TEKS UCAPAN YAB PERDANA MENTERI : MAJLIS PECAH TANAH WESTPORTS 2 SEMPENA ULANGTAHUN KE-30 PENSWASTAAN PELABUHAN BARAT

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM

PERDANA MENTERI

 

 

SEMPENA

 

MAJLIS PECAH TANAH WESTPORTS 2

SEMPENA ULANGTAHUN KE-30

PENSWASTAAN PELABUHAN BARAT

 

 

27 SEPTEMBER 2024 (JUMAAT) | 10.00 PAGI

 

KAWASAN TERMINAL CT9 PELABUHAN BARAT

PELABUHAN KLANG

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan

Salam sejahtera.

Alhamdulillah, Nahmaduhu wa nusalli ‘ala rasoolihil kareem.

YB Dato’ Seri Haji Amirudin Shari

Menteri Besar Selangor;

YB Tuan Anthony Loke Siew Fook

Menteri Pengangkutan;

YB Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia;

YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri Abu Bakar

Ketua Setiausaha Negara; dan

Rakan-rakan yang saya muliakan.

  1. Saya ucap terima kasih kepada Datuk Ruben Emir Gnanalingam dan seluruh keluarga Westport kerana dapat menyelenggarakan majlis pada hari ini. Dan lebih utamanya kerana pengurusan yang baik dan dapat mengangkat prestasi dan keupayaan Westport kepada satu pelabuhan yang bukan sahaja dibanggakan dalam negara, tetapi seperti mana yang ditegaskan oleh saudara Anthony Loke, boleh diharapkan untuk mencapai di antara pelabuhan utama di dunia. Insya-Allah.
  1. Tentunya peranan pelabuhan ini kritikal dalam memacu pertumbuhan. Kita lihat umpamanya usaha rakan-rakan kita yang diteraju oleh saudara Tengku Zafrul. Pelaburan yang sangat besar dan menjadikan Malaysia ini sebagai hub, baik semikonduktor, dan dalam bidang-bidang lain, sekarang digital, tenaga, dan industri biasa. Maka, ekosistemnya prasarana, harus diperkemaskan. Sebab itu berulang kali isu pelabuhan termasuk Westport diangkat untuk pertimbangan Jemaah Menteri. Saya ucap tahniah kepada saudara Anthony Loke kerana tatkala menerajui Kementerian Pengangkutan, nampak fokus dan tumpuannya itu di hala yang tepat dan memusatkan perhatian untuk meningkatkan keupayaan bidang pengangkutan dan pelabuhan. Saya beritahu kepada Ruben sebentar tadi bahawa isu Westport termasuk soal yang berkaitan itu tak kurang 2-3 kali dibawa ke majlis mesyuarat Jemaah Menteri oleh Anthony Loke. Jadi, itu keutamaan dia.
  1. Saya tidak bermaksud untuk mengulangi kenyataan, angka dan data yang telah di uar-uarkan baru-baru ini tentang pertumbuhan yang lebih meyakinkan, jumlah pelaburan yang meningkat termasuk angka terbaru, dan termasuk pengukuhan ringgit. Semua ini petanda kejayaan kita mewujudkan satu sistem politik yang stabil dan dengan tumpuan serta fokus melaksanakan dasar yang telah disepakati. Dengan Ekonomi MADANI, transisi tenaga, transformasi digital, dan pelan perindustrian yang jelas dengan hala tujunya.
  1. Semalam saya, saudara Tengku Zafrul dan Gobind Singh hadir dalam peluncuran program AWS yang agak besar di negara kita. Yang menariknya, di antara pengurusan utama AWS itu memaklumkan kepada kita tentang keyakinan mereka atas faktor-faktor ini; negara stabil, dasar yang jelas. Kadang-kadang negara stabil, dasar tidak jelas, dasar tidak menjurus ke arah menarik pelaburan dan diakui tentang dasar-dasar. Dan saya agak terkesan kerana yang diutarakan oleh Jeff Johnson ialah bahawa dasar perindustrian, dasar digital, tenaga, itu dihadam oleh pelabur asing. Kita ingat kita luncurkan program itu sebagai program, tetapi untuk pelabur, dia nak tahu kalau pemerintahan itu stabil, diyakini, dan dia juga nak tahu tentang dasar kita. Bila dia hadam dasar, dia lihat keupayaan kita melaksanakan kecepatan, kepesatan dan ketelusan supaya jangan ada ketirisan, jangan ada penyalahgunaan kuasa, penyelewengan yang tentunya harus dipantau dengan ketat.
  1. Ini kerana melihat kepada beberapa tahap kelulusan yang diberikan, tambah meyakinkan mereka dan saudara harus ingat, baik pelabuhan Westport Klang ini ataupun di bidang-bidang lain yang saya singgung sebentar tadi, kita tidak bergerak berasingan in a vacuum. Kita berdepan dengan rantau yang dinamik. Persaingan itu sangat hebat. Maka kalau kita lembap, kita anggap kejayaan kecil itu cukup membanggakan kita, kita akan ketinggalan.

 

  1. We are dealing with a very competitive market, competitive group of nations, and we cannot therefore expect to succeed and excel without affecting serious reforms and ease of doing business in a more efficient manner and more so to avoid leakages, endemic corruption and abuse of power. That is why I’m here today. I think Ruben kept on harassing me (in a joking tone) for 6-7 month or more asked why I’m not here. Because I said I have to be convinced. I checked with Anthony Loke, was the performance is something you should be satisfied. Well, Anthony Loke gave an excellent report. So, I said okay, I decide to attend.
  1. Mendengar pandangan dan laporan beliau itu tentunya membanggakan dan ini tidak hanya di pengurusan pelabuhan. Dari Kementeriannya, MITI dan Kastam. Terima kasih Dato’ Anis kerana tegas, pastikan Kastam itu efisyen dan tidak mengizinkan apa-apa ketirisan. Iya, kadang-kadang dalam menggerakkan ini, selain daripada keketuaan lelaki, kita nak juga mesti ada pahlawan dan panglima wanita untuk menguruskan kerja-kerja kita ini. Jadi saya ucap terima kasih. Kerana sebenarnya keupayaan kita, kapasiti kita, kemampuan kita itu luar biasa.
  1. Lihat umpamanya tahun 1994, kebetulan saya Menteri Kewangan masa mengasaskan dan mendukung usaha-usaha pelaburan di Westport ini dan saya pernah hadir tahun 1994 melihat kerja-kerja awalan. Dan pergerakannya terus dengan keupayaannya tinggi dan potensinya juga besar. Maknanya setiap jurusan, itu bukan urusan saya atau menteri untuk micro manage, tetapi pengurusan di sini untuk meneliti mengapa ada negara yang mempunyai keupayaan lebih baik daripada kita. Mungkin kita kata dalam beberapa bidang kita telah mencapai tahap, tetapi ini seperti saya katakan tadi, ekosistemnya.
  1. Tetapi memang saya akui soal ini ada kaitan dengan pelebaran jalan, ada kaitan dengan keupayaan pelabuhan. Saya juga tahu, laporan saya lihat petang semalam, sebagai laporan awal tentang Westport ini, tentang kemalangan yang berlaku. Kadang-kadang lori-lori besar itu biasa. Manusia ni bila dia pangkat besar, lori besar, dia tak fikir yang kecil. Ini memang lazim kelemahan manusia. Jadi bukan sahaja orang yang akan berpangkat besar sombong, orang bawa lori besar pun sombong. Jadi akhirnya kita catat tahap kemalangan yang agak tinggi. Tapi kos pembinaan itu agak sangat tinggi, sebab itu tidak segera dalam perancangan. Tapi saya akan bincang dengan Menteri Besar dan Menteri Pengangkutan, bagaimana boleh dalam masa yang tertakluk pada keupayaan kita untuk menyegerakan perluasan dan pelebaran jalan supaya membantu.
  1. Ada yang harap saya nak umum pelebaran jalan. Sebab bulan depan ini dah Belanjawan, jadi tahap akhir ini kita tengok dollars and cents. So as a responsible minister, I cannot give a categorical answer until I’m fully satisfied that we have the capacity. For now, we have to wait a little bit more. Dengan kemajuan ekonomi, pelaburan yang meningkat, kita harap kalau pendapatan yang lebih tinggi juga dengan pendapatan daripada hasil negara termasuk Kastam dan percukaian lebih tinggi, mungkin kita dapat menyegerakan. Saya setuju supaya kita letakkan soal jalan raya ini sebagai salah satu keutamaan kita dalam merancang pertumbuhan untuk tahun depan.
  1. Saudara tahu juga bahawa kita aktif betul dalam usaha mencari pelaburan baru. Berbeza daripada lawatan-lawatan dulu, Tengku Zafrul dia juga dulu dalam lawatan, dia iring Perdana Menteri. Tapi kalau dulu ada juga satu hari rehat, main golf dan lain-lain. Dengan Perdana Menteri ini tak ada. Sampai, kerja. Habis kerja, balik. Jadi dia ada mengeluh sedikit sebab dia biasa dengan budaya lama (nada seloroh). Dan kita juga buka ruang-ruang baru dengan negara China, YB Anthony Loke bersama dengan Yang di Pertuan Agong ke negara China dan teruskan di Nanning untuk acara lain. Saya juga ke Vladivostok menemui presiden Putin dan mencari jalan supaya dapat buka pasaran baru termasuk melalui BRICS.
  1. Tujuannya apa? Tujuannya untuk ekonomi negara kita. Hal-hal politik antara negara itu urusan mereka. Kita berikan pandangan tetapi keutamaan kita ialah kebajikan rakyat perdagangan kita pelaburan di negara kita dan perdagangan antara Negara kita dengan negara-negara lain. Sebab itu kita buka ruang termasuk dengan Rusia dengan BRICS supaya kita terus dengan sahabat-sahabat lama termasuk Amerika Syarikat, Eropah, Australia. Tapi kita juga cari ruang untuk dekat dengan rakan rakan baru, ini cara kita mengurus negara dan ini ada kaitan dengan pelebaran dan perubahan yang berlaku termasuk pengembangan yang disebut sebagai perdagangan global melalui prasarana seperti Westport.
  1. Saya juga nak ucap terima kasih kepada rakan-rakan daripada semua Jabatan berkenaan. Persekutuan dan negeri ramai juga wakil yang hadir di sini. Saya rasa tidak adil kalau saya tidak menyebut bahawa kejayaan mana mana usaha termasuk pelabuhan adalah rantaian kerjasama dan kita telah tekankan bahawa semua kelulusan harus disegerakan, melainkan ada masalah-masalah yang serius. Kita tidak boleh lagi guna alasan dan peraturan sehingga lewat dalam meluluskan kalau kelewatan ini akan menyebabkan negara kita ketinggalan.
  1. Saudara harus ingat, selalu saya tekankan bahawa kita ini di dalam dunia pasca normal. We are living in a postnormal times, it’s more complex, it’s full of contradictions. It is chaotic. Changes taking place simultaneously. Problems occur in a term used simultaneity, happening all in all places all at the same time and the pace of change, due to AI and digitalization. Compel us to other take new methods as a pace which is unprecedented. Therefore, all departments, all officers and the private sector must understand that we are not dealing with a normal times or normal pace. We are dealing with something not familiar and would compel us and demand that we undertake measures, decisions and execute them expeditiously.
  1. Ini yang menyebabkan saya tekankan perlunya dan saya berterima kasih juga kerana KSN, dalam masa singkat sebelum dia jadi KSN telah terus mengumpulkan kawan-kawan dan menggesa supaya perubahan ini berlaku. Kalau tidak ia tidak jadi MADANI. Dan satu aspek akhir yang saya tekankan ialah dalam perkembangan satu ribu hektar. Ini suatu perkembangan yang diperlukan kerana kesesakan yang berlaku di pelabuhan ini. Pelabuhan Pulau Pinang, PTP semua nampaknya sudah sampai ke tahap yang lebih sesak dan kalau lihat umpamanya, angka pelaburan diumumkan oleh Menteri MITI beberapa hari yang lalu memang ada keperluan prasarana ini dipercepatkan dan tidak boleh dipertikai. Kejayaan pelabuhan, kejayaannya juga mestilah mengambil kira seperti yang disebut sebentar tadi iaitu kebajikan pekerjanya.
  1. Saya ucap terima kasih kerana secara relative, pekerja-pekerja itu diberi layanan yang baik. Saya mahu menggesa pengurusan baru sebaik sahaja kita dapat capai tahap yang lebih tinggi dari segi produktiviti, maka upah pekerja juga harus ditingkatkan selari dengan produktiviti yang memuncak. Kemudian kita hidup, kadang-kadang di kawasan kita di persekitaran yang sudah semuanya selesa, sekolah mereka, kemudahan kesihatan pekerja, perumahan. Hal-hal ini bagi sektor swasta yang berjaya mesti diambil kira. Pendekatan MADANI ini maknanya mesti ada ihsan, mesti compassion. Ada kesedaran bahawa kita mahu maju, tapi kita maju sebagai satu keluarga besar.
  1. Jadi saya harap hal-hal ini seperti mana yang ditegaskan satu permulaan yang baik. Tapi saya ingin gesa kerana kita lakukan segalanya yang mungkin seperti mana saya tegaskan tadi. Jemaah Menteri mahu projek ini berjaya. Jemaah Menteri dan Kerajaan akan memberikan semua sokongan yang perlu untuk mengangkat martabat pelabuhan ini. Oleh yang demikian, kita harap pengurusan ini bila mencatat kejayaan harus faham bahawa kejayaan itu kejayaan daripada pengurus besarnya, CEOnya, kejayaan pekerjanya, tukang cucinya, kejayaan tukang masak, barulah ada nilai kemanusiaan dalam dimensi pembangunan kita yang disebut manusiawi.
  1. Jadi saya ucap sekali lagi, terima kasih. Saya dalam beberapa majlis saya elak daripada pengumuman jumlah-jumlah dan angka-angka yang diberikan banyak dalam teks ini, kerana sebelum sudah dihadam. Yang perlu ialah kerangka dasar. Kita harus faham bahawa negara MADANI menuntut kita melakukan sedikit anjakan baik dari segi kerja dari segi sikap dan dari semangat pembelaan nasib rakyat dan pekerja kita.

Terima kasih.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.