luar dan angin menyebelahi saya. Jadi demikian hubungan saya dengan Syed Husin Ali.
  1. Setelah itu, kita berdamping terus, Sabariah yang merupakan juga sahabat, seorang yang keras sekali dalam soal setinggan. Jadi semasa saya menjawat jawatan sebagai Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri, Syed Husin Ali adalah salah seorang yang luar daripada kerajaan yang punyai faks pejabat secara langsung dan Sabariah akan gunakan itu untuk menggesa dan protes soal pengambilan tanah oleh kerajaan negeri Selangor ketika itu dan terus mendesak dan menggesa supaya kita membela nasib setinggan.

 

  1. Kadang-kadang perkara ini mengambil waktu, saya terpaksa hubungi kerajaan negeri dan sebagainya. Pada satu hari, saya dengan Wan Azizah dikejutkan kerana dengan persetujuan Syed Husin Ali, Sabariah menghantar satu bas orang setinggan terus ke rumah rasmi Timbalan Perdana Menteri. Saya nak tolak tak boleh kerana ini Syed Husin Ali dan Sabariah. Nak terima itu menerima bala kerana ini bertentangan dengan pandangan dan saudara tahu keadaan bos saya yang garang pada ketika itu.
  1. Jadi saya terpaksa layan, minta Wan Azizah layan sampai waktu Maghrib dan beli nasi bungkus makan dan beri jaminan untuk menangguhkan tindakan bukan kerana saya yakin, bukan kerana saya teliti kes itu tetapi kerana saya dipaksa oleh Sabariah untuk mengambil tindakan membantu dan membela nasib mereka. Demikian persahabatan saya.
  1. Terus, walaupun pada masa itu saya adalah Timbalan Perdana Menteri, hubungan peribadi dengan beliau diteruskan. Jadi apabila saya diminta untuk berkempen di Batu semasa beliau bertanding, beliau pun tahu dan selalu mengejek saya kerana langsung tak sebut nama beliau, langsung saya elak daripada kempen yang agak keras seperti ucapan semalam tetapi sangat sederhana, jadi tidak menyenangkan calon kebetulan calon di Batu itu calon Gerakan. Jadi dia tidak sangat percaya kepada penceramah UMNO pada ketika itu.
  1. Baik, selepas itu berlaku peristiwa getir, pemecatan saya pada tahun 1998. Syed Husin Ali adalah antara yang pertama di kalangan pimpinan politik yang bukan daripada UMNO, dari UMNO ramai yang lari daripada saya, beliau datang minta penjelasan isu-isu dan mengatakan bahawa beliau komited untuk bersama dan mendukung perjuangan.
  2. Sehinggalah saya di penjara, masa itu beliau memimpin Parti Rakyat Malaya dan kita belum ada parti. Kita masih di awang-awangan, belum pasti jalur yang harus dipilih. Saya di penjara dan Syed Husin Ali paling sering ke mahkamah, di situ memberi jaminan kepada Wan Azizah dan anak-anak bahawa Uncle Syed akan tetap bersama mereka, memberi perhatian dan membela nasib mereka. Saya masih di penjara tetapi terus berutus dengan beliau tentang hala tuju negara, Parti Rakyat tentunya parti yang agak kecil tetapi punyai sejarah yang gemilang dari Ishak Haji Muhammad dan Ahmad Boestamam.
  1. Dari segi integriti kukuh, pimpinan Parti Keadilan baharu, ramai yang belum teruji. Jadi bila saudara Syed Husin Ali dan saya berbincang melalui surat dan juga melalui Wan Azizah serta saudara Saifuddin Nasution dan beberapa orang, fikir penyelesaiannya ialah penggabungan dua parti itu menjadi Parti Keadilan Rakyat. Tentu ada kegusaran dari kalangan beberapa rakan dalam Keadilan kerana takut penyeludupan ideologi sosialis masuk ke dalam Parti Keadilan Rakyat. Dan juga dalam Parti Keadilan Rakyat juga yang agak keras dengan fahaman kiri yang menganggap bahawa ini akan melunturkan kekuatan dan ideologi. Akan tetapi majoriti Alhamdulillah menerima dan setelah penggabungan itu, Syed Husin Ali diangkat sebagai Timbalan Presiden. Tentunya jauh lebih akrab dan oleh kerana saya kemudian ke penjara lagi jadi hubungan beliau dengan Sabariah dan Wan Azizah serta keluarga tentunya lebih rapat.
  1. Beliau merupakan seorang sahabat yang setia dan banyak membantu dan setelah saya dibebaskan dari penjara melihat pada masa itu Wan Azizah masih Presiden dan melihat dukungan Syed Husin Ali yang terus konsisten, tuntas dalam pandangan, tidak berganjak soal governance atau tatakelola yang baik, tidak berganjak soal gerakan membela nasib rakyat dan menekankan bahawa Parti Keadilan pada masa itu mesti meletakkan agenda pembelaan nasib rakyat, petani, nelayan dan miskin bandar, miskin kota  sebagai keutamaan.
  1. Tentunya mempengaruhi pimpinan dengan pengolahan beliau walaupun cara agak lembut dan sederhana tetapi banyak membantu dan kalau saudara lihat karya-karya dan penerbitan kita banyak dipengaruhi oleh Syed Husin Ali. Buku-buku beliau menjadi buku-buku asas dalam banyak kursus kita termasuk buku Merdeka Rakyat dan juga karya-karya lain, dan bila ada kursus-kursus, beliau menggunakan ruang itu menjelaskan dan saya telah mengingatkan beliau untuk menggunakan peluang itu meningkatkan tahap kefahaman.
  1. Masalah negara kita ini adalah masalah kecerdasan, masalah pendedahan kepada ilmu, masalah kedangkalan dalam politik, dalam ekonomi malahan dalam dunia akademik sekalipun. Saudara bayangkan, tokoh akademik dengan PhD, Syed Husin Ali dan lihat kadang-kadang mutu percambahan PhD di beberapa universiti sekarang ini. Semua itu harus menggusarkan.

 

  1. Oleh sebab itu, saya fikir karya-karya beliau harus digali dan dibahaskan. Sejak 1960-1961, saudara Abdul Rahman Embong tadi menyingkap karya-karya seperti social stratification yang mengikut orang Melayu di Kerdau, Bagan atau Kampung Bagan di Batu Pahat. Satu lontaran secara lebih saintifik tentang permasalahan dan dinamik di dalam masyarakat Melayu sendiri. Kesenjangan yang terus melebar di antara kelompok kaya dan miskin termasuk di satu daerah yang terpencil. Dan ini harus di olah semula kerana kesenjangan itu masih terus berlaku. Bukan sahaja kesenjangan di antara kaum tetapi dalam dikalangan masyarakat Melayu itu sendiri.
  1. Kalau saudara lihat umpamanya beberapa teguran saya dalam isu Dasar Ekonomi Baharu. Sementara kita menyokong langkah-langkah penstrukturan, pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum, saya keras menentang sejak tahun akhir 70-an, Dasar Ekonomi Baharu yang diperalatkan untuk memperkayakan segelintir elit Melayu terutama elit politik itu sebenarnya hasil perbincangan teliti kerangka dibuat, sebagai Presiden ABIM, sempat saya berbicara dengan saudara Syed Husin Ali.
  1. Jadi saudara-saudara, Abdul Rahman Embong tadi menyinggung soal keilmuan tetapi sebagai seorang public intellectual, kukuh beliau kerana dasar dan ilmu. Dasar dan ilmu yang berpijak kepada kenyataan hidup dan realiti masyarakat negara kita. Kemudian melontarkan idea dengan berani, menegur dengan berani dan tidak melampau dalam sikap beliau. Ini juga satu hal yang harus dikaji dan diteliti, seorang sarjana dari universiti itu tidak disuruh menjadi hanya ‘pak turut’, harus bebas berbicara dan ini yang harus kita tekankan.
  1. Dalam negara ini dan ini juga yang saya tekankan kepada Menteri Pendidikan Tinggi, sekiranya ada sekalipun yang dibicarakan tentang 3R, itu hanya sekatan apabila kenyataan-kenyataan itu dianggap sudah melampau, menghasut kaum, membenci satu sama yang lain, menggunakan agama untuk ‘mendajjalkan’ orang, ‘memunafikkan’ orang dengan mudah dan kalau di kalangan rakyat itu mungkin membawa kepada malapetaka dan rusuhan. Malah kepada bukan Islam, kalau kita ‘harbi-kan’ bukan Islam itu dalam 3R, apa maknanya? ‘Har’ itu perang, kalau kita kata bukan Melayu atau penyokong DAP ini kafir ‘harbi’, itu apabila dijelaskan di peringkat bawah itu bermakna orang menentang Perlembagaan, menentang negara dan berperang dengan negara, maknanya memberi ruang untuk bangkit berperang kerana mereka itu bukan Islam yang dianggap menyimpang dari semangat dan terdirinya prinsip negara.

 

  1. Jadi tentunya di Universiti sebahagian saudara sinis tentang mengapa kita membicarakan soal keadilan dan kebebasan, kemudian memberikan pandangan untuk menyekat sedikit sebanyak apa yang dikatakan kebebasan yang agak ketelanjuran. Umpamanya saudara lihat baru-baru ini ada muktamar yang membicarakan, ‘Kementerian Pendidikan sudah rosak kerana masuknya, bebasnya aliran komunisme di sekolah dan LGBT diizinkan diajar di sekolah’. Itu di kalangan penyokong-penyokong dianggap sesuatu yang mesti. Tentunya kita mampu jawab, saya tidak katakan untuk itu kita harus ambil tindakan undang-undang tetapi itu menunjukkan bahawa tidak semudah yang dibahaskan.
  1. Saya sentuh hal ini kerana saudara Syed Husin Ali yang memang diketahui oleh saudara-saudara seorang yang keras pandangannya untuk pertahankan kebebasan dan keadilan rakyat tidak pernah mempertikai keperluan menetapkan satu kerukunan dalam hidup dan kekangan dan sekatan terhadap ketelanjuran yang mengguna hasutan atas nama kaum dan agama.
  1. Sebab itu saya telah sampaikan kepada saudara Zambry Abdul Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi untuk segera mewujudkan dengan persetujuan keluarga Syed Husin Ali dan Hamid, wujudkan Kursi Syed Husin Ali di fakulti mana-mana di Universiti Malaya. Dan kerusi itu bukan sekadar membicara sosok Syed Husin Ali tetapi imbauan mengenai curahan pemikiran beliau dalam banyak tajuk; kemiskinan rakyat, sejarah rakyat yang sebenarnya sedikit sebanyak menyimpang daripada aliran pemikiran semasa.
  1. Saya kebetulan dapat hadam banyak karya-karya yang ditulis kemudian setelah beliau bersara kerana hampir semua karya-karya baharu ditulis tentang feudalisme, tentang Merdeka Rakyat, sejarah rakyat itu semua dikirim dan di seludup ke kamar saya di Sungai Buloh. Sebenarnya di seludup melalui fail-fail kita sebut kepada Pegawai Penjara ini fail mahkamah. Dia kata ‘ini apa tajuk lain ni?’ ‘tidak ini bahan-bahan sampingan yang saya harus baca untuk berdepan dengan hakim’ dan perkara ini menunjukkan bidang ini sangat luas. Soal Malay peasant society, soal social stratification, soal ethnic relation, conflict and harmony, ini maknanya bukan seorang sarjana yang punyai pengkhususan dalam satu bidang tertentu tetapi punyai ruang pemikiran yang sangat luas.
  1. Jadi jika Kursi Syed Husin Ali itu gagal kalau kita juruskan satu aspek yang terbatas, sebenarnya membicara soal rakyat, soal Malaysia, soal kemanusiaan dan soal perjuangan dan saya tidak tahu siapa yang layak di situ. Saudara Abdul Rahman Embong pun sudah sedikit letih. Jadi, kena tentukan di antara pelajar beliau yang betul-betul hadam pandangan ini kerana ini bukan kesarjanaan biasa, it is not intellectual germanistic, written atau plain pure conviction. It is more than just conviction, it is a courage of conviction and tenacity purpose sebab penulisan beliau itu penulisan dari keyakinan, dari kedegilan beliau, semangat yang kental bahawa sesuatu perubahan harus berlaku dalam sistem negara yang kian ‘bobrok’, kerana tatakelola yang lemah, kerana rasuah yang telah menjalar dan kerana kesenjangan yang terus melebar dan kerana mengesampingkan kehidupan rakyat miskin, desa dan miskin bandar.
  1. Saudara, sehingga saya menjawat jawatan Perdana Menteri, sebaik sahaja ruang kepada Syed Husin Ali tidak pernah di bicara soal kepentingan beliau, asyik desak saya ini belum buat, ini belum buat, saya kadang-kadang geram juga, duduk sebelah inilah senang (nada seloroh), tetapi kerana keyakinan beliau, begitulah sosok Syed Husin Ali.
  1. Satu ketika tatkala kita menguasai kerajaan Selangor, ada giliran melantik Senator, jadi kita beri kesempatan untuk Syed Husin Ali menjadi Senator, beliau tolak. Dia pun tahu Syed Husin Ali itu degil dan saya pun belajar kedegilan daripada beliau. Jadi saya kata ‘tolak tak apalah, tolak sudahlah’. Kemudian kerana beliau ingat kena pergi ke Parlimen masa itu Dewan Negara kena pakai tali leher, kena pakai kot, pantang tok nenek dia lah kalau begitu, kena pakai kasut.
  1. Jadi beliau tolak dan saya kata tolaklah. Kebetulan beliau pergi ke umrah pada masa itu, saya beritahu Tan Sri Khalid bawa usul ke Dewan Undangan Negeri, luluskan, persembahkan kepada Tuanku Sultan Selangor, dan telah ditandatangani oleh Tuanku, saya pun teks kepada Syed Husin Ali, thank you very much, don’t create problems for the party because if you do then we have problem with Dewan Undangan Negeri, we have problem with Sultan Selangor and don’t create problem, we have enough problem in this country. Itu sahaja caranya untuk Syed Husin Ali akhirnya menerima menjadi Senator. Saya belikan kasut untuk beliau, beliau marah saya kemudian saya minta tailor saya buatkan kot. Beliau kata ‘aku ada kot, bagi tali leher satu’, untuk sindir dia. Demikianlah Syed Husin Ali.
  1. Maknanya perjuangan, sumbangan beliau kepada rakyat, kepada parti dan negara tetapi apabila kita berikan jawatan ini kerana saya mahu dengan sendirinya mengangkat kedudukan Dewan Negara itu ke satu tahap yang lebih tinggi. Perbahasannya itu cukup bernilai, bukan pada jeritan dan maki hamun tetapi beliau enggan dan menerima itu atas paksaan, sebenarnya. Beliau tidak ada pun surat kata setuju, tetapi seperti mana yang saya kata, ‘kalau kamu tolak, dia masalahnya Dewan Undangan Negeri, masalah dengan Sultan Selangor dan tolonglah’. Jadi Alhamdulillah, beliau terima dan disambut baik.
  1. Kemudian terus dengan parti. Jadi satu Kursi Syed Husin Ali, itu beres, kalau tak cukup wang minta dengan Naib Canselor. Nanti kita akan teliti tengok apa keperluan dan insya-Allah sediakan. Kemudian tentang Persatuan Sains Sosial, kalau fikir Syed Husin Ali ini banyak kalau nak bantu patutnya termasuk bantu Parti Keadilan kerana beliau Timbalan Presiden Keadilan. Betul tak Abdul Rahman Embong? Ia di antara Parti Keadilan dengan Persatuan Sains Sosial, di mana saya nak bantu dahulu? Baik, jadi untuk penulisan dan kajian khusus tentang beberapa karya beliau dan kajian yang boleh diselenggarakan oleh Persatuan Sains Sosial, saya akan teliti dahulu tetapi untuk sekarang ini boleh saya luluskan RM200 ribu untuk tujuan itu dahulu. Kalau RM200 ribu itu dalam majlis lain jadi kecil tetapi Abdul Rahman Embong dan jalur kiri, besar jadinya.
  1. Jadi dua hal yang telah kita putuskan dan Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kerana kita dalam kedudukan untuk mewujudkan. Alhamdulillah, Syed Husin Ali di antara yang memberi sumbangan besar dalam bidang ini. Muhyiddin akan protes kerana CAP pun tidak dapat peruntukan sebesar itu. Jadi Kursi insya-Allah kita akan segerakan dan minta Universiti Malaya dengan Persatuan Sains Sosial bicara bersama keluarga dan sebaik siap, kita akan wujudkan dengan sesegera mungkin. Tentang dana untuk Persatuan Sains Sosial, oleh kerana Kerajaan MADANI adalah kerajaan efisien, kita boleh luluskan minggu depan.
  1. Jadi sekali lagi saya ucapkan terima kasih dan minta maaf, saya lontarkan dari isi hati saya Syed Husin Ali sebenarnya terutama lebih-lebih lagi Wan Azizah kerana semasa dia sakit, Wan Azizah itu hampir saban hari berhubungan dengan Alia untuk tanya khabar, perkembangan, ke hospital, ke rumah dan saya juga ke rumah jadi saya tidak boleh menyatakan bahawa dari segi sumbangan peribadi dan keprihatinan sekuat Wan Azizah kerana persahabatan dan kasih yang abadi kepada sahabat saya, guru saya dan teman seperjuangan saya, saudara Syed Husin Ali.

  Terima kasih.

 

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.